Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Ayuh meriahkan Pesta Buku Selangor, kekal patuh SOP – MB

SHAH ALAM, 17 NOV: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai memeriahkan Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini bermula 2 hingga 12 Disember depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Facebook mengingatkan pengunjung dan peserta pesta ilmu itu untuk kekal patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Ayuh bersama kita raikan pesta ilmu dengan mematuhi SOP sedia ada,” katanya.

Beliau berkata penganjuran pesta itu juga selari dengan status negeri sebagai pusat ilmu dan pendidikan utama.

“Selain dari gedung ekonomi negara, Selangor juga adalah gedung ilmu dan pusat pendidikan utama,” tulisnya.

Pesta buku selama 11 hari anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor akan bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik.

Selain kepelbagaian aktiviti, peserta juga berpeluang menjadi salah seorang daripada sembilan pemenang cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta Buku Selangor tawar hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000

SHAH ALAM, 13 NOV: Pesta Buku Selangor 2021 akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember menawarkan hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000 secara keseluruhan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata daripada jumlah itu pembeli bertuah bakal membawa pulang RM500 secara tunai pada setiap hari.

“Kita tidak mengenakan sebarang syarat pembelian sebaliknya pembeli hanya perlu mengisi borang dan menyatakan jumlah dibelanjakan pada pesta itu kemudian masukkan ke dalam kotak cabutan bertuah.

“Menariknya mereka yang membeli secara dalam talian juga boleh menyertainya manakala keputusan juga akan diumumkan setiap hari,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Mastura, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang 11 hari pesta itu berlangsung antaranya pertandingan e-sukan, asah kreativiti bermain lego, cara mengguna dron dan pertanian bandar (urban farming).

Selain itu, beliau berkata PPAS turut menganjurkan seminar menulis bagi kanak-kanak dengan panel jemputan penulis dan sasterawan terkemuka serta seminar keibubapaan juga terapi ucapan bagi anak autisme atau lambat bertutur.

“Menariknya semua aktiviti ini turut diadakan secara dalam talian selaras dengan tema iaitu ‘Menghubungkan Hati dan Minda’…meskipun pandemik Covid-19 orang ramai masih boleh sertai mengguna pelbagai medium yang ada,” katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 anjuran PPAS menyediakan 152 gerai jualan termasuk penyertaan pempamer pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa.

Turut tidak dilupa golongan orang kelainan upaya dan warga emas, pesta buku kali ini juga menyediakan skuter dan kerusi roda sebgaai alternatif memudahkan mereka mengelilingi dewan untuk memilih buku kegemaran.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta Buku Selangor tawar lebih 200,000 karya tempatan, antarabangsa

SHAH ALAM, 12 NOV: Lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara ditawarkan pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata pesta 11 hari itu turut diadakan secara hibrid bagi memberi peluang kepada mereka tidak dapat hadir untuk membeli buku kegemaran.

Menurut Datin Paduka Mastura Muhamad, kehadiran orang ramai dialu-alukan ke pesta bermula jam 10 pagi hingga hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10 malam.

“Bertema ‘Menghubungkan Hati dan Minda’ bermakna meskipun kita sedang diuji dengan pandemik Covid-19 tetapi setiap kesukaran pasti ada kemudahan dan susulan itu kita turut melaksana pesta buku secara hibrid.

“Kita harap dengan penganjurannya masyarakat dapat menyokong semua peniaga supaya mereka dapat balik dengan ‘kotak kosong’ (buku semua habis dijual),” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mastura berkata pesta buku kali ini turut dijalankan dengan kerjasama Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi memberi peluang orang awam untuk membeli buku secara dalam talian.

Selain itu, katanya kerjasama turut dimeterai dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, platform membeli-belah Shopee dan Maybank sebagai rakan strategik transaksi pembayaran.

Mengulas berhubung tatacara operasi piawai (SOP), Mastura berkata sekitar 1,000 ke 1,500 orang sahaja dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa dan mereka akan diberi sistem nombor.

“Manakala, bagi individu menunggu giliran untuk masuk tidak perlu bimbang kerana kita juga menyediakan kerusi dan ruang yang selesa dalam pekarangan dewan SACC termasuk terdapat kafeteria untuk menjamu selera,” katanya.

Tambah Mastura, Pesta Buku Selangor 2021 akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Disember jam 3 petang dan turut melancarkan beberapa naskah buku.