Categories
AGENDA NASIONAL

Perubahan iklim: JPS nilai risiko banjir 36 sungai utama, naik taraf siren amaran

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penilaian risiko bencana banjir merangkumi 36 lembangan sungai utama di seluruh negara telah siap dibangunkan.

“Bagi kawasan Lembah Klang, peta hazard banjir bagi enam lembangan sungai telah siap dibangunkan manakala peta risiko banjir melibatkan lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanyakan berkenaan kajian kerajaan mengenai kemungkinan perubahan iklim drastik dengan bencana alam yang dijangka lebih kerap serta tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana negara.

Tuan Ibrahim berkata JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa menyegerakan, menyelenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran awal di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MetMalaysia sedang memasang lapan sistem radar baharu untuk tambahan di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 sistem radar sedia ada dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Selain itu, JPS turut melaksanakan program ramalan dan amaran banjir yang bertujuan memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam.

“Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat, ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari disediakan bagi lokasi-lokasi dijangka banjir,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, sistem itu beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus manakala sistem amaran di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negeri-negeri lain di seluruh negara sedang dinaik taraf.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN RENCANA WAWANCARA

Pakar: Sedia perubahan iklim, Putrajaya harus bantu negeri

SHAH ALAM, 9 MAC: Benarkah banjir teruk di Selangor dan Pahang akibat taburan hujan luar biasa di Banjaran Titiwangsa? Apakah amaran hujan lebat sudah dikeluarkan?

Untuk mengelak banjir besar berulang, apakah tindakan yang harus diambil oleh Putrajaya? Wajarkah kerajaan melabur berbilion-bilion ringgit untuk membina terowong banjir di bawah tanah?

Ada orang mendakwa taufan di Filipina menyebabkan hujan lebat ke Selangor dan negeri Pantai Barat pada Disember lalu. Apakah benar taufan Rai puncanya?

Selain bersetuju dengan langkah Selangor menangani perubahan iklim, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah mengulas isu-isu menarik ini kepada wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK pada 1 Mac.


Boleh Datuk huraikan sistem tekanan rendah di Banjaran Titiwangsa yang menyebabkan hujan lebat hingga banyak kawasan terjejas teruk dilanda banjir termasuk Selangor?

Dalam membuat ramalan, saya menggunakan pelbagai sumber ada termasuk disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui paras sungai. Saya juga guna sumber luar seperti laman sesawang Earth Nullschool yang mengumpul data daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan Sistem Ramalan Sejagat (GFS).

Sumber-sumber ini membantu dalam kami membuat ramalan cuaca dan ia boleh disebarkan kepada umum supaya mereka mengambil langkah sewajarnya sesuai dengan situasi semasa.

Data tekanan rendah ini dikesan di Laut China Selatan pada 15 Disember 2021, dibawa angin dari China dan mula memasuki Semenanjung Malaysia menerusi Banjaran Titiwangsa pada keesokan harinya, seawal jam 10 pagi yang secara perlahan-lahan meliputi kawasan luas.

Tekanan dibawa luruan udara sejuk atau monsun, yang bertembung angin kencang selaju 30 hingga 40 km sejam, turut membawa kelembapan yang boleh menyebabkan taburan hujan tinggi untuk jangka panjang dan inilah yang dibawa ke Banjaran Titiwangsa.

Mulanya kami meramal pergerakannya ke Pantai Timur tetapi memasuki pertengahan Banjaran Titiwangsa (pada 16 Disember) disebabkan angin kencang. Jadi kawasan tanah tinggi itu terima hujan tinggi. Bayangkan dalam tiga jam sahaja, ia merekodkan 22 milimiter (mm) yang kemudiannya meningkat sehingga 110 mm.

Pastinya jumlah air di banjaran juga banyak apabila hujan berlarutan sehingga petang 19 Disember 2021. Apabila tidak dapat ditampung, ia mengalir dengan laju dan memasuki alur-alur sungai termasuk ke Selangor.

Penduduk setempat melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar pekan Yan yang terjejas akibat tragedi banjir susulan fenomena kepala air sekitar kawasan Gunung Jerai ketika tinjauan pada 20 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Ia juga membentuk fenomena kepala air besar seperti berlaku di Yan, Kedah yang alirannya turut membawa puing banjir seperti selut dan kayu. Ada rakan-rakan saya di Janda Baik, Pahang beritahu kejadian itu berlaku di tempat mereka.

