Categories
AGENDA NASIONAL

Silat terima pengiktirafan UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan oleh badan dunia itu yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi- Foto BERNAMA

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu sekali gus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ISESCO-KPM kukuh kerjasama perkasa bahasa Arab

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah merangka pelbagai program secara tahunan bagi memberi nafas baharu kepada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar di negara ini.

Pengarah ISESCO Malaysia, Dr Abdul Razif Zaini berkata, usaha ini adalah antara kerjasama strategik yang dijalin bagi memperkasa penguasaan bahasa Arab di setiap peringkat.

Katanya, kerjasama strategik yang memasuki tahun ketiga itu, memberi peluang kepada ISESCO melebarkan sayap kepakarannya bagi membantu KPM memastikan penguasaan bahasa ketiga itu dalam kalangan guru dan pelajar berada di tahap cemerlang.

“Setakat ini kami telah melakukan lebih 10 kajian bersama KPM dalam bidang bahasa Arab…natijahnya (keputusan) memberi petunjuk jelas bahawa terdapat kekurangan pada sistem pembelajaran dan pelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar yang perlu ditambah baik.

“Dalam hal ini, ISESCO dan KPM akan memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan ruang pemerkasaan bahasa Arab di kalangan mereka,” katanya kepada Bernama selepas menutup Bengkel Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab Abad Ke-21 di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Objektif bengkel dua hari anjuran ISESCO Malaysia dengan kerjasama KPM yang bermula semalam adalah bagi mengetengahkan amalan pengajaran bahasa Arab efektif di abad 21 dan mempersiapkan guru-guru dengan kemahiran teknologi berdasarkan peredaran zaman.

Bengkel itu disertai lebih 50 peserta terdiri daripada guru-guru dalam bidang pendidikan bahasa Arab dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Razif berkata melalui kerjasama ini juga, ISESCO berpeluang menghantar 75 guru KPM mendalami bahasa Arab di Maghribi selama 45 hari bagi memantapkan kemahiran komunikasi dan memahami budaya Arab dengan lebih dekat.

“Program ini memberi pendedahan efektif kepada guru secara langsung dengan mendalami budaya Arab. Pendedahan menerusi budaya mampu menjadikan penguasaan bahasa dengan lebih cepat,” katanya.

Selain kerjasama dengan KPM, Razif berkata ISESCO turut memperluaskan rangkaian strategiknya ke peringkat Asia Tenggara.

“Kami juga mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Ahmad Dahlan Jakarta, Indonesia dan Universiti Kebangsaan Vietnam di Ho Chi Minh City bagi memperluaskan peranan kami dalam bidang bahasa Arab,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pengantarabangsaan KPM, Zulkefli Hamat berkata pihaknya mempunyai matlamat yang sama dengan ISESCO dalam memperkasakan bahasa Arab di Malaysia.

Beliau berkata pakar ISESCO sentiasa mencadangkan pelbagai penambahbaikan bagi sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif kepada KPM.

“Kami sentiasa menerima maklum balas positif daripada pihak guru dan pelajar untuk terus mengadakan program bahasa Arab di bawah anjuran ISESCO.

“Mereka (guru) sentiasa mahu melakukan perubahan dan penambaikan dalam penyampaian kepada murid-murid, khususnya dalam bidang bahasa Arab,”katanya.

Zulkefli berkata ISESCO juga berjaya menarik minat pelajar bukan Islam untuk menguasai bahasa Arab.

Katanya terdapat beberapa pelajar India turut menyertai pertandingan bahasa Arab anjuran ISESCO dan mereka fasih berbahasa Arab.

Pusat Pendidikan Pertubuhan ISESCO cawangan Malaysia ditubuhkan pada 22 Okt 2015 dan merupakan satu daripada organisasi yang bernaung di bawah ISESCO yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.

Selain Malaysia, negara lain yang menganggotai pertubuhan itu ialah Brunei, Myanmar, China, Taiwan, Laos, Singapura, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.

Pertubuhan ISESCO Malaysia juga telah menganjurkan banyak program dan aktiviti tahunan antaranya seminar, bengkel, siri wacana akademik, penyelidikan dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Selain itu, pertubuhan tersebut turut mengadakan pameran dan pertandingan bahasa Arab di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi, sambutan hari bahasa Arab sedunia, dan penubuhan perpustakaan khas ISESCO di Malaysia. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

UNESCO anugerah PJ ‘bandar raya pembelajaran’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menobatkan Petaling Jaya antara 10 bandar raya di dunia untuk Anugerah Bandaraya Pembelajaran 2019.

Berdasarkan kenyataan web rasmi UNESCO, kejayaan Petaling Jaya berikutan pencapaian cemerlang dan prestasi ditempa bandar raya itu dalam sektor pendidikan.

“Kajian itu berdasarkan daripada Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), yang menyifatkan rancangan Petaling Jaya menaik taraf pendidikan awam dan mampu menyediakan bas percuma adalah satu perkara terbaik.

“Malah, bandar raya itu (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik,” katanya dalam kenyataan melalui – http://uil.unesco.org

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar raya lain diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

UNESCO berkata, kejayaan 10 bandar raya berkenaan mampu memberi keyakinan bagi mempromosikan pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di peringkat tempatan.

“Walaupun masing-masing bermula daripada pelbagai konteks ekonomi, politik, sosial dan alam sekitar, semua pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran UNESCO 2019 mempunyai kriteria tertentu.

“Ia merangkumi inisiatif inovasi dan dasar khusus, selain pelbagai program yang menyediakan rangkaian peluang demi manfaat komuniti setempat,” katanya.

Untuk makluman, anugerah berkenaan akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019 di Medellin, Columbia.