Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 9,000 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 tahun ini

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Sehingga kini seramai 8,940 petugas penjagaan kesihatan (HCW) di negara ini telah dijangkiti Covid-19 tahun ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata jumlah itu meningkat daripada 284 kes pada minggu pertama tahun ini (Minggu 1/2022) kepada 3,343 kes pada minggu keenam (Minggu 6/2022).

Dr Noor Hisham berkata seramai 5,711 HCW (kes aktif) tidak dapat berkerja selepas mereka diuji positif Covid-19, makanala 3,119 tidak hadir selepas menjadi kontak rapat, yang merupakan kira-kira 3.1 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara 3,229 HCW yang positif Covid-19 telah melengkapkan tempoh pengasingan mereka, dan kini telahpun kembali bekerja.

“Pada ketika ini 80.3 peratus di Malaysia telah menerima dos vaksin penggalak. Secara amnya, pada masa ini 93.3 peratus daripada keseluruhan pesakit berada di bawah pengasingan di rumah dengan tindakan susulan dilakukan secara digital,” katanya.

Oleh sebab itu Dr Noor Hisham berkata MOH telah mengambil tindakan bagi memastikan gangguan minima kepada perkhidmatan dan penjagaan kepada pesakit Covid-19 dan bukan pesakit Covid-19.

Tambah beliau langkah-langkah perlu dan polisi adaptif telah diperkenalkan berdasarkan kepada data semasa yang ada dan amalan di negara lain, di mana KKM juga bekerjasama dengan fasiliti kesihatan swasta bagi membantu menguruskan pesakit Covid-19.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, beliau berkata sejumlah 2,258,521 atau 67.7 peratus warga emas telah diberi dos penggalak daripada 3,335,309 warga emas yang telah lengkap dua dos vaksin, sehingga 7 Februari.

Menurutnya, sebanyak 1,073 pusat jagaan warga emas berdaftar dan tidak berdaftar telah dilawat, serta seramai 19,646 warga emas dan 10,173 pekerja telah diberi lengkap dua dos vaksin.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Emosi petugas hospital terbeban, sukar tidur malam saat pandemik memuncak

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Gelombang keempat penularan Covid-19 di negara ini yang bermula pada Jun lepas, merupakan yang terburuk setakat ini apabila ribuan nyawa menjadi korban, dan bagi pakar patologi forensik Dr Nur Ayutimasery Abdullah, tekanan yang membebani beliau dan pasukannya begitu hebat.

Menahan air matanya yang bertakung, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor itu membuka cerita bagaimana beliau dan pasukannya mengendalikan mayat demi mayat yang tiba tidak putus-putus di jabatannya dalam tempoh yang sangat sekejap.

“(Kami) tidak dapat tidur malam kerana terlalu resah memikirkan tentang hari esok, apa yang menunggu kami, jumlah mayat yang akan kami kendalikan serta aduan yang bakal kami terima,” katanya semasa berkongsi pengalaman beliau dengan Bernama.

Menurutnya, ada satu ketika pada Ogos lepas, tatkala jangkitan baharu harian di Selangor seringkali melepasi angka 8,000, jabatannya menerima 155 mayat. Malah, ketika temu bual ini diadakan, masih ada 27 mayat warga asing yang tersimpan di dalam kontena simpanan mayat sementara hospital sejak lebih sebulan lalu, kerana menunggu kedutaan yang berkenaan memberi kebenaran untuk penyerahan bagi urusan pengebumian.

Setiap hari, selain membuat susulan dengan kedutaan, Dr Nur Ayutimasery dan stafnya juga harus berdepan dengan emosi ahli keluarga si mati yang mahu melihat mayat orang kesayangan mereka buat kali terakhir, menunggu keputusan ujian makmal bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 serta memadankan nama si mati dengan mayat yang betul.

Bagaimanapun, kebelakangan ini tekanan yang dirasai reda sedikit berikutan kes baharu harian di Lembah Klang sudah menurun kepada bawah 3,000, dan jabatan beliau menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan kes tertunggak.