Bestari Jaya (Kuala Selangor) dan Ulu Yam (Hulu Selangor) turut dinaiki air tetapi mungkin tidak terjejas teruk kerana ada kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas). Begitu juga di Bentong, Pahang. Sebab itu kita tengok keadaan di Telemong cukup teruk apabila kediaman penduduk dipenuhi banjir lumpur serta kayu.

Aliran air dari banjaran sampai ke Hulu Langat mungkin dalam satu jam sahaja, cukup deras dan bawa puing yang menghanyutkan rumah serta kereta penduduk berhampiran sungai.

Cuma saya juga berpendapat dalam tempoh itu, ada juga air dilepaskan dari empangan untuk mengelakkannya pecah dan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku. Sama seperti sekarang apabila banjir melanda Terengganu (hujung Februari), air di empangan Kenyir dilepaskan.


Adakah taufan Rai yang melanda Filipina pada waktu tersebut memberi kesan kepada tekanan rendah di Malaysia?

Sebenarnya ia mematikan luruan monsun apabila kedua-duanya bertembung. Ia menjadi antitaufan. Awalnya memang taufan Rai memberi momentum tambahan tetapi apabila masuk ke dalam, monsun menjadi lemah.

(Arah tiupan) taufan itu berlawan arus dengan Monsun Timur Laut pada 19 Disember. Sebab itu, hujan berhenti pada sebelah petang hari itu.


S: Adakah banjir seperti ini mudah diramal berbanding banjir kilat?

J: Ya, ia memang mudah (diramal) kerana sistem besar ini mempunyai resipi sendiri untuk terjadi. Sekiranya ada luruan udara, monsun dan tekanan rendah, pastinya taburan hujan tinggi. Kita boleh mengesannya menerusi permodelan serta melihat data ramalan.

Banjir kilat pula sukar diramal dan ia hanya berlaku untuk tempoh singkat. Kejadian pada 18 hingga 19 Disember lalu bukan banjir kilat tetapi banjir besar yang kesannya lebih teruk serta memerlukan air surut lebih lama.


Adakah fenomena pengaruh taufan pernah berlaku di Malaysia?

Kejadian ini sama seperti berlaku di Pulau Pinang pada 2017. Bencana itu hampir menjejaskan seluruh negeri itu. Saya kata senarionya sama kerana pusat taburan hujan berada di tempat lain tetapi kesannya teruk dirasai di kawasan lain.

Pada 2017, kajian kami mendapati tekanan rendah yang menjadi punca taburan hujan tinggi berada di Kuala Muda, Kedah tetapi tidak terjejas teruk kerana kawasan itu mempunyai bendang luas. Jadi air dilepaskan ke situ sahaja.

Berbeza dengan Pulau Pinang yang bentuk muka buminya berlembah dan bukan landai. Jadi air naik dengan cepat sehingga menenggelamkan banyak kawasan.

Beberapa kenderaan meredah banjir di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana pula punca banjir di kawasan lain di Selangor seperti Klang dan Shah Alam?

Taburan hujan tinggi dan air pasang besar. Walaupun air pasang besar tidak terlalu tinggi iaitu 4.6 meter tetapi apabila bertembung pula dengan hujan lebat pastinya air dari sungai dan darat tidak boleh mengalir ke laut.

Kalau ikut kajian kami, taburan hujan di Lembah Klang biasanya sekitar 2,000 mm setahun tetapi pada tiga hari bermula 17 Disember, taburan dicatat 300 mm. Boleh bayangkan bagaimana tinggi taburannya.

Sungai yang dalam sekalipun tidak mampu menampung, apatah lagi saliran-saliran kecil. Jadi banyak kawasan, rumah dan premis cepat dinaiki air.


Apakah pandangan Datuk mengenai langkah Kerajaan Selangor ingin mewujud jawatankuasa tetap perubahan iklim (yang dipikul EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian) susulan bencana banjir itu?

