Categories
AGENDA NASIONAL

Dron bantu tingkat hasil, tambah pendapatan petani

SHAH ALAM, 15 DIS: Penggunaan dron dalam pertanian dapat meningkatkan produktiviti sekali gus menambah pendapatan petani, kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata teknologi itu perlu diperluas dengan kaedah holistik termasuk mengadakan program khusus atau kursus pendek bagi mengendalikannya.

“Apabila teknologi dron digunakan dalam sektor pertanian iaitu melibatkan racun serangga, pengairan dan pembajaan, ia dapat menjana pendapatan golongan petani dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau bercakap pada program Table Talk yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Penggunaan dron dalam sektor tanaman padi mula diteroka beberapa negeri termasuk Selangor berikutan mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga 10 peratus.

Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang November lalu memperuntuk RM2.34 bilion bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.

Antara inisiatif diumum ialah menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan utama dengan pelaburan bernilai RM1.08 juta untuk membangunkan industri hiliran sektor itu.

Turut diumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sektor pertanian pacu hasil baharu negeri, kerja gaji lumayan

SHAH ALAM, 11 DIS: Penekanan kepada sektor pertanian dalam Belanjawan Selangor 2022 mampu mewujudkan hasil baharu dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada masyarakat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor berkenaan mempunyai peluang besar diterokai berdasarkan nilai dagangan negara dalam bidang itu yang meningkat sejak 90-an dan kini mencatat RM22 bilion.

Menurutnya, jurang itu memberi peluang kepada Selangor yang dijelmakan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Selangor 2022 antaranya menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan serta pemodenan industri pertanian.

“Pertanian masa kini harus berteraskan teknologi yang mampu meningkatkan pengeluaran, contohnya menerusi penggunaan dron untuk menyembur racun atau pengaliran..maksudnya lebih cekap maka hasil petani dan kerajaan bertambah.

“Sektor lain juga bakal menerima tempiasnya seperti penyelenggaraan jentera, kitaran ini akan mewujudkan peluang kerja berpendapatan tinggi,” katanya pada program Table Talk disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan utama di negeri Selangor.

Beberapa inisiatif baharu dilaksanakan bagi membangunkan daerah itu secara terancang antaranya membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan yang membabitkan pelaburan RM500 juta.

Amirudin turut mengumumkan pembangunan projek hab sekuriti makanan berteknologi tinggi Selangor Smart Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri, Sabak Bernam yang bermula suku pertama tahun depan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri permit khas benarkan guna tanah pertanian

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri memperkenal Program Permit Khas yang membenarkan tanah pertanian diguna untuk kegiatan lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut mewujudkan Permit Khas Kediaman Selain Daripada Tujuan Kediaman atau Perniagaan.

“Penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan perancangan bandar oleh Kerajaan Negeri teratur dan tersusun selain kesaksamaan untuk semua pengusaha syarikat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata pemutihan kilang tanpa kebenaran yang tamat hujung tahun lalu membantu pungutan hasil sebanyak RM76 juta setakat Julai tahun ini.

“Sehingga Disember 2022 sebanyak 4,728 lot serta 5,755 kilang dibanci. Daripada jumlah itu 367 lot kemukakan permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri tumpu tujuh baka hasilkan tanaman berkualiti

BANTING, 26 OKT: Sektor pembakaan dan pembenihan tujuh jenis tanaman antara tumpuan Kerajaan Selangor bagi mendapat hasil berkualiti tinggi, kata EXCO industri asas tani.

Tanaman meliputi tembikai, jagung manis, padi putih, padi wangi, timun, betik dan kubis yang diusahakan bersama syarikat penyelidikan benih tempatan pertama negara, jelas Ir Izham Hashim.

“Kita dapati benih menjadi menyumbang sebahagian daripada kejayaan dalam pertanian. Kita memiliki tanah premium jadi kita mahu dapat pulangan berbaloi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan pertanian bernilai RM45,000 kepada sembilan kebun komuniti di Kuala Langat dan Sepang hari ini.

