Categories
ADN SELANGOR

Beg berisi kuih, jus hargai petugas hadapan sempena Deepavali

SHAH ALAM, 2 NOV: Wakil rakyat Sentosa menyumbang 150 beg Deepavali kepada 150 petugas barisan hadapan berbangsa India sempena perayaan tersebut Khamis ini.

Beg berisi kuih dan jus bernilai RM50 setiap satu diedar kepada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Balai Bomba dan Penyelamat Andalas serta Pejabat Kesihatan Daerah Klang, kata Dr Gunaraj George.

“Sumbangan ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa berjuang memutuskan rantaian Covid-19 tanpa mengira penat lelah.

“Malah, saya difahamkan ada sebahagian mereka tidak berpeluang pulang ke kampung halaman meraikan Deepavali atas tuntutan kerja. Diharap, bantuan ini mampu memberi keceriaan dan semangat kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih kepada petugas hadapan wanita

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam pada itu, semasa sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus Covid-19 di negara ini.

Katanya angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka.

“Individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah mereka yang ambil vaksin tidak lengkap, dua orang telah meninggal dunia. Ini bermakna individu yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak mengambil vaksin.

“Ini kadang kala bukan kerana mereka tidak mahu divaksin sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandemik Covid-19: Ramai petugas hadapan alami tekanan melampau

SHAH ALAM, 27 JUN: Sebanyak 39.1 peratus daripada 893 petugas barisan hadapan mengalami tekanan melampau akibat kerja ketika berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka terdiri daripada kumpulan pegawai kesihatan persekitaran dan petugas makmal.

Menurut beliau, hal itu berlaku apabila mereka perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.

“Kajian dijalankan Roslan N.S. et. al. (2021) mendapati tekanan berkaitan peribadi paling tinggi iaitu 53.8 peratus adalah dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah.

“Tekanan berkaitan pekerjaan adalah sebanyak 39.1 peratus di mana penolong pegawai kesihatan persekitaran (PPKP) dan petugas makmal mencatat peratusan tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tekanan berkaitan pesakit pula katanya, sebanyak 17.4 peratus membabitkan petugas kesihatan di hospital swasta dan golongan paramedik.

Berikut antara faktor yang mencetus situasi tekanan babitkan petugas hadapan:

1. Merasakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat
kerja
2. Bebanan tugas yang tinggi
3. Ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang
4. Pertukaran dan proses adaptasi terhadap tatacara operasi piawai (SOP) yang pelbagai
5. Rancangan kerjaya terganggu
6. Kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska anak petugas kesihatan di Maeps mula operasi hari ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Taska yang menempatkan anak petugas hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang memulakan operasi hari ini.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri berkata kemudahan tersebut memberi kelegaan kepada kepada ibu bapa yang memerlukan tempat jagaan anak.

“Operasi taska berjalan mengikut waktu pejabat dan setakat hari ini seramai 41 kanak-kanak mendaftar, kita jangka bilangannya akan bertambah lagi.

Taska menempatkan anak petugas hadapan di Maeps, Serdang. Foto ihsan Bahagian (Khidmat Pengurusan) Kerajaan Negeri

“Kita berharap inisiatif ini meringankan beban petugas hadapan yang banyak berkorban nyawa mengekang perebakan Covid-19,” kata Muhamad Shah Osmin kepada SelangorKini hari ini.

Pada 2 Februari, Dato’ Menteri Besar menganggar seramai 2,000 petugas hadapan atau sebahagian yang berkhidmat di PKRC akan menghantar anak ke taska.

Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari memperuntuk RM1 juta melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu melibatkan pembukaan taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang memberi manfaat hampir 400 keluarga petugas hadapan di
seluruh negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Gerakkan sejuta sukarelawan bantu petugas hadapan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kecekapan negara menguruskan pandemik Covid-19 terus mendapat pengiktirafan global, kali ini menerusi ranking Indeks Prestasi Covid oleh Lowy Institute, sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia.

Menerusi dapatan berkenaan, Malaysia berada dalam kedudukan ke-16 mendahului Finland, Norway dan Korea Selatan dengan skor purata 71 peratus, tiga tangga di bawah negara jiran Singapura pada tempat ke-13.

