Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terima dana RM5 juta, Pameran Udara Selangor 2022 dianjur besar-besaran

SUBANG, 27 NOV: Peruntukan sebanyak RM5 juta membolehkan Pameran Udara Selangor (SAS) tahun depan dianjurkan secara besar-besaran, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya menyambut baik dana yang disalur melalui Belanjawan Selangor 2022 untuk menjayakan acara yang menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.

“Sokongan Kerajaan Negeri menambah peruntukan daripada RM2 juta kepada RM5 juta merupakan satu rangsangan kepada penganjur. Sudah tentu tahun depan kita akan menganjurkan acara yang lebih besar.

“Kita akan menyediakan lebih banyak pesawat dan gerai supaya maklumat lengkap dalam ekosistem industri aeroangkasa serta penerbangan dapat dipamerkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penutup SAS 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Chang Khim turut meminta sokongan kerajaan persekutuan dalam penganjuran acara itu tahun depan bagi mengharumkan nama Selangor dan Malaysia amnya dalam industri terbabit.

Semalam, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi menganjurkan SAS edisi kedua tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara itu mampu mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik serta antarabangsa.