Bagus! Maksudnya, sudah ada kesedaran untuk menerima hakikat bahawa perubahan iklim telah menunjukkan bibit-bibitnya sekarang, bukan lagi dijangka 20 tahun akan datang.

Mulai dari sekarang, (kerajaan) harus buat perancangan apa perubahan boleh dilakukan, sektor mana perlu dilihat dan lokasi berpenduduk ramai yang berisiko terjejas. Boleh buat perancangan teliti untuk menghindar masalah pada masa depan.

Masalah bencana ini kita tidak boleh hindar kerana ia berlaku tanpa dirancang. Kita seharusnya merancang untuk berdepan dengan bencana. Lihat senario buruk yang boleh berlaku dan lihat juga aset yang perlu diselamatkan untuk elak kerugian lebih besar.


Bagaimana pula dari segi keanggotaan jawatankuasa?

Saya lebih senang kalau jawatankuasa itu menasihati golongan profesional berbanding ahli politik atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Maaf kata kerana PTD ini lebih berfungsi sebagai pengurus besar dan tidak mengetahui sepenuhnya. Contohnya apabila bercakap berkenaan banjir, ada yang tidak faham.

Bagi saya, perlu ada pakar. Kita ramai pegawai dalam JPS dan ahli akademik yang membuat kajian. Kita tidak buat keputusan yang mungkin disukai orang tetapi kita beri senario sebenarnya dengan telus.


Apakah bentuk pembangunan yang sesuai untuk negara pada masa depan bagi mengelak kerugian akibat bencana?

Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), bawah Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada meramalkan kebarangkalian cuaca ekstrem akan meningkat susulan pemanasan global pada masa ini. Kita lihat seluruh dunia terkesan.

Atas sebab itu, kerajaan dari sekarang harus bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya bencana alam seperti banjir bakal berulang pada masa depan. Kalau hendak buat projek mitigasi banjir, adakah kita hendak bina satu lagi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart)? Gabung dengan Horas? Atau buat kolam takungan seperti Taman Wetland Putrajaya?

Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600).

Pada 1971, Kuala Lumpur banjir besar yang menyebabkan kerugian. Masalah di Kuala Lumpur, mereka tiada bendang seperti Kedah untuk salurkan air bagi mengurangkan kesan. Jadi kerajaan rancang projek mitigasi babit pembinaan terowong Smart yang menelan berbilion ringgit (dibina mulai awal 2000-an).

Tetapi perbelanjaan itu perlu untuk melindungi aset dan ekonomi, jadi kerajaan harus melabur.

Dalam situasi di Selangor, saya minta kerajaan pusat melihat keperluan negeri itu kerana Selangor penyumbang utama ekonomi negara. Pelabuhan Klang yang terjejas akibat banjir tempoh hari penting kepada Malaysia untuk menarik pelabur.

Aset dan rakyat di Selangor perlu dijaga kerana sekali lagi bencana sebesar itu berlaku, kerugiannya pasti besar memandangkan kepadatan penduduk. Ruginya bukan sedikit tetapi beratus-ratus juta ringgit dan ribuan kereta ditenggelami air.


Ada dakwaan mengatakan sistem amaran di Malaysia lambat untuk disebar kepada orang ramai, apa komen Datuk?

MetMalaysia dan JPS mempunyai sistem amaran masing-masing kerana memantau aspek berasingan. Lazimnya kalau banjir di daerah, maka pegawai daerah harus menjadi ketua. Manakala di peringkat negeri pula, menteri besar atau ketua menteri dan perdana menteri pula bertanggungjawab di peringkat kebangsaan.

Pada kejadian (hujan dan banjir) 17 hingga 19 Disember 2021, bukan sahaja Selangor terjejas tetapi beberapa negeri antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi perkara ini bawah (tanggungjawab) kebangsaan. Masalahnya, pada tiga tarikh itu kawasan terjejas banyak di Pantai Barat, bukan Pantai Timur yang persediaan rapi sudah dilakukan.

Contohnya di Johor dahulu apabila banjir besar berlaku (hujung 2006 dan awal 2017), kajian kita dapati mereka tidak mampu mengendali pengurusan banjir kerana telah lama (Johor) tidak berdepan situasi itu. Jadi kurang kekerapan (banjir) itu menyumbang kepada ketidaksediaan.

