Categories
ADN SELANGOR

Kementerian Pertanian diminta beri bantuan khas kepada 10,000 pesawah

SHAH ALAM, 2 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta memberi bantuan khas secara terus kepada 10,000 pesawah di Selangor yang terjejas hasil tuaian mereka kerana menggunakan benih padi dibekalkan kerajaan.

Wakil rakyat Sekinchan berkata jumlah 10,000 pesawah yang terjejas itu merangkumi kawasannya, Permatang dan Sabak.

“Hasil tuaian yang diperoleh pesawah merosot teruk sehingga ke lima tan berbanding sebelum ini hanya lapan hingga 10 tan.

“Selain faktor cuaca dan amalan penanaman yang tidak komprehensif, punca utama adalah benih padi yang dibekalkan oleh kementerian dan Mardi kurang berkualiti seperti MR307, 303, 297 dan CL2,” kata Ng Suee Lim pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Katanya potongan beras basah yang dikenakan sehingga lebih 20 peratus juga membebankan dan menjejaskan pendapatan di mana petani mengalami kerugian sekitar RM5,000.

“Memandangkan hasil tuaian merosot kerana benih padi kurang berkualiti, saya minta agar YB menteri menimbang bantuan khas ‘one off’ sebanyak RM2,000 disalurkan kepada petani untuk meringankan beban,” katanya.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor juga menyatakan beliau telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 29 November lalu berkaitan masalah yang dihadapi golongan pesawah ini.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Perubahan iklim jejas jaminan bekalan makanan negara

Oleh Kurniawati Kamarudin & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Musim kedua penanaman padi di Tanjung Karang pada Julai lepas, tidak seperti yang diharapkan pesawah apabila cuaca panas yang dijangka tidak menjadi kenyataan, sebaliknya hujan lebat melanda dengan kerap.

Akibatnya, beberapa kawasan tanaman padi di utara Selangor itu ditenggelami air dan merosakkan anak benih padi yang menyebabkan pertumbuhannya terbantut, bermakna hasil yang dijadualkan dituai pada November ini juga akan merosot.

Ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim ini bukan hanya melibatkan Tanjung Karang dan kawasan berhampiran seperti Sekinchan hingga Sabak Bernam yang bersempadan dengan Perak, tetapi berlaku di seluruh negara.

Perubahan iklim ini berlaku susulan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia yang kini berada pada tahap membimbangkan, dan jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam lebih dahsyat.

Menurut seorang pesawah, Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, perubahan cuaca mula memberi kesan kepada tanaman padinya sejak 10 tahun lalu, namun semakin kerap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, paling buruk ialah pada musim penanaman tiga tahun lepas apabila kawasan itu dilanda musim panas yang berpanjangan dan membantutkan tumbesaran benih padi, sekali gus hasil tuaian juga berkurangan.

“Cuaca sekarang sudah tidak terjangka. Musim tengkujuh contohnya yang biasa berlaku pada hujung bulan 11 (November), tapi tahun ini bulan September hujan turun dengan kerap dan lebat berserta ribut.

“Apabila air laut pasang, banjir berlaku sehingga sawah ditenggelami air dan tanaman padi banyak yang rebah disebabkan ribut kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat dan hujan lebat susulan berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Modal tinggi hasil kurang

Dia yang mengusahakan kira-kira 12 hektar sawah warisan keluarganya sejak 15 tahun lalu, berkata pendapatannya merosot hampir 60 peratus semusim sejak tiga tahun lepas.

Kemerosotan pendapatan itu bukan sahaja disebabkan penurunan hasil tuaian tetapi juga kerana gred padi yang rendah selain terpaksa mengeluarkan modal lebih besar bagi menangani kesan perubahan cuaca, sama ada cuaca panas dan kemarau atau hujan lebat.

“Ketika El Nino yang menyebabkan panas melampau, air terpaksa dipam ke sawah bagi memastikan keperluan air mencukupi untuk padi membesar dan mengeluarkan hasil yang baik, manakala apabila hujan lebat dan banjir, pesawah terpaksa pula mengeluarkan modal baharu untuk (menggantikan) anak benih yang rosak bagi penanaman semula.

“Perubahan cuaca yang berlaku ini juga menyebabkan kemunculan penyakit atau perosak baharu yang sebelum ini tidak pernah ditemukan. Penyakit baharu ini pula mempunyai daya tahan sangat tinggi dan ini memerlukan pelaburan yang besar untuk racun perosak,” jelasnya.