Pakej Kita Selangor 2.0 pada Jun memperuntuk lebih RM13 juta bagi pelaksanaan jaminan bekalan makanan (RM10 juta), Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Inisiatif itu bagi merancakkan sektor pertanian agromakanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fama catat hasil jualan RM122 juta bagi tempoh kurang dua bulan

JOHOR BAHRU, 24 OKT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan hasil jualan sebanyak RM122 juta menerusi rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 1 Sept hingga 18 Okt lalu.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Bidin Yang Razali berkata 368 rangkaian outlet yang mula dibuka di seluruh negara memberi manfaat kepada lebih 12,131 usahawan dan 2.26 juta pelanggan untuk mendapatkan produk agromakanan yang ditawarkan.

Katanya pembukaan rangkaian outlet dengan mengadaptasi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu menunjukkan satu indikator positif berikutan jumlah dan hasil keuntungan yang dicapai melebihi daripada sasaran awal ditetapkan FAMA.

Pembukaan semula rangkaian outlet FAMA merangkumi 35 pasar tani kekal, 266 pasar tani, 19 medan gerai buah-buahan segar, lima Agrobazaaar R&R serta lima pasar tamu.

“Pada mulanya, kita menyasarkan untuk membuka sebanyak 241 outlet namun, sehingga 18 Oktober, kita telah membuka 368 outlet.

“Dari segi jumlah usahawan, kita menyasarkan sebanyak 6,000 usahawan dan itu (sasaran) sehingga Disember tetapi setakat Isnin lepas, lebih 12,000 usahawan telah menjalankan perniagaan.

“Dari segi nilai jualan pula, kita menyasarkan sebanyak RM200 juta sehingga 31 Disember ini, namun sehingga kini nilai jualan yang telah dijana oleh usahawan setakat Isnin lepas mencatatkan nilai jualan sebanyak RM122 juta.

“Oleh itu, menjelang akhir tahun nanti kita boleh mencapai lebih daripada yang disasarkan,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Terdahulu, satu sesi sidang video antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar telah diadakan di FAMA Negeri Johor.

Ronald turut menyampaikan sumbangan 2.5 tan metrik produk agromakanan menerusi MAFI Prihatin kepada enam buah rumah kebajikan masyarakat di sekitar Johor Bahru yang memberi manfaat kepada 350 penerima.

Sumbangan berkenaan turut disampaikan kepada 200 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menerusi MAFI Prihatin melalui FAMA, bagi tempoh Jun hingga 18 Okt, sebanyak 90 tan metrik makanan telah disalurkan melibatkan nilai RM330,000 telah diberikan kepada 40,000 penerima di 209 lokasi di seluruh negara.

Di Johor pula, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 3,480 individu di 14 lokasi di seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM35,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sasar 2,000 ekar ladang tani moden setahun, lahir usahawan muda

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membangunkan ladang pertanian moden seluas 2,000 ekar setahun sebagai salah satu usaha melahirkan usahawan tani muda.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata kaedah tersebut membolehkan petani dibimbing oleh pakar terlatih atau pemain industri yang telah berjaya sekaligus melahirkan kelompok usahawan tani baharu.

“Di Bukit Changgang kita sudah mulakan projek 30 ekar, di Sungai Air Tawar pula 120 ekar. Kita juga memulakan projek di Sungai Panjang menerusi program Smart Selangor Agro Park yang melibatkan kerjasama pemain besar industri.

“Jadi tanggungjawab syarikat-syarikat besar ini adalah untuk membimbing usahawan kecil dari segi pembangunan pertanian,” katanya dalam bual bicara bertajuk `Membangun negeri, menyambung merdeka’ menerusi platform Media Selangor malam tadi.

Izham turut meyakini kadar kejayaan program tersebut lebih tinggi berbanding konsep seseorang usahawan tani mengusahakannya sendiri tanpa dibimbing.

“Sebagai contoh `syarikat A’ ada kepakaran dalam menanam dan mengeksport pisang, jadi kita beri 100 ekar di mana 70 ekar syarikat itu akan buat sendiri manakala 30 ekar lagi kita agih kepada beberapa usahawan tani baharu.