Meskipun ia boleh dianggap satu pencapaian membanggakan, namun dengan situasi semasa Covid-19 dalam negara yang kini telah meragut lebih 700 nyawa dan mencatat kes kumulatif lebih 200,000, pakar perubatan tempatan berpendapat bahawa kerajaan perlu melakukan perubahan strategi.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ini terutamanya bagi mengelak petugas barisan hadapan daripada keletihan melampau yang boleh memberi impak kepada kesihatan dan tugasan mereka.

Bekas konsultan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Program Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Vietnam itu berkata sudah tiba masanya sukarelawan bukan perubatan dipanggil seperti yang dipraktikkan penjagaan kesihatan primer di Thailand dan Vietnam.

Sukarelawan ini, menurutnya boleh ditugaskan bagi melakukan kerja-kerja mudah seperti pengesanan kontak, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard, pematuhan kuarantin di rumah dan penyampaian maklumat kesihatan termasuk di kawasan pedalaman.

“Seeloknya kita panggil sejuta sukarelawan mewakili 32 juta penduduk di setiap negeri… mereka mestilah bukan daripada agensi-agensi kerajaan sedia ada yang sudah pun mempunyai beban tugas hakiki yang besar pada masa ini.

“Sukarelawan ini perlu ada di setiap lokaliti di bandar dan kampung. Mesti dilatih dengan modul khusus oleh pihak yang berautoriti dan diberi sokongan dan punca kuasa. Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Majlis Keselamatan Negara boleh menyelaras dan memantau,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata Malaysia juga perlu menjalin kerjasama dan bertukar pandangan dengan negara yang berjaya mengawal kadar kematian seperti Singapura, Taiwan dan China.

“Kita kalau boleh kena melihat juga apa perkembangan rawatan di negara-negara lain dan melaksanakan secara cepat, contohnya China guna kaedah tradisional, bagaimana pula dengan kita?” katanya.

Dr Sazaly juga berpandangan perlunya pendapat daripada pakar-pakar dari universiti tempatan diguna pakai, daripada semata-mata menyerahkan isu berkenaan bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan.

Pendapat sama diusulkan 46 pakar kesihatan sebelum ini agar satu pasukan petugas khas Covid-19 dibentuk daripada pakar perubatan, ekonomi dan pelbagai sektor berkaitan untuk menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan menyelaraskan respons pelbagai kementerian dan agensi di dalam kerajaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan segera umum langkah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan perlu segera mendedahkan strategi bagi membendung penularan Covid-19 berikutan sistem kesihatan negara semakin tenat.

Ketua pembangkang berkata perancangan tersebut antara lain perlu memastikan ekonomi terus bergerak seiring usaha mencegah penularan wabak.

“Jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia kemungkinan negara merekodkan sebanyak 8,000 kes harian sangat membimbangkan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Town Hall Anak Muda Keadilan (AMK) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru pada 20 April 2019. Foto BERNAMA

“Saya menggesa setiap kita untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) setiap masa bagi melindungi diri, keluarga, rakan sejawat dan teman dari wabak ini.”

Beliau mengingatkan pemimpin politik untuk meningkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima layanan istimewa.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada petugas hadapan yang komited menjalankan tugas meskipun terdedah kepada wabak.

“Pengorbanan mereka pada negara dan rakyat tidak kecil nilainya dan wajar disanjungi,” katanya.

Pada masa sama, presiden Pakatan Harapan turut mendoakan kesembuhan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Rina Mohd Harun dan semua yang dijangkiti Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas hadapan redah hutan jejak kontak Covid-19 di Sabah

PUTRAJAYA, 22 OKT: Cabaran terbesar yang dihadapi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penularan Covid-19 di Sabah ialah terpaksa meredah hutan tebal bagi menjalankan pengesanan kontak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana, kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman negeri itu bertindak melarikan diri apabila melihat pihak berkuasa datang ke kampung mereka bagi menjalankan ujian saringan Covid-19.

“Mereka (yang bergejala) mahu melarikan diri apabila mereka nampak pasukan barisan hadapan datang… di Kampung Air misalnya, ada hutan tebal dan mereka cuba lari ke situ.

“Kami juga berdepan masalah apabila mahu masukkan mereka ke hospital dan perlu memaksa mereka,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata keadaan itu berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang pandemik tersebut dalam kalangan komuniti berkenaan.

Mengulas perkembangan berbeza, Dr Noor Hisham berkata KKM akan menjalankan pemeriksaan susulan ke atas bekas pesakit Covid-19 setiap tiga bulan bagi mengesan sebarang kesan sampingan serta komplikasi pada bekas pesakit, khususnya mereka yang bertahap empat dan lima.

