Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya petugas penuhi kriteria dapat elaun khas Covid-19

SHAH ALAM, 23 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan hanya petugas perubatan dan kesihatan di Hospital Kajang yang memenuhi kriteria layak dibayar elaun khas Covid-19 bermula Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ia selaras dengan surat pekeliling bertarikh 21 April iaitu ‘Penambahbaikan Dalam Pemberian Elaun Khas Kepada Doktor dan Anggota Kesihatan Yang Terlibat Secara Langsung Dalam Usaha Menangani dan Membendung Penularan Wabak Covid-19’.

“Dakwaan pihak tertentu seperti diterbitkan sebuah laman web bahawa elaun khas Covid-19 bagi petugas Hospital Kajang masih belum dibayar adalah tidak berasas.

“Pegawai perubatan, anggota kesihatan dan pegawai forensik yang digerakkan ke zon merah masih menerima elaun khas berkenaan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Sha’ari berkata Hospital Kajang termasuk dalam kategori ‘hospital saringan’ iaitu yang menyediakan perkhidmatan kaunter saringan dan khidmat nasihat namun jika terdapat kes positif, pesakit akan dirujuk serta-merta ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Bagi tujuan tersebut, Hospital Kajang telah mewujudkan Kabin Khas Saringan Covid-19 pada Mac lepas dan Wad 6 dikhaskan untuk kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

“Dalam tempoh tersebut pegawai perubatan atau kakitangan kesihatan yang terlibat telah dibayar elaun berkenaan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata susulan penurunan kes Covid-19 sejak Mei lepas sehingga mukim Kajang dikategorikan sebagai zon hijau, Hospital Kajang menangguhkan operasi Wad 6 dan menutup kabin khas pada Jun apabila tiada kes positif direkodkan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Pada 16 Oktober lepas, sebuah portal yang melaporkan berita mengenai bidang kesihatan menyiarkan artikel bertajuk ‘Keadilan untuk barisan hadapan, elaun Covid-19 belum dibayar sejak Julai – Petugas Hospital Kajang’ di ruangan kolum pembacanya.

Menerusi artikel tersebut, penulis mendakwa tidak menerima elaun khas Covid-19 bermula Julai sehingga bulan ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pesan petugas kesihatan perlu sihat mental, fizikal

SHAH ALAM, 17 SEPT: Petugas kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata gelombang Covid-19 ketika ini menjadikan mereka sebagai golongan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan.

“Beberapa kakitangan KKM dan hospital swasta disahkan positif wabak itu dalam kluster Sentosa, Telaga dan Sungai dan terbaharu melibatkan empat petugas kesihatan di Lahad Datu.

“Terdapat juga beberapa kematian melibatkan petugas kesihatan,” menurut kementerian di Facebook sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020 hari ini.

Tema sambutan tahun ini ‘Bersuaralah untuk keselamatan petugas kesihatan’ selari dengan penularan virus itu di seluruh dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dijangka merasmikan sambutan hari berkenaan jam 2 petang ini dan disiarkan di Facebook KKM.

Sebagai tanda sokongan terhadap petugas kesihatan, bangunan ikonik di Putrajaya akan dilimpahi warna jingga bermula malam ini sehingga Ahad.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar jangkiti kanak-kanak tiga tahun, petugas kesihatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 261 individu disaring bagi pengesanan kes positif Covid-19 melibatkan kluster Tawar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 156 saringan dilakukan di Kedah manakalala 105 menjalankan ujian di Pulau Pinang.

“Setakat ini 21 positif, 20 di Kedah dan satu di Pulau Pinang. 152 individu disahkan negatif manakala 88 masih belum mendapat keputusan.

“Hari ini 11 kes baharu dikesan dari kluster ini. Ia termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun serta lima petugas hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Tawar sebagai kluster baharu.

Kluster berpunca dari kes ke-9,113 iaitu lelaki tempatan yang menghadiri upacara keagamaan dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Petugas kesihatan bertugas 14 jam sehari tanpa henti, sayu lihat pesakit

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kakitangan kesihatan terpaksa bertugas 14 jam tanpa henti sehari pada waktu tertentu bagi mengurus kes Covid-19, kata penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Muhamad Firdaus Abu Bakar, 25, yang turut membantu menyediakan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital menangani wabak itu awal Februari lalu berkata mereka terpaksa bekerja dua syif berturut-turut berikutan kes banyak.

“Ia mengubah waktu bertugas yang mencecah sehingga 14 jam tanpa henti (dua syif), kami perlu bertugas lebih masa yang sudah tentu memenatkan kerana ada kalanya kes terlalu banyak dan ada rakan terpaksa dikuarantin.

“Rakan (setugas) terpaksa dikuaratin kerana bersentuhan dengan pesakit menyembunyikan sejarah perjalanan ke lokasi panas Covid-19 dan kontak rapat, perkara ini banyak berlaku di unit kecemasan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut berkongsi peristiwa sedih membabitkan seorang remaja sindrom down dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan berikutan kontak rapat dengan pesakit.

“Dia hairan dan bertanya mengapa kami berpakaian perlindungan diri (PPE), dirinya tidak mengetahui perlu dikuarantin. Keluarganya sayu dan sedih tidak dapat menjaganya,” katanya.

Di sebalik pelbagai cabaran itu, Muhamad Firdaus berkata hati mereka terubat dan lebih bersemangat apabila melihat sokongan padu masyarakat melalui kata-kata motivasi dan sumbangan.

“Dahulu mungkin sokongan seperti itu tidak dapat dilihat secara terbuka, sekarang ramai menegur dan beri kata-kata semangat yang cukup bermakna buat kami,” katanya.