“‘Syarikat besar ini bertanggungjawab membimbing mereka bermula kaedah benih, tanaman, pembajaan, kawalan serangga dan seterusnya membeli produk mereka untuk dieksport,” katanya.

“Kaedah baharu ini akan beri hasil berbanding kaedah lama iaitu beri duit, tanah dan mereka usahakan sendiri yang kadar kejayaannya rendah,” katanya.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Program itu akan menyediakan tanah, modal pusingan dan bimbingan bagi menarik peserta terbabit untuk menjadi usahawan tani

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Yan: Peruntukan RM1.1 juta baik pulih sawah musnah

ALOR SETAR, 28 OGOS: Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenonema kepala air, pada 18 Ogos lepas.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) peruntukkan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut, Isnin lepas.

“Peruntukan berjumlah RM495,000 (daripada RM1.1 juta) akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Sementara RM555,000 untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, putaran tanah sawah, meratakan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

Dalam pada itu, pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha memulih dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan.

Sementara itu, MAFI memaklumkan laporan keseluruhan kerosakan khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000 ekoran bencana itu.

Nilai itu meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.

— BERNAMA

 

Categories
AGENSI EXCO SELANGOR

Agro Prihatin Selangor tawar hasil tani berkualiti, harga murah

SHAH ALAM, 15 JULAI: Produk hasil tani dijual di Agro Prihatin Selangor menawarkan harga jauh lebih murah berbanding pasaran, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata menjadi fokus Kerajaan Negeri membantu golongan petani selain memastikan hasil pertanian mereka dipasarkan.

“Kita merangka dua perkara penting iaitu membantu petani yang saban hari membanting tulang dalam menyedia dan mengeluarkan produk pertanian.

“Selain hasil tersebut dipasarkan dan rakyat menikmati produk berkualiti, harga berpatutan yang jauh lebih murah dari pasaran,” katanya menerusi video Agro Prihatin Selangor di Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif kumpulan PKPS Dato’ Abd Ghariff Amin berkata terdapat empat jawatankuasa penting dalam melaksanakan program Agro Prihatin Selangor.

“Bermula daripada jawatankuasa aduan yang mana mereka akan menilai hasil komoditi kemudian pihak logistik akan ambil dan bawa ke Agro Prihatin untuk dijual.

“Satu lagi jawatankuasa penentu harga yang menentukan produk dijual pada harga ladang, borong atau runcit,” katanya yang tidak akan bebankan petani dengan menjual pada harga terlalu rendah.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi melaksanakan Program Agro Prihatin dengan membeli lambakan hasil tani dan menjual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di lokasi terpilih.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1.5 juta rancak sektor bekalan makanan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM1.5 juta untuk merancakkan sektor bekalan makanan yang terjejas akibat Covid-19, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani) dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini diharap meringankan beban golongan tersebut selain memberi galakan untuk mereka terus berusaha meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Kerajaan Negeri akan membantu golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan dan menyeluruh,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk membantu meringankan beban golongan tersebut.

Selain baucar petrol, barangan pertanian, makanan ternakan dan bahan mentah, sejumlah RM500,000 turut disalurkan untuk program bakul makanan kepada 7,000 individu dalam sektor tersebut.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: 325 petani terima Bantuan Agro Prihatin, ringankan beban

SHAH ALAM, 27 DIS: Seramai 325 petani dari tujuh daerah di negeri ini menerima Bantuan Agro Prihatin, kata EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani.

Menurut Ir Izham Hashim, sebanyak RM232,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi bantuan yang membabitkan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Petaling dan Klang itu.

“Agihan ini diberi kepada petani yang menghadapi kesukaran untuk melangsungkan aktiviti mereka susulan pandemik Covid-19.

