Categories
NASIONAL

Contohi Singapura bangun perumahan mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin mahu mencontohi Singapura berkaitan pembangunan perumahan mampu milik yang diamalkan di negara itu untuk diterapkan di Malaysia.

Zuraida berkata, beliau ingin menumpukan kepada golongan B40 supaya rumah mampu milik dapat dimiliki mereka dan ia akan dilaksanakan menjelang 2019.

“Saya baru sahaja pulang dari Singapura dan mendengar sendiri pembentangan daripada Menteri Pembangunan Singapura, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Bandar mengenai bagaimana pengurusan dan polisi diamalkan negara itu dalam membangunkan perumahan mampu milik.

“Namun, tidak semua boleh diambil untuk diamalkan di negara ini kerana Singapura masyarakatnya lebih maju daripada segi pemberdayaan dan kematangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang yang diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, di sini, semalam.

Zuraida yang juga selaku Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau akan mengambil konsep diamalkan Singapura untuk diamalkan di negara ini khusus buat golongan B40.

Mengulas mengenai akan menjadikan negara lain sebagai contoh, Zuraida berkata, beliau memilih Singapura sahaja setakat ini memandangkan ia dekat, tidak memerlukan kos tinggi dan mudah untuk berkomunikasi.

“Saya sendiri dibesarkan di Singapura dan kini baru berpeluang untuk mendengar sendiri daripada menteri negara itu dalam melaksanakan rumah mampu milik disana,” katanya.

Terdahulu, Zuraida mengadakan lawatan kerja ke Singapura bersama Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha bagi membincangkan dan mendengar sendiri pembangunan negara itu.

Categories
NASIONAL

Tangani isu perumahan secara menyeluruh, pantai projek terbengkalai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUTRAJAYA, 26 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menilai dan memantau semua projek perumahan terbengkalai dengan meneliti polisi tempoh jangka masanya.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu diutamakan kerana banyak kes perumahan tidak selesai berlarutan sehingga 20 ke 30 tahun.

“Saya nak kaji jangka masa yang boleh diambil tindakan kepada tanah-tanah dalam projek terbengkalai ini.

“Polisi ini ada tetapi saya tidak pasti berapa tahun kerana saya difahamkan masa yang diberikan adalah panjang untuk projek terbengkalai ini diambil alih.

“Oleh itu, perkara ini perlu lihat semula agar kita dapat pendekkan jangka masa itu supaya pihak kementerian dapat mengambil tanah tersebut untuk kita laksankan projek pembangunan semula,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa sama, Zuraida berkata, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji semula polisi sedia ada.

“Walaupun saya masih belum meneliti sepenuhnya polisi sedia ada namun saya percaya tubuhnya jawatankuasa ini untuk kita manfaatkan projek terbengkalai ini supaya ia boleh dibangunkannya semula.

“Setakat ini sebanyak 198 projek perumahan telah berjaya diselesaikan daripada 297 projek. Bagaimanapun waktu yang diambil untuk tempoh selesai itu terlalu lama sehingga lebih 20 tahun,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri mahu bincang soal perumahan rakyat bersama KPKT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan soal perumahan rakyat di Negeri Selangor.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan projek perumahan berkualiti dan mampu dimiliki rakyat seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

“Saya nampak kita perlu beri rumah berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan rumah berkualiti dan mampu dimiliki.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu bagi mencari langkah terbaik. Saya juga bercadang bertemu Menteri Perumahan bagi melihat perkara ini,” katanya.

Katanya, rakyat kini berhadapan masalah terutama bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan antaranya disebabkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain harga pasaran rumah yang tinggi ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

Beliau berkata, kos harga barang binaan dijangka akan lebih rendah selepas ini susulan keputusan Kerajaan Persekutuan menurunkan kadar GST kepada sifar bermula 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya ini juga berpandangan, Kerajaan boleh mempertimbangkan projek pembangunan semula di beberapa kawasan yang sudah mengalami penurunan kadar kepadatan penduduk bagi membuka ruang kepada penempatan perumahan baru.