Satu lagi kepadatan penduduk. Kita di Lembah Klang ada tujuh juta orang. Bukan mudah hendak menyelaraskan pengurusan sehingga menjadi cacamarba. Tuding-menuding dan salah-menyalah tidak seharusnya berlaku, sebaliknya cari cara selesai masalah.

Harus ambil iktibar banjir besar di Kuala Lumpur pada 1971. Mereka ambil langkah buat projek mitigasi banjir. Selangor juga harus ada kerana status sebagai penjana ekonomi negara.

Di Malaysia, kita tidak buat seperti di luar negara. Contohnya di Thailand, pihak berkuasa akan memastikan Bangkok tidak akan terjejas akibat banjir dengan melepaskan air ke kawasan pedalaman. Mereka akan pertahankan dan tidak mahu Bangkok tenggelam kerana ia pusat ekonomi.

Kena manfaatkan juga kolam dan tasik tinggalan perlombongan timah yang boleh menjadi takungan untuk melepaskan air dengan segera.


Adakah sebarang teknologi yang boleh diguna untuk memperbaik sistem ramalan cuaca dan amaran?

Sebenarnya selepas banjir besar 2014 (di Pantai Timur), kerajaan memang melaksanakan pelbagai langkah dengan memberi geran kepada universiti untuk buat kajian dan dana RM60 juta untuk tingkat sistem ramalan cuaca.

Komputer yang canggih ada di MetMalaysia. JPS juga giat pertingkat keselamatan sungai, simulasi dan permodelan.

Cuma saya rasa masalah sekarang adalah ketiadaan pengurusan memori (kemahiran pegawai) kerana struktur jabatan kita. Orang yang ada pengalaman dan kepakaran akan dipindahkan untuk kenaikan pangkat.

Contohnya, seorang pegawai berpengetahuan menguruskan banjir dan pernah dihantar kursus ke luar negara. Tetapi apabila naik pangkat, pegawai terbabit buat kerja lain pula. Kita di sini naik pangkat untuk jadi pentadbir, bukan profesional.

Jadi kepakaran itu hilang. Kelemahan ini kami kesan ketika mengkaji masalah pengurusan banjir pada 2014. Apabila kami tanya siapa pegawai yang mahir menguruskan banjir? Ada pegawai kata, dialah orangnya tetapi sudah naik pangkat menjadi timbalan pengarah.

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri lantik Hee Loy Sian terajui portfolio baharu perubahan iklim

SHAH ALAM, 27 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dua minggu lalu meluluskan portfolio baharu iaitu perubahan iklim yang diterajui Ahli Dewan Negeri Kajang, Hee Loy Sian.

Loy Sian berkata berikutan itu ia menjadikan jawatan yang disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

“Mereka minta perkataan itu (perubahan iklim) dimasukkan supaya mudah untuk berbincang mencari penyelesaian berhubung isu perubahan cuaca terutama membabitkan banjir,” katanya dalam temu bual bersama Selangor Journal.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa terdiri daripada individu berpengalaman dan pakar perubahan iklim termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

“Jawatankuasa ini bertujuan merangka strategi bagi mengenal pasti punca berlaku perubahan iklim dan bagaimana kita mahu mengurangkan pembebasan karbon di Selangor.

“Kita sudah kenal pasti beberapa calon dan masih dalam fasa perbincangan. Mereka memberi maklum balas yang baik dan sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menangani isu ini,” katanya.

Mengenai portfolio baharu itu, Loy Sian berkata tiada banyak perbezaan kerana beliau turut menyandang portfolio alam sekitar.

“Saya tidak rasa banyak perubahan kerana perubahan iklim juga di bawah alam sekitar, cuma sebelum ini kita tidak fokus kepada isu itu, kali ini perlu beri lebih penumpuan,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perubahan iklim beri kesan buruk terhadap kanak-kanak

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Mungkin banyak pihak tidak menyedari hakikat kanak-kanak juga turut terkesan dengan perubahan iklim serta kemerosotan alam sekitar.