Beliau juga menganjurkan bekas pesakit membentuk kumpulan sokongan dan KKM bersedia memberikan bimbingan.

“Bagus kalau mereka boleh membentuk kumpulan dan berkongsi pengalaman masing-masing seperti bagaimana mereka menghadapinya,” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Petugas hadapan kembali ke ‘medan perang’

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Para petugas barisan hadapan (frontliners) khususnya petugas kesihatan sekali lagi berhadapan cabaran besar apabila negara kini dilanda gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan jumlah kes positif baharu kembali mencatat tiga angka sejak 23 September lepas.

Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu sehingga kini, jumlah kes harian baharu tinggi dicatatkan saban hari dengan Sabah menjadi ‘medan peperangan’ paling kritikal.

Semalam (18 Oktober), jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu pada 7,049 kes.

Sabah pula terus mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 702 kes (80.6 peratus).

Tiada istilah serik

Dr Noor Hisham sebelum ini pada 12 Oktober menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah mencapai tahap kritikal dan beberapa strategi serta pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 13 hingga 26 Oktober, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (14 hingga 27 Oktober) serta di Wilayah Persekutuan Labuan (17 hingga 30 Oktober), bagi tujuan mengekang penularan pandemik.

Meskipun menyarung peralatan perlindung diri (PPE) yang berlapis-lapis dan melakukan ujian saringan di bawah khemah yang panas membahang mungkin bukan lagi menjadi isu utama, namun sebagai manusia biasa, perasan bimbang, takut, sedih dan kecewa pastinya tetap bersarang dalam diri setiap petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat.

Ramai dalam kalangan mereka telah ditugaskan ke Sabah serta beberapa kawasan zon merah di Semenanjung.

Berkongsi pengalaman, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, Sabah, Dr Saraswathy Subramaniam berkata beliau tidak sabar untuk kembali bertugas setelah tamat menjalani tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19 pada 29 September lepas.

Dr Saraswathy, 29, dijangkiti pandemik itu sewaktu ditugaskan di Hospital Semporna pada awal September lepas berikutan peningkatan jumlah kes di daerah berkenaan.

Penduduk kampung menjalani saringan Covid-19 yang diadakan di Surau Al-Ubudiah Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai, Baling, Kedah pada 18 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Tubuh badan menjadi sangat lemah, hampir pitam malah saya turut mengalami keradangan jantung akibat jangkitan Covid-19. Sungguh pun begitu, tiada istilah serik untuk diri ini.

“Saya tidak sedih ketika disahkan positif Covid-19 malah sudah bersedia untuk menerima sebarang risiko saat diarahkan bertugas di Hospital Semporna. Walaupun ketika itu saya turut mengalami gangguan deria bau, saya sangat bersyukur kerana ada keadaan pesakit lain yang lebih teruk daripada itu,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Kini dengan situasi semasa yang diibarat ‘kembali ke medan perang’ Dr Saraswathy berkata, petugas kesihatan terpaksa bertungkus lumus bekerja tanpa mengira siang dan malam malahan tidur juga tidak mencukupi memandangkan jumlah pesakit yang bertambah dan tidak setara dengan kemudahan yang ada.

Lebih membuatkan golongan itu semakin lelah ialah apabila ada pesakit yang ‘menghilangkan diri’ ketika menunggu keputusan ujian saringan sekali gus menambah risiko sehingga ada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19.

“Sabah kini dalam keadaan tenat dan apa yang berlaku mengajar saya betapa berharganya kehidupan. Sebagai doktor, saya akui berdepan cabaran untuk merawat pesakit yang terlibat kerana saat mereka tiba di hospital, keadaan mereka sudah teruk – di peringkat empat dan lima, dengan pelbagai komplikasi.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), mengurangkan sebanyak mungkin kontak, memberi rawatan segera apabila pesakit mempunyai simptom dan memastikan kebersihan di tahap maksimum,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor dan akan kembali bertugas di Hospital Semporna pada minggu ini.

Bagai ‘dejavu’

Bagi Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Mohd Afiq Mohd Nor, kejadian yang berlaku ketika berada di beberapa zon merah di Semenanjung serta Sabah seolah-olah ‘dejavu’ buat dirinya serta petugas kesihatan yang lain.

Jelas beliau yang berpengalaman selama 10 tahun di Jabatan Kecemasan, persediaan yang sedang dilakukan di PPUM kini umpama mengulangi apa yang berlaku pada Mac lepas.

