Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

250 petani negeri terjejas bah dapat bantuan awal RM500,000

SEPANG, 2 MAC: Seramai 250 petani yang menjadi mangsa banjir pada Disember tahun lalu menerima bantuan awal RM500,000 daripada Kerajaan Negeri.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata bantuan lain akan terus disalurkan termasuk sumbangan kerajaan persekutuan bagi memastikan hasil tani tidak terputus.

“Walaupun terkesan teruk (banjir), namun mereka bangkit meneruskan aktiviti pertanian. Jadi, sumbangan berupa baja ini sebagai langkah menaikkan semangat mereka.

“Bukan hanya kebun musnah tetapi peralatan dan kemudahan bertani seperti pam fertigasi rosak serta terpaksa menanggung kerugian lebih RM10 juta,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan video animasi berkenaan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi mempromosikan hasil tanaman berkualiti kepada orang ramai.

Sementara itu, Ir Izham berkata Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 turut diagihkan kepada petani yang kediamannya dinaiki air.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menjayakan BSB bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai kepasa isi rumah dan waris korban banjir.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor teliti bantu peniaga kecil, petani terjejas banjir

SEPANG, 28 DIS: Kerajaan Negeri sedang meneliti bantuan sewajarnya kepada peniaga kecil dan petani yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya mahu memfokuskan kepada pembersihan pascabanjir terlebih dahulu.

“Kita faham petani, usahawan perusahaan kecil dan sederhana turut terkesan dengan bencana ini tetapi kita akan melihat kepada kemampuan dan keupayaan untuk membantu mereka.

“Buat masa ini kita akan tumpu kepada pembersihan, kita akan umum dari semasa ke semasa untuk bantuan lain,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pascabanjir di Sepang hari ini.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan kediaman di Kampung Cemperai Dengkil selain meninjau kerja baik pulih jambatan menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir.

Menurut Amirudin jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Sepang juga semakin berkurang dan hanya beberapa sahaja masih aktif.

“Untuk di sini (Sepang), majoriti mangsa tidak berpindah di PPS, lebih 9,000 keluarga hanya duduk di rumah masing-masing meskipun kejadian banjir menimpa,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalin kerjasama swasta tingkat hasil padi, pendapatan pesawah

SHAH ALAM, 30 NOV: Program Smart Sawah berskala besar diperkenal sebagai strategi meningkatkan hasil keluaran padi di negeri ini.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pengurusan tanaman padi melalui program itu dibuat dengan penglibatan pihak swasta bersama pesawah.

Usaha lain, katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan variati yang seragam dan kawalan perosak secara bersepadu bersama kelompok petani.

“Kita juga menyelaras penjadualan tanaman secara seragam dan menggalakkan pesawah untuk menuai padi tepat pada masanya sekali gus menambah pendapatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung perancangan Selangor untuk menambah pengeluaran tanaman itu di negeri ini.

Mengulas bentuk bantuan kepada pesawah terkesan dengan serangan penyakit dan makhluk perosak padi, Ir Izham berkata peruntukan disediakan melalui dana penyelenggaraan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Sementara itu, beliau berkata kerja menaik taraf sistem pengairan seperti parit dan palong air dilakukan IADA Barat Laut Selangor secara berperingkat.

“Ia dilakukan secara berperingkat mengikut peruntukan diluluskan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

1,000 petani terima data internet percuma mulai minggu ini

TANJONG KARANG, 19 OKT: Kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi internet percuma selama setahun diagih kepada warga tani seluruh negeri mulai minggu ini.

Seramai 1,000 warga tani akan menerima data internet 45 gigabit (gb) setiap bulan daripada 2,000 yang disasarkan, kata EXCO pertanian dan industri asas tani.

“Kita ada kuota 2,000 tetapi hanya 1,000 permohonan diterima. Mungkin mereka ingat warga tani itu untuk pertanian sahaja padahal ia juga melibatkan penternakan, perikanan dan industri makanan.

“Bagaimanapun, banyak permohonan diterima daripada warga tani di kawasan Utara Selangor. Baki kuota mungkin akan diserahkan semula kepada bahagian lain,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Dewan Terbuka Taman Sri Setia di sini semalam.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi internet percuma selama 12 bulan.