Menurutnya, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan seperti MERCY Malaysia yang bekerjasama dengan Maybank di HTAR, turut membantu mengurangkan beban hospital.

Sekalipun beban kerja berkurangan sedikit buat Dr Nur Ayutimasery dan lain-lain petugas barisan hadapan, ramai antara mereka yang berkata tidak mampu menarik nafas lega disebabkan bimbang satu lagi gelombang akan melanda – sama ada kerana varian baharu mahupun akibat pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial yang disifatkan terlalu awal.

Mereka menyifatkan situasi itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terburuk. Ahli psikologi pula melihat keadaan tersebut sebagai kesan berpanjangan Covid-19 ke atas petugas kesihatan yang telah berjuang menentang penyakit baharu berkenaan tanpa henti sejak Mac tahun lepas.

Pakar kesihatan mental yang menawarkan khidmat mereka di unit sokongan psikososial MERCY Malaysia di HTAR, berkata mereka mengesan tingkah laku berjaga-jaga yang keterlaluan dan kerisauan dalam kebanyakan petugas yang mereka temui. Sesetengah petugas menyatakan mereka berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan jagaan terbaik kepada pesakit selain ada yang trauma kerana perlu menentukan hidup dan mati pesakit.

Perunding psikologi Dr Hariyati Abdul Majid yang juga penasihat Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial MERCY Malaysia tidak hairan dengan situasi itu dan berkata penurunan kes harian tidak bermakna stres petugas kesihatan juga mereda.

“Berikutan kes (di Lembah Klang) sekarang menurun, mereka sebenarnya boleh berehat dan melihat semula apa yang berlaku dalam tempoh setahun setengah yang lalu, dan apa yang mereka rasakan sekarang ialah kombinasi perasaan (dan kesedihan yang tertangguh),” katanya.

Tambah beliau, stresor yang berterusan tidak bagus untuk kesihatan emosi dan fizikal walau sesiapa juga. Stresor atau pencetus stres ini pula banyak.

HARI-HARI GELAP

Bermula penghujung Jun, laporan berita serta hantaran media sosial banyak berkisar tentang kisah pesakit terbaring di atas lantai sementara menunggu kekosongan katil, selain berkenaan hospital termasuk HTAR menempatkan katil di kawasan letak kenderaan bagi menampung pertambahan pesakit.

Sama seperti anggota tentera yang bertukar-tukar cerita tentang pengalaman mereka di medan perang, staf HTAR juga mempunyai kisah ngeri sendiri untuk dikongsikan.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa pada peringkat awal, jabatannya menjadi tidak terkawal hanya dalam masa yang singkat kerana tidak bersedia untuk menangani jumlah pesakit yang sebegitu besar serentak.

“Segalanya huru-hara, kami langsung tidak dapat memenuhi keperluan, dan yang kami nampak hanyalah barisan panjang pesakit Covid-19 di jabatan kami. Pada satu ketika, ada sekitar 200 pesakit yang kami hanya dapat atur berdasarkan keadaan mereka, belum lagi diberikan rawatan sempurna… cuma diproses,” katanya.

Beliau berkata apa yang benar-benar membezakan gelombang terbaharu itu dengan yang terdahulu ialah keadaan pesakit merosot dengan amat pantas, sekali gus menyebabkan petugas berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan oksigen buat semua pesakit yang memerlukan.

Pada masa yang sama katanya, beliau dan rakan setugas juga terpaksa menangani ketakutan membawa pulang virus maut tersebut dan menjangkiti ahli keluarga serta rakan memandangkan pada waktu itu tidak semua memperoleh vaksin Covid-19.

“Walaupun saya tidak pernah mengendalikan rakan-rakan sejabatan, saya tahu ada antara mereka yang menjadi mangsa (Covid-19). Penyakit ini tidak kenal siapa. Kita ingat kita akan selamat, tapi tahu-tahu kita juga dijangkiti,” katanya.

