Categories
SELANGOR

MB antara 6,000 peserta sertai PJ Half Marathon 2015

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEP: Kemeriahan Petaling Jaya Half Marathon 2015 diserikan dengan penyertaan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mengambil peluang berlari sejauh satu kilometer bermula daripada pekarangan Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mohamed Azmin berbuat demikian sejurus melepaskan peserta larian bagi kategori 3 km Family Fun Run sekitar jam 7.00 pagi bersama-sama Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain.

PJ HALF MARATHON 1Beliau sebelum itu mengambil kesempatan beramah mesra bersama peserta hadir bersama keluarga dan orang kelainan upaya (OKU) serta merakamkan foto kenangan sambil memegang Jalur Gemilang.

Petaling Jaya Half Marathon 2015 menyaksikan penyertaan hampir 6,000 peserta yang dibahagikan kepada empat kategori, Larian 21 km, 10 km, 7 km dan 3 km Family Fun Run bermula jam 5 pagi.

Turut kelihatan mengambil bahagian adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang menyertai kategori larian 21 km untuk tahun ketiga.

Meskipun sibuk menguruskan kerjaya sebagai ahli politik, beliau tetap meluangkan masa untuk berlari sekurang-kurangnya tiga hingga 40 km seminggu bagi mengekalkan stamina selain menyertai beberapa pertandingan larian terbuka.

Beliau yang ditemui Selangor Kini mengakui acara larian dianjurkan tahun ini lebih menarik berbanding tahun sebelumnya terutama penetapan jajaran perjalanan.

“Jajaran baru diaturkan lebih menarik melalui NPE dan masuk ke PJ Old Town. Ia memberi sedikit kelainan berbanding sebelum ini ke arah LDP menuju Ara Damansara yang sedikit bosan,” katanya sejurus menamatkan larian dalam masa 1 jam 55 minit.

EZY