Masalah sama turut dihadapi Suhaili Samsuri, 40, yang mengusahakan sawah padi di Sekinchan.

Menurutnya, sejak 2000 hingga sekarang, perubahan cuaca semakin ketara dan berlaku dengan lebih ekstrem, sama ada panas atau hujan, sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan.

“Apabila cuaca panas, suhunya terlalu tinggi dan ini tidak sesuai untuk padi yang sentiasa memerlukan air, manakala kadar hujan yang lebat dan ekstrem pula menyebabkan banjir di sawah dan turut mengganggu tumbesaran padi sehingga ada tanaman padi mati.

“Makhluk perosak baharu juga turut datang bersama perubahan cuaca ini dan merebak terlalu cepat dari satu lot ke lot lain, sekali gus menjadi punca kos racun turut meningkat hingga 30 peratus,” katanya.

Untuk rekod, anggaran nilai kerosakan bagi penanaman padi berdasarkan data permohonan Tabung Bencana bagi tempoh 2017 hingga sekarang, menunjukkan nilai kerosakan akibat banjir ialah sebanyak RM128.8 juta dan akibat kemarau RM21.6 juta.

Langkah lebih efektif

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan fizikal kepada alam tetapi juga terhadap sektor pertanian khususnya tanaman makanan, sekali gus mengancam jaminan makanan yang telah mula menunjukkan kemerosotan.

Ini bukan polemik baharu, sebaliknya sudah menjadi perhatian di peringkat global sejak hampir tiga dekad lepas. Namun hingga kini masih belum nampak usaha dan tindakan serius diambil oleh beberapa kuasa besar yang boleh menghasilkan perubahan positif dalam isu iklim, sepertimana termaktub dalam pelbagai perjanjian pengurangan kesan GHG.

Ini bermakna negara perlu bersedia dengan langkah-langkah lebih efektif termasuk dasar kerajaan bagi mengurangkan kepelbagaian ancaman akibat perubahan iklim yang tidak terduga, kata Dr Saiful Irwan Zubairi, pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia, terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.

Pesawah Fairuz Zaini melihat tanaman padinya yang rebah akibat ditiup angin kuat serta hujan lebat ekoran berlakunya peralihan iklim ketika tinjauan di sekitar Tanjung Karang pada 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA

 

Topik ini menjadi isu yang hangat kebelakangan ini bersandarkan kepada model pembuktian kesan gas rumah hijau semasa dan masa depan, antaranya Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 yang menjangkakan suhu permukaan bumi meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.

Jangkaan itu berdasarkan elemen pemodelan hierarki terkini iaitu Earth System Models of Intermediate Complexity dan Atmosphere-Ocean General Circulation Models (AOGCMs).

“Secara asasnya, terdapat dua faktor pencetus utama yang memberikan impak kerugian dan kerosakan kepada produktiviti sektor agrikultur, iaitu peningkatan suhu dan corak perubahan taburan hujan yang tidak menentu.

“Perubahan corak cuaca boleh memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran makanan dan sumber hasilan agrikultur yang mana perubahan suhu yang terjadi secara langsung memberi kesan kepada struktur habitat, bekalan makanan dan keberadaan sumber sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Antara perkara utama dalam perubahan iklim ialah jangkaan peningkatan paras air laut yang akan menenggelamkan tanah agrikultur yang subur di kawasan yang berada di bawah paras laut seperti Belanda dan Jakarta, Indonesia.

Namun, data terkini cerapan perubahan imbangan jisim ais di Artik (Ogos 2021) yang dikeluarkan oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), menunjukkan julat pencairan dan pembentukan ais adalah stabil sejak ia dicerap pada 2002.

“Indikator ini belum menunjukkan sebarang kesan besar perubahan iklim semasa dunia dan kerana itu ia wajar diambil perhatian serius dalam persediaan rapi menghadapi krisis bencana alam pada masa hadapan,” katanya.

Kesan terhadap pertanian

Pakar bidang teknologi makanan itu juga menjelaskan peningkatan suhu dunia akan memberikan tiga peringkat impak terhadap jaminan makanan iaitu impak berterusan, sementara dan kekal.

Impak berterusan akan menyebabkan perubahan hasil akibat peningkatan tahap air masin di kawasan berdekatan pesisir pantai yang kebanyakannya perkampungan nelayan, manakala impak sementara akan meningkatkan kegagalan penuaian disebabkan corak cuaca yang ekstrem sehingga mempengaruhi kemunculan makhluk perosak dan wabak penyakit yang tidak terjangka akibat perubahan mendadak.

Impak kekal pula adalah kehilangan tanah kekal dan tidak dapat dipulihkan disebabkan oleh kenaikan paras laut, katanya.

“Ekosistem marin juga akan turut terancam disebabkan faktor-faktor perubahan iklim persekitaran seperti peningkatan suhu dan kemasinan air laut yang mengganggu kestabilan ekosistem dan rantaian pemakanan kompleksnya,” kata beliau.

Selain itu, perubahan iklim juga akan memberi impak kepada sistem semula jadi dan kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan dan keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Oleh itu, pembuat dasar sedia ada bakal berdepan dengan pelbagai kesukaran yang tidak terjangka dalam menilai dan memperhalusi ancaman yang akan terjadi bagi memastikan jaminan makanan kekal konsisten.

Namun, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah drastik untuk jangka panjang dan pendek. Contohnya untuk jangka panjang, kerajaan boleh memperkenalkan geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa.

Untuk jangka pendek pula, adalah amat penting bagi kerajaan memperhebat kempen gaya hidup dan diet pemakanan alternatif dan mampan bagi mengurangkan lagi kesan GHG yang kian meningkat.

“Pengambilan diet yang sihat dan mampan antaranya ialah pengambilan sumber bijiran, buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.

“Proses mitigasi perubahan diet sebegini bergantung sepenuhnya pada pilihan pengguna dan tahap kesedaran mereka terhadap isu ini,” katanya.

Semua ini sangat bergantung pada dasar semasa kerajaan berdasarkan kepada tahap kehidupan sosial masyarakat, budaya, alam sekitar, faktor tradisi dan keupayaan sumber pendapatan semasa penduduk, jelas beliau.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pesawah Sungai Panjang, Bagan Terap terima bantuan benih padi MR219

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Seramai 878 pesawah sekitar mukim Sungai Panjang dan Bagan Terap menerima bantuan benih padi sah jenis MR219 untuk digunakan pada musim penanaman bermula Oktober ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata agihan 8,900 beg benih padi itu membabitkan 22 blok kawasan pertanian berkeluasan 1,700 hektar dengan peruntukan berjumlah RM300,000 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

“Dari tahun ke tahun, kita buat penambahbaikan dari segi rawatan tanah, penggunaan bahan organik dan kawalan serangga di bawah program peningkatan hasil padi di Selangor.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pertanian & Perladangan Dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim (dua, kanan) ketika program bantuan benih padi kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kali ini, disebabkan berlaku serangan ulat pengorek batang dan gulung daun agak serius terutama di kawasan utara negeri ini, kita memberikan bantuan benih padi yang baik,” katanya pada program lawatan kerja ke Sabak Bernam di Parit 11 Timur semalam.

Beliau juga berharap bantuan tersebut membantu meningkatkan hasil tanaman padi yang berkualiti pada musim berikutnya.

“Ini kerana benih yang tidak sama duduk berdekatan boleh menyebabkan masalah kepada kualiti padi…(sepatutnya) satu blok kena benih sama,” katanya.

Sementara itu, pesawah, Mohd Nasir Arshad, 57, bersyukur atas bantuan yang sedikit sebanyak meringankan beban berikutan hasil tanaman padi dikerjakan atas tanah seluas 30 ekar (12.14 hektar) merudum sejak diserang penyakit berkenaan.

Mohd Nasir Arsad, 57

“Memandangkan musim ini pendapatan berkurang, jadi kebanyakan petani tiada modal untuk beli benih dan bahan input lain terutama racun rumput dan ular kerana kosnya terlalu tinggi.

“Semua petani mengalami kerugian terlalu besar sehingga sukar untuk menyara diri dan keluarga, inikan pula untuk meraih keuntungan,” kata bapa tiga anak yang sudah 25 tahun mengusahakan tanaman itu.

Seorang lagi penerima, Mohd Zaimi Idham Mohd Suhaimi, 29, berharap melalui pemberian benih itu, hasil tanaman padi kembali meningkat selepas terjejas selama 10 musim sejak 2015.

Mohd Zaimi Idham, 29

“Sepanjang mengusahakan tanaman ini lapan tahun lalu atas tanah milik keluarga dan sewa seluas 50 ekar (20.23 hektar), hasil pertanian musim ini jatuh paling teruk di kawasan Sungai Panjang dan Bagan Terap.

