Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil kajian bukti dos penggalak heterologous tawar lebih perlindungan

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Dos penggalak heterologous (vaksinasi primer Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer) menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan berbanding dos penggalak homologous (tiga dos vaksin Sinovac) dalam kalangan penerima Sinovac, menurut Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menyangkal dakwaan Pharmaniaga Berhad berhubung keberkesanan lebih rendah penggalak heterologous dalam kalangan penerima vaksinasi primer Sinovac terhadap Omicron, ICR berkata fakta dan bukti sedia ada telah disalah tafsir.

“Di peringkat global, terdapat bukti yang konsisten dan baru muncul bahawa vaksinasi penggalak heterologous menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan efektif berbanding penggalak homologous bagi penerima primer vaksin tidak aktif (Sinovac).

“Selari dengan bukti baru muncul dan gelombang Omicron yang sedang berlaku, KKM terus mengesyorkan Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac,” menurut ICR dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menyebut di Malaysia, kajian Program Keberkesanan Dunia Sebenar Vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggunakan data dari 21 Nov 2021 hingga 7 Jan 2022, bagi membandingkan kadar jangkitan dalam kalangan penerima dos penggalak dan individu yang hanya melengkapkan vaksinasi primer.

“Analisis itu adalah berdasarkan data sebenar iaitu merangkumi 13 juta penduduk yang telah menerima vaksinasi primer Pfizer dan Sinovac.

“Selepas mengambil kira perancu, mereka yang baru sahaja menerima dos penggalak berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tidak dijangkiti COVID-19 berbanding individu yang hanya mengambil dua dos vaksin,” katanya.

Merujuk kajian yang dijalankan di beberapa negara sebagai contoh, ICR turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai keberkesanan dos penggalak heterologous bagi vaksinasi primer Sinovac.

“Kajian yang dijalankan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menunjukkan bahawa dua dos Sinovac disusuli dos penggalak Pfizer heterologous berupaya meningkatkan paras antibodi peneutralan terhadap varian Omicron selepas tiga hingga lima minggu menerima dos penggalak.

“Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal untuk mengeluarkan antibodi peneutralan yang bertindak balas terhadap Omicron bagi kebanyakan penerima.

“Dalam satu lagi kajian di Brazil, dos penggalak heterologous (dengan AstraZeneca, Janssen dan Pfizer) menyaksikan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos penggalak homologous dengan dos penggalak Sinovac sekali gus berpotensi memberi perlindungan lebih utuh,” katanya.

Menurut ICR, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyebut rejim dos penggalak homologous mahupun heterologous secara imunologinya adalah berkesan.

“Satu pracetak daripada kajian di Chile mendapati keberkesanan vaksin yang diubah suai ke atas jangkitan COVID-19 bergejala adalah 78.8 peratus bagi tiga dos Sinovac, 96.5 peratus bagi dos penggalak Pfizer (menyusuli dua dos Sinovac) dan 93.2 peratus bagi dos penggalak AstraZeneca (menyusuli dua dos Sinovac).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pharmaniaga jamin vaksin CoronaVac berkesan, halal

SHAH ALAM, 3 FEB: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan vaksin Covid-19, CoronaVac keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), yang akan diterima rakyat negara ini adalah selamat, berkesan dan halal.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman, berkata vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif itu merupakan kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lepas.

“Kaedah sama juga digunakan untuk penghasilan vaksin penyakit berbahaya antaranya Polio dan Hepatitis A. Teknologi ini terbukti berkesan berbanding teknologi baharu lain yang belum diketahui risikonya,” katanya semasa membentangkan mengenai perkembangan vaksin berkenaan secara maya, semalam

Turut menyertai sesi pembentangan itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Dr Badarulhisam berkata kekeliruan mengenai keberkesanan vaksin berkenaan timbul selepas kajian klinikal di dua negara menunjukkan Turki memperoleh skor 91.25 peratus manakala Brazil 50.38 peratus.

Jelas beliau, kajian di Turki boleh dilihat sebagai penanda aras tahap keberkesanan vaksin CoronaVac kerana ia dijalankan ke atas populasi awam melibatkan 13,000 individu berumur 18 tahun ke atas berbanding Brazil yang melaksanakannya terhadap 13,060 petugas kesihatan yang terdedah kepada virus Covid-19 setiap hari.

“Bagaimanapun, kajian di Turki hanya akan lengkap pada awal bulan ini. Namun kita percaya, tahap keberkesanannya akan melebihi 90 peratus iaitu melebihi piawaian 50 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk sesuatu vaksin didaftarkan,” katanya.

Tambah Dr Badarulhisam, melalui kajian klinikal itu juga, tiada kesan sampingan serius termasuk ‘Vaccine Enhance Disease’ dikesan selepas dua dos vaksin berkenaan diberikan kepada peserta dan majoritinya hanya mengalami tindak balas ringan.

