Categories
AGENDA NASIONAL

Risiko jangkitan Covid-19 tinggi jika Parlimen bersidang lebih lama

PUTRAJAYA, 2 NOV: Persidangan Parlimen yang lebih lama akan menyebabkan mereka yang berada di dalam bangunan itu berdepan risiko jangkitan Covid-19 lebih tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana terdapat tujuh kes direkodkan hari ini yang membabitkan seorang anggota polis bantuan dan pengesanan kontak mendapati isteri dan tiga rakannya, seorang pengamal media serta seorang kakitangan Dewan Negara disahkan positif.

“Jika mereka berada di tempat sesak, lebih lama mereka di situ maka lebih tinggi peluang untuk mereka dijangkiti.

“Sekiranya terdapat kes positif, maka risiko kebolehjangkitan adalah lebih tinggi… Kami berharap mereka yang menghadiri sesi Parlimen akan mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) kerana pematuhannya amat penting,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata persidangan Parlimen yang terakhir ialah pada 23 September dan terdapat jurang selama enam minggu sebelum saringan dilakukan pada minggu lepas, maka punca jangkitan tidak diketahui.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 12(1) bagi memendekkan sesi hari pertama persidangan Parlimen hari ini sehingga 1 tengah hari.

Beliau berkata ini susulan nasihat pegawai Kementerian Kesihatan selepas seorang kakitangan Dewan Negara telah didapati positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pakatan Akan Bawa Usul Penubuhan IPCMC Dalam Parlimen

kitsiang anwar mustafa 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ketika persidangan Parlimen diadakan pada 24 Jun nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan berharap usul tersebut akan mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang sebahagiannya didakwa menyokong cadangan itu.

Ini kerana suruhajaya tersebut yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penting menangani kes salahlaku anggota polis seperti kematian di dalam tahanan.

Beliau menjelaskan Pakatan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan itu yang dianggotai dua Ahli Parlimen dari setiap parti gagasan itu.

“Kita memerlukan sokongan majoriti mudah di Parlimen iaitu 112 bagi kelulusan suruhanjaya bebas ini. Kita sudah ada 89 Ahli Parlimen dari PR maka kita perlukan sekurang-kurangnya 23 lagi untuk tujuan ini.

“Kita harap enam Ahli Parlimen PR dalam jawatankuasa akan berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN bagi penubuhan IPCMC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, maklumat diperoleh menyatakan parti komponen BN seperti MIC dan MCA turut menyokong cadangan penubuhan IPCMC itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen BN yang prihatin dalam perkara itu perlu menyatakan sokongan supaya insiden kematian dalam lokap tidak berulang lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kematian yang berlaku dalam lokap dengan yang terakhir melibatkan mangsa, N Dharmendran, 32.

“Ini kita bantah sekeras-kerasnya kerana berulang kali berlaku sudah dibantah sejak kes Kugan tetapi masih berterusan berlaku.

“Oleh demikian gesaan kita mengenai IPCMC diteruskan … Pada masa sama kita mahu Menteri Dalam Negeri jangan bagi alasan … Tetapi siasatan yang telus dan tindakan segera untuk menghentikan segala bentuk jenayah terhadap orang yang dituduh,” ujarnya.

Dharmendran ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur apabila beliau hadir membuat laporan tetang kejadian tembak-menembak di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.

Peguam keluarga mangsa, N Surendran mendakwa laporan bedah siasat pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, merumuskan bahawa Dharmendran mati selepas dipukul objek tumpul secara berterusan.