“Jika musim lalu, saya boleh dapat (hasil) lima tan bersamaan tiga ekar (1.21 hektar) tetapi musim ini hanya dua tan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor peruntuk RM2.79 juta bantu pesawah tingkat hasil

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.79 juta bagi membantu pesawah negeri ini meningkatkan hasil tanaman mereka, kata Dato’ Menteri Besar.

Bantuan termasuk perbelanjaan untuk meningkatkan hasil padi, membekalkan bahan kawalan serangga perosak, benih, pengurusan perosak dan pengeluaran padi.

“Seramai 10,868 pesawah di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan menerima manfaat tersebut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media secara maya hari ini.

Selain itu Amirudin berkata Kerajaan Selangor juga menggalakkan pesawah menggunakan padi yang seragam dan menuai tepat pada masanya sebagai inisiatif menangani masalah pengurangan hasil.

Inisiatif itu katanya dilaksanakan melalui Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Barat Laut Selangor.

“Bagi perancangan jangka panjang kita mencadangkan ubah suai jadual tanaman di kawasan IADA untuk mengoptimumkan penggunaan air tanpa pembaziran serta dapat menyeragamkan pengurusan jentera, benih dan racun dengan lebih efisien,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan dana berjumlah RM1.035 juta untuk membasmi serangga perosak padi di kawasan terlibat di daerah berkenaan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan itu akan digunakan segera untuk semburan racun yang disyor pakar kawalan penyakit ulat pengorek batang dan ulat gulung daun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kos makin tinggi, pesawah gesa jaminan harga padi dinaikkan RM1,300

SABAK BERNAM, 28 APRIL: Ribuan pesawah di Sekinchan berharap kerajaan persekutuan menaikkan jaminan harga padi kepada RM1,300 bagi satu tan berbanding RM1,200 sebelum ini.

Rojikin Sabini berkata permintaan itu berdasarkan situasi semasa petani yang berdepan kenaikan kos mengusahakan tanaman terbabit selain hasil yang diperoleh tidak lagi tinggi.

“Barang-barang input seperti baja, racun semakin mahal termasuklah kos menyelenggara yang kian meningkat kerana kita menggunakan tenaga manusia.

“Malah ada antara kami yang bukan pemilik tetapi menyewa dengan kadar RM4,000 semusim. Kalau musim berkenaan kami hanya memperoleh tujuh tan maka kami langsung tidak mendapat untung,” katanya.

Pesawah Rojikin Sabini ditemui pada protes aman bersama pesawah di Sekinchan pada 27 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas mengadakan protes aman terhadap lanjutan konsesi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersama 50 petani yang mewakili 1,000 pesawah di sekitar Sekinchan semalam.

Sementara itu, R Somasundaram berkata masalah penyakit menyebabkan hasil padi yang biasanya 10 tan semusim merosot sehingga tujuh tan.

Katanya, kemorosatan itu menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana perlu mengeluarkan kos untuk membeli racun bagi mengatasi masalah serangan penyakit.

“Penyakit seperti BLB (hawar daun bakteria), bena perang… bila banyak penyakit kos merawat itu semakin tinggi. Harga racun pun terlalu mahal. Dulu lima, enam kali sahaja sembur racun sekarang 10 kali pun belum tentu selesai,” katanya.

Semalam, kira-kira 1,000 petani di sini turut meminta kerajaan persekutuan menaikkan skim subsidi padi kepada RM500 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2018: Skim khusus angkat martabat petani, pesawah

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Nasib pesawah dan petani di Selangor sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila satu skim khusus bakal diumumkan bagi mengangkat martabat golongan itu dalam Belanjawan 2018 Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri juga akan memastikan keselesaan penduduk dengan memberi perhatian terhadap isu jalan raya walaupun sebahagiannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Pada tahun lepas mereka menghadapi masalah penyakit hawar daun bakteria (BLB), kita segera turun memberikan bantuan dan pada tahun ini pesawah menghadapi masalah penurunan hasil pendapatan kerana masalah yang sedang dihadapi mereka.

“Saya dimaklumkan jalan kampung, jalan PLB, jalan ladang masih memerlukan perhatian walaupun sebahagiannya dalam bidang kuasa Persekutuan tetapi saya akan bincang dengan Pegawai Daerah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagaimana kita dapat salurkan peruntukan untuk memberikan keselesaan kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya.

