Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selhac: Kerajaan Negeri sasar penyertaan sekali ganda selepas ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan sekali ganda dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada sesi penganjuran akan datang.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sasaran itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima pempamer sepanjang penganjuran persidangan berkenaan.

“Ia berakhir dengan cemerlang dan sambutan yang diterima daripada pengunjung amat hebat dari pengunjung, malah pempamer menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Saya berharap Selhac ini dapat terus diperluaskan pada masa akan datang. Sebahagian besar pempamer juga menyatakan minat untuk turut serta dalam penganjuran selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penangguhan Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Pemenang pilihan juri gerai terbaik bergambar pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) itu menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac dan ia dibahagikan kepada enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persidangan halal Selangor bermula esok babit 100 pempamer

SHAH ALAM, 3 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) bakal membuka tirainya esok di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Program anjuran Kerajaan Negeri diadakan pertama kali itu bermula jam 10 pagi hingga 9.30 malam menampilkan 100 pempamer daripada 40 syarikat tempatan dan luar negara.

Pempamer terdiri enam kluster iaitu makanan dan minuman, kesihatan dan farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, hospitalisasi dan pelancongan, fesyen sopan serta ramuan.

Selhac berlangsung tiga hari hingga 6 Mac turut melibatkan tiga komponen merangkumi forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Orang ramai dipelawa hadir bagi mendapatkan gambaran berkaitan industri itu.

Maklumat lanjut berhubung program boleh diperoleh menerusi http://selhac.com

Orang ramai dijemput memeriahkan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 4 hingga 6 Mac 2022.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Selhac: Elak sesak, kehadiran pengunjung ikut zon

SHAH ALAM, 28 FEB: Kehadiran orang ramai ke Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini bakal dilaksanakan mengikut zon bagi mengelakkan kesesakan di lokasi itu.

EXCO Industri Halal berkata hari pertama program pada 4 Mac ini dikhaskan untuk pengunjung dari zon tengah iaitu Klang, Petaling dan Gombak manakala hari kedua bagi zon selatan iaitu Sepang, Hulu Langat serta Kuala Langat.

Pengunjung dari zon utara iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor pula pada hari terakhir penganjuran.

“Kita cadangkan kepada Halal International Selangor (HIS) supaya menekankan soal keselamatan sepanjang program tersebut dengan membuat penjadualan bagi mencegah wabak.

“Pengunjung juga disyaratkan lengkap dua dos vaksin Covid-19 selain sentiasa menjaga tatacara operasi piawai (SOP). Kita akan tempatkan petugas untuk kawal pergerakan mereka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, beliau berkata persiapan bagi acara selama tiga hari itu sudah mencecah lebih 90 peratus dan hampir semua pempamer sudah memasang gerai masing-masing.

“Persiapan kini di peringkat akhir dan semua pihak berusaha memberikan sentuhan terbaik agar dapat mencapai objektif ditetapkan,” katanya.

Mohd Zawawi menambah 131 tapak pameran habis ditempah 80 syarikat dan agensi kerajaan dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kecantikan dan penjagaan diri, hospitaliti, pelancongan serta fesyen.

“Program ini diharap dapat membantu usahawan memasarkan produk mereka kepada pengguna, selain membina rangkaian perniagaan dengan pemain industri seterusnya merancakkan lagi industri ini,” katanya.

Selhac yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual merasmikan persidangan berkenaan pada 4 Mac.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai industri halal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi semak status produk bakal dilancar sebelum persidangan antarabangsa halal

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri menjangka aplikasi halal bagi memudahkan pengguna menyemak status sesuatu produk secara dalam talian akan dilancarkan sebelum Mac ini.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni aplikasi itu akan disiapkan sebelum bermulanya Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada bulan tersebut.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan pihak kejuruteraan. Insya-Allah ia akan mula dilancarkan sebelum Mac…sebelum bermulanya Selhac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi ‘walkabout’ Ops Pematuhan SHMMP Tahun Baharu Cina bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Pasaraya NSK Trade City BMC Mall di sini semalam.

EXCO Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas menyertai Ops pematuhan harga musim perayaan di NSK Trade City BMC Mall Mahkota Cheras, Kajang pada 31 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada Disember tahun lalu, Mohd Zawawi mengumumkan Kerajaan Negeri bakal melancarkan aplikasi halal yang mesra pengguna bagi membolehkan mereka menyemak bahan sesuatu produk.

Tidak hanya memfokuskan kepada aspek halal dalam makanan sebaliknya ia turut memberi tumpuan semua produk antaranya farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik.

Pada 26 November ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tingkat usaha tambah pemegang sijil halal

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri akan menggiatkan usaha menambah pemegang sijil halal di Selangor terutama dalam kalangan pengusaha kecil bagi membolehkannya meneroka pasaran antarabangsa.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata dianggarkan 4,000 pengusaha di negeri ini sudah mempunyai sijil halal dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memproses 1,000 lagi permohonan.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan pengusaha mendapat pengiktirafan berkenaan termasuk dari kalangan peniaga bukan Islam.

“Mereka memohon kerana mahu meneroka pasaran antarabangsa yang mempunyai potensi besar.

“Peluang sama juga harus dimanfaatkan peniaga kita dan Kerajaan Negeri sedia bantu mereka mendapat pengiktirafan halal,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata penganjuran Selhac yang membabitkan pelbagai program sehingga tahun depan antara inisiatif Kerajaan Negeri menyokong pertumbuhan industri halal di Selangor.

Jelasnya, program itu akan diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan secara dalam talian selaras dengan norma baharu serta membolehkan lebih ramai peserta menghadirinya.

“Selhac adalah plaftorm mengembangkan rangkaian perniagaan pengusaha sektor halal selain bertukar pandangan antara satu sama lain,” jelasnya.