Beliau menjelaskan inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri belanja RM3.4 juta bantu penternak, petani

BANDAR BARU BANGI, 8 OKT: Sejumlah RM3.4 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu penternak dan petani terkesan pandemik Covid-19.

EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata ia termasuk inisiatif Agro Prihatin Selangor yang dilaksana bagi membeli lambakan hasil tani.

“Setakat ini tidak lagi dengar lambakan hasil tani dan semuanya sudah stabil dan boleh memfokuskan kerja pembangunan untuk meningkatkan hasil,” katanya selepas melawat Kebun Komuniti Seksyen 8 Prima di sini semalam.

Terdahulu Izham diiringi Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Sg Ramal Mazwan Johar menyampaikan baucar makanan akuakultur di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada 39 penternak ikan di daerah Hulu Langat.

Menurut Izham baucar makanan itu diberikan untuk membantu mengurangkan beban berikutan kenaikan harga ternakan sekaligus dapat meneruskan usaha penternakan.

“Bagi penternak ikan mereka menerima bantuan makanan ikan, baja tanaman, nelayan mendapat subsidi petrol manakala penternak lembu diberi bantuan makanan ruminan,”katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM700,000 beli hasil tani tidak terjual, elak petani rugi

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak RM700,000 dibelanjakan Kerajaan Negeri setakat ini untuk membeli lambakan hasil pertanian tidak terjual susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata jumlah itu adalah daripada RM1.5 juta yang diperuntuk menerusi program Agro Prihatin Selangor untuk mengelak petani kerugian.

“Kita beli dan kita bantu jual dengan hasil paling banyak sekali keledek, pisang dan beberapa jenis sayur-sayuran,” katanya selepas meninjau kerja menaik taraf jalan Kampung Lombong di sini, hari ini.

Program Agro Prihatin Selangor berjaya mengatasi isu hasil pertanian tidak terjual susulan pelaksanaan PKP dalam tempoh panjang.

Menerusi inisiatif itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membeli lambakan hasil serta membantu petani menjual untuk mengelak kerugian.

Pada 2 Jun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua hasil pertanian dijual semula 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran di 12 lokasi terpilih.

Kerajaan Negeri turut memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan.

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM2.8 juta bantu petani depani pandemik

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak RM2.8 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor bagi terus membantu petani negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata peruntukan tersebut turut diagihkan kepada nelayan dan penternak yang terjejas.

“Bantuan kepada mereka sentiasa berterusan dan terbaharu sebanyak RM2.8 juta merangkumi makanan ternakan kepada penternak, subsidi petrol untuk nelayan dan petani menerima baja kompos,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kerja menaik taraf jalan Kampung Lombong di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Categories
AGENSI SELANGOR

Data internet percuma mudahkan urusan perniagaan maya nelayan, petani

SHAH ALAM, 12 OGOS:Pemberian internet percuma kepada petani membantu golongan itu meluaskan perniagaan ke platform e-dagang, kata pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor.

Mohd Bukhari Bachok berkata menerusi skim Data Internet Selangor (DIS) petani sentiasa mempunyai akses teknologi yang memudahkan urusan jualan dalam talian.

Pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor, Mohd Bukhari Bachok

“Sekarang ramai petani terjejas akibat pandemik Covid-19 jadi bantuan ini dilihat membantu petani untuk cuba pasarkan produk mereka secara maya.

“Mereka boleh mempelbagaikan cara promosi malah pelanggan juga tidak terhad,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Langat melihat bantuan berkenaan akan memudahkan urusan kerja mereka.

“Bila ada internet setiap masa, urusan seperti nilai jualan dan jumlah tangkapan akan lebih cepat diketahui malah membolehkan jualan segar dibuat di media sosial.

“Saya akan menggesa semua ahli untuk rebut peluang ini. Kerja akan menjadi mudah selain dapat tingkatkan pendapatan,” kata Mat Jaman Haris.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim meminta petani memanfaatkan tawaran data internet percuma selama 12 bulan itu berikutan terdapat kuota 2,000 untuk golongan terbabit.

Mereka yang berminat boleh mengisi butiran diri menerusi pautan Tinyurl.com/DISWargaTani sebelum permohonan ditutup 31 Ogos ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet secara percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM600,000 bantu petani, penternak terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM648,600 bagi membantu petani dan pengusaha ternakan yang terjejas berikutan Covid-19.

EXCO pertanian berkata sumbangan kepada 934 penerima meliputi bantuan makanan ternakan, akuakultur dan bahan mentah yang diagih secara berperingkat.

“Tujuan bantuan untuk meringankan beban mereka dan memberi semangat supaya terus bertani dan menternak.

“Kita juga akan sentiasa membantu golongan ini kerana mereka antara yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

12,000 petani terjejas wabak Covid-19 terima bantuan makanan

SABAK BERNAM, 9 MAC: Seramai 12,000 petani seluruh Selangor menerima bantuan makanan asas susulan penularan pandemik Covid-19.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata jumlah itu membabitkan 7,000 penerima sepanjang tahun ini manakala 5,000 pada Mac hingga Disember tahun lalu.

“Semua menerima bantuan berupa beras, minyak, gula, biskut dan sebagainya dengan anggaran RM100 seorang.

“Kita akan sentiasa membantu golongan ini kerana mereka turut terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Kelong Paradise Waterfront Resort di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan 10,160 petani menerima sumbangan keperluan pertanian menerusi Pakej Kita Selangor.

“Ini termasuk bantuan makanan ternakan ruminan dan bukan ruminan, makanan ternakan akuakultur, baja kompos serta baucar petrol bernilai RM300 dengan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta,” katanya.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Pakej Kita Selangor bernilai RM73.8 juta dengan RM2 juta darinya untuk sektor pertanian.

Pakej itu antara lain melibatkan pelupusan pinjaman pelajaran, bantuan makanan, mencipta pekerjaan dan pembelajaran percuma.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jamin kualiti tanaman, petani gembira dapat baja kompos

HULU LANGAT, 26 FEB: Petani sekitar pekan Beranang menyambut baik sumbangan baja kompos oleh Kerajaan Negeri bagi menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti.

Pengusaha makanan ternakan ruminan Mazlina Kamaruzaman, 54, berkata baja bersifat mesra alam membolehkan tanaman rumput gajah yang diusahakannya menjadi lebih besar dan sihat.

Mazlina Kamaruzaman

“Semoga tanaman saya seluas lima ekar akan menjadi lebih subur, terima kasih Kerajaan Negeri kerana tidak melupakan warga tani di Beranang,” katanya yang menerima lima beg baja kompos.

Seorang lagi penerima Shahril Anuar Mohamad, 47, pula berkata bantuan itu meringankan beban petani terutama ketika mendepani pandemik Covid-19.

Dia yang mengusahakan tanaman pisang memaklumkan baja mencecah ratusan ringgit itu dijamin lebih selamat dan menjadikan apa juga jenis tumbuhan lebih segar.

Kedua-dua penerima berkenaan antara 40 warga tani di daerah tersebut yang menerima sumbangan baja kompos seberat 6,400kg dari Kerajaan Selangor semalam.

Tahun ini, bantuan baja tersebut ditambah kepada 500 tan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya bagi membantu petani seluruh negeri.

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Lebih 3,000 petani terima manfaat RM2 juta

Seramai 3,160 penternak, petani dan nelayan mendapat manfaat Pakej Kita Selangor melalui lima program Bantuan Warga Tani.

Dalam laporan kemajuan 20 inisiatif pakej tersebut, Unit Perancangan Ekonomi Negeri memaklumkan semua manfaat dirancang melalui peruntukan RM2 juta iaitu:

– Baja kompos (tinja ayam) kepada 910 penerima
– Makanan ternakan ruminan dan bukan ruminan kepada 250 penerima
– Makanan ternakan akuakultur kepada 150 pengusaha
– Baucar petrol kepada 1,350 nelayan
– Bahan mentah untuk pengeluaran hasil siap kepada 500 pengusaha industri asas tani

Pengagihan baja kompos membabitkan kos RM455,000 dijadual pada minggu ke-
tiga Februari.

Bagi makanan ternakan termasuk akuakultur, Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Vetrerinar ne-geri telah menyerahkan senarai penerima.

Proses sebut harga sedang dibuat bagi mendapatkan bekalan membabitkan kos RM400,000.
Baucar petrol pula akan diagih Jabatan Perikanan Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum akhir Februari melalui peruntukan RM405,000.

Pengagihan bahan mentah bernilai RM250,000 pula akan dibuat Fama Selangor sekitar minggu depan secara berperingkat.