Categories
AGENDA NASIONAL

Guan Eng: Tayangan Piala Dunia 2018 ditaja, tidak libat wang kerajaan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan projek Rundingan Terus (RT) tayangan Piala Dunia FIFA 2018 bernilai RM29.9 juta tidak melibatkan wang kerajaan, sebaliknya menggunakan hasil jualan iklan dan tajaan.

Justeru, Lim berkata projek tersebut perlu digugurkan daripada senarai projek RT Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu lepas.

“Sebaliknya kerajaan mendapat untung RM3.3 juta hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan,” kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media di sini hari ini.

Pada Rabu, Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara RT ketika pentadbiran PH, yang mana projek tayangan Piala Dunia FIFA 2018 turut tersenarai.

Susulan pendedahan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mempersoalkan bayaran sebanyak RM29.9 juta kepada Sports Media & Distributor untuk hak menyiarkan siaran sukan tersebut secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada masa itu mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos.

Lim menjelaskan AirAsia dan Maxis membayar kepada RTM, dan RTM pula membayar kepada Sports Media & Distributor tanpa melibatkan satu sen wang kerajaan.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan itu meminta Tengku Zafrul membetulkan perkara tersebut dengan mengeluarkan projek tayangan Piala Dunia FIFA daripada senarai berkenaan.

Semalam, dalam sidang media di Parlimen, Lim menafikan projek RT PH bernilai RM6.61 bilion sebaliknya nilai kesemua projek RT sepanjang pemerintahan kerajaan PH ialah sebanyak RM352 juta.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

WC2018: ‘Respect’ buat Cristiano Ronaldo

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JUL: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mempamerkan semangat kesukanan tinggi apabila memapah penyerang Uruguay, Edinson Cavani keluar padang bagi mendapatkan rawatan, susulan kecederaan dialaminya, pada perlawanan peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Situasi itu berlaku pada minit ke-71 apabila Cavani mengalami kecederaan dan dilihat sukar untuk berjalan sebelum Ronaldo menawarkan bantuan dengan memapah penyerang kelab Paris Saint-Germain (PSG) ke tepi padang.

Cavani yang mengalami kecederaan betis akhirnya dikeluarkan, pada minit ke-74 dan digantikan dengan Cristhian Stuani.

Tindakan itu mendapat sokongan gemuruh hampir 45,000 penyokong yang turut sama menyaksikan perlawanan memihak Uruguay dengan keputusan 2-1, hasil dua jaringan Cavani di setiap babak.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: Cavani pastikan Ronaldo ‘teman’ Messi pulang

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JUL: Uruguay mememastikan juara Piala Eropah 2016, Portugal tersingkir daripada meneruskan kemaraan dalam Piala Dunia 2018 apabila menang 2-1, hasil jaringan penyerang berbisa, Edinson Cavani, pada pusingan 16 pasukan terbaik, awal pagi tadi.

Aksi babak pertama menyaksikan Portugal bermula garang apabila melakukan percubaan seawal minit kedua menerusi Bernardo Silva tetapi tandukannya tinggi tersasar.

Cristiano Ronaldo turut menguji gawang Uruguay, pada minit kelima tetapi rembatan pemain Real Madrid itu tepat ke penjaga gol, Fernando Muslera.

Sebaliknya Uruguay mencipta kejutan apabila mendahului Portugal 1-0, pada minit ketujuh menerusi tandukan Edinson Cavani.

Bermula daripada gerakan Cavani sendiri, Luis Suarez yang menerima hantaran tepat tidak membuang masa melencongkan semula bola ke gawang Portugal sebelum Cavani melakukan tandukan tepat ke gawang menewaskan penjaga gol, Rui Patricio.

Suarez hampir menjadikan kedudukan Uruguay bertambah selesa, pada minit ke-21 tetapi sepakan percuma rendah beliau berjaya ditepis Rui Patricio.

Ronaldo turut gagal menyempurnakan sepakan percuma, pada minit ke-32 apabila percubannya terkena benteng pertahanan Uruguay.

Di penghujung babak pertama, Cavani berpeluang menggandakan jaringan tetapi rembatannya gagal menepati sasaran.

Kekebalan benteng pertahanan Uruguay akhirnya roboh, pada minit ke-55 apabila pemain pertahanan, Pepe berjaya melonjak tinggi untuk menanduk hantaran lintang Raphael Guerreiro bagi gol penyamaan 1-1 buat Portugal.

Jaringan itu hanya bertahan selama tujuh minit sebelum Cavani kembali meletakkan Uruguay di hadapan, pada minit ke-62.

