Categories
NASIONAL

Harga minyak naik, Fomca desak mansuh cukai jalan

fomca ron97

SHAH ALAM 6 SEPT: Gabungan Persatuan Pengguna- pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans berikutan kenaikan harga minyak.

Senada dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM),  Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abd Rahman berkata,  ia perlu sebagai alternatif berikutan rakyat tertekan ekoran kenaikan harga minyak.

“Semua maklum kesan besar dari kenaikan ini melibatkan peningkatan kos rantaian barangan.

“Ia menjadi inisiatif meringankan beban rakyat apabila dikurangkan cukai lain termasuk cukai jalan,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, PDAM mencadangkan kerajaan memansuh cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang 2,000cc.

Yusof berkata, cadangan itu wajar dipertimbang memandangkan kenaikan mendadak harga minyak mengakibatkan pengguna dihimpit kos sara hidup yang tinggi.

Beliau juga yakin langkah itu mampu mereda kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga bahan api.

“Walaupun cukai jalan hanya kesan sementara sebab rakyat bayar cukai jalan hanya sekali setahun. Ini melegakan mereka. Segera umumkan inisiatif lain,” katanya.