Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan 124 individu leka berpesta sambut hari jadi

GEORGE TOWN, 11 NOV: Polis menyerbu sebuah pusat karaoke (KTV) dan menahan 124 individu termasuk 26 orang dipercayai anggota kongsi gelap yang sedang berpesta bagi meraikan sambutan hari jadi seorang daripada mereka di Pulau Tikus, di sini awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata serbuan pukul 1 pagi itu dijalankan oleh oleh Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) JSJ negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hasil risikan serta maklumat awam.

Beliau berkata semasa diserbu 99 orang lelaki dan 25 wanita termasuk warga asing, berumur antara 15 dan 70 tahun itu sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat, dan hasil ujian air kencing mendapati 21 daripada yang ditahan adalah positif dadah.

“Kesemua mereka berada di situ untuk berpesta bagi meraikan satu sambutan hari jadi.. pemeriksaan lanjut juga mendapati 26 daripada mereka mempunyai tatu dipercayai sebagai tanda anggota kumpulan kongsi gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua 124 induvidu itu kini direman untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya.

“Selain itu, polis turut menjalankan siasatan menurut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 iaitu kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin,” katanya.

– BERNAMA