Beberapa jururawat HTAR yang ditemui Bernama mendedahkan mereka berasa amat tertekan pada Julai dan awal Ogos lepas kerana seringkali berhadapan dengan masalah kekurangan petugas. Rakan sekerja terdedah kepada jangkitan dan terpaksa dikuarantin, sekali gus menambah beban tugas kepada yang lain yang adakala menjaga lebih 20 pesakit setiap seorang.

Seorang daripada mereka memberitahu beliau berasa sangat sedih apabila netizen mengkritik kononnya tidak menerima jagaan yang sewajarnya daripada jururawat.

“Mereka tidak faham cara kami bekerja,” keluhnya.

Dr Nur Ayutimasery berkata walaupun jabatannya mengendalikan mayat setiap hari, ada kes kematian akibat Covid-19 yang benar-benar menyentuh perasaan mereka seperti satu kes pada Julai, melibatkan sepasang suami isteri.

“Kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19. Satu-satunya individu yang dapat kami hubungi (pada peringkat awal) ialah anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun,” katanya dengan nada sebak. Menurutnya, mereka kemudian dapat menghubungi bapa saudara kanak-kanak itu yang datang menuntut jenazah pasangan suami isteri tersebut.

Ditanya mengenai kaunseling, ramai petugas kesihatan terbabit menyatakan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan khidmat itu.

BERAT HATI

Pihak pengurusan HTAR yang memuji kekuatan mental dan fizikal barisan petugasnya, berkata mereka yang berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan selalunya tabah. Namun mereka juga mengakui keunikan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

“Petugas penjagaan kesihatan sudah biasa menghadapi bencana. Cuma bencana yang berlaku sekarang ini masih belum berakhir,” kata Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Beliau berkata hospital itu berusaha mengurangkan stres dan kelesuan dalam kalangan tenaga kerjanya dengan menetapkan setiap petugas berehat sehari selepas tiga hari bekerja, selain menggalakkan mereka mendapatkan terapi daripada ahli psikoterapi hospital.

Bagaimanapun sesetengah petugas mungkin keberatan untuk berbuat demikian kerana khuatir akan menerima padah sekiranya mendapatkan bantuan dalaman hospital.

Dr Hariyati berkata setakat ini, lebih 160 petugas barisan hadapan HTAR mendapatkan perkhidmatan psikososial daripada MERCY Malaysia, dan menambah ramai yang bimbang tentang aspek kerahsiaan.

Beliau juga berkata Covid-19 menekankan kepentingan kesihatan mental, justeru tabu atau stigma tidak seharusnya wujud terhadap sesiapa sahaja termasuk petugas barisan hadapan yang mendapatkan sokongan emosi.

Tambah beliau, semua tempat kerja harus menyediakan ruang yang selamat untuk pekerja mereka mendapatkan bantuan selain memberikan jaminan tidak ada akibat buruk yang menanti mereka.

“Kesihatan mental tidak harus dikesampingkan. Perkara ini bukan sesuatu yang hanya kita bincang apabila ada kes bunuh diri,” ujarnya.

“Kesimpulannya, adalah amat penting untuk kita meyakinkan mereka bahawa okey untuk mereka mendapatkan sokongan dan okey bagi mereka berjumpa ahli psikologi.”

SISIPAN

TANDA-TANDA MASALAH MENTAL

Kesedihan, stres dan keresahan melampau yang berpotensi menjadi kecelaruan mental seperti kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) boleh dicegah menerusi pelbagai cara.

Perunding psikologi yang juga penasihat MERCY Malaysia Dr Haryati Abdul Majid berkata antara tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan ialah perubahan sikap dan corak hidup yang berlaku dalam jangka panjang.

“Perhatikan tanda-tanda seperti perubahan selera – sesuatu yang sangat biasa. Kadang-kadang kita dengar ‘saya tak nak makan, tak ada selera’. Kalau sehari tidak mengapa, namun jika mereka menunjukkan penurunan selera makan yang ketara, mengalami susut berat badan selama lebih dua bulan, ini bermakna ada sesuatu yang lebih serius,” jelasnya.

Begitu juga jika sebaliknya, yang mana peningkatan selera makan secara berterusan turut menandakan kewujudan masalah emosi dan kesihatan mental yang serius.

