Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM tubuh badan siasatan bebas, cari punca kegagalan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, bakal dilaksanakan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Penubuhan badan siasatan bebas itu, diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan itu terdiri, daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,” katanya.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya pada Isnin lalu dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukannya.

Namun, segelintir penyokong dan pengkritik mendesak supaya pihak pengurusan FAM juga mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut, yang didakwa kerana kelemahan FAM dalam merancang dan mempersiapkan pasukan dengan baik.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Terlalu hormat kepada lawan bawa padah – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 13 DIS: “Kami terlalu hormat kepada Vietnam !”

Itulah penilaian Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berikutan kekalahan 0-3 pasukan negara kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura semalam.

Beliau mengakui mereka kalah kepada pasukan yang lebih baik dan menggambarkan aksi menentang juara bertahan itu sebagai satu pertempuram yang amat sukar biarpun anak-anak buahnya telah mencuba yang terbaik untuk mencabar Vietnam di dalam gelanggang.

“Saya rasa kami kalah disebabkan kesilapan taktik tetapi saya nampak kami bermain dengan terlalu berhati-hati dan bertahan sahaja dalam babak pertama.

Pasukan saya tidak dapat menguasai dan mengawal bola sebagaimana biasa dilakukan dalam perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Oleh itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata anak-anak buahnya perlu belajar daripada perlawanan menentang “Naga Emas” berapi dan menggesa mereka untuk melangkah ke hadapan dengan mempersiapkan diri untuk pertarungan penting dengan musuh ketat, Indonesia, Ahad depan untuk menentukan kelayakan ke separuh akhir.

Beliau juga berharap para pemain akan menggunakan waktu seminggu untuk berehat dan menjalani proses pemulihan menjelang aksi terakhir Kumpulan B minggu depan.

Cheng Hoe percaya keputusan akan menjadi sebaliknya seandainya beliau mempunyai skuad yang lengkap kali ini.

“Covid-19 dan kecederaan beberapa pemain kami telah menjejaskan semangat pasukan tetapi saya tetap memuji kerja keras mereka selama ini yang membuahkan hasil,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu menyalahkan Luqman Hakim Shamsudin kerana terlepas satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dan berharap kesilapan itu tidak akan mematahkan semangat pemain KV Kortrijk yang berpangkalan di Belgium di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo merasa gembira melihat pasukannya keluar dari gelanggang dengan tiga mata dan memuji anak buahnya kerana mempamerkan aksi yang hebat untuk memenangi aksi kedua mereka dalam Kumpulan B.

“Ia selalunya sukar untuk bermain menentang Malaysia tetapi akhirnya saya merasa gembira untuk mendapat kemenangan hari ini (semalam),”katanya.

Malaysia dihukum kerana gagal menyesuaikan diri dengan permainan intensiti tinggi apabila Vietnam membolosi gawang pasukan negara dua kali dalam jarak empat minit pada babak pertama sebelum memperoleh gol ketiga dalam minit-minit terakhir sebelum wisel penamat ditiup.

Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke-32 diikuti Nguyen Cong Phuong (minit ke-36) dan Nguyen Hoang Doc (minit ke-89).

Keputusan semalam juga memadamkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya di dalam Kumpulan B yang sebelum ini menewaskan Kemboja dan Laos dalam dua perlawanan pertama.

Kekalahan di tangan juara bertahan itu mengakibatkan Malaysia turun ke tangga ketiga di dalam Kumpulan B di belakang pendahulu Indonesia dan Vietnam serta menjejaskan peluangnya untuk layak ke separuh akhir.

Ini juga merupakan kekalahan keenam Malaysia dalam tujuh perlawanan dengan Vietnam sebelum ini dan kelima di bawah kendalian Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Malaysia tewas dengan Vietnam 0-3

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Hasrat Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura malam ini.

Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertamam sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Hatrik Safawi bantu Harimau Malaya baham Laos

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Aksi cemerlang pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang meledak hatrik berjaya membantu Malaysia membelasah Laos 4-0 untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura hari ini.

Pujian harus diberikan kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe apabila tindakannya yang merombak bahagian tengah dan serangan, membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menyajikan corak serangan yang lebih efektif dalam pertembungan dengan Laos, berbanding ketika menumpaskan Kemboja 3-1 dalam aksi pembukaan Isnin lepas.

Cheng Hoe menggugurkan Putera Nadher Amarhan Maderner, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan pemain naturalisasi Guilherme de Paula untuk menurunkan pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan penyerang kelab Belgium KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin hari ini.

Tatkala Laos terlalu ‘ghairah’ mengasak kubu negara dengan melancarkan tiga percubaan ke gawang gol dalam tempoh lima minit pertama perlawanan, mereka akhirnya terperangkap menerusi serangan balas skuad kebangsaan apabila lorongan Arif Aiman dari sebelah kiri padang berjaya ditolak masuk Safawi untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.

