Categories
ADN SELANGOR

DUN Pandan Indah peruntuk lebih RM3,000 rai Pesta Ponggal

SHAH ALAM, 10 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah memperuntuk RM3,575 bagi sumbangan kepada kaum India yang bakal meraikan pesta Pongal 14 Januari ini.

Wakil rakyat Ir Izham Hashim berkata daripada jumlah itu seramai 55 orang menerima barangan asas antaranya susu, kacang, gula merah, minyak sapi, periuk dan senduk.

“Sumbangan ini sebagai persediaan buat mereka untuk menyambut perayaan itu tidak lama sahaja lagi.

“Semoga dengan bantuan ini dapat menceriakan sambutan Pesta Pongal kali ini,” katanya ketika dihubungi.

Pesta Pongal merupakan perayaan semasa musim menuai yang diraikan secara meluas oleh etnik Tamil dan bertujuan memberi rehat kepada pesawah dan ternakan.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 12 FEB: Seramai 200 masyarakat India memeriahkan sambutan Pesta Ponggal anjuran MPP Zon 9, Sri Muda, bertempat di Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, program itu bertujuan meraikan perayaan bagi masyarakat India di kawasan berkenaan.

“Setiap tahun kita mengadakan program ini di lokasi berbeza dan melalui program seumpama ini, diharapkan masyarakat sekeliling tahu bahawa saya ada turun kawasan.

“Ini juga adalah landasan terbaik yang mana saya dapat mendengar luahan masalah dan isu berbangkit dari penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Pesta Ponggal di sini, semalam.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, lebih 70 peratus isu berbangkit di kawasan itu berjaya diselesaikan sehingga kini.

Katanya, ia termasuk isu setempat seperti masalah masjid, pasar, banjir dan jenayah.

“Ada masalah yang sampai ke pengetahuan kita dan ada yang sebaliknya.

“Diharap masyarakat dapat bersama-sama membantu menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang masalah atau cadangan,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bingkai muafakat, aset keharmonian Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 4 FEB : Penyatuan kaum yang diterapkan seluruh rakyat di negeri ini berjaya mengukuhkan keharmonian dan perpaduan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, prinsip itu juga menjadi aset terpenting kepada permuafakatan dan kestabilan semua lapisan kaum di Selangor.

“Walaupun kita hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum dan agama, namun kita berani nyatakan bahawa inilah yang menjadi aset kepada pengukuhan keharmonian Selangor.

“Rakyat yang bersatu hati dan bekerja kuat pastinya akan dilimpahi dengan rezeki kemajuan ekonomi negeri dari Tuhan.

“Buktinya, walaupun kita diserang oleh pihak tertentu dan ada media yang memutar belit kenyataan pimpinan Selangor, namun negeri kita ini muncul sebagai negeri paling maju dan kaya dalam Malaysia,” katanya.

Justeru katanya, prinsip keamanan itu perlu dikekalkan selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk mengangkat agenda kebajikan rakyat seluruh negeri.

“Kalau inilah semangat yang ditekankan seluruh rakyat, saya percaya negara ini juga boleh lebih maju dan gagah serta mampu memberikan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia yang bermaruah di dalam negara ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ponggal Peringkat Negeri Selangor di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong malam tadi.

Majlis berkenaan turut menyaksikan lebih 5,000 warga Puchong pelbagai bangsa memeriah sambutan program Ponggal berkenaan.

Hadir sama, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman; Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han; dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh.

=EZY=