Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

NGO digesa lebih kreatif laksana program cegah dadah

SHAH ALAM, 27 FEB: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah disaran lebih kreatif dengan mempelbagaikan program pencegahan dan pemulihan.

Dato’ Menteri Besar berkata NGO juga perlu merangka modul baharu serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan program bagi mendidik remaja, terutama pelajar sekolah supaya menjauhi najis berkaitan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan memperkasa aktiviti kemasyarakatan.

“Kita semua mesti bersama-sama memperkukuhkan tekad dan azam kerana ini merupakan usaha untuk meningkatkan martabat agama serta bangsa sekali gus merealisasikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Anti Dadah Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis lalu.

Teks ucapan dibacakan Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor Daing Muhammad Reduan Bachok.

Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri mencegah penyalahgunaan dadah dizahirkan menerusi penubuhan Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK).

“Saya berharap Pemadam dan SPEAK Negeri Selangor akan terus menjadi organisasi yang mampu memberi contoh dan terus melakukan usaha ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima video pendidikan seks untuk remaja dapat empat juta tontonan

PETALING JAYA, 7 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform dalam talian pada tahun ini.

Timbalan menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata kerajaan percaya dengan penggunaan platform itu, ia dapat mendidik golongan muda, selain mendedahkan mereka cara yang betul untuk mendapatkan bantuan seandainya menjadi mangsa dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Kita akan bekerjasama dalam membangunkan kandungan bukan sahaja untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun, tetapi remaja juga.

“Perkara paling penting dalam penghasilan video seumpama ini ialah penyampaian maklumat serta bantuan kepada golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa atau memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-70 World Vision Malaysia di sini, hari ini.

Pada 24 Jun tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube sebagai usaha kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

Video berdurasi satu minit bagi setiap siri itu merupakan usaha kementerian dengan kerjasama NGO, Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube.

Yeoh menambah sehingga Disember lepas, kelima-lima video berkenaan telah mencecah empat juta tontonan.

Sementara itu, dalam ucapannya Yeoh menyatakan sokongannya terhadap misi World Vision dalam memastikan kanak-kanak dijaga, dilindungi, dididik dan mempunyai peluang untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

“Saya percaya jika semua orang bersatu dan menyokong antara satu sama lain, impian untuk membantu setiap kanak-kanak hidup dengan gembira menjadi realiti,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia Daniel Boey dan pendukung World Vision Malaysia; Deborah Henry, Owen Yap, Phoebe Yap dan Freda Liu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Parti Dayak Tidak Puas Hati Jawatan Menteri Dibolot Parti Taib Mahmud – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 16052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1.Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum telah menolak pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan dalam barisan baru Kabinet Persekutuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

2. Parti Keadilan Rakyat melahirkan kebimbangan diatas tindakan pihak berkuasa memanggil dua penganjur Black 505 Johor untuk disoal-siasat.

3. Sekurang-kurangnya 118 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili etnik India di Selangor berharap Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

 

?Household broadband pentration increases'

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ugutan MTPKL: JK BERSIH 3.0 Bersidang Malam Ini

SHAH ALAM 13 OGOS : Jawatankuasa Bersih akan membincangkan ugutan Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH.

Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk A Samad Said ketika dihubungi TVSelangor memberitahu satu mesyuarat akan diadakan malam ini.

“Asalnya kita hanya menganjurkan majlis berbuka puasa namun apabila perkara ini dibesar-besarkan maka kita akan berbincang lanjut mengenainya.

“Selepas perbincangan tersebut, saya yakin kita akan mencapai kata putus mengenai tindakan selanjutnya berhubung ugutan tersebut,” jelas beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dicapai akan diumumkan oleh Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga kelak.

Sebelum ini, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan ?Himpunan Janji BERSIH? sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini.

MTPKL bagaimanapun meminta gabungan NGO pimpinan Sasterawan Negara itu untuk menimbang semula cadangan mengadakan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran.

Categories
SELANGOR

Turun Harga Barang, Kawal Jenayah Antara Tuntutan FOMCA Dalam PRU13

PETALING JAYA 29 JUN : Penurunan harga barang, tingkat pengangkutan awam dan kawal kadar jenayah merupakan tiga isu utama yang dituntut pengguna, kata Datuk Marimuthu Nadason.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), berkata tuntutan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -12, 2008 hingga 2011 melalui kempen konsumer kebangsaan (3K).

Katanya, manifesto bagi PRU13 itu diwujudkan memandangkan pengundi juga merupakan golongan pengguna.

“Isu kenaikan harga barang merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia. Taraf hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat tertekan.

“Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pertanian bagi menstabilkan harga, ” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Selain itu, kerajaan harus memberikan komitmen yang serius untuk menambah baik pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.

“Kerajaan juga harus mencari jalan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini, ” katanya.

Manifesto tuntutan itu berdasarkan lapan hak pengguna antaranya hak mendapat keperluan asas, keselamatan, pilihan, maklumat, bersuara, ganti rugi, pendidikan pengguna dan alam sekitar yang sihat.

Ia dilancarkan sempena PRU13 akan datang dan merupakan pertama kali dilancarkan sebelum pilihan raya.

“Manifesto ini bagi mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada parti politik yang akan bertanding pada PRU13 tentang isu-isu kepenggunaan.

“Pihak kami tidak kisah siapa yang memenangi PRU13 nanti, apa yang kami mahu hanya sebuah kerajaan yang boleh melindungi kami dengan baik.

“Kami mahu kerajaan mengambil serius apa yang dituntut ini. Kami harap perkara ini dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya membahaskan isu politik sahaja, ” katanya.

Marimuthu menambah Fomca turut mencadangkan agar pengawalseliaan perlindungan pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri(JPM) bukannya di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pihak Fomca berasa terkilan kerana setiap kali ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru, mereka diberikan peruntukkan khas tetapi tidak bagi kami.

“Di Singapura, kerajaan mereka memberikan peruntukkan khas kepada persatuan pengguna. Fomca tidak seperti NGO lain yang hanya membincangkan isu asas sahaja, ” katanya.

Justeru, jika di bawah JPM, Fomca dapat memberi lebih pendekatan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pengguna.

Manifesto tuntutan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Kami juga sudah menghantar ke semua parti pembangkang dan akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, parti terlibat juga diharap membuat perancangan untuk melaksanakan dasar dan program berkaitan isu tersebut apabila berjaya membentuk kerajaan.