Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha lindungi Harimau Malaya antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan Harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kelebihan inisiatif baharu MyDaftar Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada inisiatif itu dapat menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU di Malaysia.

Dalam pertanyaan bagi jawab lisan pula, Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha kerajaan dalam meningkatkan kemahiran insaniah pekerja ekonomi gig untuk memastikan tahap pekerjaan dan gaji mereka dapat terus meningkat.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-11 hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan berakhir hari ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 Nov.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen bincang isu pendatang tanpa izin, senda agama

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Usaha kerajaan dalam menguruskan isu pendatang tanpa izin dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan sentimen agama antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang masing-masing diajukan kepada Menteri Dalam Negeri.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) bertanyakan mengenai status pelaksanaan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin yang dirangka untuk jangka masa lima tahun bagi membanteras kebanjiran golongan itu.

Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) ingin tahu, sama ada kerajaan berhasrat untuk meminda akta atau peraturan sedia ada, kepada hukuman yang lebih berat terhadap individu yang menghina, mempersenda, atau memainkan isu agama demi kepentingan tertentu.

Selain itu, Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) bertanyakan Menteri Luar berhubung kedudukan kerajaan terhadap Statut Rom dan kebarangkalian Malaysia akan bersetuju menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dalam masa terdekat.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021, akan diteruskan untuk hari yang ketujuh.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covd-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gaji pekerja asing, kereta terbang antara isu penting Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Sumber Manusia semasa sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAKATAN-Lumut) dijadual bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 ini akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka melibatkan tujuh kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA