Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pustaka Selangor cadang anjur pesta buku daerah tahun depan

SHAH ALAM, 12 NOV: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bercadang menganjurkan pesta buku di setiap daerah di negeri ini mulai tahun depan, kata pengarahnya.

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata penganjuran itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat di pedalaman menyertai pesta buku berhampiran kawasan mereka.

“Insya-Allah Pesta Buku Selangor 2021 yang utama kita laksanakan pada bulan Disember setiap tahun manakala Januari hingga Oktober kita akan jelajah ke setiap daerah untuk menganjurkan pesta buku peringkat daerah.

“Malah, Kerajaan Negeri juga telah memberi bajet besar kepada kita setiap tahun untuk menaik taraf beberapa perpustakaan di setiap daerah dan ini masa terbaik untuk kita promosi dengan menganjurkan pesta buku,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, masih terdapat beberapa perpustakaan di setiap daerah yang sedang dinaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

“Apabila siap semua perpustakaan itu kita akan menganjurkan pesta buku peringkat daerah bagi memudahkan penduduk tidak perlu ke Shah Alam di samping memupuk minat membaca,” katanya.

Pesta Buku Selangor akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) mulai 2 hingga 12 Disember depan bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10 malam.

Pesta tersebut menawarkan hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000 secara keseluruhan iaitu pembeli bertuah bakal membawa pulang RM500 secara tunai pada setiap hari.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya pertandingan e-sukan, asah kreativiti bermain lego, cara mengguna dron, seminar menulis, seminar keibubapaan dan terapi ucapan bagi anak autisme atau lambat bertutur.