“Saya bersama pasukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang melihat contoh yang baik untuk pembangunan semula dikawasan ditinggalkan seperti di Petaling Jaya dan Klang bagi memenuhi permintaan rakyat.

“Penyelesaian tidak boleh dilakukan menerusi satu portfolio sahaja sebaliknya semua portfolio berkaitan kos sara hidup dan kemiskinan bandar mesti duduk bersama.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu memainkan peranan dari segi pembayaran gaji supaya mereka mendapat gaji setimpal dengan kos sara hidup seterusnya mampu memiliki kediaman,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak mampu menyediakan pembiayaan pinjaman seperti sebuah bank tetapi pengenalan Skim Smart Sewa buat rakyat Selangor merupakan salah satu usaha membantu mereka memiliki rumah sendiri.

Skim Smart Sewa merupakan program Kerajaan Negeri yang membantu penyewa memiliki kediaman menerusi pemulangan deposit sewa pada kadar minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Pemulangan deposit berkenaan boleh digunakan sebagai wang pendahuluan bagi pembelian membeli kediaman.

Dibawah Skim Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri menawarkan kediaman untuk dimiliki rakyat pada harga RM42,000 sehingga RM250,000.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri berjaya selesai 53 projek perumahan terbengkalai

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 18 APR: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu 53 projek perumahan terbengkalai membabitkan 24,660 unit sejak 2008 hingga 2017.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri tegas dan bakal menyenaraikan hitamkan pemaju yang terbukti gagal menyiapkan projek mereka.

“Selepas mengenal pasti nama pemaju yang disenarai hitam maka mereka tidak dibenarkan lagi melaksanakan sebarang pembangunan di negeri ini.

“Matlamat Kerajaan Negeri adalah memperhebatkan pembinaan Rumah Selangorku selaras dengan inisiatif merakyatkan ekonomi Selangor menerusi kemudahan serta skim diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Kampung Seri Temenggung, di sini, semalam.

Iskandar berkata, penyediaan rumah mampu milik merupakan agenda utama Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman impian.

“Dasar Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif pemilikan rumah menjadikan ia pemangkin kepada akses perumahan berkualiti, selesa dan mampu milik kepada rakyat untuk memiliki kediaman berkualiti dengan harga bawah RM250,000.

“Contohnya, inisiatif skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ mula dilancarkan Februari lalu membuktikan Kerajaan Negeri serius dan komited membantu kurangkan beban bakal pembeli untuk menyediakan 10 peratus bayaran deposit pembelian Rumah Mampu Milik,” katanya.

Pada masa sama, Iskandar memuji usaha dilakukan PKNS dalam menyediakan keperluan perumahan kepada rakyat.

“Diharap segala perancangan pembinaan projek seumpama ini pada masa hadapan dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gagal dapat kebenaran merancang 9 projek Rumah Selangorku dibatalkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 FEB : Kerajaan Negeri membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku yang sudah diluluskan sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar A Samad berkata, keputusan berkenaan dibuat berpunca kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Apabila pemaju diberi kelulusan membina Rumah Selangorku oleh MMKN, mereka diberi tempoh dua tahun untuk memulakan pembinaan.

“Malah, surat peringatan, notis 14 hari, notis akhir dan notis pembatalan juga kita akan keluarkan secara berperingkat mengikut tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, pembatalan sembilan projek yang akan disahkan oleh MMKN membabitkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.

“Projek terbabit mula diluluskan antara tahun 2014 dan 2016.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku untuk memantau pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, wakil Pejabat Tanah Galian Selangor, wakil Pejabat Tanah Daerah dan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau projek sudah diluluskan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melewatkan pembinaan projek Rumah Selangorku ini.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil kira masalah dihadapi pemaju seperti masalah tanah, perundangan, cerun, pencerobohan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Iskandar berkata, selain dari pembatalan kelulusan MMKN, permohonan Kebenaran Merancang untuk projek-projek lain pemaju juga ditahan jika mereka melewatkan-lewatkan pembinaan Rumah Selangorku.

“Di bawah Kerajaan Negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

“Di zaman Barisan Nasional, rumah kos rendah boleh dibina selepas rumah harga bebas siap dibina akibatnya rumah kos rendah terbabit tidak dibina,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri jadi pemudahcara pinjaman perumahan diluluskan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 DIS: Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah dalam memastikan kemudahan permohonan pembiayaan perumahan Taman Selayang Mutiara oleh penduduk asal Bukit Botak diluluskan Maybank Seksyen 14 Shah Alam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib, berkata, antaranya termasuklah langkah Kerajaan Negeri melabur dalam simpanan tetap dengan nilai pelaburan RM10 juta di Maybank Seksyen 14 Shah Alam bagi meyakinkan dan mewujudkan suasana menang-menang antara pihak bank, pembeli dan Kerajaan Negeri.

“Secara tak langsung ini juga menjadi jaminan kepada pihak bank akan komiten Kerajaan Negeri untuk membantu peminjam tadi.

“Bagaimanapun bank tidak perlu bimbang kerana nilai semasa hartanah taman ini jauh lebih tinggi berbanding pinjaman oleh pembeli di mana pada nilai semasanya adalah RM400,000 berbanding RM99,000 harga ditawarkan kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PKNS kepada 10 pemilik rumah yang mendapat pinjaman Maybank di Taman Selayang Mutiara di sini, semalam.

Jelasnya, beliau di peringkat Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer turut menjalankan pelbagai usaha lain bagi memastikan pembeli rumah itu mendapat kelulusan pihak bank.

Katanya, selain membantu menyediakan dokumen beliau turut menyedikan bas untuk membawa peminjam ke Maybank.

Katanya lagi, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Maybank ini membolehkan seramai 97 pembeli kediaman Taman Selayang Mutiara membuat pinjaman dengan Maybank dan hingga kini lebih 50 permohonan telah diluluskan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2018: Selangor bakal umum dua lagi skim besar perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka bakal mengumumkan dua lagi skim besar bagi meningkatkan lagi peluang golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, ini satu lagi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat negeri itu tanpa mengira masa.

“Pada Belanjawan akan datang ada dua program besar yang baru dalam perumahan yang akan kita umumkan. Rakyat tunggulah, kita memang hendak bantu rakyat di mana golongan sasaran adalah mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

SELANGOR SOHO - ISKANDAR“Ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi seperti yang diketahui memang setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk Kerajaan Negeri membantu rakyat tak kira bila-bila masa, tidak bermusim,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini Kerajaan Negeri melancarkan skim Selangor Smart Home Buyers bagi membantu golongan kurang berkemampuan di mana Kerajaan Negeri membiayai kos deposit rumah yang dibeli.

Katanya, pembeli kemudiannya hanya mula membayar semula kepada Kerajaan Negeri dalam suatu tempoh selepas mereka menduduki rumah yang dibeli.

Iskandar turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji syarat dan peraturan yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran terdapat ramai pembeli rumah Selangorku berhadapan masalah pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan bank.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Fitch Ratings: Pemaju beri pinjaman boleh jejas kekukuhan sistem kewangan

SHAH ALAM 17 SEPT: Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings mengingatkan sebarang keputusan pemberian lesen pinjaman kepada pemaju hartanah boleh menambah risiko berkaitan peningkatan hutang isi rumah.

Agensi itu dalam satu kenyataan media menyatakan skim itu menggalakkan pinjaman tidak dikawal kepada isi rumah memiliki profil kewangan lemah selain menjejaskan kekukuhan sistem kewangan jika tidak dilaksanakan secara berhemat.

Menurutnya, pemberian pinjaman pemaju juga di luar pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjadikannya tidak tertakluk kepada tahap pemantauan terperinci, pengurusan risiko dan standard penaja jaminan sepertimana pinjaman oleh institusi perbankan.

