Categories
RENCANA WAWANCARA

Pertanian digital ubah landskap pertanian negara

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Andai ada yang masih menganggap pertanian sekadar ‘pekerjaan’ ketinggalan zaman, bermandi peluh, kotor dan meletihkan, sudah tiba masanya anda mengubah pemikiran tersebut terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Lewat dekad ini, pelbagai usaha dipergiatkan untuk memodenkan sektor pertanian di negara ini termasuk kaedah fertigasi, akuakultur’dan drone.

Terkini, penggunaan teknologi digital seperti Internet of Things (IoT), Big Data Analytics (BDA) dan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) mula diguna secara meluas di ladang-ladang pertanian.

Malah, ledakan teknologi dalam sektor pertanian mendorong bekas wartawan Fuad Hadinata Yaacob, 42, untuk ‘kembali berbudi pada tanah’ sejak pertengahan tahun ini.

Masih ‘bertatih’ dalam bidang pertanian digital, beliau kini gigih mengikuti latihan di Makmal Penggunaan Teknologi Digital dalam pertanian di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor sejak awal November lepas.

Seusai latihan, beliau merancang untuk membuka ladang cili di kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka sekitar tahun 2021.

Kembali berbudi pada tanah

Dalam wawancara dengan Bernama, Fuad Hadinata berkata ramai daripada mereka yang kehilangan pekerjaan, antaranya dalam industri penerbangan, media, perkhidmatan dan katering, mengambil langkah proaktif dengan beralih ke bidang pertanian pintar.

“Ada yang pulang ke kampung untuk mengusahakan tanah yang dulunya terbiar dan pada masa yang sama, mereka boleh menjaga ibu bapa mereka.

“Bagi saya, golongan ini mempunyai banyak kelebihan seperti sudah ‘celik teknologi’, masih bertenaga dan ada tanah. Tinggal untuk diusahakan sahaja,” katanya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk memastikan sistem pertanian pintar berjaya sekali gus mencapai objektif, pihak bertanggungjawab perlu memastikan kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya mempunyai liputan internet yang baik.

Fuad Hadinata, berkata, masih terdapat kawasan yang mempunyai masalah capaian internet kurang memuaskan dari aspek kelajuan, jarak liputan, serta kestabilan capaian walaupun berada di kawasan kampung atau pinggir bandar yang dibangunkan.

“Gangguan tersebut akan menyukarkan masyarakat di sesebuah kawasan untuk membangunkan pertanian pintar terutama IoT yang secara dasarnya sangat efisien, mudah serta membawa pulangan hasil yang membanggakan.

“Semua pihak sama ada yang terbabit dalam bidang pertanian, telekomunikasi serta pembangun aplikasi perlu bekerjasama kerana ia bukan saja dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah tetapi juga mengurangkan jumlah import produk pertanian, ” tambahnya.

Menurut beliau lagi, secara tidak langsung, ini akan membantu mengawal harga produk barangan mentah di pasaran.

Beliau turut menyeru agensi berkaitan supaya terus membantu petani muda khususnya yang baru terbabit dalam pertanian pintar supaya mereka terus kekal dalam bidang berkenaan.

Pandangan tersebut turut dipersetujui Pengarah Pembangunan Ekosistem Data (Data Ecosystem Development), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Dr Karl Ng.

Beliau berkata, ‘suntikan’ elemen teknologi digital terutama kaedah pertanian pintar atau smart farming kini semakin berjaya dilaksanakan.

Dr Ng menjelaskan, penerapan kaedah pertanian pintar ini bertitik-tolak daripada sesi lawatan MDEC ke pelbagai tapak tanaman di seluruh negara untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam dan telus berkenaan pelbagai isu yang dihadapi oleh golongan petani.

“Hasil perbincangan yang proaktif, MDEC mendapati isu yang dihadapi oleh golongan petani di negara kita seperti kos, pemantauan, kecuaian, dan tenaga kerja sememangnya boleh ditangani melalui penggunaan teknologi digital. Maka terhasillah inisiatif Digital Agtech oleh MDEC dan mula diadaptasi ke ladang terpilih pada bulan Oktober 2017,” katanya.

Digital Agtech rintis pertanian digital

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Digital Agtech, Ng berkata, ia menjadi projek perintis pertanian secara digital oleh MDEC yang bermatlamatkan menggalakkan golongan petani atau sesiapa sahaja yang berminat untuk memanfaatkan penggunaan teknologi digital terkini iaitu IoT, BDA dan AI dalam sektor pertanian.

Menerusi penggunaan teknologi digital yang pengawalannya hanya dihujung jari dengan menggunakan gajet semudah telefon pintar, ia dilihat mampu untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan kualiti pertanian secara keseluruhan.

Ia juga dapat mengurangkan kos operasi penanaman yang secara langsungnya turut meningkatkan pendapatan golongan petani.

Ng menjelaskan selanjutnya, fasa pertama projek perintis Digital Agtech dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Bukit Changgang Banting, Selangor pada tahun 2017 dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK Langat) menerusi penanaman cili menggunakan sistem sensor fertigasi pintar.

