Oleh: HAFIZAN TAIB
PANTAI REMIS, 14 FEB: Pertandingan memancing Cabaran Pantai Remis 2016 berlangsung meriah hari ini dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negeri termasuk Singapura dan Brunei.
Program pembuka tirai anjuran Wakjali Event Management dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) ternyata berjaya menarik minat kaki pancing untuk turun beramai-ramai mencuba nasib.
Kemeriahan program dari awal pagi hingga tengah hari itu berikutan kalangan peserta datang secara berkumpulan selain disertai keluarga yang bertindak sebagai penyokong dan pembakar semangat.
Penganjur, Mat Zali Kasran, berkata acara seperti itu berjaya menarik minat ramai pemancing untuk datang menyertainya dan meningkatkan industri pelancongan domestik.
“Penyertaan diterima dari peserta tempatan dan luar Selangor seperti Pahang, Perak, Melaka, Johor, Sabah serta negeri lain termasuk Singapura dan Brunei.
“Kita mendapat kerjasama baik daripada MDKS dan program ini memberi kesan positif kepada penduduk tempatan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk chalet dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan beberapa pertandingan lagi bersama MDKS serta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor dan berharap ia boleh diperluaskan ke peringkat negeri.
-nR-