Categories
AGENSI SELANGOR

Angin Dewa rangkul emas pertandingan Teater

SHAH ALAM, 27 JUL: Produksi Angin Dewa berjaya merangkul emas pada Pertandingan Teater Peringkat Sekolah Menengah Negeri Selangor 2019 di Black Box@SACC Mall di sini, Rabu lalu.

Pasukan terbabit mengungguli pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerusi persembahan mengagumkan seterusnya layak mewakili Selangor ke Terengganu bagi pertandingan peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, enam pasukan terdiri daripada 130 pelajar Sekolah Menengah di sekitar Selangor bertanding bagi merebut gelaran anugerah utama itu.

“Pertandingan ini membantu memperkasa bahasa kebangsaan selain berkomunikasi dengan lebih baik.

“Ini adalah salah satu daripada kaedah pembelajaran menyeronokkan dengan suntikan elemen teater bagi mempamerkan unsur nilai murni dan memberikan pengajaran dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain menggondol gelaran utama, Angin Dewa turut mengungguli beberapa kategori lain antaranya Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Watak Subash), Pengarah Terbaik termasuk dua kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Mahadi dan Mahani.

Mengulas penganjurannya, Syahril berkata, pendidikan dan kebudayaan adalah salah satu daripada cabang dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang menjadi faktor utama PREC mengalukan program kerjasama bersama pihak universiti, sekolah serta badan-badan NGO berkaitan.

“Sinerji yang terjalin antara PREC dan JPNS ini dapat mewujudkan suasana kondusif dalam meningkatkan pencapaian serta kejayaan dalam pendidikan serta hal berkaitan pembangunan negara seperti kesihatan juga kebajikan selain membentuk modal insan berkualiti dalam kalangan peserta,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Kokurikulum JPNS, Sazali Baharudin menyifatkan keberanian ditonjolkan pelajar tidak mungkin ada pada pelajar lain.

Katanya, pembabitan pelajar pada pertandingan itu akan menyumbang 10 peratus markah dalam sijil kokurikulum sebelum mereka menyambung pelajaran ke menara gading.

“Dahulu, program kami dilakukan di sekolah dan hanya pihak sekolah serta pelajar selain ibu bapa sahaja yang celik dengan program ini, namun kini kami amat berterima kasih kepada PREC atas tawaran diberikan untuk bekerjasama dengan memberikan ruang, Black Box@SACC Mall sebagai pentas teater pelajar menonjolkan bakat untuk tontonan awam,” katanya.