Dr Hariyati berkata satu lagi tanda ialah gangguan corak tidur seperti mengalami mimpi ngeri serta sukar tidur atau tidur yang berpanjangan hingga berminggu-minggu dan berbulan.

Menurutnya, sesetengah individu juga mungkin menjauhkan diri daripada orang lain, termasuk kawan dan ahli keluarga.

Mereka mungkin perlukan ruang untuk bersendirian buat seketika, namun jika berterusan hingga dua bulan atau lebih, ini juga menandakan wujud masalah, katanya, menambah pada waktu tersebut, orang yang tersayang perlu mendekati dan menasihati mereka agar mendapatkan kaunseling.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tidak harap pujian, petugas kesihatan minta jaga SOP, ambil vaksin

SHAH ALAM, 18 OGOS: Masyarakat dinasihat menjaga kesihatan, kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mengambil vaksin jika ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas perubatan.

Pengerusi MedTweetMY Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin berkata petugas kesihatan banyak berkorban masa merawat pesakit Covid-19 hingga mengalami kelesuan fizikal dan mental.

“Kami tidak mengharapkan pujian tetapi cukuplah masyarakat menjaga kesihatan diri dan mencegah daripada masuk hospital kerana ini dapat mengurangkan bebanan petugas barisan hadapan.

“Secara tidak langsung petugas hadapan mempunyai masa untuk diri sendiri dan bersama keluarga,” katanya pada program Bual Bicara: Perang dan Merdeka Era Pandemik yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Dr Khairul Hafidz berharap kelonggaran SOP yang diberikan berkait sektor ekonomi dipertimbang semula bagi mengelak kenaikan mendadak kes.

Beliau berkata pandangan sama turut dinyatakan pertubuhan kesihatan berikutan negara belum mencapai fasa mitigasi selain bimbang akan mengganggu proses suntikan vaksin.

“Saya berharap kerajaan baharu nanti dapat pertimbang semula kelonggaran yang diberikan kerana apa yang dikatakan ini berdasarkan data dan fakta,” katanya lagi.

Bermula kelmarin, kerajaan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Aktiviti ekonomi itu seperti berikut:

  • Kedai cuci kereta
  • Kedai elektrik dan elektronik
  • Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
  • Kedai perabot
  • Kedai peralatan sukan
  • Kedai aksesori kereta
  • Pusat pengedaran dan jualan kereta
  • Pasar pagi dan pasar tani
  • Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
  • Kedai barang kemas
  • Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan asas)

 

Categories
AGENDA NASIONAL

4,761 petugas kesihatan dijangkiti, tiada dirawat ICU

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Petugas barisan hadapan di fasiliti kesihatan yang dijangkiti Covid-19 meskipun setelah menerima dua dos suntikan vaksin, majoritinya tidak bergejala (kategori satu) atau hanya menunjukkan gejala ringan (kategori dua).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata sehingga kini 4,761 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada keseluruhan 246,242 yang divaksin sepenuhnya, dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun katanya hanya lapan petugas berada di kategori tiga, manakala tiga petugas di kategori empat dan tiada yang dirawat sebagai pesakit kategori lima di unit rawatan rapi (ICU).

“Oleh kerana petugas ini bekerja dalam keadaan yang amat berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, maka jangkitan tetap boleh berlaku meskipun selepas mereka lengkap divaksin dengan dua dos suntikan.

“Cuma bezanya dengan vaksinasi lengkap terhadap petugas kesihatan ini yang hari-hari terdedah dengan jangkitan, ia dapat mencegah mereka daripada mendapat jangkitan wabak yang teruk dan dalam kategori serius,” katanya dalam sesi pembentangan mengenai vaksin Covid-19 bersama media secara maya.

Beliau berkata 1,494 petugas berada di kategori satu manakala 3,256 pula di kategori dua.

“Jadi kita hendak keadaan yang sama dapat kita beri kepada rakyat… sekiranya mereka divaksin dan kemudiannya   terdedah dengan virus Covid-19, mereka akan dapat dicegah daripada mendapat penyakit itu dalam kategori serius sekiranya dijangkiti,” katanya.