Kajian yang dikendalikan dua universiti tempatan dengan kerjasama Unicef Malaysia baru-baru ini mendapati, kedua-dua fenomena alam itu mempunyai kesan buruk ke atas pertumbuhan, perkembangan serta kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

Ini kerana kanak-kanak mempunyai tahap toleransi yang lebih rendah terhadap risiko iklim dan alam sekitar. Apatah lagi kajian berkenaan turut mendapati kanak-kanak sering menjadi mangsa yang teruk terkesan apabila berlaku bencana yang ada kaitan dengan banjir, kemarau dan kebakaran hutan.

Meskipun menanggung impak teruk, “kanak-kanak secara konsisten tersisih dalam perencanaan proses dan dasar iklim.”

Unicef (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) baru-baru ini melancarkan indeks risiko iklim – Children Climate Risk Index – yang pertama kali memberi fokus kepada kanak-kanak dan menyenaraikan negara berdasarkan pendedahan kanak-kanak kepada kejutan iklim serta alam sekitar.

Malaysia berada di tangga ke-61 dalam senarai negara yang kurang memberi penekanan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada risiko perubahan iklim.

Seorang wanita membawa dua kanak-kanak meredah air banjir menggunakan tilam angin di Kampung Baru Bukit Mentok pada 8 Januari 2021. Foto: BERNAMA

Kesan ke atas komuniti terpinggir

Menyedari akan pentingnya menjaga kebajikan kanak-kanak daripada kesan perubahan iklim di Malaysia, Unicef Malaysia berganding bahu dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjalankan kajian mengenai “Impact of Climate Change on Children: A Malaysian Perspective” (ICCC) antara Mac 2020 hingga Mei 2021.

Laporan ICCC berkenaan dilancarkan di UKM pada 29 Oktober 2021 oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Hishamuddin Mohd Hashim, bagi pihak Timbalan Menteri, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Pakar Program Inovasi dan Kelestarian Unicef Malaysia, Issmail Nnafie, perubahan iklim memberi kesan ke atas kanak-kanak Malaysia dalam pelbagai cara, termasuk penyakit bawaan vektor, penyakit bawaan air dan penyakit pernafasan, yang berkait dengan perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar serta pencemaran.

Ianya juga mengakibatkan gangguan kepada akses mendapatkan pendidikan di samping kecederaan dan kematian berpunca daripada banjir dan taufan.

“Unicef akan terus berganding bahu dengan pihak kerajaan, akademik dan masyarakat bagi menangani isu kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim serta mewujudkan persekitaran yang mampan serta selamat untuk kanak-kanak dan golongan muda di Malaysia, ” katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran ICCC.

Ketua penyelidik Laporan ICCC, Prof Dr Mazrura Sahani pula berkata, salah satu hasil penemuan penting kajian mereka ialah kanak-kanak dalam masyarakat yang terpinggir adalah paling mudah terkesan dengan risiko iklim dan alam sekitar.

Kanak-kanak yang terpinggir itu termasuk daripada masyarakat Orang Asli, mereka yang tidak mempunyai dokumen sah serta miskin bandar.

Turut termasuk dalam kumpulan ini adalah kanak-kanak yang ditinggalkan, tidak didaftarkan semasa dilahirkan atau mempunyai kecacatan.

Dr Mazrura berkata, hasil kajian mereka diperolehi daripada tiga kajian kes dengan latar belakang geografi serta masyarakat yang berbeza.

“Kami memilih dan mengkaji kumpulan minoriti, berdokumen dan tanpa dokumen di Pulau Gaya, Sabah; Orang Asli Temiar yang tinggal di kawasan pergunungan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak; dan keluarga B40 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau lagi, di Pos Kuala Mu, pihaknya mendapati hanya 58 peratus kanak-kanak Orang Asli boleh pergi ke sekolah semasa berlaku keadaan cuaca melampau, yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat. Ini kerana pada masa kejadian, satu-satunya akses jalan terputus untuk ibu bapa Orang Asli yang menunggang motosikal untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Malahan, beliau menambah, kanak-kanak berkenaan adalah paling terus terkesan akibat perubahan cuaca kerana kemiskinan serta keadaan sosial serta ekonomi.

Ini ditambah dengan lokasi geografi, kesulitan memperolehi perkhidmatan penting seperti air dan sanitasi dan juga isu buta huruf.