“Kita perlu susun semula petugas, pasang semula khemah saringan, ingatkan semula cara pemakaian PPE serta SOP. Fasa pemulihan selepas tiga bulan ‘berperang’ dengan Covid-19 dulu pun belum habis, kini kita perlu sambung semula demi kepentingan rakyat,” katanya.

Meskipun berpengalaman mengendalikan situasi itu namun perkara yang paling ingin dielakkan ialah tidak mahu ada rakan sepasukan yang ‘kecundang’ akibat dijangkiti Covid-19.

Petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Baling bersiap sedia untuk melakukan saringan ke atas penduduk setempat yang diadakan di Surau Al-Ubudiah Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai pada 18 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Katanya, melihat sendiri ada petugas yang disahkan positif dengan kesakitan yang dialami seperti sesak nafas dan mengharungi tempoh kuarantin membuatkan rasa bimbang berlipat ganda walaupun setiap langkah keselamatan telah diambil.

“Sebab itu kita selalu ingatkan setiap petugas supaya jangan lalai ketika mengendalikan pesakit atau peralatan. Sebab kita tak tahu bila-bila masa sahaja akan ada pesakit yang terdedah dan terlepas masuk ke bilik rawatan,” katanya.

Turut senada dalam perkara itu, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Samhan Awang tidak menafikan tahap tekanan yang dialami para petugas perubatan tidak boleh dipandang remeh.

“Stres (tekanan) fizikal kerana beban kerja yang bertambah dan jika ada rakan setugas yang di kuarantin, beban kerja semakin berat. Tekanan mental turut bertambah apabila ada pesakit yang menyembunyikan sejarah ada kontak rapat.

“Tiada pilihan kecuali terus bertahan di samping sering memberi kata-kata semangat kepada rakan setugas untuk terus kuat kerana rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada ‘frontliners’ untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik,” katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut menyifatkan itulah pengorbanan yang perlu dihadapi petugas barisan hadapan malah beliau sendiri pada bila-bila masa bersedia untuk dihantar ke kawasan zon merah termasuk di Sabah, memandangkan banyak tenaga dan pengalaman menguruskan situasi kritikal diperlukan di negeri itu ketika ini.

Kental hadapi zon merah

Bagi Pengerusi Kelab Belia Tinagayan (KeBaT) Fazlan Thomas, biarpun ramai yang menganggap tindakannya bersama 16 sukarelawan lain sebagai ‘kerja gila’ apabila sanggup bergadai nyawa berkhidmat di kawasan zon merah bilik gerakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna, namun baginya ia adalah secebis pertolongan yang boleh disalurkan di saat Sabah dilanda musibah.

Jelas lelaki berusia 32 tahun itu, idea untuk berkhidmat di bilik gerakan berkenaan timbul apabila terdapat rakan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri meminta bantuan sukarelawan memandangkan kakitangan Hospital Semporna semakin hari semakin berkurangan susulan beberapa petugas yang didapati positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin.

“KeBaT cuba membantu memandangkan kami juga tidak dapat bergerak untuk agihan makanan dan susu seperti sebelum ini berikutan PKPB.

Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Saya menghebahkan di media sosial sedang mencari sukarelawan dan tidak menyangka ramai yang berminat termasuklah dari daerah lain bahkan dari Sarawak dan juga Semenanjung,” katanya yang menjelaskan khidmat pasukan itu bermula 11 Oktober lepas selepas menjalani ujian saringan.

Walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk dijangkiti Covid-19, kesemua sukarelawan yang bertugas setakat ini mampu menarik nafas lega memandangkan mereka sepenuhnya di bawah seliaan KKM di mana aspek penjagaan SOP amat dititikberatkan.

Jelas beliau yang turut bertindak sebagai urusetia bagi pengurusan sukarelawan di bilik gerakan berkenaan, antara tugas tetap sukarelawan yang berumur antara 17 dan 40 tahun itu adalah menyahkuman kawasan sekitar, memberi makanan kepada pesakit serta menguruskan keperluan logistik dan dokumentasi bilik gerakan.

“Kami sudah menguatkan hati dan semangat untuk menyertai misi ini walaupun ada antara kami yang terpaksa tinggal sementara di flat PPR Bubul Ria kerana risau akan keselamatan ahli keluarga apabila perlu berulang-alik ke rumah,” katanya sambil menambah turut ‘mengambil’ semangat para petugas kesihatan yang bertungkus lumus berjuang demi rakyat dan negara.

Semoga para petugas barisan hadapan terus kuat dan cekal dalam menghadapi ‘peperangan’ ini di samping rakyat juga sama-sama memainkan peranan #kitajagakita.

Memetik ciapan Dr Noor Hisham melalui akaun Twitter beliau pada 8 Oktober lepas: “Kepada semua petugas barisan hadapan, ingatlah bahawa kita adalah pelindung kesihatan rakyat dan keselamatan negara, kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus bersemangat dan kuat. Kesihatan menyatukan kita semua melawan satu musuh, Covid-19, bersama-sama. Insya-Allah”.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Taska tambahan anak petugas hadapan diaktif semula

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas hadapan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata taska di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bangunan SUK Selangor dan Bangunan Darul Ehsan turut dibuka.

“Semua taska (di hospital dan JKNS) terbuka untuk kakitangan perubatan sahaja, manakala taska di Bangunan SUK dan Bangunan Darul Ehsan boleh dimanfaatkan semua petugas hadapan, termasuk anak-anak anggota polis serta tentera.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan petugas hadapan yang berkorban nyawa demi melandaikan keluk wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Jun, Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Frontliners Covid-19 yang memperuntuk kadar bantuan bernilai RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April.

PKPB dikuat kuasa di seluruh Selangor bermula kelmarin hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: ADN Sungai Kandis sumbang pelitup muka, makanan kepada petugas

SHAH ALAM, 12 OKT: Wakil rakyat Sungai Kandis menyumbang 300 pelitup muka dan pek makanan serta minuman kepada petugas hadapan di pusat kawalan Taman Sri Andalas, Klang semalam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu bagi menghargai bakti dan menyuntik sokongan moral anggota yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya melihat petugas hadapan begitu bersemangat, jadi sumbangan ini sedikit sebanyak boleh digunakan sepanjang berada di pusat kawalan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri meninjau situasi semasa PKPB dan bertemu petugas.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata semua 6,000 keluarga di Taman Sri Andalas yang terkesan dengan PKPB berada dalam keadaan aman serta terkawal.

“Penduduk masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa, cuma pada waktu malam tidak ramai yang keluar dan berada di rumah masing-masing.

“Kita berharap supaya keadaan ini (Covid-19) akan segera pulih dan tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari,” kata beliau lagi.

Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan PKPB bermula 9 hingga 23 Oktober.

Kawasan terbabit adalah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang serta Taman Suria.

Selain itu, Mutiara Bukit Raja, Bandar Klang, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken Jimbaran, Pangsapuri Palm Garden, Taman Andalas Permai, Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira Kampung Delek Kiri, Taman Kim, Batu Belah Kampung Sungai Udang, Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih ramai petugas kesihatan ke Sabah, bantu bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar dua Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan sembilan juru X-ray (Diagnostik) dari Semenanjung untuk ditugaskan di hospital di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua mereka telah dimobilisasi ke Sabah pada Jumaat lepas menaiki pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (penerbangan logistik & komunikasi TUDM).

“Mereka merupakan petugas daripada beberapa institusi dan hospital KKM iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Hospital Sultanah Nora Ismail, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Hospital Kuala Lumpur dan Institut Kanser Negara,” katanya di Facebook semalam.

Dr Noor Hisham berkata kesemua petugas barisan hadapan ini masing-masing ditugaskan ke Hospital Tawau, Hospital Semporna dan Hospital Lahad Datu dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, seramai lima JTMP masing-masing dari Pusat Darah Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Ampang telah dimobilisasi pada 5 dan 7 Oktober lepas.

“Mereka ditempatkan di Hospital Semporna, Hospital Lahad Datu dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKA KK).

“Turut sama ialah seorang Pegawai Sains (Mikrobiologi) dari Hospital Umum Sarawak yang telah dimobilisasi ke MKA KK,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 18 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban untuk negara bagi mencegah penularan Covid-19.

Baginda kemudian meminta semua anggota Dewan Rakyat serta hadirin bangun dan memberi tepukan khusus kepada wira negara.

“Sebagai tanda penghargaan marilah bersama-sama beta berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari ini.

Baginda tertitah petugas barisan hadapan tampil penuh dedikasi dan sanggup berkorban nyawa ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Akibat wabak itu juga, baginda menyifatkan istiadat pembukaan sesi Parlimen kali ini berlangsung dalam suasana berbeza daripada kelaziman.

Sidang Dewan Rakyat hari ini hanya berlangsung seketika untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong.