Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Agong zahir tahniah, bangga kejayaan Pandelela raih emas kejohanan dunia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya dibenar adakan kem latihan pusat secara kuarantin

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Skuad Harimau Malaya boleh menarik lafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan mereka mengadakan latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Mac ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (26 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 31 Mac ini.

“Setelah berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya melihat mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai pusat latihan mereka.

“MSN Bukit Jalil mempunyai fasiliti dan kemudahan serta mudah untuk dilakukan operasi berasaskan kepada model latihan secara kuarantin berbanding tempat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat latihan itu boleh menempatkan antara 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain, katanya.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 16 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata atlet kebangsaan yang menjalani latihan di bawah Program Podium termasuk atlet para dan pelapis kebangsaan akan meneruskan latihan menggunakan pendekatan kuarantin seperti biasa.

“Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan berpusat secara kuarantin dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya.

Setakat ini hampir 632 atlet, jurulatih dan anggota dalam 28 jenis sukan terlibat di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selamat tinggal Maradona, pemain terulung sepanjang zaman

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Sebagai seorang pemain bola sepak terulung sepanjang zaman yang memukau dunia dengan sentuhan ajaibnya, Diego Maradona pernah sekali mempersembahkan kebolehan luar biasanya mengawal bola di hadapan penonton tempatan di Stadium Merdeka, di sini pada Januari 1982.

Selepas empat tahun, beliau mengetuai pasukan kebangsaan Argentina dan memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya untuk menjulang Piala Dunia 1986, memenangi final menewaskan Jerman Barat tetapi perlawanan suku akhir menentang England kekal sebagai suatu detik tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya iaitu jaringan beliau didakwa menggunakan tangan yang dikatakan sebagai “Hand of God”.

Dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia yang tidak dapat dilupakan, Maradona mempamerkan aksi solonya yang menakjubkan menggelecek melepasi beberapa pemain pertahanan untuk menjaringkan gol yang tercatat dalam sejarah sebagai “gol abad ini” — empat minit selepas golnya menerusi “Hand of God” dalam perlawanan itu.

Mengimbau kembali kepada 1982, Maradona yang ketika itu berusia 22 tahun dengan pasukannya Boca Juniors datang ke Malaysia menentang pasukan Jemputan Selangor XI dalam satu perlawanan persahabatan dan meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas merembat masuk bola yang menewaskan penjaga gol legenda negara – mendiang R Arumugam yang dikenali sebagai “Spiderman”.

Hampir 23,000 peminat tempatan menjerit-jerit namanya apabila bekas bintang Barcelona dan Napoli itu berjalan keluar melalui terowong stadium sebelum mereka terpukau dengan aksinya di padang.

“Bila dia datang, setiap orang tahu mereka akan menyaksikan seorang bakal bintang dari Argentina. Pada masa itu beliau merupakan seorang pemain hebat yang sedang menggilap bakatnya,” kata bekas wartawan Bernama Tham Choy Lim ketika mengimbas kembali malam bersejarah dalam bola sepak Malaysia itu kepada Bernama.

Tham berkata ramai orang datang membanjiri stadium untuk melihat Maradona yang melonjak naik namanya ketika beraksi dengan Boca Juniors.

Beliau juga mendedahkan peminat Malaysia bernasib baik dapat menyaksikan Maradona dan pasukannya datang ke Malaysia dan mempamerkan kehebatan mereka di hadapan mata mereka sendiri.

“Memandangkan Januari merupakan luar musim di Argentina, pasukan Boca Juniors membuat keputusan memilih Malaysia sebagai satu persinggahan untuk kempen pramusim dan saya bertuah kerana dipilih oleh ketua saya untuk membuat liputan perlawanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya,” katanya.

Selangor pada ketika itu mengetengahkan pemain utama seperti arwah Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan pemain jemputan seperti legenda negara Datuk Soh Chin Aun, legenda Singapura Fandi Ahmad dan bintang Thailand Piyapong Pue-on.

Sementara itu Santokh, menggambarkan Maradona sebagai seorang pemain yang tangkas dan penuh kemahiran biarpun hanya sekali berhadapan beliau dalam stadium yang padat dengan penonton.

“Ia adalah satu kenangan terindah dan hebat bermain dengan seorang pemain unggul seperti Maradona. Kemahirannya adalah menakjubkan dan saya mendapati sukar untuk mengawal beliau,” katanya.