BANGUNAN SUKBeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, sebelum itu beliau ada menerima emel panjang daripada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin yang memberitahu beberapa isu membabitkan pesawah dan petani dengan panjang lebar yang memerlukan pembelaan.

Katanya, selain skim khusus untuk golongan petani dan pesawah, Kerajaan Negeri juga akan mengumumkan bantuan kepada beberapa sekolah agama di negeri itu dalam belanjawan nanti.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesawah harap Kerajaan Negeri dikekalkan demi kebajikan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Bantuan pantas Kerajaan Negeri menghulur peruntukan RM8.5 juta bagi pesawah yang terkesan serangan penyakit hawar daun (BLB) ternyata membawa kelegaan.

Bercakap kepada Selangor Kini, anak jati Sungai Besar, Mohd Yusof Mohd Tahir, 75, berkata, beliau berpuas hati dengan keprihatinan ditonjolkan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, dapat kurangkan beban selain memberi semangat untuk bangkit terus mengusahakan sawah yang sebati dengan jiwa kami ini.

PESAWAH SABAK BERNAM (3)“Apa yang diharapkan, Kerajaan Negeri sedia ada ini dikekalkan dan jangan bertukar demi kebajikan rakyat,” katanya yang kerugian hampir empat tan metrik padi akibat BLB, pada musim lalu.

Turut bersetuju, Saadiah Samdin, 63, yang menyifatkan BLB memberi kesan besar kepada hasil pendapatannyayang bergantung penuh kepada hasil padi.

“Kebiasaannya kami dapat hasil sehingga tujuh atau lapan tan tetapi hasil merosot sehingga 60 peratus ketika serangan BLB.

“Dengan bantuan Kerajaan Negeri, ia dapat membantu kami yang buntu ke mana harus dituju dengan masalah menimpa ini,” kata nenek kepada 13 cucu itu.

Sementara itu, Siti Rohani Salleh, 65, mengakui sumbangan Kerajaan Negeri itu satu-satunya bantuan yang diterima sehingga kini.

“Sejak BLB menyerang empat bulan lalu, inilah bantuan yang saya dapat, jadi sangat berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar.

“Diharap bantuan terhadap pesawah dapat diteruskan pada masa akan datang supaya dapat meningkatkan hasil seterusnya taraf ekonomi kami di luar bandar,” katanya yang menetap dan mengusahakan sawah di Sungai Dorani.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyampaikan bantuan kewangan RM960 bagi setiap lot kepada 8,953 pesawah yang terjejas dengan BLB.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Seminggu tunai janji bantu pesawah

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Kerajaan Negeri hanya mengambil masa tujuh hari untuk menunaikan janji membantu 8,950 pesawah yang terjejas ekoran serangan penyakit hawar daun (BLB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan pantas itu diberikan selepas mengambil kira ‘keparahan’ ditanggung pesawah kerana pendapatan terjejas sehingga 60 peratus.

Katanya, ia juga bukti Kerajaan Negeri tidak pernah berjanji kosong sebaliknya komited membantu rakyat memerlukan.

PESAWAH SABAK BERNAM (6)“Kita tidak mahu menjadi seperti sebelah sana, kata sahaja mahu memberi bantuan dengan peruntukan mencecah angka juta, empat bulan lepas janji.

“Malangnya sehingga kini, ‘angin’ pun tiada yang sampai kepada pesawah,” katanya di hadapan lebih 500 yang hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pesawah di Parit 10, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, setiap lot menerima bantuan dalam bentuk pakej benih padi CL2 (padi kebal) dan racun bernilai RM960.

“Diharap dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas. Dengan ini, pesawah juga diharap dapat memulakan penanaman semula seterusnya meningkatkan kembali hasil pendapatan mereka,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor mengumumkan RM8.5 juta diluluskan bagi membantu pesawah yang terjejas di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Pada 5 Disember 2016, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Serangan BLB: Pesawah berputih mata

OLEH AFIX REDZUAN

SEKINCHAN, 5 DIS: Pesawah di Sekinchan mengharungi detik sukar selepas serangan Hawar Daun Bakteria (BLB) pada musim kedua tahun ini.

Lim Mau Soon, 43 yang sudah mengusahakan tanaman pada sejak sekian lama berkata, tiupan angin kuat pada hari ke-46 mengakibatkan tanaman padinya di tujuh lot musnah.

