Categories
SELANGOR

GGF2 lapor SPRM skandal kondominium Bukit Cherakah

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 28 MEI: Pertubuhan Gerak Generasi Dua Kampung Felda Bukit Cherakah (GGF2) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal cadangan pembinaan kondominium di Bukit Cherakah.

Pengerusi GGF2, Faizal Rahman berkata, isu itu berlarutan daripada pengagihan lot tanah yang tidak telus melibatkan pimpinan Umno di situ.

“Kita percaya akibat daripada pengagihan tidak telus ini menyebabkan wujudnya pembinaan kondominium mewah di Bukit Cherakah, setakat ini GGF2 difahamkan ia masih lagi di peringkat pelan perancangan, namun sudahpun ditolak Kerajaan Selangor.

“Tetapi melalui sumber yang kami terima, dipercayai ada tangan ghaib tetap mahu projek kondominium ini dilaksanakan, oleh sebab itu GGF2 membuat laporan kepada SPRM supaya individu ini tidak terlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pagi tadi.

Faizal memberitahu terdapat empat nama turut dilaporkan kepada pihak SPRM iaitu Ketua Umno Cawangan Bukit Cherakah, Koperasi Felda Bukit Cherakah dan Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah.

Katanya, GGF2 pada awal Januari berjaya mengesan skandal melibatkan pimpinan UMNO mengagihkan lot tanah secara tidak adil.

“Projek tersebut melibatkan 32 ekar tanah di Bukit Cherakah dengan nilai anggaran RM300,000 satu lot tanah bagi nilai semasa, dan pihak kami yakin sekiranya projek ini berjaya diteruskan, mungkin nilainya akan semakin meningkat.

“Melalui pelan diluluskan pada 2013, tidak langsung menyebut pembinaan kondominium akan dibuat di situ, asalnya tanah di situ hanya digunakan untuk pembinaan kampung moden di Bukit Cherakah.

“Kemudiannya ia dibatalkan Kerajaan Negeri, namun GGF2 hairan berikutan salah seorang pegawai daerah berusaha untuk memastikan projek tersebut tetap berjaya, atas dasar ragu-ragu itu, kami mahu SPRM siasat skandal kondominium ini dengan kadar segera,” katanya.