Maradona meninggal dunia pada Rabu akibat serangan jantung di kediamannya di Daerah Tigre, utara Buenos Aires, ibu negara Argentina.

Bekas pemain dan jurulatih, yang terkini dengan pasukan bola sepak Gimnasia y Esgrima La Plata menjalani pembedahan selepas diserang strok awal November ini.

Pada 30 Okt lepas, Maradona menyambut ulang tahun kelahiran ke-60nya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peranan AFC penting bida Piala Dunia 2034

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Peranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) penting dalam usaha merealisasikan hasrat lima negara ASEAN untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan berbincang bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai bentuk kerjasama dapat dijalinkan antara negara ASEAN dengan AFC selaku badan induk bola sepak di Asia, berhubung proses bidaan itu.

“Kita akan bincang dengan FAM mengenai perkara ini (penglibatan AFC dalam proses bidaan Piala Dunia 2034) kerana ia memang akan dikepalai oleh FAM (di Malaysia) serta persatuan bola sepak negara ASEAN lain.

Kita akan berkolaborasi dengan mereka (negara ASEAN) dan lihat bagaimana kita boleh tentukan hala tuju bersama,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Warrior Challenge 4.0 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa AFC tidak berpuas hati dengan negara-negara ASEAN kerana tidak menjemput atau membuat sebarang rujukan kepada badan induk bola sepak Asia itu dalam perbincangan mengenai proses bidaan Piala Dunia 2034.

Ini berikutan, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji proses penyediaan dokumen bidaan Piala Dunia 2034 di ASEAN akan diadakan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Mesyuarat itu akan turut membabitkan penyertaan persatuan bola sepak negara ASEAN bagi membincangkan kriteria yang diperlukan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Selain melibatkan persatuan bola sepak negara ASEAN, mesyuarat yang bakal diadakan itu turut membabitkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq, bagaimanapun berkata tarikh mesyuarat itu masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu pengesahan daripada sebuah negara ASEAN.

Lima negara ASEAN yang berhasrat menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2034 adalah Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hasrat ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

— BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Kelayakan Piala Dunia: Malaysia jumpa Timor-Leste

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 APRIL: Malaysia dijadualkan bertemu Timor-Leste, dalam pusingan awal kelayakan pertama FIFA Piala Dunia Qatar 2020 dan AFC Piala Asia 2023.

Sebanyak 12 pasukan akan bersaing secara timbal balik dengan perlawanan pertama berlangsung 6 Jun ini, manakala perlawanan kedua lima hari kemudian.

Skuad Harimau Malaya berada dalam Pasukan A bersama Mongolia, Macau, Laos, Kemboja dan Bhutan.

Pasukan B pula menampilkan Brunei, Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan, Timor-Leste dan Guam.

Kredit Foto: Facebook AFC Asian Cup

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Final Piala Dunia peluang santuni anak muda

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 16 JULAI: Kerajaan Negeri meneruskan usaha mendekati belia di Selangor menerusi pelbagai medium khasnya membabitkan bidang yang mendapat tempat di hati golongan terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil kesempatan mengadakan program tayangan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia secara percuma.

“Sambutan yang diberikan sangat baik dengan sekitar 600 hingga 700 orang di setiap lokasi yang saya hadiri, justeru ini satu petanda Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bergerak di peringkat akar umbi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Showdown World Cup Final di Restoran ARR Corner, di Kampung Jawa, di sini, malam tadi.

Katanya, usaha mendekati golongan muda mula dijalankan sejak 2009 dan mendapat sambutan baik.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menambah pelbagai program dengan pendekatan berbeza membabitkan anak muda, di negeri itu.

Sebelum itu, program Showdown World Cup Final, di sini berlangsung meriah dengan Restoran ARR dibanjiri orang ramai sejak jam 8 malam lagi.

Selain menyediakan skrin gergasi untuk tontontan perlawanan akhir mambabitkan pasukan Perancis dan Croatia, turut diadakan cabutan nombor bertuah yang menawarkan pelbagai hadian menarik seperti telefon bimbit, televisyen 32 inci dan pelbagai cenderamata Piala Dunia lain.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

WC2018: Penantian Perancis 20 tahun juara Piala Dunia berakhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 16 JUL: Perancis dinobatkan selaku Juara Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi final yang berlangsung penuh bertenaga di Stadium Luzhniki, Rusia.