Sementara itu Dr Hishamshah berkata Labuan yang sebelum ini mencatatkan angka positif yang sangat tinggi, kini menyaksikan hanya dua pesakit berada di ICU setelah proses pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan itu dipertingkatkan.

“Keadaan sama dapat kita lihat di Sarawak, dengan keadaan sekarang jumlah pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin berkurang, apabila kadar vaksinasi di negeri itu mulai ditingkatkan.

Beliau turut memberi bayangan bahawa beberapa kelonggaran akan diberikan termasuklah aktiviti rentas negeri, sekiranya negara berjaya mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada Oktober tahun ini.

Beliau berkata mengikut pengalaman negara luar, apabila seseorang itu telah lengkap divaksin dan negara hampir mencapai imuniti kelompok, mereka berkemungkinan boleh merentas negara, daerah dan sebagainya.

“Kita perlu bergerak, perlu kembali kepada keadaan normal, sekurang-kurangnya kita boleh meneruskan kehidupan serta perhimpunan sosial dan sebagainya dalam norma baharu, namun ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kadar vaksinasi dalam komuniti kita terus tinggi, jadi kita mahu orang ramai terus divaksin secepat mungkin, supaya kita boleh bergerak ke peringkat berikutnya,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Hishamshah berkata jumlah kes baharu tidak akan turun secara mendadak, malah ia akan berterusan untuk beberapa hari, namun dengan kadar vaksinasi yang meningkat dan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP), rantaian Covid-19 akan dapat diputuskan.

Sementara itu beliau berkata KKM sedang merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang ‘self-sufficient’ dalam pembangunan vaksin agar negara tidak perlu bergantung dengan vaksin keluaran negara luar.

“Buat masa ini negara sedang membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 iaitu menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) dan teknologi Virus Ternyahaktif di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya.

Dr Hishamshah berkata KKM menjangkakan dalam seminggu ini, negara akan dapat mencapai kadar vaksinasi sebanyak 40 peratus untuk dos pertama.

Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kapasiti pemvaksinan yang ditingkat dan dimantapkan sehingga menyaksikan lebih 500,000 suntikan mampu diberikan dalam sehari di seluruh negara.

“Kita boleh katakan bahawa kita telah melaksanakan proses vaksinasi dengan baik, walaupun kita perlu akui bahawa di peringkat awal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) permulaan agak perlahan. Ia bukan kerana kita teragak-agak untuk mevaksin, tapi disebabkan isu bekalan vaksin ketika itu, malah ketika ini juga bekalan vaksin masih belum mencukupi untuk seluruh dunia,” katanya.

“Namun sekarang jika kita bandingkan Malaysia dengan negara jiran dan juga seluruh dunia, termasuk Australia dan Jepun dari segi kadar vaksinasi per kapita, laman web Our World in Data baru-baru ini menunjukkan bahawa kadar vaksinasi di Malaysia sebenarnya adalah yang tertinggi,” katanya.

Dr Hishamshah berkata negara memang berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin, tetapi ia banyak bergantung kepada bekalan seluruh dunia yang masih lagi belum mencapai tahap yang diharapkan lagi.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas redah 70km tanah merah, daki bukit bukau untuk suntik vaksin

KOTA MARUDU, 23 JUN: Petugas Pejabat Kesihatan Kota Marudu sanggup meredah jalan tanah merah kira-kira 70 kilometer dari pekan daerah ini, dengan keadaan bentuk muka bumi berbukit bukau semata-mata ingin melaksanakan program vaksinasi buat penduduk di pedalaman Sonsogon.

Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki pacuan empat roda tidak menghalang semangat petugas kesihatan terdiri daripada doktor dan jururawat serta beberapa wakil badan bukan kerajaan bagi memperluaskan manfaat program itu kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Program berlangsung tiga hari bermula semalam bertujuan memastikan tiada seorang pun rakyat termasuk penduduk di lima mukim dalam kawasan Sonsogon tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 disediakan kerajaan. Mukim Kampung Sungai Magandai menjadi lokasi pertama mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika berucap melancarkan program itu berkata seramai 300 orang di sekitar kawasan itu dikenal pasti sebagai penerima vaksin bagi fasa pertama Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 Kota Marudu.

“Terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung di kawasan perbukitan ini…daripada jumlah itu, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim ini,” katanya.

Setakat ini, seramai 15,265 orang mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di Kota Marudu, dan 6,018 daripadanya menerima sekurang-kurangnya suntikan vaksin dos pertama, manakala 1,949 individu melengkapkan kedua-dua dos.

Ongkili yang memuji pelaksanaan Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 berkata ia memberi peluang kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin terutama bagi penduduk yang berdepan kesukaran untuk bergerak keluar dari kawasan mereka.

“Kami berharap agar lebih ramai penduduk hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Beliau berkata walaupun vaksin Covid-19 bukanlah penawar, ia sekurang-kurangnya dapat membina antibodi bagi melawan virus sekali gus mencegah penularan wabak berkenaan.

“Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu untuk melindungi orang lain. Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangkitan petugas hadapan 10 kali ganda rendah lepas dapat vaksin

KUALA TERENGGANU, 18 APRIL: Jangkitan Covid-19 terhadap 40 petugas kesihatan yang telah menerima vaksin adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding jangkitan sebelum proses vaksinasi terhadap barisan hadapan itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata secara purata sebanyak 436 kes jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan dalam tempoh sebulan ketika gelombang pertama Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lepas.

“Jumlah 40 orang petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 ini berbanding 438,000 individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin adalah peratus yang sangat kecil.

“Ini kerana 99.9 peratus dari individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin itu tidak kena jangkitan tersebut walaupun mereka adalah petugas barisan depan yang setiap hari berurusan dengan pesakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 40 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti setelah lebih dua minggu menerima dos kedua sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas inokulasi.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata perkembangan itu selari dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan berlaku penurunan signifikan jangkitan, mengurangkan gejala yang teruk dan tidak mengancam nyawa pesakit.

“Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan sekitar Februari 2021, berkata hampir 4,800 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 untuk tempoh Mac 2020 hingga Februari 2021 atau secara puratanya 436 orang dijangkiti dalam tempoh sebulan.

“Jadi, kadar jangkitan melibatkan 40 orang petugas kesihatan selepas divaksin adalah 10 kali ganda lebih rendah berbanding purata 436 kes sebelum divaksin dan yang penting mereka tidak mengalami sebarang gejala yang teruk,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 5,000 petugas kesihatan KKM dijangkiti Covid-19 sejak pandemik

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seramai 4,756 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti Covid-19 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,101 melibatkan petugas wanita dan 1,655 petugas lelaki.

“Kebanyakan mereka ini mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya di fasiliti tempat mereka bertugas,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama ketua pengarah kesihatan siri 2/201 secara dalam talian hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata 936 barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dijangkiti virus itu setakat ini.

Beliau turut berkata sehingga kini petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ialah 93 orang.

“Kita sedang giat mengesan kontak rapat mereka dan mereka kini telah diasingkan untuk tujuan rawatan,” katanya.

Dalam sesi yang sama Dr Nor Hisham berkata satu lagi Varian B177 dikenal pasti di Malaysia baru-baru ini melibatkan individu yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mengulas lanjut Dr Ravindran berkata, sampel kes berkenaan adalah hasil saringan di pintu masuk antarabangsa.

Sebelum ini, varian B117 dikesan pada pertama kali di negara ini selepas rakyat tempatan pulang dari United Kingdom pada Disember lepas sebelum didapati positif pada 28 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JKNS ambil berat persekitaran kerja, keperluan asas petugas kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil berat persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan petugas kesihatan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam maklum balas kepada artikel bertajuk “LETTER: A Tired Doctor From Sungai Buloh Asks To Be Treated Humanely” yang disiarkan oleh sebuah portal berita semalam berkata semua langkah yang diambil jabatan itu adalah bertujuan memastikan rawatan yang cekap dan berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.

Kata Dr Sha’ari, pihaknya melakukan pengagihan tambahan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan melalui penempatan semula petugas di dalam Selangor dan negeri-negeri lain, selain tambahan kakitangan melalui pengambilan pegawai kontrak baharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Sungai Buloh.

“Di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang lain di Selangor, kakitangan yang bertugas dalam mengendalikan kes Covid-19 diberikan elaun oleh kerajaan, elaun lebih masa bagi yang perlu melakukan kerja lebih masa dan elaun-elaun lain yang dirasakan perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai pemberian makanan, Dr Sha’ari berkata ia adalah berdasarkan kelayakan di dalam surat pekeliling KKM yang mana semua anggota perubatan yang bertugas secara atas panggilan akan dibekalkan makanan mengikut surat pekeliling itu.

“Bagaimanapun bekalan makanan masih boleh didapati daripada kafeteria atau membuat pesanan makanan secara dalam talian,” katanya.

Dr Sha’ari turut memberitahu pegawai perubatan dan lain-lain kategori kakitangan yang ditempatkan di wad Covid-19 bertugas mengikut syif bagi mengurangkan beban kerja dan cuti rehat diberikan secara adil.

“Setiap wad Covid-19 juga mempunyai ruang rehat yang selamat untuk petugas kesihatan berehat, makan dan solat, semua kakitangan juga dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi agar tidak berlaku infeksi silang dan peruntukan kewangan serta bekalan adalah mencukupi,” katanya.

Selain itu katanya, pihak hospital turut memberikan khidmat bimbingan psikologi untuk sokongan moral dan khidmat nasihat kepada petugas kesihatan yang memerlukan.

“Semua maklum balas daripada anggota kesihatan akan diajukan kepada pihak pengurusan hospital dan seterusnya kepada pihak negeri dan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam sebuah portal berita menyiarkan surat daripada seorang doktor di Hospital Sungai Buloh membangkitkan isu berkaitan beban yang perlu ditanggung oleh petugas kesihatan di hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs gesa KKM siasat dakwaan buli petugas kesihatan

MELAKA, 28 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil perhatian serius berhubung gejala buli dalam kalangan petugas kesihatan termasuk doktor dan doktor pelatih di negara ini.

Presidennya Adnan Mat berkata satu siasatan dalaman perlu dilakukan susulan pendedahan laporan kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung isu itu, bagi memastikan ia dapat dicegah dengan lebih berkesan sekali gus menyelesaikan aduan yang timbul.

“Cuepacs memandang serius laporan kajian oleh MMA dan berpandangan budaya buli di alam pekerjaan terutama dalam bidang profesional dan kritikal seperti doktor adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Kita bimbang gejala buli ini akan menjadikan emosi dan kualiti kerja pengamal perubatan ini terjejas,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan kali ke-27 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) yang dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Datuk Azih Muda (dua, kanan) beramah mesra dengan anggota pihak berkuasa tempatan yang menerima Anugerah Lima Bintang selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan kali ke-27 Anulae di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 28 Disember 2020. Foto BERNAMA

Turut hadir Presiden ANULAE Datuk Azih Muda, Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Melaka dan Negeri Sembilan Kamarul Izwan Osman.

Mengulas lanjut, Adnan berkata KKM juga perlu merangka dan menyediakan satu platform yang membolehkan petugas kesihatan yang menjadi mangsa buli mengutarakan masalah mereka tanpa menjejaskan identiti serta kedudukan sekiranya membuat aduan.

“Khidmat psikologi yang secukupnya juga perlu disediakan kepada setiap kakitangan agar masalah kerja atau buli ini tidak menjejaskan kualiti kerja yang boleh memberi kesan kepada pesakit, selain KKM perlu melatih dan memberi penekanan yang cukup kepada penyelia tentang budaya buli supaya gejala ini tidak melampau sehingga memberi kesan buruk.

“Gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa, bahkan merisikokan nyawa pesakit yang menerima rawatan daripada doktor-doktor yang menjadi mangsa buli, apatah lagi dengan persekitaran kerja doktor yang semakin mencabar, masalah buli ini sudah tentu menjadikan mangsanya lebih terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Semalam, MMA melaporkan kajiannya menunjukkan 66.9 peratus doktor di negara ini mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam, dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun, iaitu sebanyak 52.9 peratus.

