Categories
NASIONAL

Ming Kai: BN Takut Penyelewengan di Ketahui Rakyat

SHAH ALAM, 10 APR: Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai hari ini menafikan soalan bertulis yang dikemukakan beliau dalam sidang DUN Perak baru-baru ini ada menyebut mana-mana individu mahupun terikat dengan rahsia kerajaan negeri ataupun Akta Rahsia Rasmi hingga menyebabkan soalan beliau ditolak.

Sebaliknya menurut Ming Kai, soalannya ditolak kerana BN Perak cuba menyembunyikan sesuatu atau disengajakan tanpa alasan yang jelas.

“Alasan yang diberi amatlah tidak munasabah kerana ini bukan pertama kali, sudah banyak kali kita menghadapi perkara ini.

“Setiap kali soalan ditolak, kami kaji mengapa soalan ditolak dan kami ‘adjust’ sampai boleh dijawab.

“Tetapi akhirnya sampai tiada lagi alasan lain maka terpaksalah mereka gunakan mana-mana satu perintah tetap untuk sengaja tidak jawab soalan kita termasuklah menggunakan alasan sentuh rahsia kerajaan negeri dan akta rahsia rasmi.

Ming Kai turut memberikan contoh soalan-soalan bertulis yang cuba dikemukakan kepada Exco Perak.

“Solan yang saya tanya berbunyi, ‘manakah kawasan pembalakan yang diluluskan semenjak 2009? Tak ada sebut nama atau apa-apa kenyataan yang tidak benar pun.

“Soalan kedua, sila kemukakan semua pengusaha kuari di Negeri Perak?

“Ketiga, saya juga tanya senarai projek di bawah PIA (Projek Infrastruktur Awam) dan PIAS (Projek Insfraktur Asas).

“Soalan keempat saya ialah berapa tanah pertanian yang diluluskan dan jelas semua soalan saya soalan yang tak sentuh atau tuduh sesiapa rasuah atau sebagainya,” ujar beliau.

Ming Kai turut tidak menolak kemungkinan BN sedang cuba menyembunyikan daripada sesuatu terdedah kepada pengetahuan rakyat.

“Sengaja tak mahu dijawab mungkin atas beberapa sebab, pertama, saya tak menolak kemungkinan mereka cuba menyembunyikan sesuatu seperti mungkin terdapat projek yang dijalankan dengan peruntukan yang tidak munasabah.

“Kedua, mereka sengaja nak elakkan dari segala pendedahan walaupun mereka tak pasti samada ada masalah atau tidak.

“Malah, terdapat soalan saya tadi yang maklumatnya ada dipaparkan oleh pejabat-pejabat daerah seluruh Perak, takkan itu dianggap sebagai rahsia rasmi kerajaan.

“Oleh sebab saya seorang Adun, saya tanyalah kepada kerajaan negeri sebab tentulah lebih mudah berbanding untuk saya pergi ke setiap pejabat daerah di Perak ini,” ujar beliau ketika di hubungi TVSelangor.

Selain itu, menurut Ming Kai tindakan Speaker DUN Perak, Datuk R Ganesan telah menafikan hak beliau dan rakyat di kawasan yang diwakilinya untuk mendapat maklumat berkenaan tanggungjawab kerajaan negeri.

Terdahulu dalam isu yang sama, Ming Kai telah diarahkan keluar oleh Speaker Datuk R Ganesan apabila beliau melahirkan rasa tidak puas hati setelah soalan-soalan yang dikemukakannya telah ditolak dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.