Kejayaan ini menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila mereka kecundang 0-1 di tangan Portugal dalam aksi akhir Piala Eropah 2016 di laman sendiri.

Perancis terlebih dahulu mendahului perlawanan 1-0 hasil jaringan sendiri Mario Mandzukic pada minit ke-18.

Berpunca daripada sepakan percuma Antoine Griezmann, Mandzukic yang melonjak tinggi menyentuh bola yang terus menerjah gawang sendiri tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic.

Tidak menyerah kalah, Croatia kembali menyusun permainan dan hasilnya gol penyamaan dicari akhirnya menjelma pada minit ke-28 hasil jaringan Ivan Perisic.

Bermula dari satu sepakan percuma, Demagoj Vida tenang mengawal bola yang diberikan kepada Perisic sebelum beliau melepaskan rembatan kaki kiri terus ke gawang Perancis tanpa mampu diselamatkan Hugo Lloris bagi kedudukan 1-1.

Masuk minit ke-33, perlawanan terpaksa dihentikan seketika kerana pemain Perancis mendakwa bola sepakan penjuru Griezmann terkena tangan Perisic dalam kotak penalti.

Pengadil, Nestor Pitana dari Argentina melihat semula ulang tayang menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) dan membuat keputusan menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis.

Griezmann yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan penalti tenang meletakkan bola ke sebelah kanan gawang Croatia yang dikawal Subasic pada minit ke-38 bagi kedudukan 2-1.

Bersambung pada babak kedua, Griezmann menguji gawang Croatia menerusi rembatan pada minit ke-46 yang terus ke dakapan Subasic.

Seminit kemudian, Lloris bertindak cemerlang dengan menepis rembatan Ante Rebic.

Perancis memperoleh peluang terbaik menerusi Kylian Mbappe di minit ke-51 tetapi Subasic lebih bersedia menghalangnya.

Paul Pogba menjadikan kedudukan selesa 3-1 buat Perancis apabila menghasilkan jaringan di minit ke-58 apabila melepaskan rembatan kaki kiri yang berjaya memerangkap Subasic di garisan gol Croatia.

Croatia terus derita pada minit ke-65 apabila Mbappe menjadikan kedudukan 4-1 buat Perancis apabila tenang melepaskan rembatan rendah hasil hantaran Lucas Hernandez.

Mandzukic merapatkan kedudukan 4-2 pada minit ke-68 buat Croatia apabila memanfaatkan kesilapan Lloris dengan mudah menampan bola terus ke gawang.

Croatia cuba menambah jaringan bagi merapatkan kedudukan namun benteng pertahanan Perancis kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Ini merupakan kejuaraan Piala Dunia kedua buat Perancis selepas pertama kali melakukannya pada 1998 sekaligus menjadikan jurulatih Perancis, Didier Deschamps sebaris dengan lagenda lain apabila menjula piala berprestij itu sebagai pemain dan jurulatih.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

Perancis juara Piala Dunia 2018

GLOBAL 16 JUL: Perancis mempamerkan aksi bergaya apabila berjaya menumbangkan Croatia dengan jaringan 4-2 untuk seterusnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia edisi 2018.

Perancis memperolehi gol awal menerusi  gol sendiri pemain Croatia pada minit ke-18 apabila tandukannya menerjah gawang sendiri untuk Perancis mendahului 1-0.

Tersentak dengan gol awal itu Croatia memperhebatkan serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan Perisic.

Perancis terus mendapat gol kedua melalui sepakan penalti Griezman pada minit ke 38 untuk mendahului dengan 2-1.

Bersambung separuh masa kedua, Perancis terus menambah derita Croatian apabila memperolehi gol ketiga melalui jaringan Pogba pada minit ke-59 dan gol keempat pada minit ke-65 menerusi Mbappe.

Croatia walaupun ketinggalan 4-1 terus berusaha merapatkan jurang jaringan apabila memperolehi gol kedua pada minit ke-69 menerusi Mandzukic untuk kedudukan 4-2.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dan kedudukan itu mengesahkan Perancis muncul sebagai juara Piala Dunia untuk  edisi 2018 selepas menanti selama 20 tahun.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Piala Dunia 2018: Setiap pelusuk Selangor meriah dengan skrin gergasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JUL: Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi akan berlangsungnya perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Kemeriahan acara itu turut dirasakan di negeri ini apabila setiap pelusuk tempat akan memasang skrin gergasi bagi membolehkan peminat bola sepak menonton aksi diantara Perancis menentang Croatia bagi merebut gelaran juara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut tidak ketinggalan menulis di ruangan twitternya dengan mengajak orang ramai menonton perlawanan hebat tersebut.