Menurutnya, kesan serangan angin itu menyebabkan padi layu dan tidak dapat mengeluarkan hasil seperti biasa.

img_20161205_113841_720“Tiupan angin kuat semasa kita meletakkan baja urea mengakibatkan daun pada yang lembut bergesel sesama sendiri dan luka. Bakteria akan terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, serangan BLB mengakibatkan kerugian sekitar RM7,000 untuk satu lot.

Mau Soon berkata, petani di Sekinchan khususnya mengharapkan kerajaan dapat menghulurkan membantu dan sumbangan bagi meringankan beban mereka memulakan musim tanaman baru tahun hadapan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Persekutuan diminta selesai masalah pesawah segera

SABAK BERNAM 12 JAN : Kerajaan Persekutuan digesa segera menyelesaikan masalah pesawah berkenaan kenaikan potongan gred padi oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Kilang BERNAS Bagan Terap.

Adun Sabak, Sallehen Mukhyi menyatakan perkara demikian dalam memorandum bantahan pesawah DUN Sabak dan Sungai Panjang terhadap isu itu pada 11 Januari lalu.

Memo padiKatanya, potongan gred padi pada tahun ini adalah pada kadar 20 peratus berbanding pada tahun lepas sebanyak 17 peratus.

“Walaupun kupon atau subsidi dinaikkan, tetapi pada dasarnya petani masih kerugian hampir RM15 per tan berbanding pada 2015,” kata Sallehen di laman facebooknya.

Beliau berkata memorandum itu menuntut janji Kerajaan Persekutuan apabila menyebut melalui menteri berkenaan bahawa gred tidak dinaikkan dan kekal 17 peratus.

Katanya akan tetapi pada 1 Januari lalu potongan dilakukan BERNAS tetap juga naik pada kadar 20 peratus.

Mmorandum itu juga menuntut pengimportan beras (AP) tidak hanya dimonopoli BERNAS hingga mengakibatkan harga beras naik di pasaran.

“Sekiranya banyak syarikat dapat mengimport beras, tiada monopoli dalam pasaran dan persaingan ini menguntungkan pengguna,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Baja & racun sumbangan Kerajaan Negeri tingkat 2 tan hasil padi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 18 FEB: Penggunaan racun dan baja berasaskan pertanian lestari sumbangan Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan pengeluaran hasil padi sehingga lebih dua tan.

Pengusaha sawah padi, Mohamad Rauf Mohamad Thani, 53, berkata peningkatan hasil diperoleh selepas bertukar menggunakan baja bebas bahan kimia itu seperti dicadangkan Jabatan Pertanian Selangor.

tani interview B“Peningkatan selepas menggunakan bahan ini menjadikan hasil padi saya lebih bagus berbanding dahulu.

“Hasil sebelum ini untuk tiga ekar bendang yang saya usahakan lebih kurang lima tan. Selepas gunakan baja dan racun ini, ada peningkatan lebih dua tan menjadikannya hampir lapan tan.

“Saya nasihatkan pesawah lain gunakan bantuan ini. Kita kena manfaatkannya dengan baik,” katanya.

Mohamad Rauf berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif Pengurusan Sawah Padi Kerajaan Selangor kepada petani daerah Sabak Bernam di Balai Raya JKKK Parit 12 Timur, di sini, semalam.

taniinterview ASementara itu, Mohd Suhaimi Hassan, 46, juga mengakui akan cuba menggunakan baja organik bagi musim kali ini.

“Saya baru nak cuba selepas dapat maklumat penggunaan kaedah ini meningkatkan hasil. Jadi, saya belum tahu lagi apa hasilnya, cuba dahulu baru tahu. Rasanya, boleh bertambah seperti rakan yang pernah cuba,” katanya.

Sementara itu, Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri memilih baja bersifat organik selepas meneliti testimoni yang terbukti memberikan hasil lebih baik.

“Bagaimanapun, kita masih memerlukan maklum balas pesawah selepas menggunakan kaedah ini untuk kajian sama ada terdapat peningkatan berbanding sebelumnya,” katanya.

tani 3Sebelum itu, 650 pengusaha sawah padi di Sabak Bernam menerima sumbangan racun dan baja organik yang disumbangkan Kerajaan Negeri dalam majlis berkenaan.

Sumbangan itu  bagi menggalakkan pengusaha sawah padi beralih kepada kaedah pertanian lestari yang tidak menggunakan bahan kimia.

-NFN-