Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Pasaran harta tanah dijangka kekal berdaya tahan

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Pasaran harta tanah Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun menghadapi ekonomi yang mencabar tahun ini disebabkan penularan pandemik Covid-19 dengan perumahan mampu milik dan penyelesaian yang tepat kepada harta tanah siap dibina tidak terjual akan terus menjadi agenda utama kerajaan.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) dalam satu kenyataan berkata pemantauan rapi terhadap pelaksanaan program di bawah Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018 – 2025) dan pelbagai insentif yang diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dijangka dapat mengatasi situasi siap dibina tidak terjual pada tahun akan datang.

“Sebagaimana jangkaan Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi Malaysia akan kembali meningkat pada 2021, selari dengan unjuran pemulihan global, pasaran harta tanah juga diramalkan berada di aliran yang sama.

“JPPH akan terus memantau dan menilai kesan yang dijangka akibat pandemik ini ke atas pasaran harta tanah Malaysia dan akan memberikan nasihat kepada kerajaan untuk memastikan pasaran kekal teguh,” kata jabatan itu bersempena dengan pelancaran sembilan laporan termasuk Pasaran Hartanah Malaysia 2019.

Menurut JPPH terdapat kemungkinan risiko penurunan jangka pendek yang tinggi kesan daripada penularan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka di seluruh dunia yang mungkin merendahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi, terutamanya bagi setengah tahun pertama tahun 2020.

Wabak yang menjejaskan seluruh dunia itu dijangka mempengaruhi ekonomi dunia dan juga ekonomi Malaysia, khususnya sektor berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan, peruncitan, makanan dan minuman dan hospitaliti; termasuklah sektor perkilangan dan perkhidmatan terpilih.

“Sejauh mana kesannya ke atas ekonomi Malaysia akan bergantung kepada tempoh dan penyebaran wabak itu bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain, terutamanya negara yang menjadi rakan dagang utama Malaysia.

“Pelbagai insentif diberikan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kesan terhadap pasaran harta tanah. Bagaimanapun, dalam pasaran yang mencabar, ditambah pula dengan penurunan keyakinan pengguna dan komuniti perniagaan, aktiviti dan serapan pasaran dilihat akan cenderung lebih perlahan,” kata jabatan itu.

Laporan lain yang dilancarkan JPPH hari ini ialah Laporan Pasaran Harta 2019, Laporan Stok Harta Tanah 2019, Laporan Status Harta Tanah 2019, Indeks Harga Rumah Malaysia 2019, Laporan Bangunan Perdagangan: Penghunian dan Kedapatan Ruang Boleh Sewa 2019, Indeks Sewaan Pejabat Binaan Khas (PBO-RI) Lembah Klang, Johor Bahru dan George Town 2019, Harga Kediaman Sukuan/ Tahuan Terkini 2019, Laporan Pindah Milik Harta Tanah RM10 Juta Jilid 16 dan Laporan Jual Beli Tanah Ladang Jilid 26.

Laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia menunjukkan bahawa pasaran harta tanah merekod kenaikan yang kecil dengan sejumlah 328,647 pindah milik bernilai RM141.40 billion telah direkodkan pada 2019, iaitu menunjukkan peningkatan 4.8 peratus bagi bilangan dan 0.8 peratus bagi nilai berbanding 2018, yang merekodkan 313,710 pindah milik bernilai RM140.33 billion.

“Prestasi aktiviti pasaran sektor bertambah baik sedikit – kediaman (6.0 peratus), komersial (7.2 peratus), industri (3.8 peratus) dan pertanian (2.0 peratus) kecuali bagi subsektor tanah pembangunan, yang sedikit menurun sebanyak 1.2 peratus.

“Subsektor kediaman menguasai keseluruhan pasaran harta tanah, dengan 63.7 peratus sumbangan,” kata jabatan itu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa Induk Rumah Mampu Milik Selangorku percepat proses Kebenaran Merancang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk Rumah Mampu Milik Selangorku bagi membantu pemaju mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pada kadar segera.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata proses itu banyak membantu usaha Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik (RMM).

yb iskandar 1Katanya, ia seperti diumumkan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini dengan pemaju perlu mendapatkan KM segera bagi membangunkan projek itu.

“Dalam jawatankuasa induk, semua projek masuk dalam Pusat Semakan Setempat (OSC) pergi ke jawatankuasa induk terlebih dahulu.

“Kita panggil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan supaya apabila ia masuk ke OSC, ia dapat diluluskan segera,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Iskandar memaklumkan jawatankuasa diwujudkan semalam itu dipengerusikan beliau dengan dianggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Jabatan Perancangan Bandar Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

“Manakala mesyuarat akan diadakan dua minggu sekali,” katanya.

Iskandar berkata, usaha itu adalah inisiatif pihaknya seperti mana diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan Selangor 2015.

“Kita memang hendak mencapai sasaran 15,000 kebenaran merancang dapat diluluskan atau mula dibina dalam tahun ini manakala akhirnya pada 2018, kita sasarkan dalam 35,000 kebenaran merancang.

“Usaha dilakukan ini adalah untuk mempercepatkan proses itu,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ilmu, Usahawan, Kediaman, Tiga Tujahan Utama Belanjawan Selangor 2014

MB belanjawan

SUBANG JAYA 24 SEPT : Tiga perkara utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan dan perumahan mampu milik akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2014 yang akan dibentangkan pada bulan November depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat dalam Dialog Belanjawan 2014 dua hari ini, kita dapat menilai sejauh mana mereka memikirkan mengenai manifesto yang kita janji.

“Jadi selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan semua Exco tentang bagaimana ia dapat dilaksanakannya dengan menekankan kepada tiga perkara itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Tujahan perumahan itu termasuk pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit rumah mampu milik melalui penglibatan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju.

Program rumah mampu milik ini juga akan diperhebatkan dan dipercepatkan pembinaannya, disamping memberi keutamaan kepada pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah, serta keluarga yang belum berpeluang mempunyai kediaman sendiri.

Manakala tujahan pembangunan usahawan pula bakal menyaksikan penumpuan khusus mendorong golongan miskin menceburi bidang keusahawan kecil dan sederhana.

“Kali ini kita akan bergerak dari pembangunan usahawan yang tertumpu kepada masyarakat miskin kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, ia kerana kita rasa Selangor bergerak maju kerana adanya pengusahawanan yang dinamik,” katanya.

Bagi pendidikan pula, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu menggemblengkan program mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor, termasuk bidang kemahiran.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu memberdayakan kaum wanita yang mana kita rasa ekonomi negeri akan bertambah rancak jika kaum wanita memperhebatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri,” katanya.