Bermula daripada tolakan Rodrigo Bentancur, Cavani yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan lencong ke sebelah kanan gawang Portugal tanpa mampu diselamatkan Rui Patricio.

Tetapi malang buat Uruguay apabila Cavani tidak mampu meneruskan permainan dan dikeluarkan, pada minit ke-74 susulan kecederaan betis.

Di penghujung permainan, Cristian Rodriguez berpeluang menjaringkan gol ketiga tetapi beliau gagal menampan kemas hantaran Suarez.

Ricardo Quaresma turut mencuba nasib sebelum wisel penamat dibunyikan tetapi percubannya berjaya dihalang Muslera dan keputusan 2-1 kekal memihak Uruguay yang mara ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
GLOBAL SUKANKINI

WC2018: England pesta gol benam Panama

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 25 JUN: Hatrik Harry Kane membantu England membelasah Panama 6-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan G dan memastikan pasukan itu ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2018.

England memulakan pesta gol seawal minit kelapan melalui pertahanan Manchester City, John Stones dengan tandukan menewaskan penjaga gol Panama, Jaime Penedo dan Kane (m22) mengambil giliran sepakan penalti untuk gol kedua selepas Jesse Lingard dikasari.

Pasukan kendalian Gareth Southgate terus mengukuhkan kedudukan dengan Lingard menjaringkan gol ketiga, pada minit ke-36.

Stone menjaringkan gol kedua, pada minit ke-40 diikuti Kane dengan penalti, pada masa tambahan babak pertama untuk England mendahului Panama 5-0.

Bersambung separuh masa kedua, England terus menggandakan asakan menambah jaringan dan Kane memperoleh hatrik, pada minit ke-62 seterusnya menjadikan dirinya penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini dengan lima gol.

pialaPanama mendapat gol sagu hati melalui Felipe Baloy (m78) hasil tendangan bebas yang juga gol pertama negara itu dalam Piala Dunia.

“Sayaa gembira dengan kemenangan ini dan ia pencapaian berbeza jika dibandingkan dengan kejayaan mengatasi Tunisia,” kata Southgate dipetik AFP.

Selepas dua perlawanan, England dan Belgium kini berkongsi kedudukan dengan enam mata dan kedua pasukan akan bertemu bagi penentuan juara kumpulan.

Manakala Panama dan Tunisia tersingkir dari saingan akan bertemu dalam perlawanan ketiga.

Categories
SUKANKINI

Perancis menang, Peru tersingkir

OLEH HAFIZAN TAIB

YEKATERINBURG, 22 JUN: Perancis melangkah ke pusingan 16 terakhir apabila menewaskan Peru 1 – 0 melalui gol jaringan Kylian Mbappe pada aksi kedua Kumpulan C di sini.

Gol penyerang Paris Saint-Germain itu terhasil pada minit ke 34 dengan menyudahkan bola percubaan Olivier Giroud yang melantun di depan gol melepasi penjaga gol, Pedro Gallese.

Ia memastikan kemenangan pasukan bimbingan Didier Deschamps dan jaringan itu juga memahat nama Mbappe, 19, sebagai penjaring termuda dalam edisi Piala Dunia.

Peru yang memulakan perlawanan dengan beraksi baik serta berusaha mencatat kemenangan selepas tewas 0 – 1 kepada Denmark dalam perlawanan sebelumnya, menyaksikan beberapa percubaan digagalkan ketua pasukan Perancis, Hugo Lloris.

Pasukan Amerika Selatan yang kembali ke Piala Dunia selepas kali terakhir pada 1982 mendapat peluang terbaik melalui Pedro Aquino pada separuh masa kedua, namun menyaksikan bola tendangannya melepasi palang gol.

Deschamps, ketua pasukan yang menjulang Piala Dunia bersama Perancis pada 1998 berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Denmark.

“Kami gembira dengan kemenangan ini dan akan cuba mengekalkannya untuk menduduki tangga teratas kumpulan sebelum menghadapi peringkat kalah mati,” katanya dipetik AFP.

Perancis mengalahkan Australia 2 – 1 pada perlawanan pertama manakala kekalahan kedua Peru itu pula mengakhiri perjalanan mereka dalam kejohanan kali ini.

Categories
SUKANKINI

Denmark, Australia seri 1 – 1

OLEH HAFIZAN TAIB

SAMARA, 21 JUN: Denmark dan Australia terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1 – 1 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Cosmos Arena, di sini.

Denmark menang 1 – 0 ketika bertemu Peru dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2018, mendahului lawan seawal minit ke tujuh melalui Christian Eriksen.

Pemain tengah Tottenham Hotspur itu menyudahkan hantaran Nicolai Jorgensen dengan satu tendangan deras dan gagal diselamatkan penjaga gol, Mathew Ryan.

