Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia dicalon sebagai pemain paling meningkat bagi tahun 2020/2021 BWF

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Juara All England 2021, Lee Zii Jia dicalonkan dalam kategori Pemain Paling Meningkat Tahun Bagi Tahun 2020/2021 dalam Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) tahun ini.

Bagaimanapun, Zii Jia akan dicabar oleh rakan sepasukan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut disenaraikan dalam kategori itu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan BWF hari ini.

Turut tersenarai pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Tokyo, Wang Chi-Lin-Lee Yang dari China Taipei dan pemain perseorangan wanita nombor 10 dunia Pornpawee Chochuwong dari Thailand.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou merupakan pesaing di dalam kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik Tahunan.

Pramod Bhagat dari India, Daiki Kajiwara (Jepun), Kim Jongjun (Korea Selatan), Lucas Mazur (Perancis) dan Qu Zimo (China) juga disenarai pendek dalam kategori sama dengan Liek Hou.

Dalam pada itu dua pemain Denmark — Juara Olimpik Tokyo Viktor Axelsen dan Anders Antonsen akan bersaing dalam kategori Pemain Lelaki Terbaik Tahunan dengan dua lagi pemain, Wang Yi Lyu dari China dan Yuta Watanabe dari Jepun.

Calon-calon bagi kategori Pemain Wanita Terbaik Tahunan adalah wakil China Chen Yu Fei diikuti Carolina Marin dari Sepanyol, Tai Tzu Ying (China Taipei) dan Akane Yamaguchi (Jepun).

Bagi kategori Beregu Terbaik Tahunan, lima pasangan berpeluang memenangi kategori itu termasuk Kim Soyeong-Kong Heeyong dari Korea Selatan, Greysia Polio-Apriyani Rahayu (Indonesia), Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China), Wang Chi-Lin-Lee Yang (China Taipei) dan wakil Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Pemenang-pemenang akan diumumkan pada Jelajah Dunia BWF Indonesia di Bali yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Dis ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ujian Covid-19 dalam semua kejohanan utama badminton

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melaksanakan ujian Covid-19 dalam semua kejohanan utama serta siri kejohanan Jelajah Dunia untuk mengurangkan penularan pandemik itu.

Menurut badan induk badminton dunia dalam satu kenyataan semalam, pelaksanaan ujian itu akan melibatkan kakitangan yang berdaftar diuji terlebih dahulu sebelum setiap kejohanan mengikut garis panduan Protokol Keselamatan dan Prosedur Operasi yang ditetapkan BWF.

“Sekurang-kurangnya satu ujian wajib akan dibuat bagi setiap pemain pada setiap acara,” menurut kenyataan itu.

BWF juga memaklumkan bahawa pegawai kejohanan akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Hijau, Jingga dan Merah.

Kategori Hijau merangkumi semua pemegang taruh yang kontak rapat dengan pemain dan rombongan pemain, sementara kategori Jingga pula melibatkan semua pemegang taruh yang biasanya dianggap sebagai kontak rapat dengan pemain dan rombongan pemain secara tidak tetap sepanjang kejohanan.

Kategori Merah melibatkan kakitangan yang biasanya tidak bersentuhan dengan pemain dan rombongan mereka.

Semalam, BWF melancarkan kalendar kejohanan Jelajah Dunia yang telah diselaraskan untuk musim ini akibat pandemik itu.

Berdasarkan kalendar kejohanan itu, pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 akan berlangsung seperti dijadualkan pada 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Sebaik sahaja kejohanan berprestij itu tamat, kejohanan Jelajah Dunia akan disambung semula dengan Terbuka Denmark I dan II di Odense, masing-masing pada 13 hingga 18 Oktober dan 20 hingga 25 Oktober.

Seterusnya, Jelajah Dunia akan diteruskan dengan tiga kejohanan di rantau Asia pada November sebelum musim pertandingan tamat dengan Final Jelajah Dunia. Bagaimanapun, BWF masih belum menetapkan tarikh dan lokasi acara itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Terbuka Switzerland, Kejuaraan Eropah 2020 dibatalkan – BWF

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam mengumumkan pembatalan dua kejohanan badminton iaitu Terbuka Switzerland dan Kejuaraan Eropah 2020.

Kedua-dua kejohanan itu sebelum ini diletakkan sebagai ‘ditangguhkan’ sehingga tarikh yang bersesuaian, bagaimanapun BWF hari ini mengumumkan pembatalannya.

Terbuka Switzerland, acara Super 300 dalam Jelajah Dunia BWF, dijadualkan berlangsung pada 17-22 Mac, sementara Kejuaraan Eropah di Kyiv, Ukraine, dijadualkan pada 21-26 April, sebelum BWF menangguhkan semua kejohanan akibat pandemik Covid- 19.

“BWF dalam rundingan dan mendapat kata sepakat dengan Swiss Badminton serta penganjur kejohanan itu, memutuskan adalah tidak wajar untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada tarikh lain dalam tahun 2020.

“Badminton Europe dan Persekutuan Badminton Ukraine (UBF) juga bersetuju bahawa langkah terbaik adalah membatalkan Kejuaraan Eropah 2020. UBF telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah edisi 2021 dan akan diadakan di ibu kota Ukraine itu dari 27 April hingga 2 Mei, 2021,” kata badan induk badminton dunia itu dalam satu kenyataan.

