Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Zafrul: Jika keluarkan lagi duit KWSP, ramai ahli miskin bila bersara

KOTA BHARU, 15 JAN: Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia berikutan kemerosotan berterusan simpanan persaraan ahli KWSP, kerana ketika ini hampir separuh ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55 peratus adalah bumiputera.

“Kalau dibenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan lebih ramai ahli perlu bersara di bawah paras garis kemiskinan, dan juga menyebabkan beban yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia di masa depan terutama jika kegawatan ekonomi berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian awam oleh Pemuda UMNO bahawa lebih 97 peratus ahli mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘sekali bayar’.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengimbangkan antara kepentingan rakyat untuk jangka pendek dan juga jangka masa panjang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap peka dengan masalah rakyat, dan pelbagai pendekatan diusahakan untuk memelihara kebajikan rakyat termasuk kepada golongan B40 dan M40.

“Di bawah Bajet 2022 ini kalau kita lihat lebih RM31 bilion dikhususkan untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, (menerusi) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kerajaan juga memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, ini sebahagian kecil daripada pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO saran gaji minimum sentiasa disemak

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri menyarankan kadar gaji minimum sentiasa disemak bagi memastikan paras kemiskinan dapat diturunkan.

EXCO pembangunan sosio ekonomi menegaskan kadar baharu itu munasabah serta menunjukkan realiti gaji dan keadaan sebenar rakyat.

“Sebab itu PGK di Selangor berbeza dan lebih tinggi iaitu RM1,500 berbanding jumlah diguna pakai Kerajaan Persekutuan,” kata V Ganabatirau kepada Selangorkini.

Beliau juga mengalu-alukan kajian menyeluruh selepas Jabatan Perangkaan meningkatkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM980 kepada RM2,208.

Jumaat lalu, Malaysia menyemak semula PGK yang diguna pakai sejak 2005, sekali gus menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding 16,653 sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Ganabatirau berkata Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kebajikan golongan miskin dipelihara.

“Kita hulurkan pelbagai bantuan bagi mengatasi masalah kemiskinan rakyat negeri ini antaranya skim pemberian air percuma serta bantuan kewangan pelajar ke universiti,” katanya.