Categories
AGENDA NASIONAL

Ketuanan Melayu: PPIM setuju kenyataan PM

SHAH ALAM, 11 SEPT: Masyarakat Melayu tidak perlu terlalu sensitif dan marah terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh isu ketuanan Melayu baru-baru ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang Melayu sebaliknya perlu berusaha lebih gigih membangunkan ekonomi masing-masing seperti saranan Mahathir.

“Saya setuju dengan Tun Dr Mahathir orang Melayu kena sedar dan kerja kuat kukuhkan ekonomi jika mahu dihormati kaum lain.

“Sebelum ini tak berapa nampak kesedaran orang Melayu kerana orang Melayu ini kalau tak dihina dia tak sedar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit sejak negara merdeka untuk membangunkan ekonomi Melayu termasuk melancarkan Dasar Ekonomi Baru.

Bagaimanapun, ianya tidak memberi kesan yang diharapkan kerana kurangnya kesedaran masyarakat Melayu.

Nadzim berkata, selain program bantuan pembiayaan, kerajaan juga harus mengadakan program kesedaran kepada orang Melayu khasnya membabitkan kuasa pengguna yang dimilikinya.

Katanya, orang Melayu perlu mencontohi semangat orang Jepun dan Korea yang gigih membantu membangunkan ekonomi bangsa mereka.

Terdahulu, Mahathir dalam catatan terbaharunya di blog peribadi beliau, chedet.cc, melahirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang masih menganggap diri sebagai tuan di negara ini walaupun hakikatnya enggan memperbaik nasib sendiri.

Mahathir berkata, orang Melayu sepatutnya sudah belajar daripada sejarah bagaimana generasi mereka terdahulu tidak mengambil peluang meningkatkan taraf ekonomi sewaktu pemerintahan British.

Categories
NASIONAL

PPIM, PERMAS saran semua restoran henti jual rokok

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pengusaha restoran di negara ini disaran menghentikan penjualan rokok bagi menyahut seruan kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Januari lalu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif itu yang diambil Restoran Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) perlu disokong dan wajar dicontohi pengusaha restoran lain.

“Jika kita lihat di United Kingdom, rokok biasanya tidak dijual secara umum sebaliknya dijual di tempat khas,” katanya.

Saranan itu turut disokong Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (Permas), Ayob Abd Majid yang berkata, pengusaha boleh menjana pendapatan sampingan dengan menjual produk lain lebih bermanfaat kepada pelanggan.

“Lagipun jika kita lihat penjualan rokok di kaunter restoran tidak memberi margin keuntungan yang besar, jadi saya yakin tiada masalah jika setiap restoran menghentikan penjualannya dan mencari inisiatif lain yang boleh membantu beri keuntungan kepada restoran,” katanya.

Baru-baru ini, Restoran Pelita dilapor menghentikan penjualan rokok di semua 28 restorannya di seluruh negara berkuat kuasa 16 Januari lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA

PPIM nasihat rancang pembelian makanan sepanjang Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 MEI: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai merancang pembelian makanan ketika Ramadan bagi menangani masalah pembaziran.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, kesedaran mengenai pembaziran makanan perlu didedahkan dalam setiap keluarga yang berpuasa.

“Kita juga perlu pandai mengawal pengambilan makanan untuk sahur dan ketika berbuka puasa, perlu lebih bertanggungjawab berbelanja pada bulan ini kerana pembaziran makanan seolah-olah menjadi budaya tahunan ketika Ramadan,” katanya dalam kenyataan.

Nadzim juga berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu bekerjasama dengan PPIM untuk menyebarkan kesedaran mengenai pembaziran makanan di peringkat sekolah.

“Ramadan adalah bulan disiplin dan masa yang tepat untuk mengamalkan perbuatan baik.

“Kami di PPIM sudah mula melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah pembaziran makanan sejak sebulan lalu, termasuk sesi kempen dan perbincangan,” katanya.

Categories
NASIONAL

PPIM tubuh Kagum bela nasib pengguna

SHAH ALAM, 20 MEI: Prihatin terhadap nasib pengguna yang menjadi mangsa penipuan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Biro Undang-undang dan Kad Kaunseling Guaman PPIM (Kagum) bertujuan memberi khidmat guaman pada kadar rendah.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif dengan kerjasama Malaysian Humanitarian Organisation (MHO) itu turut membantu pengguna mendapatkan kaunseling guaman sebelum melakukan transaksi atau pelaburan.

“Ia dapat menjamin hak pengguna dan mengelak mereka daripada ditipu,” katanya dipetik Bernama.

Nadzim berkata, banyak laporan kes penipuan diterima pihaknya setiap hari dan kebanyakan pengguna sukar mendapat pembelaan kerana tidak berkemampuan membayar kos guaman tinggi.

PPIM LOGO“Terdapat pelbagai jenis caj yang dikenakan oleh syarikat guaman seperti kos membuka rekod dan kos pengangkutan peguam yang perlu dibayar oleh pengguna,” katanya.