Dalam pada itu, Zulkarnain pula berkata Pharmaniaga telah meneliti kandungan, formula serta kaedah vaksin berkenaan dihasilkan dan yakin ia adalah halal untuk digunakan sepertimana dinyatakan oleh Majlis Ulamak Indonesia.

Beliau turut menjangkakan vaksin CoronaVac akan memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hujung bulan ini atau awal Mac sebelum diedarkan pada April.

“Mengikut perjanjian, Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin ini. Dalam bulan pertama, kita akan bekalkan sejuta dos vaksin CoronaVac diikuti dua juta dos pada bulan seterusnya untuk diedarkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada Pharmaniaga mungkin menjual vaksin berkenaan kepada pihak swasta terutamanya industri bagi kegunaan pekerja asing mereka, Zulkarnain berkata perkara itu ada dibincangkan dengan kerajaan.

“Kita sedang berunding dengan kerajaan (untuk menjual CoronaVac) kerana selepas membekalkan 12 juta dos vaksin ini, Pharmaniaga masih mempunyai bekalan dua juta lagi dos. Namun, kerajaan telah meminta vaksin turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan ‘economic fronliner’ selain pekerja asing dan ekspatriat.

“Pharmaniaga juga sedang mengumpul maklumat mengenainya dan sejurus selesai, kita akan berunding bagaimana ia akan dijalankan. Namun, agihan vaksin untuk rakyat Malaysia adalah keutamaan kami ketika ini,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membekalkan 14 juta dos vaksin Covid-19 yang mana proses pembotolan dilakukan di kilang berteknologi tingginya di Puchong, Selangor.

Pada 26 Jan pula, Pharmaniaga menandatangani perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pharmaniaga sedia edar vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Pharmaniaga Bhd telah menubuhkan satu pasukan petugas dan melakukan persiapan sewajarnya bagi pengedaran vaksin Covid-19 yang dijangka disediakan pada akhir suku pertama tahun depan.

Dalam kenyataan semalam, syarikat itu berkata usaha tersebut juga susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai langkah kerajaan memeterai perjanjian bagi pembelian vaksin Covid-19 Pfizer untuk 6.4 juta rakyat negara ini.

Pengumuman tersebut juga telah membuka laluan untuk kerajaan mewujudkan lebih banyak usaha sedemikian dengan pengeluar lain.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata teras kecekapan syarikat itu adalah aspek perkhidmatan logistik gred-farmaseutikal serta kemudahan kilang pengeluaran ubat-ubatan halal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Menurutnya, anak syarikat milik penuh, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam bidang logistik dan pengedaran seperti keperluan suhu konsisten -20⁰C dan 2-8⁰C.

Sehubungan itu, ia akan memberi keutamaan kepada pematuhan ketetapan suhu vaksin Covid-19 demi memastikan tahap kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang berterusan.

“Usaha pengangkutan vaksin ini bukannya seperti ubat-ubatan lain kerana sebarang masalah seperti kegagalan mematuhi keperluan suhu yang ditetapkan boleh menjejaskan keberkesanannya. Bagi menanganinya serta cabaran penghantaran ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak, Pharmaniaga telah bertindak menyempurnakan medium pengangkutan serta proses yang mematuhi ketetapan Amalan Pengedaran Baik (AEB).

“Setiap kotak akan diletakkan bersama peranti pemantauan suhu yang membolehkan pelanggan mengesahkan pematuhan berkaitan. Selain itu, setiap kenderaan yang digunakan turut dilengkapi dengan kemudahan internet pelbagai benda bagi membolehkan kami memantau pergerakannya, masa tiba serta suhu.

“Kami juga mendapati vaksin Pfizer memerlukan suhu ultra sejuk -70 darjah Celsius. Oleh itu, picagari yang siap diisi itu akan diletakkan dalam bekas terma berisi ais kering untuk mengekalkan suhu tersebut,” katanya.

Zulkarnain berkata kemudahan gudang sedia ada Pharmaniaga di Bukit Raja Shah Alam, Juru, Kota Kinabalu, and Kuching juga telah dilengkapi dengan kemudahan rantaian sejuk serta sistem pemantauan persekitaran dan tenaga sokongan bagi memastikan vaksin itu selamat untuk digunakan.

Malah, kesemua gudang berkenaan telah mendapat lesen Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan selain sentiasa ditambah baik.

“Kami juga mengambil maklum terhadap kemungkinan stor-stor hospital berdepan kesukaran besar jika menerima vaksin yang jauh melebihi kapasiti simpanan sedia ada. Atas alasan ini, Pharmaniaga sedang meneliti sistem penghantaran bersesuaian bagi memastikan proses vaksinasi itu dapat dijalankan secara lancar, teratur selain menambah stok,” katanya.

– BERNAMA