Langkah itu juga, tegas Fitch, bertentangan dengan pendekatan diperkenalkan BNM sejak enam tahun lepas bagi mengawal kenaikan hutang isi rumah.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Pada Januari 2014, BNM melarang pelaksanaan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) yang membolehkan pembeli rumah mengemukakan sejumlah bayaran pendahuluan dan selebihnya dibayar selepas projek siap yang sebaliknya cenderung menyebabkan spekulasi hartanah.

Bank pusat itu turut memperkenalkan cukai keuntungan hartanah pada 2010 melibatkan hartanah dijual dalam tempoh lima tahun, menaikkan nisbah pinjaman kepada nilai serta mengurangkan tempoh maksimum bagi pajakan kediaman dan pinjaman peribadi.

Pada 8 September lepas, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengumumkan bahawa pemaju perumahan boleh mengemukakan permohonan kepada kementerian itu bagi lesen pemberi pinjaman wang membabitkan pembiayaan 100 peratus daripada nilai hartanah itu.

“Masih ramai isi rumah yang bergelut untuk melunaskan pinjaman pada kadar faedah tinggi sedemikian.

“Risiko sistemik akibat pelaksanaan skim (pinjaman oleh pemaju) ini akan bergantung kepada kesediaan penyertaan pemaju dan juga pasaran bagi membiayai pemaju. Namun, pemaju besar berkemungkinan lebih berhati-hati,” kata Fitch.

 

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gabenor Bank Negara digesa semak dasar, mudahkan pembiayaan rumah

PUCHONG 19 JULAI: Gabenor Bank Negara digesa untuk menyemak Dasar Bank Negara bagi memudahkan pinjaman bank bagi membeli rumah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ketika ini rakyat mengalami kesusahan untuk mendapatkan pembiayaan membeli rumah terutama golongan muda.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Perumahan Selangorku di Puchong.

Rumah Selangorku“Saya harap Gabenor Bank Negara yang baru dapat memainkan peranan dengan lebih efektif dalam merealisasikan hasrat ‘House Owning Democracy’ dalam negara kita termasuk di Selangor.

“Saya mahu Dasar Bank Negara disemak semula untuk mencapai sasaran pendemokrasian pemilikan rumah,” katanya.

Mohamed Azmin berkata ini berikutan banyak aduan diterima mengenai kegagalan mereka yang mendapat tawaran memiliki rumah Selangorku untuk mendapatkan pinjaman bank.

“Kita sedia maklum mengenai statistik pinjaman isi rumah yang terlalu kritikal pada ketika ini yang menuntut BNM menetapkan satu dasar baru bagi mengetatkan pinjaman.

“Kita harap BNM dapat menyemak semula kerana penggunan runcit ini tidak boleh disamakan dengan pinjaman perumahan khususnya bagi pembeli rumah pertama di mana mereka perlu diberikan keutamaan.

“Jika tidak, industri hartanah di negara ini akan terkesan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Perumahan: Pelaksanaan dipercepat, anak muda tak perlu bimbang

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 APR: Rakyat Selangor khususnya anak muda tidak perlu bimbang mengenai pelaksanaan program perumahan yang sedang direncanakan Kerajaan Negeri kerana mengikut tempoh ditetapkan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Selangor memahami kebimbangan generasi muda mengenai isu itu.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)Katanya Kerajaan Negeri juga mempunyai pelbagai program bertujuan untuk membantu rakyat memiliki rumah bahkan sudah meluluskannya.

“Skim pertama adalah skim sewa beli Dana Selangor (Dana Sel) bagi membantu rakyat yang hendak membeli rumah tetapi gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

“Skim kedua adalah skim Smart Selangor First Home yang mana Kerajaan Negeri membantu membayar deposit 10 peratus untuk pembeli rumah mendapatkan pinjaman bank sementara skim ketiga adalah Skim Selangor Smart Sewa,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Iskandar menerima memorandum daripada Kumpulan Anak Muda Prihatin menerusi Pengerusi, Huzaifah Mokhtar menggesa Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan program rakyat memiliki rumah di pejabatnya.

perumahanSetakat ini, dari 7,820 yang ditawarkan Rumah Selangorku, 3,490 daripadanya menolak dengan sebab utama tidak mendapat pinjaman pembiayaan.