Jurang tadbir urus

Dr Mazrura, yang juga profesor Kesihatan Awam dengan pengkhususan dalam Alam Sekitar dan Epidemiologi Pekerjaan di UKM berkata, Laporan ICCC juga mengetengahkan bukan semua aspek hak kanak-kanak dipertimbangkan secara saksama dalam rangka kerja tadbir urus Malaysia mengenai iklim dan alam sekitar.

Keadaan ini membuatkan sudah sampai masanya untuk semua pihak yang berkepentingan memberi keutamaan untuk bertindak.

“Masalah utama ialah kebanyakan dasar dan undang-undang yang dikaji untuk kajian ini wujud sebelum perubahan iklim menjadi isu global. Sebagai contoh, perubahan iklim tidak disebut secara khusus dalam Akta Tenaga Boleh DiPerbaharui 2011. Akibatnya, isi kandungan tidak selaras dengan ikrar Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, diharapkan Laporan ICCC ini akan membangkitkan seruan untuk campur tangan segera pembuat dasar serta pihak yang berpengaruh untuk mewujudkan dasar perubahan iklim dan alam sekitar yang peka dengan kepentingan kanak-kanak.

“Pada masa ini, undang-undang serta dasar berhubung dengan alam sekitar tidak mengiktiraf kanak-kanak sebagai pemunya hak dan pemegang taruh yang penting, ” katanya sambil menambah, jurang ini melemahkan perlindungan untuk kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak dalam berlakunya perubahan iklim.

Gelagat Murid Tabika Perpaduan Kampung Baru Rasah Umayr Falique Mohd Fuzaimi Irwan semasa melalui proses pembelajaran dalam norma baharu dengan memakai pelitup muka dan menjarakkan diri antara murid lain ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Undang-undang prihatin kanak-kanak

Laporan ICCC mengesyorkan agar satu rangka kerja tadbir urus yang lebih sensitif kanak-kanak diwujudkan dengan memastikan juga supaya undang-undang, dasar dan pelan yang berkaitan secara jelas menangani peranan kanak-kanak serta kesan perubahan iklim ke atas kanak-kanak.

“Hak kanak-kanak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat perlu secara sistematik dan ditafsirkan oleh Perlembagaan dan diintegrasikan dalam udang-undang serta dasar negara, ” kata Dr Mazrura.

Menurut beliau, Laporan ICCC turut mencadangkan langkah untuk memperkukuhkan sektor pendidikan untuk menjadi pintar iklim sebagai menghadapi impak perubahan iklim.

“Sebagai contoh, kita boleh mewujudkan inisiatif seperti sekolah pintar iklim dengan infrastruktur yang kukuh bagi memastikan isu penutupan sekolah dan gangguan pendidikan apabila berlaku bencana alam dapat diminimumkan, ” tambahnya.

Sementara itu, penyelidik bersama Laporan ICCC, Prof Dr Ramzah Dambul dari UMS berkata, pandemik Covid-19 turut mendedahkan hubungan kompleks antara alam sekitar, kesihatan dan ekonomi, berdasarkan banyak kajian.

“Kesan selepas krisis perubahan iklim sewaktu pandemik Covid-19 dilihat sebagai peluang terbaik untuk sesebuah negara membina semula kelestarian, dengan menempatkan kanak-kanak serta perubahan iklim di tempat teratas agenda.

“Ini mesti dimulai dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana masa ini adalah yang tepat untuk mewujudkan kehidupan yang lebih selamat untuk kanak-kanak pada hari ini dan esok, ” katanya.

Laporan ICCC boleh diakses di laman sesawang berikut: https://www.unicef.org/malaysia/reports/impact-climate-change-children

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Perubahan iklim jejas jaminan bekalan makanan negara

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Musim kedua penanaman padi di Tanjung Karang pada Julai lepas, tidak seperti yang diharapkan pesawah apabila cuaca panas yang dijangka tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hujan lebat melanda dengan kerap.

Akibatnya, beberapa kawasan tanaman padi di utara Selangor itu ditenggelami air dan merosakkan anak benih padi yang menyebabkan pertumbuhannya terbantut, bermakna hasil yang dijadualkan dituai pada November ini juga akan merosot.

Ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim ini bukan hanya melibatkan Tanjung Karang dan kawasan berhampiran seperti Sekinchan hingga Sabak Bernam yang bersempadan dengan Perak, tetapi berlaku di seluruh negara.

Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.

Menurut seorang pesawah, Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, perubahan cuaca mula memberi kesan kepada tanaman padinya sejak 10 tahun lalu, namun semakin kerap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, paling buruk ialah pada musim penanaman tiga tahun lepas apabila kawasan itu dilanda musim panas yang berpanjangan dan membantutkan tumbesaran benih padi, sekali gus hasil tuaian juga berkurangan.

“Cuaca sekarang sudah tidak terjangka. Musim tengkujuh contohnya yang biasa berlaku pada hujung bulan 11 (November), tapi tahun ini bulan September hujan turun dengan kerap dan lebat berserta ribut.

“Apabila air laut pasang, banjir berlaku sehingga sawah ditenggelami air dan tanaman padi banyak yang rebah disebabkan ribut kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Modal tinggi hasil kurang

Dia yang mengusahakan kira-kira 12 hektar sawah warisan keluarganya sejak 15 tahun lalu, berkata pendapatannya merosot hampir 60 peratus semusim sejak tiga tahun lepas.

Kemerosotan pendapatan itu bukan sahaja disebabkan penurunan hasil tuaian tetapi juga kerana gred padi yang rendah selain terpaksa mengeluarkan modal lebih besar bagi menangani kesan perubahan cuaca, sama ada cuaca panas dan kemarau atau hujan lebat.

“Ketika El Nino yang menyebabkan panas melampau, air terpaksa dipam ke sawah bagi memastikan keperluan air mencukupi untuk padi membesar dan mengeluarkan hasil yang baik, manakala apabila hujan lebat dan banjir, pesawah terpaksa pula mengeluarkan modal baharu untuk (menggantikan) anak benih yang rosak bagi penanaman semula.

“Perubahan cuaca yang berlaku ini juga menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang sebelum ini tidak pernah ditemukan. Penyakit baharu ini pula mempunyai daya tahan sangat tinggi dan ini memerlukan pelaburan yang besar untuk racun perosak,” jelasnya.

Masalah sama turut dihadapi Suhaili Samsuri, 40, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.

Menurutnya, sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.

“Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.

“Makhluk perosak baharu juga turut datang bersama perubahan cuaca ini dan merebak terlalu cepat dari satu lot ke lot lain, sekali gus menjadi punca kos racun turut meningkat hingga 30 peratus,” katanya.

Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga sekarang, menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.

Langkah lebih efektif

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan, sekali gus mengancam jaminan makanan yang telah mula menunjukkan kemerosotan.

Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas. Namun hingga kini masih belum nampak usaha dan tindakan serius diambil oleh beberapa kuasa besar yang boleh menghasilkan perubahan positif dalam isu iklim, sepertimana termaktub dalam pelbagai perjanjian pengurangan kesan GHG.

Ini bermakna negara perlu bersedia dengan langkah-langkah lebih efektif termasuk dasar kerajaan bagi mengurangkan kepelbagaian ancaman akibat perubahan iklim yang tidak terduga, kata Dr Saiful Irwan Zubairi, pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia, terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat serta hujan lebat ekoran berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

Topik ini menjadi isu yang hangat kebelakangan ini bersandarkan kepada model pembuktian kesan gas rumah hijau semasa dan masa depan, antaranya Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 yang menjangkakan suhu permukaan bumi meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.

Jangkaan itu berdasarkan elemen pemodelan hierarki terkini iaitu Earth System Models of Intermediate Complexity dan Atmosphere-Ocean General Circulation Models (AOGCMs).

“Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor agrikultur, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.

“Perubahan corak cuaca boleh memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran makanan dan sumber hasilan agrikultur yang mana perubahan suhu yang terjadi secara langsung memberi kesan kepada struktur habitat, bekalan makanan dan keberadaan sumber sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Antara perkara utama dalam perubahan iklim ialah jangkaan peningkatan paras air laut yang akan menenggelamkan tanah agrikultur yang subur di kawasan yang berada di bawah paras laut seperti Belanda dan Jakarta, Indonesia.

