Categories
SELANGOR

Pimpinan bukan Islam kutuk kezaliman regim tentera Mesir

mesir

SHAH ALAM 15 OGOS: Pemimpin bukan Islam hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan regim tentera Mesir terhadap rakyat mereka dan mendesak kezaliman itu dihenti segera.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, berkata tragedi itu suatu perbuatan yang membelakangkan proses demokrasi melalui pilihan raya selepas kejatuhan rejim Mubarak.

“Kita desak kerajaan tentera Mesir mengembalikan pemerintahan negara kepada masyarakat awam pada kadar segera,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Naib Presiden PKR itu, berkata rejim Mesir perlu menarik balik perintah darurat dan membebaskan Dr Mohamad Mursi dan pengikutnya dari tahanan tidak sah.

“Tentera dan polis yang terlibat dalam tragedi pembunuhan rakyat Mesir perlu dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, pula berkata kerajaan Malaysia perlu aktif dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi mendesak kerajaan Mesir menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat.

“Tragedi itu suatu penindasan dan tindakan zalim. Proses perdamaian perlu dilaksanakan di Mesir agar rakyat hidup aman,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Sementara itu, Adun kampung Tunku, Lau Weng San berkata, tindakan tentera Mesir yang membunuh rakyatnya harus dikutuk sekeras-kerasnya.

“Kita mengecam keras tindakan kejam tentera Mesir yang menyerang rakyat biasa yang berhimpun aman itu,” kata pemimpin DAP itu, dipetik dari twitternya.

Semalam Kerajaan Mesir mengumumkan darurat selama sebulan dan perintah berkurung kepada rakyat negara itu.

Laporan tidak rasmi menyebut, hampir 3,000 terkorban dan lebih 10,000 orang cedera termasuk dari kanak-kanak, ibu dan wanita.

– FZL

Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Proaktif Bantu Umat Islam Di Myanmar

KUALA LUMPUR, 16 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kemanusian yang berlaku kepada umat Islam di Myanmar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam masa yang sama Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina.

Sebelum ini, Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di Manila bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

“Semoga segala perjanjian yang ditandatangani itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama pimpinan tertinggi PR di Parlimen.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh berperanan dalam membantu masalah di Filipina maka ia bukan masalah untuk mengambil pendekatan sama terhadap penyelesaian umat Islam di Myanmar yang terlibat dalam persengketaan konflik untuk diselesaikan secara aman.

“Kita mahu juga diberi perhatian masalah di Selatan Thailand untuk diadakan perdamaian,” katanya.

Abdul Hadi juga mendesak agar kerajaan memainkan peranan dan fungsinya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membela nasib umat Islam di sana.