Kata Iskandar, walaupun hanya terdapat satu peruntukan “one-off” RM10 juta untuk Skim Dana Sel dan RM1.6 juta untuk 2016 dan 2015 bagi Skim Selangor Smart Sewa.

Tetapi Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) memastikan peruntukan ini dibelanjakan segera supaya mereka yang layak tidak tertunggu-tunggu.

“Untuk Skim Smart Selangor First Home, LPHS mengenalpasti peruntukan bagi skim ini dalam kadar segera untuk pelaksanaan mulai bulan Jun ini.

“Dengan usaha Kerajaan Negeri ini saya berharap anak muda dapat menarik nafas lega kerana terdapat pelbagai program perumahan Kerajaan Negeri dan diusahakan agar peruntukan digandakan setiap tahun sesuai dengan masalah dihadapi rakyat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Smart Sewa, pupuk rakyat menabung beli rumah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC : Rakyat yang menyewa rumah daripada Kerajaan Negeri bakal menerima sebahagian sewaan itu untuk digunakan bagi tujuan pembelian rumah peribadi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abadul Samad, berkata inisiatif itu termaktub di bawah Program Selangor Smart Sewa, dengan tujuan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Katanya, skim berkenaan mampu membantu penyewa supaya tidak dibebani pelbagai bentuk faedah daripada pinjaman perumahan bank.

“Kerajaan Negeri memahami terdapat ramai daripada mereka tidak mempunyai pendapatan mencukupi mendapatkan pinjaman bank dan perlu menyewa rumah sehingga pendapatan mereka mencukupi.

“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka membayar deposit untuk mendapatkan pinjaman perumahan dari bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang dalam proses membeli rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk disewakan kepada rakyat.

Tambahnya, rumah itu akan diuruskan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sendirian Berhad (PHSSB), sebuah syarikat LPHS.

Skim itu merupakan lanjutan kepada tumpuan dasar kerajaan dalam melaksanakan program membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sempurna.

EZY

Categories
SELANGOR

Tiada projek perumahan terbengkalai selepas 2008

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 24 FEB: Tidak sanggup melihat wajah dikecewakan dan tertekan apabila kediaman diimpikan terbengkalai seperti banyak berlaku sebelum 2008, Kerajaan Negeri memantau projek perumahan diluluskan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata pemantauan berterusan itu mendatangkan hasil positif apabila sehingga kini tiada projek perumahan diluluskan selepas 2008 terbengkalai ekoran kegagalan pemaju.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)“Bayangkanlah, sesiapa berada di kedudukan mereka. Nak kumpul duit pendahuluan bukan senang, selepas bayar pendahuluan kena bayar bulanan pula walaupun ada sesetengah pendapatan tidak seberapa tetapi disebabkan nak beli rumah impian mereka gagahkan juga.

“Tiba-tiba dapat tahu rumah tak siap, pemaju lari atau gulung tikar. Pada masa itu apa perasaan mereka, rumah tidak ada sedangkan pinjaman bank kena bayar. Menyedihkan bila kita fikir nasib mangsa teraniaya ini dan sebab itu Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh pastikan tiada projek terbengkalai.

“Tetapi bila ada projek mula perlahan, kita jumpa pemaju dan berikan mereka peringatan,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Terbuka Cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Dewan Dato’ Hormat di sini, semalam.

Iskandar berkata, ketika ini walaupun Kerajaan Negeri boleh menyemak status kewangan syarikat pemaju tetapi pemaju terbabit mempunyai hak dilindungi undang-undang sekiranya mereka enggan mendedahkannya kepada Kerajaan Negeri kecuali bagi Syarikat Berhad.

Sebelum 2008 semasa era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terdapat beberapa projek perumahan diluluskan gagal disiapkan sehingga memberi kesan terhadap kehidupan pembeli.

Bagaimanapun, atas dasar prihatin membantu rakyat, Kerajaan Negeri melaksanakan usaha memulihkan semula projek perumahan terbengkalai menerusi program ‘Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau Dana TEPAT’.

EZY