Tiga minit kemudian, Malaysia sepatutnya berpeluang melebar kedudukan namun tandukan Muhammad Syafiq Ahmad dan tindakan susulan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak hanya singgah di palang gol.

Safawi menggandakan jaringan Malaysia apabila tandukannya, hasil sepakan penjuru Arif Aiman dari sebelah kiri padang, menewaskan penjaga gol Laos Keo Oudone Sovannasangso pada minit ke-34 dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Malaysia yang menghuni ranking ke-154 dunia, terus menekan pasukan bimbingan V. Selvaraj itu dan hampir menambah jaringan namun rembatan deras dari luar kotak penalti oleh pemain tengah berpengalaman Baddrol Bakhtiar sedikit tersasar di sebelah kiri gol pada minit ke-56 manakala sepakan percuma Safawi pula ditepis keluar Keo pada minit ke-59.

Skuad kebangsaan terus buntu untuk mengetuk pintu Laos apabila penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang masuk menggantikan Luqman, gagal menambah jaringan apabila dua percubaannya dalam masa seminit masing-masing ditepis Keo pada minit ke-72 dan terkena tiang pada minit ke-73.

Namun, pemain pertahanan Shahrul Saad yang naik ke bahagian depan dalam satu serangan balas bijak menghidu hantaran mengelirukan Baddrol untuk tenang menyumbat gol ketiga negara pada minit ke-78.

Safawi kemudian melengkapkan hatriknya yang juga gol keempat peribadinya dalam kempen kali ini, menerusi percubaan leret ke pintu kanan gol lawan dua minit kemudian selepas menyambut hantaran dari tengah padang pemain gantian, R. Kogileswaran.

Kemenangan berharga ke atas pasukan di tangga ke-185 dunia itu sudah semestinya memberikan suntikan motivasi buat Harimau Malaya apabila bakal berdepan juara bertahan Vietnam Ahad ini sebelum menamatkan saingan Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Disember, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Indonesia memulakan cabaran Piala AFF 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 4-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B di venue sama, malam ini.

Pemain pertahanan, Rachmat Irianto muncul wira ‘Sang Garuda’ apabila meledak dua gol pada minit keempat dan ke-33 manakala ketua pasukan Evan Dimas dan pemain sayap Ramai Rumakiek turut menemui sentuhan jaringan, masing-masing pada minit ke-17 dan ke-54.

Pasukan Kemboja yang menampilkan aksi terpuji dengan corak permainan pantas mereka pula memperoleh gol menerusi tandukan pemain pertahanan Yue Safy pada minit ke-37 dan tonggak serangan Prak Mony Udom pada minit ke-60.

Malaysia kini unggul di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata, diikuti Indonesia yang mengatasi Vietnam menerusi perbezaan jaringan walaupun berkongsi tiga mata manakala Kemboja dan Laos, masing-masing di tangga keempat dan kelima tanpa sebarang mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF Suzuki: Malaysia benam Kemboja 3-1

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Malaysia menepati ramalan untuk membenam Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B, saingan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura petang ini.

Skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang untuk menguasai perlawanan bagi meraih tiga mata berharga, walaupun menghadapi serangan balas mencemaskan dari Kemboja.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-154 dunia, terlebih dahulu melakukan percubaan apabila tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua, hasil daripada sepakan percuma Safawi Rasid, sedikit tersasar ke atas palang gol.

Pemain sayap negara, Safawi kemudian melakukan rembatan kencang dari jarak lebih kurang 18 meter tepat ke penjuru kanan gawang, namun penjaga gawang Keo Soksela tangkas menyelamatkan percubaan itu pada minit ketujuh.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti kaki kiri Safawi ke bahagian kanan gawang, yang memperdayakan Keo ke arah bertentangan.

Malaysia dihadiahkan penalti oleh pengadil Shukri Hussain Alhunfush, apabila Ken Chansopheak mengasari Muhammad Akhyar Abdul Rashid di dalam kotak penalti, yang turut menyebabkan tonggak pertahanan skuad ‘Angkor Warriors’ itu dilayangkan kad kuning.

Kemboja, di bawah kendalian bekas pemain Jepun Ryu Hirose, mencari gol penyamaan menerusi serangan bertali arus, namun barisan pertahanan negara, terutamanya penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat bertindak baik bagi mematahkan semua serangan pasukan lawan untuk kekal mendahului sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia berjaya melebarkan jurang menerusi Muhammad Akhyar, yang menerima hantaran jauh cantik daripada Syafiq dan memperdayakan dua pemain pertahanan Kemboja, sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60.

Anak-anak buah Cheng Hoe, terus menambah derita buat Kemboja, apabila pemain gantian M. Kogileswaran Raj meledak masuk hantaran silang pendek Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79.

Skuad ‘Angkor Warriors’ yang menghuni ranking ke-170 dunia, mempamerkan kebangkitan menerusi jaringan penalti Sath Rosib pada minit ke-90.

Terdahulu, Khairul Fahmi dipersalahkan dan dilayangkan kad kuning kerana menendang Sath ketika menangkap bola hantaran tinggi di dalam kotak penalti.

Kemenangan itu sekali gus membantu Malaysia, juara edisi 2010, mengekalkan rekod tanpa kalah terhadap Kemboja dalam saingan Piala AFF, selepas mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga aksi dalam saingan itu sejak 2000.

Selain menjadi tonik buat skuad Harimau Malaya yang terpaksa turun tanpa khidmat penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain tengah Faisal Halim, yang dikuarantin kerana positif COVID-19 pada Jumaat lepas, kemenangan itu juga memastikan Malaysia tidak keciciran mata sebelum dua aksi terakhir yang sukar.

Skuad Harimau Malaya selepas ini dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir 19 Dis ini, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Dua pemain Harimau Malaya positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Sehari sebelum aksi pertama saingan Piala AFF 2020 menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan berita dua pemainnya didapati positif Covid-19.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain tersebut didapati positif dalam ujian saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi pada Jumaat, namun kesemua ahli pasukan yang lain tidak dijangkiti.

Beliau berkata dua pemain berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian Covid-19 dilakukan pada setiap hari.

Mohd Yusoff, yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut mengesahkan bahawa, pihak penganjur membenarkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe meneruskan latihan dan cabaran di Piala AFF 2020.

“Kita masih sedang membincangkan mengenai keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini, kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal. Cheng Hoe dijangka membuat keputusan pada malam ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Singapura.

Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi esok, di mana pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang sedang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark, dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum aksi terakhir kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Disember ini.

Pertembungan antara Kemboja dan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 akan berlangsung di Stadium Bishan 5.30 petang, pada aksi pertama Kumpulan B esok.

Skuad Harimau Malaya kemudian dijadualkan bertemu Laos pada 9 Disember sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada aksi terakhir.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Bawa pulang Piala Suzuki AF ke tanah air- Tun M

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati pemain skuad Harimau Malaya supaya bermain dengan penuh semangat kesukanan bagi capai misi membawa pulang Piala Suzuki AFF ke tanah air.

“Saya ingin ucap selamat bertanding kepada pasukan Harimau Malaya yang akan beraksi di Hanoi, Vietnam.

“Buktikan kita mampu tewaskan pasukan lawan. Kepada Ultras Malaya, beri sorakan padu dan tiupkan semangat kepada pasukan kita,” kata Dr Mahathir menerusi catatan video di laman rasmi Facebook beliau.

Malaysia akan bertemu pasukan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi pada perlawanan akhir kedua dalam misi membawa pulang Piala Suzuki AFF 2018.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu seri 2-2 pada aksi final pertama menentang skuad Naga Emas yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Selasa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

825 polis berkawal sempena Piala AFF malam ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 DIS: Seramai 825 anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kawalan trafik akan dilakukan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

Katanya, dianggarkan seramai 90,000 penonton akan membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan terbabit.

“Anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenal pasti, pihak polis hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan sesak.

“Orang ramai juga diingatkan supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak membawa barang larangan antaranya mercun, suar, senjata, laser dan topi keledar.

“Jangan cetuskan sebarang provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Polis juga akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket palsu untuk aksi final bola sepak Piala AFF Suzuki kali ini,” katanya.

 

Categories
SUKANKINI

FAM: Lupakan hasrat ke stadium beli tiket final AFF Suzuki

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini meminta peminat bola sepak negara yang berhasrat ke Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini bagi membeli tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam, agar melupakan hasrat mereka.

Ini kerana kata Setiausaha Agung FAM Stuart Michael Ramalingam, selepas mengambil kira barisan penyokong yang beratur sejak malam tadi di kaunter tiket A dan E di stadium itu sudah mengelilingi stadium, kesemua 40,000 tiket yang diperuntukkan hari ini akan habis dijual dalam masa singkat.

“Justeru, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan anda pulang dengan rasa kecewa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya FAM amat menghargai sokongan peminat tempatan terhadap Harimau Malaya pada aksi pertama final berkenaan namun hanya 80,000 keping tiket disediakan.

Foto Sumber: Twitter FOX SPORT NEWS

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dalam masa singkat.

“Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan pihak polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula nanti supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau memaklumkan kaunter jualan tiket yang sepatutnya dibuka 10 pagi akan diawalkan kerana FAM prihatin dengan keadaan penyokong yang telah berbaris sejak malam tadi.

Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Final Piala AFF: 40,000 tiket dalam talian habis dijual

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Debaran perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini pada 11 Disember ini, semakin terasa apabila 40,000 tiket yang dijual dalam talian, habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 30,000 tiket telah pun habis terjual menerusi laman sesawang;www.tickethotline.com.my semalam, manakala baki 10,000 tiket yang dijual hari ini, telah habis terjual tadi.

FAM memaklumkan baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal esok di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di Kaunter Tiket Pintu A & Pintu E di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang (atau sehingga tiket habis), dengan setiap penyokong hanya boleh membeli maksimum lima tiket.

FAM berkata peminat boleh juga mendapatkan tiket perlawanan di beberapa cawangan Al-Ikhsan Sports terpilih dan mereka boleh merujuk laman facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Badan induk bola sepak negara itu turut memaklumkan peminat tempatan yang hadir menyaksikan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, pada 5 Disember lepas, boleh membeli tiket aksi final pertama di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kaunter tiket khas di Wisma FAM ini hanya dibuka sehari pada Ahad ini dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang, menurut FAM.

Peminat yang membuat pembelian tiket berkenaan bagaimanapun perlu membawa kad pengenalan (MyKad) dan bukti pembelian iaitu keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok atau bukti slip pembayaran tiket berkenaan.

“Jika ia telah hilang, sila bawa Pasport Malaysia anda sebagai bukti keluar masuk ke Thailand untuk ke perlawanan tempoh hari,” kata FAM.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka yang berharga RM40 sekeping.

Malaysia seri 2-2 dengan Thailand pada aksi separuh akhir, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir yang menggunakan format timbal balik.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Piala Suzuki AFF: Malaysia layak ke final

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

BANGKOK 5 DIS: Harimau Malaya menunjukkan taring sebenar apabila layak ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2018 walaupun terikat 2-2 dengan pasukan Thailand dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Rajamangala Thailand.

Pada perlawanan itu kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 2-2 selepas tamat 90 minit yang menyaksikan permainan sengit seawal minit pertama lagi.

Malaysia layak ke final dengan agregat 2-2 pada perlawanan kedua itu menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengucapkan tahniah ke atas kejayaan pasukan Malaysia melalui twitternya.

“Kecekalan dan semangat juang pemain Malaysia yang tidak mengenal erti putus asa membuktikan kita setanding dengan juara Asia Tenggara.

“Tahniah kepada Tan Cheng Hoe, pemain Malaysia dan ekor Harimau Malaya. Semoga selamat dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Syabas !

“One of the most dramatic football game ever played by Malaysia. Congratulations Malaysia!,” tulis Amirudin.

Perlawanan akhir bakal berlangsung pada 11 dan 15 Disember ini.

Penjaring:

Malaysia – Muhammad Syahmi Safari (minit ke-28), Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-70)

Thailand – Muhammad Irfan Zakaria (gol sendiri – minit ke-20), Pansa Hemviboon (minit ke-63)

Pasukan:

MALAYSIA: Farizal Marlias, Muhammad Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd Radzak (Muhammad Irfan Zakaria), Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Muhammad Akram Mahinan, Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha (D. Kenny Pallraj), Muhammad Safawi Rasid (Muhammad Akhyar Abdul Rashid), Zaquan Adha Abd Radzak (ketua pasukan)

THAILAND: Chatchai Budprom, Chalermpong Kerdkaew (ketua pasukan), Pansa Hemviboon, Thitipan Puangchan, Adisak Kraisorn, Mongkol Tossakrai (Sumanya Purisay), Philip Roller, Tanaboon Kesarat, Supachai Jaided, Korrakot Wiriyaudomsiri, Sanrawat Dechmitr.

Pengadil: Adham Mohammad Tumah Makhadmeh (Jordan)

 

Categories
SUKANKINI

Beberapa jalan sekitar Stadium Bukit Jalil ditutup sempena Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR 30 NOV: Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan susulan perlawanan peringkat separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata jalan-jalan yang terlibat adalah Lebuhraya KESAS susur ke Jalan Merah Caga bagi kedua-dua arah, Jalan Barat ke Jalan Merah Caga, dan Puchong Link ke Jalan Barat dari kedua-dua arah.

Dalam pada itu, Zulkefly berkata dijangkakan seramai 80,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.

“Memandangkan jumlah parkir yang terhad di sekitar Bukit Jalil, pengguna dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium berkenaan atau berkongsi kenderaan.

Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan sesuka hati bagi mengelakkan berlaku halangan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Tindakan saman termasuk menunda kenderaan akan diambil kepada pengguna yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.

Zulkefly juga meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

SUMBER: BERNAMA