Bertitik tolak dengan kejayaan penerapan teknologi digital di PPK Langat tersebut, inisiatif Digital Agtech diperkembangkan ke Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor dengan penubuhan makmal pertanian pintar.

Menurut beliau lagi, projek Digital Agtech di Kampung Sijangkang merupakan antara penanda aras kepada kejayaan penerapan teknologi digital IoT ke dalam proses penanaman cili.

“Ia menggunakan sistem sensor fertigasi pintar bagi memantau, mengawal penggunaan air dan baja serta dapat meminimumkan kos pertanian dengan analisis data secara ‘real-time’.

“Memasuki tahun ketiga, antara impak positif yang diperoleh daripada projek perintis Digital Agtech di Kampung Sijangkang adalah peningkatan hasil dan kualiti hasil tanaman sebanyak 22 peratus, pendapatan petani keseluruhan meningkat sebanyak 33 peratus serta pengurangkan kos keseluruhan operasi perladangan sebanyak 30 peratus,” jelasnya.

Hasil yang positif itu membuatkan MDEC yakin inisiatif Digital Agtech tersebut akan menggalakkan lebih ramai golongan petani dan juga sesiapa sahaja yang berminat untuk berkecimpung dalam sektor pertanian secara digital.

Beliau berkata, ini adalah peluang yang baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka, terutama ketika penularan wabak Covid-19 masih melanda negara ini.

Latih lebih ramai petani berteknologi

Tidak terhenti begitu sahaja, MDEC melebarkan sayap dalam pertanian berlandaskan teknologi digital dengan mewujudkan beberapa Digital Labs yang kini beroperasi di tiga lokasi iaitu di Teluk Mengkuang dan Desa Sijangkang di Banting, Selangor serta Sungai Lumut, Kuching, Sarawak.

Ng menjelaskan, inisiatif mewujudkan Digital Labs yang berkonsep ladang satelit berteraskan penggunaan teknologi digital dalam sektor pertanian ini penting bagi melatih petani sedia ada serta petani baru untuk meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, menggalakan lebih ramai rakyat, terutamanya golongan muda menceburi sektor pertanian serta meningkatkan pembangunan ekonomi digital negara.

“Sudah pastinya, kita tidak mahu teknologi digital yang dibangunkan melalui inisiatif pertanian pintar ini, terhenti setakat di ladang atau memanfaatkan orang tertentu sahaja.

“Dengan kewujudan Digital Labs, kita akan melatih lebih ramai petani yang berminat dengan penggunaan teknologi digital dalam sektor pertanian dan berbekalkan pengetahuan dalam teknologi digital ini, lebih ramai rakyat akan lebih cenderung untuk menceburi kaedah pertanian pintar di seluruh negara,” katanya.

Ini terbukti apabila sepanjang tahun 2019 (Jan-Dis), tiga Digital Labs tersebut yang diwujudkan sebagai hasil kerjasama di antara MDEC, PPK Kuala Langat dan rakan-rakan teknologi tempatan, berjaya melatih hampir 600 petani di seluruh Malaysia.

Bagi memastikan Digital Labs mencapai sasaran 3,000 petani digital yang terlatih, MDEC kini giat memperluaskan program perintis Digital Labs ke kawasan pertanian lain di beberapa negeri dan berharap menjelang 2025, sasaran tersebut dapat dicapai.

Bajet 2021 pacu pertanian digital

Kesungguhan kerajaan memperkukuhkan sektor pertanian untuk meningkatkan keperluan makanan negara dengan mempelbagaikan kaedah termasuk teknologi yang hangat diperkatakan termasuk IoT dizahirkan menerusi Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas.

Dalam pengumuman tersebut beliau mengumumkan sebanyak tujuh inisiatif utama sektor pertanian bakal diperkenalkan untuk memperkasakan sektor itu yang menyumbang 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2019.

Ini termasuklah peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan Program Ladang e-Satelit, geran padanan sehingga RM 30,000 kepada setiap PPK yang akan memanfaatkan lebih 300 PPK di seluruh negara dengan hampir 1 juta petani dan peladang untuk pembelian peralatan pertanian berasaskan ‘Internet of Things’ (IoT) dan sebagainya.

Justeru, MDEC berharap peruntukan tersebut akan memacu dan memperluaskan pelaksanaan projek perintis pertanian secara digital untuk pertanian lain seperti akuakultur, sayuran hijau, penternakan ayam, nenas serta kelapa sawit, sekaligus memastikan penggunaan teknologi digital dalam sektor pertanian dapat memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

“Ini adalah selaras dengan hasrat dan aspirasi MDEC untuk mengubah pertanian secara tradisional kepada lebih banyak peluang pekerjaan digital ekonomi dalam sektor pertanian moden terutama saat negara berdepan pandemik Covid-19 melalui inisiatif Digital Agtech.

“Sudah terbukti pertanian secata digital dapat menjana pendapatan tinggi dan memperkukuhkan ekonomi negara melalui peningkatan hasil pengeluaran penanaman. Sudah pasti ini juga dapat mengurangkan import hasil makanan negara, yang didorong oleh analisis data real-time serta teknologi digital terkini,” jelas Ng.

– BERNAMA