SHAH ALAM, 20 DIS : Universiti Selangor (UNISEL) menutup tirai bidang penyelidikan dan inovasi tahun ini dengan memenangi dua perak dan satu gangsa di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2015 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru baru ini.
UNISEL dalam kenyataan berkata, ia merupakan penyertaan pertama universiti itu UNISEL itu dengan mempertaruhkan tiga produk ciptaan Fakulti Sains Dan Bioteknologi dan Fakulti Kejuruteraan.
Dalam kategori Pengkomersilan, UNISEL menghantar produk ‘airys-Air Electrolyser’ sementara kategori Terbuka produk ‘O-Gen Nonchem Alpha Water Treatment’ dan Edukits-Celik Al-Quran dipertandingkan.
Dua pingat perak dimenangi melalui produk airys dan O-Gen, manakala pingat gangsa dimenangi melalui produk Edukits-Celik Al-Quran.
“Walaupun tidak berjaya memperolehi pingat emas, namun UNISEL kita tetap berbangga kerana menerima pujian dan pelawaan untuk menjalinkan kolabrasi bersama IPT lain dan juga secara tidak langsung menerima tempahan untuk mendapatkan produk ini selanjutnya.
“Diharapkan untuk tahun berikutnya akan ramai lagi penyelidik dari UNISEL menyertai pertandingan seperti ini,” katanya.
Sebanyak 502 ciptaan dipertandingkan dalam PECIPTA 2015 dari seluruh institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan dan beberapa institut pengajian tinggi (IPT) luar negara.
Acara penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh.
PECIPTA diadakan 2 tahun sekali dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tuan rumah bagi tahun ini dan merupakan acara kali kelapan setelah ia dimulakan buat kali pertama pada tahun 2001 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
-nR-