“Semoga dengan bantuan yang diberikan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu Izham hadir ke Program Penyerahan Bantuan Agro Prihatin di Kompleks Pejabat Pertanian Daerah Kuala Selangor pada Khamis lalu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada 8 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai bantuan disalurkan kepada usahawan agro bagi memastikan kebajikan mereka terbela terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Bantuan meliputi peruntukan RM1.5 juta untuk petani, penternak, nelayan serta industri asas tani supaya keupayaan dan kapasiti bagi kelangsungan bekalan makanan dipertingkatkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 15 peratus belia ceburi sektor pertanian – timbalan menteri

LIPIS, 19 DIS: Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian di negara ini masih rendah iaitu hanya 240,000 orang atau 15 peratus daripada jumlah petani di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata antara faktor yang menyebabkan golongan muda tidak berminat dengan pertanian ialah persepsi sektor tersebut tidak mendatangkan pulangan lumayan.

“Perkara ini tidak benar kerana industri pertanian, penternakan dan perikanan boleh mendatangkan hasil memberangsangkan apabila dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dengan ilmu yang cukup.

“Untuk membetulkan tanggapan silap ini, kita mengadakan Jelajah Agropreneur Muda termasuk di Pahang bagi memberi penerangan termasuk bantuan yang ditawarkan kepada mereka yang serius menceburi sektor pertanian,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan hari ini, selain turut melawat tapak projek fertigasi sayur Kampung Sanglang, Penjom dan tapak projek tanaman nanas MD2 di Batu 13 Jalan Lipis/Benta.

Beliau berkata kementerian juga sentiasa membantu agropreneur muda dengan memberikan pelbagai bantuan bermanfaat, seperti di Pahang, sebanyak RM1.49 juta diperuntukkan tahun ini untuk membantu 77 orang agropreneur muda yang membuat permohonan.

“Setiap peserta diberi bantuan maksimum RM20,000 dalam bentuk barangan dan mereka yang ingin mengembangkan produk dibantu melalui pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sebanyak RM50,000 dan seterusnya pinjaman Agrobank sehingga RM200,000.

“Kita juga tidak hanya menawarkan bantuan kewangan, bahkan turut memberi nasihat cara pengurusan kebun dan perniagaan yang betul dengan matlamat hasil tanaman mereka berkualiti sehingga berjaya dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima geran agropreneur muda, Amerul Affendi, 35, yang mengusahakan ternakan kerbau di Kampung Kelibut, Temerloh dekat sini, berhasrat membaik pulih kandang ternakan dengan peruntukan yang diterimanya.

Beliau yang juga seorang pelakon dan pernah membintangi filem Polis Evo berkata ia berikutan bilangan kerbau miliknya yang mula diternak sejak empat tahun lepas semakin bertambah sehingga kandang sedia ada tidak mampu menempatkan semua 27 ekor ternakan tersebut.

“Buat masa ini, hanya tujuh ekor kerbau sahaja boleh ditempatkan dalam kandang dan dijangkakan, jumlahnya kerbau boleh meningkat kepada 50 ekor pada masa hadapan, menyebabkan saya perlu mempunyai kandang yang lebih besar dan kukuh.

“Penglibatan dalam bidang ternakan kerbau Alhamdulillah memberi pendapatan yang lebih stabil dan agak lumayan sekali gus membantu perbelanjaan bulanan kerana hasil kerjaya lakonan tidak menentu seperti makan gaji,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 405 hektar tanah dimaju, jamin bekalan makanan

SHAH ALAM, 10 NOV: Lebih 405 hektar (1,000 ekar) tanah milik Kerajaan Negeri dan anak syarikat bakal dimajukan untuk pertanian bermula tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut seiring sasaran Selangor menjadi pusat simpanan makanan negara pada masa depan selain mengurangkan kebergantungan bekalan import.

“Kita sudah kenal pasti lokasi yang boleh dibangunkan serta mempunyai potensi untuk menjadi tapak bekalan makanan, kita kena keluarkan makanan sendiri dan usaha ini akan secara berperingkat,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung langkah mengatasi tanah terbiar di Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 13 Julai Dato’ Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM50 juta diperuntuk bagi pelaksanaan Program Keselamatan Bekalan Makanan dengan menggariskan lima langkah utama.

Langkah tersebut ialah menambah kawasan pertanian, meningkat aktiviti pengeluaran, memperkasa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), meningkat insentif agropreneur dan melaksana kaedah pertanian moden.