Categories
AGENDA NASIONAL

Floor 88, artis popular jaya persembahan lagu rakyat di Istana Budaya

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Lagu ‘Hutang’, ‘Chikadun’ dan ‘24434’ yang dipopularkan kumpulan Floor 88 antara lagu rakyat yang bakal dipersembahkan di pentas berprestij Istana Budaya menerusi Konsert Lagu Rakyat selama dua malam bermula 25 Mac ini.

Siapa sangka, lagu-lagu popular oleh kumpulan penyanyi muda itu yang biasanya menceritakan perihal masyarakat dan senario semasa menerusi bait liriknya seperti kesan hutang, penyalahgunaan dadah dan tuntutan solat, juga dikategorikan sebagai lagu rakyat.

Wakil kumpulan itu, Eric Fuzi berkata tawaran menjayakan persembahan itu disifatkan seperti bulan jatuh ke riba memandangkan konsep lagu rakyat dekat di hati mereka sekali gus memartabatkan lagi genre lagu tersebut.

“Kami hanya memainkan lagu sendiri namun ramai yang melabelkan lagu kami dekat dengan lagu rakyat yang popular dan malar segar seperti Lenggang Kangkong.

“Lebih membanggakan, Istana Budaya juga mengakui perkara tersebut dan kami sifatkan ia sebagai penghormatan besar,” katanya kepada Bernama.

Konsert yang bakal mempersembahkan lebih 50 lagu rakyat diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu turut dijayakan barisan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Bunga, Azizul Haqim, Hazra Dollah, Roslan Madun, Jatt Aziz dan kumpulan Mah Meri.

Sementara itu, konduktor OTM Mohd Yazid Zakaria berkata gubahan muzik dan iringan orkestra akan disuntik nafas baharu dalam memberi sentuhan lebih segar tanpa mengubah keaslian lagu.

“Kami juga berharap menerusi penganjuran seperti ini, lebih ramai penyanyi muda menghasilkan lagu rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya Mohamad Azlan Abdul Majid berkata konsert itu bertujuan mengangkat kegemilangan lagu tersebut dan terus menjadi halwa telinga terutama buat generasi akan datang.

“Lagu-lagu rakyat yang pernah menjadi siulan seperti Suriram dan Air Pasang Dalam yang sinonim dengan pelbagai generasi kini semakin pupus, malah ada yang tidak tahu atau mendengarnya,” katanya.

Mohamad Azlan berkata tujuan pihaknya mengetengahkan barisan penyanyi muda dalam konsert itu bagi menarik lebih ramai audiens selain memberi nafas baharu dalam muzik berkenaan.

“Secara tidak langsung, ia boleh menarik peminat mereka yang terdiri daripada generasi kini untuk kembali mendengar lagu rakyat ini,” katanya sambil menambah tiket boleh ditempah di laman sesawang Istana Budaya dengan harga bermula RM88.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan berkata sebanyak lima program termasuk dua persembahan teater telah disusun bakal diterbitkan sepanjang tahun ini, selain menerima tujuh permohonan dari syarikat produksi yang dilihat sebagai perkembangan positif buat industri persembahan.

– BERNAMA