Statistik itu adalah hasil kajian terbaharu yang dijalankan oleh MMA melibatkan 1,800 responden terdiri daripada doktor pelatih, pegawai perubatan dan pakar muda secara dalam talian.

Sementara itu Cuepacs dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur menyarankan KKM mengemukakan data mengenai budaya buli dalam kalangan doktor mahupun petugas kesihatan lain, termasuk jumlah kes yang diselesaikan, serta tindakan yang diambil.

“Sediakan juga kaedah atau cara kes buli ini disiasat bagi memberi keyakinan kepada warga kerja,” menurut Cuepacs.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

50 petugas hospital Klang dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 17 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seramai 50 petugas kesihatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dijangkiti Covid-19.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata kesemua petugas terbabit kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Siasatan pasukan JKNS dan HTAR tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan petugas kesihatan berkenaan sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke dalam hospital atau semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi selama 14 hari.

“Namun keadaan terkawal, kesemua kontak sudah disaring dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). Semua pesakit yang kontak kepada kes juga disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan pengurusan rawatan pesakit di hospital berkenaan masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak hadir ke hospital sekiranya tiada urusan penting selain tidak menularkan berita tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perangsang Selangor sumbang PPE kepada petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyumbang bekalan perubatan berupa peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Klinik Kesihatan Kelana Jaya (KKKJ) di Kelana Jaya pada Khamis lepas.

Menurut kenyataan, kumpulan itu menyumbang PPE bernilai RM44,550 termasuk 20,000 pasang sarung tangan lateks pakai buang, 5,000 keping pelitup muka pembedahan, 200 unit pelindung muka, 245 liter pensanitasi tangan dan 188 set sut PPE serta 20 unit kerusi plastik dan tiga unit pengimbas suhu bagi menambah baik kemudahan di klinik itu.

Ketua KKKJ Dr Nik Mazlina Mohammad berkata sumbangan itu tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang menyebabkan pertambahan permintaan PPE terutama bagi kakitangan yang bertugas di zon merah dan yang terlibat dalam kes kecemasan membabitkan pernafasan.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik KPS Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata ini merupakan tanggungjawab bersama antara KPS dengan anggota masyarakat.

“Diharapkan sumbangan kami akan membantu mengatasi isu kekurangan PPE kerana semua peralatan ini adalah barangan pakai buang yang penting dan digunakan setiap hari bagi ujian saringan jangkitan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPS melalui inisiatif lestarinya memperuntukkan dana RM2 juta bagi menangani kesan ekonomi, alam sekitar dan sosial pemegang taruhnya terutama kepada anggota masyarakat.

Sementara inisiatif bagi tahun 2020 terdiri daripada empat tonggak utama iaitu Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Keusahawanan, Pembangunan Masyarakat dan Alam Sekitar serta Keselamatan dan Kesihatan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang makanan asas, bantu petugas kesihatan Klang

SHAH ALAM, 23 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan makanan asas kepada barisan hadapan Pejabat Kesihatan Klang yang terlibat membendung penularan Covid-19.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS berkata bantuan bernilai RM10,000 bagi meringankan mereka yang tidak sempat membeli barangan keperluan kerana kesibukan tugas.

“Ada terpaksa bekerja 24 jam dan balik malam hingga tidak dapat membeli barang. Atas rasa prihatin,
kita salurkan makanan asas.

“Kita memahami tugas berat dilalui mereka dalam merawat pesakit kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini,” kata Abdul Basith Hamid pada 19 Oktober.

Beliau juga menerima permohonan sama daripada pejabat kesihatan lain dan sumbangan dijangka
disalur dalam masa terdekat.

“Kita berterima kasih kepada pembayar zakat dan rakan LZS atas sumbangan mereka. Kami sebagai pemegang amanah menjalankan tugas menyalurkannya kepada golongan memerlukan,” katanya.