Kagum menyediakan 25 peguam khusus memberi khidmat nasihat guaman termasuk menyelesaikan kemusykilan pengguna berkaitan dokumen perjanjian dan pelaburan pada kos minima.

Pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan Kagum boleh berkunjung ke ibu pejabat biro di C-3A-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak atau menghubungi talian 011-1118 1000.

Categories
SELANGOR

Seminar bincang garis panduan hiburan di Institut Integriti Malaysia khamis ini

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama): Penggiat industri hiburan disaran supaya menyertai Seminar Kebangsaan Hiburan dan Islam bagi membincangkan garis panduan hiburan dari perspektif Islam selama dua hari mulai Khamis ini.

Ia akan diadakan di Institut Integriti Malaysia di Persiaran Duta off Jalan Duta di sini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata seminar itu akan memberi ruang kepada para ulama dan pemain industri hiburan bagi melengkapkan kertas kerja dan memorandum untuk diserahkan kepada semua agensi terlibat termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Kebanyakan media hari ini begitu melebihkan kepada hiburan tetapi tidak semuanya sesuai mengikut aliran Islam. Persoalannya apa bentuk hiburan yang boleh dan tidak boleh dalam Islam.

“Oleh itu seminar ini merupakan jalan tengah untuk mencari kebaikan bersama kerana industri hiburan memainkan peranan penting dalam mengubah masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya pada sidang media mengenai seminar tersebut di sini Isnin.

Antara penceramahnya ialah Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar, Pengarah Jabatan Agama Islam Kelantan Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan pengarah filem Aziz M. Osman.

Semua pemain industri hiburan seperti pengarah, penerbit, penulis skrip dan selebriti adalah dijemput untuk menyertai seminar yang dihadkan untuk 100 orang sahaja.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan PPIM di talian 019-9130000 atau menerusi laman Facebook dengan menaip ‘Seminar Hiburan dan Islam’.

Categories
NASIONAL

Gabungan NGO Gesa Kerajaan Dengar Pendapat Rakyat Sebelum Laksana TPPA

Laksana TPPA 01

KUALA LUMPUR, 19 JULAI : Badan Bertindak Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), hari ini menuntut agar kerajaan mengadakan forum sebelum membuat keputusan menandatangani TPPA pada 1 Ogos nanti.

Tuntutan tersebut dibuat melalui memorandum yang diserahkan oleh enam wakil badan bertindak itu di pintu masuk Wisma Hasil Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat petang tadi.

Memorandum tersebut diterima wakil Timbalan Ketua Setiausaha Industri, Kementerian Perdagangan Industri Antarabangsa, Datuk Nik Rahmat Nik Taib.

Menurut beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai badan bertindak tersebut, forum tersebut perlu diadakan bagi membolehkan kerajaan mendengar pendapat rakyat terbanyak melalui 45 NGO dan enam badan gabungannya.

Laksana TPPA 02

Antara NGO tersebut, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Malaysia AIDS Council (MAC), Tamil Foundation Malaysia (TF), The KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCH), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan lain-lain.

Sebelum ini menurut Presiden MTUC, Khalid Atan, kerajaan sebelum ini bukan sahaja menyembunyikan butiran rundingan dari pengetahuan rakyat, malah turut menolak bagi mengadakan rundingan bersama MTUC dan NGO lain.

“Mereka kata ada menjemput MTUC hadir forum sebelum ini sebenarnya tipu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertindak sendiri, tak pernah adakan forum seperti yang mereka katakan,” ujar Khalid.

Sementara itu, Naib Presiden, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Said Ibrahim Said Noh, TPPA mampu menyebabkan negara yang menandatanganinya kehilangan hak menjalankan polisi yang menjaga kepentingan rakyat masing-masing.

Menurut beliau, antara negara yang pernah mengalaminya termasuklah Kerajaan Ecuador yang terpaksa membayar saman kepada pelabur sebanyak USD 2.4 bilion dan Kanada yang terpaksa menarik pengharaman sejenis ubat yang memberik kesan negatif kepada rakyatnya.

“Kerajaan Kanada sebelum itu mengambil langkah ‘banned’ ubat tersebut kerana merbahaya untuk rakyat Kanada, tetapi terpaksa menarik semula selepas disaman pelabur Amerika melalui kerana mereka menandatangani perjanjian itu,” kata beliau.

Selain itu, Badan Bertindak Bantah TPPA Malaysia turut menggariskan TPPA bakal menghadkan akses kepada ilmu pengetahuan, mengamalkan polisi pro-industri yang tidak mesra alam sekitar, menafikan hak pekerja dan menjejaskan industri kecil dan sederhana.

Sebelum itu, dalam perhimpunan aman membantah TPPA hari ini, hampir 100 perserta demontrasi memulakan perarakkan dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke Wisma Hasil Kuala Lumpur.

Perarakan yang berakhir kira-kira jam 3.40 petang itu berakhir tanpa kekecohan.

Laksana TPPA 03