Namun, data terkini cerapan perubahan imbangan jisim ais di Artik (Ogos 2021) yang dikeluarkan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menunjukkan julat pencairan dan pembentukan ais adalah stabil sejak ia dicerap pada 2002.

“Indikator ini belum menunjukkan sebarang kesan besar perubahan iklim semasa dunia dan kerana itu ia wajar diambil perhatian serius dalam persediaan rapi menghadapi krisis bencana alam pada masa hadapan,” katanya.

Kesan terhadap pertanian

Pakar bidang teknologi makanan itu juga menjelaskan peningkatan suhu dunia akan memberikan tiga peringkat impak terhadap jaminan makanan iaitu impak berterusan, sementara dan kekal.

Impak berterusan akan menyebabkan perubahan hasil akibat peningkatan tahap air masin di kawasan berdekatan pesisir pantai yang kebanyakannya perkampungan nelayan, manakala impak sementara akan meningkatkan kegagalan penuaian disebabkan corak cuaca yang ekstrem sehingga mempengaruhi kemunculan makhluk perosak dan wabak penyakit yang tidak terjangka akibat perubahan mendadak.

Impak kekal pula adalah kehilangan tanah kekal dan tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh kenaikan paras laut, katanya.

“Ekosistem marin juga akan turut terancam disebabkan faktor-faktor perubahan iklim persekitaran seperti peningkatan suhu dan kemasinan air laut yang mengganggu kestabilan ekosistem dan rantaian pemakanan kompleksnya,” kata beliau.

Selain itu, perubahan iklim juga akan memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Oleh itu, pembuat dasar sedia ada bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran yang tidak terjangka dalam menilai dan memperhalusi ancaman yang akan terjadi bagi memastikan jaminan makanan kekal konsisten.

Namun, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah drastik untuk jangka panjang dan pendek. Contohnya untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenalkan geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.

Untuk jangka pendek pula, adalah amat penting bagi kerajaan memperhebat kempen gaya hidup dan diet pemakanan alternatif dan mampan bagi mengurangkan lagi kesan GHG yang kian meningkat.

“Pengambilan diet yang sihat dan mampan antaranya ialah pengambilan sumber bijiran, buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.

“Proses mitigasi perubahan diet sebegini bergantung sepenuhnya pada pilihan pengguna dan tahap kesedaran mereka terhadap isu ini,” katanya.

Semua ini sangat bergantung pada dasar semasa kerajaan berdasarkan kepada tahap kehidupan sosial masyarakat, budaya, alam sekitar, faktor tradisi dan keupayaan sumber pendapatan semasa penduduk, jelas beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia: Kejadian ribut petir bukan kesan perubahan iklim sahaja

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjelaskan adalah kurang tepat untuk mengatakan ribut petir yang melanda pantai barat Semenanjung baru-baru ini berpunca daripada perubahan iklim semata-semata.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan hari ini berkaitan ribut petir itu, MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan banyak faktor lain yang boleh menyebabkan ribut petir termasuk perubahan topografi, kesan pulau haba dan keragaman iklim.

“Berdasarkan rekod, hampir 80 peratus kejadian angin ribut terkuat berlaku sebelum tahun 2000 dan ini menunjukkan kejadian ribut petir yang kuat bukan perkara baharu. Oleh itu adalah kurang tepat untuk mengatakan kejadian ribut petir berlaku baru-baru ini disebabkan perubahan iklim sahaja,” menurutnya dalam kenyataan itu.

MetMalaysia bagaimanapun tidak menafikan kesan perubahan iklim berlaku di Malaysia kerana berdasarkan analisis, secara purata suhu di Semenanjung Malaysia meningkat kira-kira 2.4 darjah Celcius dalam tempoh 100 tahun.

“Di Sabah pula meningkat sebanyak 1.8 darjah Celsius dan Sarawak 1.3 darjah Celsius bagi tempoh yang sama. Selain itu, 17 daripada 20 suhu purata tertinggi bagi negara ini direkodkan selepas tahun 2000,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut kajian turut mendapati suhu tinggi di negara ini berkait rapat dengan fenomena El-Nino yang kuat seperti pada tahun 1982/83, 1997/98, 2004/05 dan 2015/16.

“Malah rekod tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan pada 1998,” katanya.

-BERNAMA