Lima hari lepas, BWF mengumumkan pembatalan tiga kejohanan iaitu Terbuka Australia 2020 (2-7 Jun), Terbuka Hyderabad (11-16 Ogos) dan Masters Korea (24-29 November).

Menurut kalendar kejohanan BWF 2020 yang dikemas kini, Masters China dijadualkan semula pada 25-30 Ogos di Sanya, dan mungkin menjadi acara badminton antarabangsa pertama selepas kejohanan Seluruh England pada Mac kerana sebahagian besar kejohanan masih ditangguh, ditunda atau dibatalkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Semua kejohanan badminton dari Mei hingga Julai ditangguh

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil langkah drastik dengan menangguhkan semua kejohanan termasuk pertandingan gred dua dan tiga yang dijadualkan dari Mei hingga Julai disebabkan oleh pandemik Covid-19 global.

BWF dalam kenyataan dikeluarkan semalam berkata, keputusan itu dicapai selepas merundingi negara tuan rumah dan juga persekutuan-persekutuan benua.

“Peningkatan pandemik Covid-19 global telah mendorong semua pihak mengesahkan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan. Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua atlet, rombongan mereka, pegawai dan komuniti badminton secara menyeluruh kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Minggu lepas, BWF memutuskan untuk membekukan Ranking Dunia dan Ranking Remaja Dunia juga dibelakangkan tarikhnya ke 17 Mac sehingga notis selanjutnya berikutan pandemik itu.

Badan induk sukan badminton dunia itu juga mendedahkan pihaknya juga sedang menyemak impak daripada penjadualan semula Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik terhadap sistem kelayakan ke Olimpik dan Paralimpik.

Pertandingan gred dua yang terjejas dengan penangguhan itu adalah Terbuka Crown Group Australia dijadual diadakan dari 2-7 Jun, Terbuka Toyota Thailand ( 9-14 Jun), Terbuka Indonesia (16-21 Jun) dan Terbuka Rusia (7-12 Julai).

Kejohanan bagi gred tiga yang ditangguhkan adalah Cabaran Li-Ning Denmark yang sepatutnya diadakan dari 7-10 Mei, FZ Forza Slovenia International (13-16 Mei), Yonex Latvia International (28-31 Mei), Cabaran Antarabangsa Ciputra Hanoi–Yonex Sunrise Vietnam (2-7 Jun).

Kejohanan lain yang terjejas adalah RSL Lithuanian International (4-7 Jun), Canada Para Badminton International ( 9-14 Jun), Russian International Junior White Nights ( 25-28 Jun), White Nights (1-5 Julai) dan Kejohanan Badminton Remaja All-England (16-19 Julai).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua kejohanan badminton di Eropah batal, tangguh

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Dua kejohanan badminton dibatalkan dan ditangguhkan susulan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di benua Eropah.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Terbuka Jerman 2020 yang akan berlangsung di Mulheim an der Ruhr dari 3 hingga 8 Mac ini dibatalkan.

Keputusan itu dibuat pihak majlis bandar raya Mulheim selepas mendapat nasihat daripada jabatan kesihatan awam berkaitan Covid-19.

Menurut BWF, Persatuan Badminton Jerman (GBA) juga telah mengesahkan keputusan yang dibuat pihak majlis bandar raya itu.

“BWF dan GBA menerima keputusan tersebut, dengan mengambil kira kebajikan dan mengutamakan para pemain, pengiring mereka, peminat dan para pegawai,” menurut kenyataan itu.

BWF dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan Terbuka Poland yang akan berlangsung di Krakow dari 26 hingga 29 Mac ini juga ditangguhkan ke tarikh yang lain, susulan keputusan yang diambil Persatuan Badminton Poland (PBA) pada Rabu berikutan ancaman virus berkenaan.

Menurut BWF, PBA telah memaklumkan keputusan mereka untuk menangguhkan kejohanan tersebut kepada Badminton Eropah melalui surat selepas berunding dengan pelbagai pihak terlibat di negara itu.

BWF berkata kejohanan itu yang merupakan sebahagian daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diadakan di luar tempoh kelayakan untuk ke Olimpik.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Menurut Kesatuan Eropah (EU) menerusi laman web https://www.ecdc.europa.eu , sejumlah 381 kes dan 12 kematian dilaporkan berlaku di EU, anggota Kawasan Ekonomi Eropah (Iceland, Liechtenstein dan Norway), United Kingdom dan Switzerland setakat Rabu.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Presiden BWF harap Chong Wei layak ke Olimpik Tokyo 2020

ABU DHABI, 19 MAC: Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul-Erik Hoyer Larsen berharap jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei kembali beraksi dalam kejohanan kompetitif secepat mungkin bagi merealisasikan impiannya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Harapan dan doa saya untuk Chong Wei mencapai impiannya dan saya tahu keazamannya untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Setulus hati ,saya harap beliau akan mencapainya. Saya faham keadaan sukar yang dilaluinya dan ingatan saya sentiasa bersamanya dalam usaha beliau untuk layak ke Tokyo,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sukan Olimpik Khas Musim Panas Sedunia 2019, di sini, semalam.

Chong Wei, 37, terpaksa berehat panjang selama lapan bulan selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini berada di Taiwan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabangsa bermula pada Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April ini.

Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi pada 1 April 2019 hingga 26 April 2020.

Semasa tempoh berehat, ranking Chong Wei jatuh ke tangga ke-41 dunia dan pemain itu perlu kembali dalam saingan kompetitif memandangkan hanya 38 pemain ranking terbaik dunia layak untuk beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-BERNAMA