Australia yang ketinggalan cuba meningkatkan permainan melalui serangan balas dilancar ke kubu Denmark dengan penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel beberapa kali menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun, Australia akhirnya menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan penalti selepas terkena tangan pemain RB Leipzig, Yussuf Poulsen dengan ketua pasukan, Mile Jedinak (m38) tidak melakukan kesilapan dan menghampakan Schmeichel di pintu gol.

Kedua pasukan meneruskan rentak bagi mencari gol namun terus gagal sehingga berakhir masa penuh permainan.

Selepas dua perlawanan, Denmark mengumpul empat mata dan Australia (satu) yang tewas 1 – 2 kepada Perancis masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya.

Categories
SUKANKINI

Neymar cedera, Brazil bimbang

OLEH HAZIQ ISMAIL

SOCHIE, 21 JUN: Kem Brazil cetus resah pada penyokong apabila bintang sensasinya, Neymar terpaksa meninggalkan sesi latihan selepas kecederaan buku lali kanan yang serius.

Ia tamparan hebat buat Brazil menjelang aksi kedua Piala Dunia menentang Costa Rica yang perlu mereka menangi selepas sekadar mengutip satu mata setelah seri 1-1 bertemu Switzerland dalam aksi pertama.

Kecederaan itu susulan daripada beberapa kekasaran dilakukan ke atas Neymar ketika aksi menentang Switzerland di Rostov-on-Don.

Neymar menjadi pemain paling banyak dijatuhkan dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak 20 tahun. 19 kesalahan yang dilakukan oleh Switzerland dalam perlawanan itu, 10 daripada mereka adalah kesalahan ke atas Neymar.

Juara dunia lima kali itu adalah antara pasukan pilihan menjulang trofi tetapi Countiho memberi amaran kepada peminat supaya tidak terlalu memberi harapan tinggi kepada pasukannya.

Categories
SUKANKINI

Sepanyol benam Iran 1 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

KAZAN, 21 JUN: Sepanyol mengatasi cabaran dan mencatat kemenagan 1 – 0 ke atas Iran hasil jaringan Diego Costa dalam perlawanan Kumpulan B Piala Dunia 2018.

Gol penyerang Atletico Madrid yang ketiga dari dua perlawanan itu membantu juara edisi 2010 meraih tiga mata dan berkongsi kedudukan bersama Portugal dengan empat mata dalam kumpulan berkenaan.

Ia terhasil melalui percubaan Costa pada tujuh minit separuh masa kedua yang mendapat bola selepas gagal dikeluarkan pertahanan Iran dengan melepasi penjaga gol, Ali Beiranvand.

Iran yang berusaha bangkit bagi mencari gol dan melancarkan serangan memperolehinya menerusi Saeid Ezatolahi tetapi dibatalkan kerana berada pada posisi ‘offside’.

Jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro yang dilantik menggantikan Julen Lopetegui menerusi AFP, mengakui pasukannya menempuh tentangan sengit Iran sepanjang perlawanan itu.

“Kami berjaya memungut tiga mata selepas menghadapi cabaran sukar Iran yang bermain dengan baik dalam perlawanan ini,” katanya.

Sebelum ini, Sepanyol seri 3 – 3 dengan Portugal, yang mengalahkan Maghribi 1 – 0.

Iran yang memungut tiga mata hasil dua perlawanan, masih berpeluang ke peringkat seterusnya dan mesti mencatat kemenangan ketika berdepan Portugal.

Categories
SUKANKINI

Suarez bawa Uruguay ke pusingan kalah mati

OLEH HAFIZAN TAIB

ROSTOV-ON-DON, 21 JUN: Luis Suarez membantu Uruguay mara ke pusingan 16 terakhir dengan mengalahkan Arab Saudi 1 – 0 dalam perlawanan Kumpulan A pada Piala Dunia 2018 di sini.

Gol penyerang Barcelona pada minit ke 23 itu terhasil melalui sepakan sudut dengan mengambil peluang kegagalan penjaga gawang Arab Saudi, Mohammed Al-Owais menangkap kemas bola.

“Jaringan diperoleh untuk kemenangan ini penting dan saya berharap dapat terus mara bersama Uruguay,” kata Suarez yang tampil dalam perlawanan ke 100 untuk Uruguay, dipetik AFP.

Uruguay kini memungut enam mata hasil dua perlawanan dan menduduki tangga kedua kumpulan di belakang tuan rumah, Rusia dengan mata sama namun berbeza jaringan gol.