“Masih mencari lokasi untuk menonton ‘final’ Piala Dunia malam ini? Jom sama-sama kita saksikan Final Piala Dunia 2018 secara live di layar gergasi di Restoran ARR Corner, Kampung Jawa. Semua dijemput hadir!!,” tulisnya di laman berkenaan.

Tidak ketinggalan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham turut mengajak orang ramai ke Restoran Aazhar Maju di Sri Gombak bagi menonton perlawanan bersama lagenda bola sepak negara.

Antaranya termasuk Khalid Ali, Reman Ragunathan dan Rusdi Suparman, acara bermula dari jam 11 malam.

Tambah meriah di Dewan MBSA Paya Jaras pula, penganjur dijangka menghidangkan durian kepada tetamu yang hadir ke situ bermula jam 10 malam ini.

Acara berkenaan dijangka akan turut diserikan dengan kehadiran ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

 

Categories
SUKANKINI

Piala Dunia: Belgium muncul ketiga terbaik dunia

GLOBAL 15 JUL: Belgium memperbaiki pencapaian mereka dalam Piala Dunia apabila menamatkan kempen di Rusia sebagai pasukan ketiga terbaik selepas menewaskan England dengan keputusan 2-0.

Perlawanan itu berlangsung sewaktu aksi perebutan tempat ketiga di Stadium Saint Petersburg, Russia

Sebelum ini pencapaian terbaik Belgium adalah menamatkan aksi di tempat keempat sewaktu Piala Dunia 1986 di Mexico.

Dalam perlawanan tersebut dua gol Belgium dijaringkan oleh Thomas Meunier pada minit keempat dan Eden Hazard pada minit ke-82.

Bagi England pula ini adalah kali kedua mereka menamatkan kempen Piala Dunia di tempat keempat selepas aksi 1990 di Itali.

SUMBER: AGENSI

 

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Akhir Piala Dunia 2018: Pasukan mana pilihan jadi juara?

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 yang berlangsung di Rusia semakin menghampiri kemuncaknya apabila pasukan Perancis dan Croatia akan berentap di gelanggang akhir malam esok.

Bahang perlawanan akhir itu turut dirasai oleh peminat sukan bola sepak di Malaysia termasuk Dato’ Menteri Besar sendiri, Amirudin Shari.

Apabila ditanya pasukan pilihan beliau yang bakal menjuarai kejohanan paling berprestij itu, beliau meramalkan Perancis bakal mengatasi Croatia dengan jaringan 3-1.

“Atas kertas masih lagi Perancis tetapi dah banyak kali ramalan saya salah.

“Lagi pun ikut prestasi semasa saya fikir Perancis namun Croatia dah cipta banyak kejutan dan tak mustahil Croatia juga mempunyai harapan tetapi saya rasa Perancis akan menang 3-1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Kesyukuran Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman pula memilih Croatia sebagai juara baru dengan jaringan 3-2 mengatasi Perancis.

“Walaupun Croatia pasukan ‘under dog’ tapi mereka dah buktikan mampu menewaskan pasukan gergasi lain seperti England dan tuan rumah sendiri.

“Tak dinafikan Perancis pasukan yang kuat tetapi Croatia akan bermain bermati-matian untuk hadiahkan juara Piala Dunia kali pertama untuk negara dan rakyatnya,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong turut memilih Croatia sebagai juara dengan jaringan 3-1.

“Ini peluang terbaik Croatia kerana mereka belum pernah sampai ke tahap ini, jadi sudah tentu mereka bersemangat tinggi nak menang,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han pula memilih Perancis sebagai pasukan pilihan.

“Dua pasukan pilihan saya pada Piala Dunia Kali ini adalah Perancis dan Brazil tetapi sekarang Perancis yang berjaya masuk ke peringkat final.

“Saya penyokong Perancis, dah tentu saya pilih Perancis menang 2-1,” katanya.

Manakala Speaker DNS, Ng Sue Lim pula sependapat dengan Mohd Khairuddin dan Elizabeth Wong, memilih Croatia.

“Croatia akan buat kejutan pada final esok tewaskan Perancis,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan meramalkan jumlah jaringan pada perlawanan yang dijangka sengit itu nanti.