Categories
SUKANKINI

WC2018: Mandzukic dan Perisic lebur impian England ke final

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 12 JUL: Croatia melakar kebangkitan menakjubkan untuk mara buat pertama kali ke pentas akhir Piala Dunia 2018 apabila menewaskan England 2-1 dalam aksi 120 minit permainan di separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Gandingan Ivan Perisic dan Mario Mandzukic menjadi pemusnah harapan skuad bimbingan Gareth Southgate yang beraksi lebih bersemangat dengan mentaliti mahu menang walaupun ketinggalan di awal permainan.

Croatia terlebih dahulu tersentak dengan jaringan pembukaan England seawal minit kelima bagi kedudukan 0-1 hasil sepakan percuma Kieran Trippier.

Ketua pasukan Croatia, Luka Modric sebelum itu menjatuhkan Dele Alli di luar kotak penalti dan pengadil dari Turki, Caneyt Cakir tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan percuma buat England yang disempurnakan Trippier dengan melencongkan bola ke bahagian atas gawang tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic.

 

Ini merupakan jaringan pertama Trippier bersama The Three Lions di pentas antarabangasa.

England yang kental bertahan selepas itu hampir melebarkan pendahuluan pada minit ke-29 menerusi Harry Kane.

Tetapi Subasic lebih bertindak pantas menyelamatkan dua percubaan Kane sebelum pengadil memutuskan penyerang England itu berada dalam kedudukan offside.

Selang dua minit kemudian, Ante Rebic menguji gawang England menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti yang berjaya dikawal penjaga gol, Jordan Pickford.

Jesse Lingard turut terlepas peluang apabila rembatannya gagal menepati sasaran di minit ke-35.

Croatia tampil bertenaga bagi mencari gol penyamaan di babak kedua yang akhirnya menjelma di minit ke-68 menerusi Ivan Perisic.

Bermula daripada hantaran Sime Vrsaljko, Perisic bertindak pantas meluru ke bahagian tengah kotak penalti sebelum melakukan tampanan ala ‘kung-fu’ bagi memberikan keceriaan buat kem Croatia.

Perisic hampir meletakkan Croatia mendahului perlawanan pada minit ke-72 tetapi percubaannya terkena tiang gol manakala rembatan susulan Rebic terus ke dakapan Pickford.

Mario Mandzukic turut menguji ketangkasan Pickford di minit ke-82 menerusi satu rembatan kencang yang berjaya dikawal penjaga gol England itu.

Berlarutan ke masa tambahan, percubaan John Stones hampir menggegar gawang Croatia pada minit ke-98 menerusi satu tandukan bebas tetapi berjaya keluarkan Vrsaljko di atas garisan gol.

Mandzukic sekali lagi kecewa di hujung babak pertama masa tambahan apabila tampanannya berjaya dihalang Pickford bagi kedudukan kekal 1-1.

Masuk babak kedua, Mandzukic akhirnya menebus kehampaan apabila berjaya menyumbat gol kedua Croatia pada minit ke-109.

Berpunca daripada tandukan ke belakang Perisic, Mandzukic pantas mengejar bola sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Pickford bagi kedudukan 2-1.

England melakukan beberapa pertukaran pemain selepas itu tetapi gagal menemui sentuhan jaringan penyamaan dan Croatia menempah tiket ke perlawanan akhir buat kali pertama bertemu Perancis, Ahad ini.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Raya Bola ajak tonton perlawanan akhir Piala Dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Orang ramai diajak menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia dengan skrin canggih tajaan Telekom Malaysia (TM), di Lot 2-10, Dagang Cahaya, Jalan Dagang 5, Ampang.

Pengarah Program Raya Bola, Aman Shah Ahmad berkata, aktiviti anjuran KEADILAN Pandan dan AMANAH Pandan Indah itu dijadualkan berlangsung, pada 15 Julai ini.

“Menariknya acara kali pertama itu menggunakan skrin lampu diod pemancar cahaya (LED) yang boleh dilihat sejauh 100 meter.

“Kami jangkakan lebih 1,000 tetamu akan hadir. Selain menonton Piala Dunia, orang ramai akan dijamu dengan pelbagai makanan sempena hari raya,” katanya kepada SelangorKini.

Program Raya Bola bermula dari jam 5 petang hingga 1 pagi.

Aman berkata, ia dijangka akan turut dihadiri pimpinan KEADILAN Ampang termasuk Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha.

Katanya, bagi menarik lebih ramai kehadiran, TM turut menyediakan gerai popcorn percuma dan internet percuma selama satu hari.

“Acara cabutan bertuah turut dibuat dan mereka yang datang berpeluang memenangi televisyen, PS4 dan jersi bola,” katanya.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Gol Umtiti bawa Perancis ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

SAINT PETERSBURG, 11 JUL: Gol Samuel Umtiti melayakkan Perancis ke perlawanan akhir Piala Dunia apabila menewaskan Belgium 1 – 0 di Stadium Saint Petersburg di sini.

Jaringan pertahanan Barcelona pada awal babak kedua menjadi pemisah kepada kedua pasukan dalam perlawanan separuh akhir itu, selepas empat puluh lima minit pertama berlalu tanpa cetakan gol.

Gol Umtiti pada minit ke 51 berpunca daripada sepakan sudut Antoine Griezmann disambutnya dengan satu tandukan mengelirukan melepasi kawalan pertahanan dan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Belgium diketuai Eden Hazard dibantu Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku menguasai permainan di peringkat awal, sering menyerang dan mengancam Perancis namun diselamatkan kecekapan ketua pasukan, Hugo Lloris mengawal pintu gol.

Lloris turut menafikan percubaan Axel Witsel pada sepuluh minit terakhir perlawanan bagi menghidupkan peluang skuad kendalian Roberto Martinez itu.

Perancis sebaliknya juga hampa bagi menambah gol menerusi Kylian Mbappe dan Griezmann yang melihat percubaan mereka tersekat dengan tindakan cemerlang Courtois.

Skuad bimbingan Didier Deschamps akan menanti pemenang antara England dan Croatia untuk bertemu dalam perlawanan akhir di Moscow, 15 Julai ini.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Putera William harap England ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

GLOBAL, 8 JUL: Putera William menaruh harapan England terus cemerlang dan layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, 15 Julai ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) memuji persembahan skuad kendalian Gareth Southgate ketika menewaskan Sweden 2 – 0 di peringkat suku akhir seterusnya layak ke separuh akhir.

“Anda mahu melakar sejarah @England dan anda melakukannya. Ia adalah detik mengkagumkan dalam #PialaDunia yang luarbiasa dan kami menikmatinya setiap saat.

“Anda berhak memperolehnya – Football’s Coming Home!,” katanya dipetik AFP.

Sekalipun jika England layak ke final, Putera William tidak akan hadir ke Rusia ekoran keputusan kerajaan Britain melakukan boikot diplomatik terhadap Piala Dunia 2018 susulan insiden serangan agen saraf terbaharu di barat daya England.

Penjaga gol, Jordan Pickford yang terpilih pemain terbaik menganggap England telah beraksi dengan baik bagi mengakhiri cabaran Sweden.

“Ia pencapaian besar dan penuh makna, kita membalas kepercayaan peminat yang sentiasa memberi sokongan.

“Ia situasi baik untuk menghasilkan gol terutama saat sebegini yang menghadirkan perasaan luarbiasa untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia,” katanya.

Dalam separuh akhir di Stadium Luzhniki, Khamis ini, England akan bertemu Croatia yang menewaskan tuan rumah, Rusia, 4 – 3 menerusi sepakan penalti dalam satu lagi suku akhir.

Categories
SUKANKINI

WC2018: England ke separuh akhir selepas penantian 28 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 8 JUL: Penantian 28 tahun England untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 akhirnya dimakbulkan selepas cemerlang menewaskan Sweden 2-0 pada peringkat suku akhir.

Dua jaringan menerusi tandukan daripada Hary Maguire dan Dele Alli di setiap babak sudah cukup meleburkan impian Sweden.

Aksi 20 minit pertama perlawanan agak hambar apabila kedua-dua pasukan tercari-cari rentak sehingga penyerang England, Harry Kane gagal melepaskan rembatan leret ke sasaran dalam satu gerakan serangan ke kubu Sweden.

Selepas setengah jam permainan, pertahanan England, Maguire akhirnya berjaya membuka tirai jaringan 0-1 apabila berjaya menanduk sepakan penjuru Ashley Young.

Seminit selepas babak kedua bermula, Marcus Berg hampir menyamakan kedudukan buat Sweden menerusi satu tandukan tepat tetapi berjaya ditepis penjaga gol, Jordan Pickford.

Ketika Sweden ghairah mengasak kubu lawan, England berjaya melebarkan jaringan 0-2 juga menerusi tandukan dan kali ini daripada Dele Alli hasil hantaran lintang Jesse Lingard di minit ke-59.

Selang tiga minit kemudian, Viktor Claesson cuba merobek pertahanan England tetapi rembatannya sekali lagi dinafikan Pickford yang terlebih dahulu merebahkan badan ke sebelah kanan gawang.

Tiada tambahan jaringan disaksikan dan England meneruskan rekod cemerlang untuk mara ke separuh akhir.

 

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
SUKANKINI

FIFA jemput warga Thailand terperangkap dalam gua ke final Piala Dunia

BANGKOK 7 JUL: Lawatan ke Moscow untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018 menanti 12 pemain remaja dan jurulatih mereka dari Thailand yang terperangkap di dalam gua di Chiang Rai, utara Thailand, jika mereka keluar dengan selamat dan berada dalam keadaan sihat untuk melakukan perjalanan.

Jemputan itu disampaikan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino melalui surat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Jeneral Somyot Poonpanmoung, semalam.

Salinan surat itu disiarkan dalam Facebook FAT.

“Kami berharap, mereka dapat disatukan semula dengan keluarga masing-masing pada hari-hari yang akan datang dan tahap kesihatan mereka membolehkan mereka melakukan perjalanan, FIFA gembira untuk menjemput mereka sebagai tetamu kami untuk menyaksikan final Piala Dunia 2018 di Moscow,” demikian menurut Infantino dalam surat tersebut.

Beliau berharap pemain berusia antara 11 dan 16 tahun dan jurulatih berusia 25 tahun daripada Akademi Bola Sepak ‘Wild Boar’ (Mu Pa) dapat menyertai FIFA di perlawanan akhir yang ‘pastinya menjadi detik persahabatan dan sambutan yang indah’.

Final Piala Dunia 2018 akan berlangsung di Stadium Luzhniki, Moscow pada 15 Julai ini.

Kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka terperangkap di dalam gua Tham Luang yang dinaiki air di Chiang Rai sejak 23 Jun.

Selepas hilang selama sembilan, pasukan penyelamat berjaya menemukan mereka Isnin lalu,

Bagaimanapun, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini mengejar masa untuk membawa keluar mangsa berikutan penyelam perlu mengambil masa antara 11 hingga 12 jam untuk menyelam dalam keadaan berbahaya untuk sampai kepada mangsa yang terperangkap.

Infantino, dalam suratnya kepada FAT, berkata FIFA dengan cemas mengikuti berita operasi SAR dan lega mendengar khabar bahawa kumpulan pemain dan jurulatih itu berjaya ditemukan oleh pasukan penyelamat.

Beliau juga melahirkan rasa simpati yang mendalam dan sokongan FIFA kepada keluarga mangsa serta perpaduan rakyat Thailand bagi menghadapi masa yang penuh cabaran ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

WC2018: Serangan taktikal menjadi, Perancis atasi Uruguay 2-0

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 7 JUL: Perancis muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir dengan mengatasi Uruguay 2 – 0 hasil jaringan Raphael Varane dan Antoine Griezmann.

Dalam perlawanan suku akhir di sini, juara 1998 itu mendapat gol pertama hasil tandukan Varane yang menyambut kemas sepakan percuma Griezmann lalu melepas jangkauan penjaga gol, Fernando Muslera, pada minit ke-40.

Skuad kendalian Didier Deschamps mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua melalui Griezmann (m61) yang merembat kencang pada jarak 20 meter cuba ditampan Muslera tetapi masuk mengatasi garisan gol.

Uruguay yang turun tanpa penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani akibat cedera, bergantung harap kepada gandingan Luis Suarez dan Cristhian Stuani bagi mengugat pertahahan Perancis namun gagal mencipta jaringan.

Pasukan Amerika Selatan itu nyaris mendapat gol pada akhir babak pertama dengan tandukan Martin Caceres tetapi diselamatkan penjaga gol dan ketua pasukan, Hugo Lloris.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Belgium tumbangkan Brazil, mara ke separuh akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

KAZAN, 7 JUL: Gol sendiri Fernandinho dan dan rembatan padu Kevin De Bruyne menyaksikan Belgium mengejutkan Brazil 2 – 1 untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di sini.

Belgium mengatasi juara lima kali itu pada minit ke 13 apabila Vincent Kompany menendang hantaran Nacer Chadli dari sepakan sudut lalu terkena bahu Fernandinho hingga menerjah gawang sendiri.

Skuad bimbingan Roberto Martinez terus mengukuhkan cengkaman dengan De Bruyne (m31) menerima umpanan Romelu Lukaku lalu mengatasi penjaga gol, Alisson dengan satu rembatan tepat.

Bersambung separuh masa kedua, Brazil cuba bangkit dengan menggandakan serangan melalui gandingan Neymar dan Philippe Coutinho.

Pemain gantian, Renato Augusto (m76) menghidupkan harapan Brazil menyudahkan hantaran Coutinho dengan tandukan gagal diselamatkan Thibaut Courtois.

Skuad kendalian Tite yang berusaha mendapatkan gol penyamaan bagaimanapun buntu dengan Courtois sebagai penghalang termasuk percubaan Neymar pada babak akhir permainan.

Dengan kemenangan itu, Belgium akan berdepan Perancis dalam sepruh akhir di Saint Petersburg, Selasa ini.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Forsberg bawa Sweden ke suku akhir

OLEH HAFIZAN TAIB/AFIQ REDZUAN

SAINT PETERSBURG, 4 JUL: Jaringan tunggal Emil Forsberg membawa Sweden ke pusingan suku akhir Piala Dunia selepas mengatasi Switzerland 1 – 0 di sini.

Rembatan pemain tengah RB Leipzig itu pada minit ke-66 cuba dihalang pertahahan Switzerland, Manuel Akanji tetapi terlencong ke gawang sendiri mengelirukan penjaga gol, Yann Sommer.

Pendahuluan diperoleh Sweden memberi kelebihan kepada pasukan itu dan berusaha mengandakan asakan selain mematahkan serangan lawan.

Switzerland hampir mendapat gol penyamaan melalui Johan Djourou tetapi tandukannya melepasi pintu gol.

Pengadil perlawanan, Damir Skomina, yang menghadiahkan penalti kepada Sweden pada masa tambahan selepas Michael Lang mengkasari Martin Olsson dan dilayang kad merah, mengubah keputusan kepada tendangan bebas berpandukan video bantuan pengadil (VAR).

Dengan kemenangan itu, Sweden ke peringkat suku akhir untuk kali pertama sejak 1994 dicatat pada kejohanan di Amerika Syarikat.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: England ke suku akhir, akhiri badi sepakan penalti

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 4 JUL: England mengakhiri badi sepakan penalti dalam kejohanan Piala Dunia 2018 apabila menyingkirkan Colombia 3-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 untuk mara ke suku akhir awal pagi tadi.

Penjaga gol England, Jordan Pickford muncul wira pasukan apabila menyelamatkan sepakan kelima Colombia yang gagal disempurnakan Carlos Becca sementara Eric Dier memastikan bola menerjah jaring bagi melayakkan kemaraan skuad The Three Lions.

England nyaris kecewa selepas sepakan penalti Jordan Henderson ditepis keluar penjaga gol Colombia, David Ospina disusuli kegagalan sepakan Mateus Uribe yang terkena palang gol.

Terdahulu, kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan di babak pertama tetapi segalanya berubah pada minit ke-55 apabila Carlos Sanchez dipersalahkan kerana menolak Harry Kane sekaligus menghadiahkan sepakan penalti buat England.

Harry Kane tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Colombia, David Ospina bagi kedudukan 0-1 buat England.

Colombia melancarkan beberapa siri serangan bagi mencari gol penyamaan namun gagal membuahkan hasil.

Ketika perlawanan hampir menuju penamat, Yerry Mina melakukan tandukan tepat untuk menghidupkan kembali peluang Colombia untuk ke suku akhir bagi mengikat kedudukan 1-1.

Berpunca daripada sepakan penjuru Juan Cuadrado, Mina melonjak tinggi sebelum melepaskan tandukan lantun yang memerangkap penjaga gol England, Jordan Pickford pada minit ke-93.

Kedua-dua pasukan juga buntu menjelmakan jaringan pada 30minit masa tambahan hingga memaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Sweden menanti England di suku akhir selepas menewaskan Switzerland 1-0.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: Neymar pastikan Brazil ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 3 JUL: Brazil mempamerkan kebangkitan menakjubkan dibabak kedua untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Mexico bagi menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018 hasil jaringan Neymar dan Roberto Firmino.

Babak pertama berlalu tanpa jaringan walaupun Mexico terlebih dahulu mengetuk pintu gol Brazil menerusi percubaan Hirving Lozano pada minit kedua apabila menyambut bola muntah tumbukan penjaga gol, Alisson Becker hasil hantaran lintang Andres Guardado.

Lozano sekali lagi hadir memberikan ancaman minit ke-14 apabila menghantar bola ke dalam kotak penalti tetapi jauh untuk disambut penyerang, Javier Hernandez.

Pergerakan Brazil yang sering terbatas bagaimanapun hampir menjelmakan jaringan menerusi larian solo Neymar apabila masuk menghampiri gawang tetapi rembatannya berjaya dihalang penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

Ochoa sekali lagi mempamerkan ketangkasan di minit ke-32 apabila menyelamatkan percubaan Gabriel Jesus yang sebelum itu memperdaya dua pertahanan Mexico.

Selepas 10 minit babak kedua bersambung, Neymar akhirnya memecah kebuntuan bagi meletakkan Brazil mendahului 1-0 selepas menampan hantaran ke dalam kotak penalti Willian.

Tiga minit kemudian, Paulinho hampir menggandakan jaringan buat Brazil tetapi rembatannya terus ditepis Ochoa di gawang Mexico.

Gandingan Neymar dan Willian nyata merunsingkan pertahanan Mexico apabila mereka sekali lagi terlepas peluang apabila rembatan Neymar tidak menepati sasaran di minit ke-67.

Ketika Mexico terus mengasak, Brazil akhirnya memperoleh gol kedua yang dicari pada minit ke-88 hasil jaringan pemain gantian, Roberto Firmino.

Fernandinho memulakan gerakan dengan melorongkan bola kepada Neymar di sebelah kiri dan disusuli hantaran ketengah kotak penalti yang mudah ditampan Firmino bagi kedudukan 2-0.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup 2018

Categories
SUKANKINI

WC2018: Croatia mara ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 2 JUL: Croatia meneruskan rekod tanpa kalah dalam aksi Piala Dunia 2018 apabila menempah tempat ke suku akhir menerusi sepakan penalti 3-2, menewaskan Denmark selepas perlawanan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.

Penjaga gol Croatia, Danijel Subasic muncul wira pasukan apabila menyelamatkan tiga daripada lima sepakan penalti Denmark bagi menebus kesilapan awal permainan sebelum Ivan Rakitic menyempurnakan penalti terakhir untuk meneruskan perjuangan Croatia.

Denmark di hadapan 0-1 seawal 58 saat perlawanan bermula hasil jaringan Mathias Joergensen susulan kegagalan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic menampan kemas percubaan yang akhirnya melintasi gawang.

Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Mario Mandzukic menyamakan kedudukan 1-1 buat Croatia dua minit kemudian apabila berjaya memanfaatkan hantaran Sime Vrsaljko yang gagal dikeluarkan kemas pertahanan Denmark.

Aksi terus rancak apabila Ivan Rakatic melakukan percubaan deras dari luar kotak penalti, pada minit ke-29 yang memaksa penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel menampan keluar bola dan disusuli rembatan tinggi Ivan Perisic.

Rakitic terus mendatangkan ancaman kepada Denmark apabila melakukan rembatan terus selepas menyambut hantaran Ivan Strinic, pada minit ke-44 yang berjaya dikawas Schmeichel.

Kedua pasukan saling mengasak tetapi gagal menjelmakan jaringan kemenangan sehingga perlawanan berlarutan ke masa tambahan.

Croatia dihadiahkan sepakan penalti, pada babak kedua masa tambahan tetapi ketua pasukan, Luka Modric gagal berbuat demikian apabila sepakan penaltinya diselamatkan Schmeichel.

Menuju penentuan sepakan penalti, Subasic bertindak lebih cemerlang apabila menyelamatkan tiga sepakan Denmark sementara Ivan Rakitic memastikan tendangan terakhir menerjah jaring bagi memastikan Croatia mara ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup