Categories
AGENDA SUKANKINI

39 pasukan hangatkan saingan Piala Presiden, Belia 2021

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Selepas edisi 2020 dibatalkan susulan pandemik Covid-19, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali mempertandingkan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia bermula Jun ini dengan penglibatan keseluruhan 39 pasukan.

Menurut kenyataan FAM hari ini, 19 daripada 39 pasukan akan bersaing dalam Piala Presiden, yang dijadual bermula dengan saingan peringkat kumpulan pada 3 Jun, diikuti peringkat kalah mati dari 9 Ogos hingga 19 Sept.

Bagi Piala Belia, sejumlah 20 pasukan akan memulakan saingan peringkat kumpulan pada 2 Jun diikuti dua perlawanan ‘play-off’ pada 31 Julai dan 4 Ogos, sebelum melangkah ke peringkat kalah mati dari 8 Ogos hingga 4 Sept.

Terdahulu, majlis undian bagi kedua-dua kejohanan kategori remaja itu yang berlangsung hari ini, merupakan acara kemuncak kepada Taklimat Pasukan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021, selama dua hari bermula semalam.

Ia dihadiri Naib Presiden FAM Mohd Firdaus Mohamed dan Exco FAM Md Dali Wahid selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, serta Penolong Setiausaha Agung FAM Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, selaku pengarah pertandingan FAM.

Sementara itu, kesemua pasukan bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut zon, iaitu Kumpulan A mengumpulkan pasukan zon Utara; Kumpulan B (zon Selatan); dan Kumpulan C (zon Tengah).

Berikut merupakan keputusan undian bagi saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021:

Piala Presiden

Kumpulan A (Utara):                        Kumpulan B (Selatan):            Kumpulan C (Tengah):

Penang FC                                         Negeri Sembilan FC                PJ City FC

Kedah Darul Aman FC                     Kuala Lumpur City FC             UiTM FC

Akademi Mokhtar Dahari B-17       Melaka United FC                   Sabah FC III

Kelantan United FC                          PDRM FC                                  Kuching City FC

Perak FC III                                        Sri Pahang FC                          Sarawak United FC

Kelantan FC                                       JDT III                                       Terengganu FC III

Selangor FC

 

Piala Belia

Kumpulan A (Utara):                    Kumpulan B (Selatan):                        Kumpulan C (Tengah):

Kelantan FC                                   Negeri Sembilan FC                             Terengganu FC IV

Sri Pahang FC                               JDT IV                                                     Sabah FC IV

Penang FC                                     PDRM FC                                                PJ City FC

Kelantan United FC                      Melaka United FC                                 Kuching City FC

Perak FC IV                                   Akademi Mokhtar Dahari B-16           Selangor FC

Kedah Darul Aman FC                 SSTMI B-17                                           Sarawak United FC

UiTM FC                                         Kuala Lumpur City FC

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Presiden, Belia dijalankan dalam format baharu

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Dua pertandingan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Piala Presiden dan Piala Belia dijalankan dengan format baharu untuk musim 2021 sahaja.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan format kedua-dua pertandingan berkenaan diubah selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Langkah itu dilaksanakan seiring dengan pendekatannya menjadikan tahun 2021 sebagai tahun peralihan mengemudi pertandingan bola sepak kendaliannya selain memastikan kesinambungan liga sehingga akhir musim.

Badan induk itu memaklumkan sebanyak 19 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Piala Presiden manakala 20 pasukan lagi memohon untuk beraksi pada Piala Belia musim 2021.

“Format pertandingan baharu Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021 akan dikategorikan berdasarkan kedudukan geografi mengikut zon terdiri daripada zon selatan, barat, utara, timur dan tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) yang akan bermula Jun ini.

“Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan Kumpulan A akan dianggotai oleh pasukan dari zon selatan, barat dan tengah; Kumpulan B dibarisi pasukan dari zon utara dan tengah manakala Kumpulan C disertai pasukan dari timur, barat dan tengah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, FAM berharap agar format baharu yang dilaksanakan mengikut zon dapat memastikan liga dapat ditamatkan dalam jangka masa ditetapkan dan mengurangkan kos perjalanan pasukan antara negeri ketika waktu yang mencabar ini.

Format baharu itu juga bakal menyaksikan pasukan teratas bagi ketiga-tiga kumpulan berentap di pusingan kalah mati setelah tamat peringkat kumpulan.

“Untuk saingan Piala Belia, 16 pasukan terbaik terdiri daripada pasukan teratas Kumpulan A, Kumpulan B dan Kumpulan C serta satu pasukan terbaik tempat keenam dari Kumpulan A, B atau C akan bertemu pada pusingan 16, dengan lapan pemenang akan mara ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan final.

“Perlawanan bagi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir juga akan dijalankan dengan format satu perlawanan sahaja manakala final akan berlangsung secara timbal balik,” menurut kenyataan itu lagi.

Peraturan serta aplikasi format baharu ini dilihat diguna pakai di peringkat antarabangsa bagi memastikan perkembangan pertandingan selain pasukan dapat meneruskan perlawanan susulan format pertandingan yang boleh mengelakkan penundaan dan pembatalan perlawanan.

“Proses saringan dokumen pasukan kini berada di peringat akhir dan senarai pasukan serta jadual perlawanan buat kedua-dua pertandingan ini akan diumumkan pada awal April ini,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM batal saingan Piala Presiden, Belia, MPFL musim 2020

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bagi musim 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Justeru, semua keputusan perlawanan yang berlangsung sebelum ditangguhkan pada 16 Mac lepas, adalah dibatalkan membabitkan perlawanan setakat Hari Perlawanan 4 bagi Piala Presiden, Hari Perlawanan 5 bagi Piala Belia dan hari Perlawanan 1 bagi MPFL.

Malah, tiada pasukan yang bergelar juara bagi ketiga-tiga pertandingan untuk musim 2020, dan pertandingan dimulakan semula untuk musim baharu 2021, pada awal tahun depan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata keputusan itu terpaksa dibuat kerana bola sepak dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, manakala futsal selain bersentuhan, ia juga dijalankan dalam kawasan tertutup, iaitu tergolong dalam antara aktiviti dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) buat masa ini.

Beliau berkata sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun ini atau dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan berkenaan dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan keputusan kerana menjejaskan kedudukan pemegang taruh yang terlibat.

“Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan MKN dan SOP (prosedur operasi standard) serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Oleh yang demikian, setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal, FAM dengan berat hati membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal ditangguhkan sejak 16 Mac lepas susulan penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM dan MFL membuka pendaftaran khas untuk pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi diserap ke pasukan utama kelab mereka bagi mendapatkan peluang beraksi pada baki saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini.

Bagi menjamin kesinambungan kerjaya pemain berusia 21 tahun pula, Stuart berkata FAM menaikkan had umur Piala Presiden 2021 kepada 22 tahun, sekali gus membolehkan pemain yang lahir pada tahun 1999 masih layak beraksi pada saingan musim depan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor juara Piala Presiden, tamatkan kemarau 9 tahun

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 21 OKT: Selangor B21 muncul juara Piala Presiden 2017 apabila mengatasi Terengganu B21 dengan agregat 2 – 1 biarpun tewas 0 – 1.

Dengan kejayaan itu, skuad muda Merah Kuning menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh sembilan tahun.

Dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, di sini, malam ini, Selangor B21 menerima tentangan hebat pasukan tuan rumah dari awal hingga akhir permainan.

Pemburuan Terengganu B21 bagi mendapatkan gol awal berhasil pada minit ke-24 menerusi Haidhir Suhaini dan ia meningkatkan semangat skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab untuk memburu gol seterusnya.

Selangor B21 bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada Terengganu B21 dengan turut menyerang di samping kental bertahan.

Pasukan kendalian Omar Ali itu berjaya mempertahankan kelebihan satu gol hingga wisel penamat seterusnya menghampakan tuan rumah.

Selangor B21 membawa bekalan dua gol ke Kuala Terengganu selepas mengalahkan Terengganu B21 2 – 0 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang, Selangor, 13 Oktober lalu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Terengganu mahu bangkit biarpun ketinggalan 2-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 14 OKT: Biarpun ketinggalan dua gol tetapi Ketua jurulatih, Mustaffa Kamal Abd Wahab, yakin Terengganu B21 akan bangkit memburu kemenangan dalam perlawanan akhir kedua di Kuala Terengganu, minggu depan.

Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, semalam, skuad bimbingannya dikalahkan Selangor B21 2 – 0 dengan gol jaringan Badrul Amin Rusalan (m14) dan Muhd Syahmi Safari (m27).

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terenganu, 20 Oktober ini.

Bagi memastikan misi mencipta kemenangan di laman sendiri dan kejuaraan diraih kali terakhir pada 2006 menjadi kenyataan, beliau berkata, pengurusan sudah mengenal pasti kelemahan pasukannya dalam perlawanan itu dan akan memperbaikinya untuk memantapkan persembahan pada peringkat kedua nanti.

“Ketinggalan dua gol bukan jurang sangat besar, kita sudah mengenal pasti segala kesilapan dan juga kelebihan Selangor B21.

“Kita akan cuba membuat kejutan di tempat sendiri nanti dan yakin pemain akan menggunakan kelebihan itu dengan membuktikan kemampuan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium MPS.

Beliau berkata, kemenangan diraih Selangor B21 juga adalah kesilapan pasukannya dan insiden sama diyakini tidak akan berulang dalam perlawanan akhir kedua kerana Terengganu B21 mempunyi rekod baik ketika bermain di laman sendiri.

“Kita akan memberikan persembahan sebaik mungkin dan melakukan segalanya bagi mencapai kemenangan,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Selangor tingkat cabaran, kekang kebangkitan Terengganu

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 14 OKT: Skuad Piala Presiden Selangor akan meningkatkan cabaran bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir kedua di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan seterusnya muncul juara.

Bagi Ketua jurulatih, Omar Ali, meskipun pasukan bawah 21 tahun Red Giants itu memperoleh kelebihan dua gol namun yakin skuad dibimbingnya akan berdepan tentangan hebat bertemu pasukan tuan rumah nanti.

“Kita belum selesa (dengan dua gol) kerana kita mendapat gol ini dalam tempoh 90 minit permainan (di tempat sendiri) dan tidak mustahil Terengganu juga mampu melakukannya di laman mereka pula,” katanya dalam sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, semalam.

Dalam perlawanan akhir pertama itu, Selangor B21 mengalahkan Terengganu B21 2 – 0 menerusi jaringan Badrul Amin Rusalan pada minit 14 dan Muhd Syahmi Safari (m27).

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terenganu, 20 Oktober ini.

Biarpun menghadapi cabaran sengit Terengganu B21 dalam perlawanan itu, Omar tetap berpuas hati dengan pasukannya menggunakan pelung dicipta sebiknya bagi menghaslkan jaringan.

“Kita banyak mencipta peluang seperti perlawanan suku akhir dan separuh akhir tetapi malam ini (semalam) menggunakan kesempatan dengan baik serta menjaringkan dua gol.

“Pemain memberi komitmen sepenuhnya dalam perlawanan ini dalam usaha mengatasi lawan dan memenanginya,” katanya menambah Selangor B21 melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu.

Beliau berkata, kehadiran beberapa pemain muda skuad Liga Super Selangor juga memantapkan pasukannya dalam memburu kejuaraan kali terakhir dikecapi pada 2008.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Selangor tekad akhiri kemarau 9 tahun

SHAH ALAM 12 OKT: Selangor kini berada di landasan terbaik untuk mengakhiri ketandusan kejuaraan Piala Presiden sembilan tahun apabila bertembung dengan Terengganu pada aksi perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 13 Oktober (Jumaat) ini.

Selepas aksi di Selayang, Selangor akan bertandang ke Kuala Terengganu pada 20 Oktober bagi aksi final kedua.

BH ONLINE melaporkan, Pengurus pasukan Datuk Ariffin Ab Hamid berkata, ia peluang terbaik yang harus dimanfaatkan pemain selepas lama tidak melangkah ke final.

“Pemain mempunyai keyakinan tinggi dan sudah bersedia untuk beraksi di pentas final. Mereka sedar ini peluang terbaik untuk mencipta sejarah kerana sudah lama Selangor tidak beraksi di final.

“Saya percaya ini bukan tekanan buat pemain tapi satu motivasi untuk membuktikan keupayaan. Kami akui Terengganu pasukan yang bagus tapi kami sedia beri tentangan,” katanya.

Skuad muda Red Giants melangkah ke final selepas menewaskan pasukan pilihan Kedah menerusi gol di tempat lawan apabila keputusan terikat 1-1 pada separuh akhir.

Manakala lawan mereka Terengganu juga turut mara menerusi peraturan gol di tempat lawan dengan menyingkirkan juara bertahan Kelantan menerusi agregat 3-3.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor menjulang trofi itu selepas menewaskan Perak 1-0 pada final 2008.

Bagi Ariffin, selain memburu kejuaraan beliau percaya pencapaian anak buah Omar Ali itu ke pentas final adalah bukti kejayaan pembangunan akar umbi Selangor.

“Ini hasil daripada sistem pembangunan pemain bola sepak kami. Kami sentiasa memberi peluang kepada setiap pemain untuk terus berkembang. Kami percaya pemain ini boleh diserapkan ke skuad senior Selangor selepas ini,” katanya.

=EZY=