Arab Saudi yang lebih bersedia dalam perlawanan itu masih gagal memburu kemenangan pertama dalam Piala Dunia disertai sejak 1994.

Kegagalan kedua selepas tewas 0 – 5 kepada Rusia dalam perlawanan pembukaan, menyaksikan Arab Saudi terkeluar daripada kejohanan kali ini.

Kemenangan diraih Uruguay memastikan pasukan itu dan Rusia yang sebelumnya menundukkan Mesir 3 – 1, mara ke pusingan kalah mati.

Categories
SUKANKINI

Gol Ronaldo singkirkan Maghribi

OLEH HAFIZAN TAIB

MOSCOW, 20 JUN: Jaringan tunggal Cristiano Ronaldo memastikan Portugal mencatat kemenangan pertama mengatasi Maghribi 1 – 0 dalam perlawanan Kumpulan B, pada Piala Dunia 2018.

Ia adalah gol keempat Ronaldo dalam kejohanan kali ini di mana sebelumnya mencatat hatrik ketika seri 3 – 3 bertemu Sepanyol dalam aksi perbukaan minggu lalu.

Kemenangan dalam aksi kedua itu meletakkan juara Eropah itu dalam keadaan selesa dengan empat mata serta mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya.

Gol Ronaldo pada minit keempat itu berpunca dari sepakan sudut diambil Moutinho dengan bintang Real Madrid berjaya memperdayakan pertahanan Maghribi dengan satu tandukan kencang menerjah jaring.

Permainan menjadi rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan berusaha mencipta ruang serangan ke kubu lawan sementara Maghribi beberapa kali memperoleh peluang keemasan, namun kecekapan penjaga gol Portugal, Rui Patricio, menafikannya.

Ronaldo sendiri turut berpeluang menambah jaringan pada minit awal separuh masa kedua, namun menyaksikan percubaan dilakukan tersasar.

Ketua pasukan Portugal itu kini mendahului senarai jaringan dalam usaha memenangi anugerah Kasut Emas serta muncul penjaring gol terbanyak Eropah dengan 85 gol mengatasi lagenda Hungary, Ferenc Puskas (84).

Kekalahan kedua Maghribi itu menyaksikan mereka tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 0 -1 kepada Iran dalam perlawanan pembukaan.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Rusia kalahkan Mesir

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 20 JUN: Tuan rumah, Rusia meneruskan rentak kemenangan apabila mengalahkan Mesir 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, pada Piala Dunia 2018.

Dengan kemenangan itu, pasukan bimbingan Stanislav Cherchesov kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan enam mata dan mencerahkan laluan ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Selepas separuh masa pertama tanpa gol, Rusia turun dengan cabaran lebih hebat dalam babak kedua bagi mencipta jaringan dan memperoleh gol awal melalui gol sendiri dari kesilapan ketua pasukan Mesir, Ahmed Fathi, dua minit selepas itu.

Serangan berterusan dilakukan membuahkan hasil dengan Denis Cheryshev (m59) dan Artem Dzyuba (m62) menambah dua gol menjadikan Rusia mendahului 3-0.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol pada minit ke-79, namun terlambat untuk Mesir.

Cherchesov berkata, Rusia diharap akan terus meningkat selepas ini dan mencatat lebih kemenangan dalam kejohanan itu.

“Kami mencerahkan laluan ke pusingan seterusnya dan akan melihat apa perlu dilakukan selepas ini,” katanya dipetik AFP.

Rusia membelasah Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kegagalan Messi buat Argentina berkongsi satu mata

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Kegagalan Lionel Messi menyempurnakan sepakan penalti pada pertengahan babak kedua mengakibatkan Argentina terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 menentang Iceland.

Dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Dunia 2018, Sergio Aguero meletakkan Argentina dihadapan 1-0 pada minit ke-19 selepas menyempurnakan percubaan awal Marcos Rojo.

 

Selang empat minit kemudian, Alfren Finnbogason menyamakan kedudukan 1-1 buat Iceland apabila berjaya melepaskan rembatan susulan bola yang gagal didakap kemas penjaga gol, Wilfred Caballero hasil percubaan awal Gylfi Sigurdsson.

Bersambung babak kedua, Argentina sepatutnya di hadapan pada minit ke-64 selepas pemain pertahanan Iceland, Horrdun Magnusson mengasari Maximiliano Meza dalam kotak penalti.

 

Bagaimanapun, Messi gagal meletakkan bola ke jaring lawan sebaliknya penjaga gol Iceland, Hannes Thor Halldorsson berjaya menepis sepakan penyerang Barcelona itu.

Argentina cuba melakar beberapa peluang selepas itu tetapi gagal menemui penyudah.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup