Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Kafa-i bantu pendidikan murid B40, kurang isu yuran tertunggak

SHAH ALAM, 3 DIS: Keputusan Kerajaan Selangor memberi subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) meringankan beban murid keluarga berpendapatan rendah (B40).

Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata bantuan RM30 sebulan memberi manfaat besar kepada golongan susah.

“Keluarga B40 perlukan bantuan. Apa yang Kerajaan Negeri mampu berikan, hulurkanlah. Jangan kedekut.

“Ini dapat bantu kurangkan kesempitan rakyat. Wabak ini pun kita tak tahu sampai bila. Selagi mampu berilah. Ini masa untuk kita bantu semua,” kata Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.

Sementara itu pengajar Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Darul Ehsan berkata subsidi terbabit dapat melancarkan urusan pembelajaran pelajar.

Berkongsi pengalaman, Aiman Fitri Zulkifli berkata beliau pernah melihat ibu bapa yang terpaksa memindahkan anak ke sekolah lain hanya disebabkan tidak mampu melangsaikan yuran tertunggak.

Aiman Fitri Zulkifli

“Perkara ini menyedihkan. Mahu anak timba ilmu tetapi tak mampu. Bantuan ini dapat menyelesaikan masalah keluarga susah, bantu pendidikan mereka.

“Cuma harap peruntukan itu tidak mengurangkan bayaran para guru yang mengajar. Semoga usaha ini memudahkan banyak pihak,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga B40

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

PIBG disaran bantu sekolah urus pelajar ketika pandemik

SHAH ALAM, 30 APRIL: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disaran berbincang mengenai garis panduan lebih ketat bagi membantu sekolah mengurus pelajar ketika pandemik Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata persatuan perlu memainkan peranan dengan sekolah bagi memastikan institusi pendidikan itu berada dalam keadaan selamat.

“Saya lihat ramai yang bergantung kepada kerajaan untuk menentukan segalanya, ada masa sepatutnya PIBG perlu bersama melihat apa yang mereka boleh bantu pihak sekolah.

“Pihak sekolah perlu mengajar tapi dalam masa yang sama perlu mengawal situasi… PIBG perlu bantu pihak sekolah jika mahu anak-anak balik ke sekolah dengan cepat,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian menerusi program ‘Covid-19 di Selangor: Tanya Apa Saja’ secara langsung di Facebook hari ini.

Tambahnya, ada ibu bapa yang masih tidak faham dengan menghantar anak ke sekolah walaupun terdapat kalangan ahli keluarga positif Covid-19.

“Guru-guru terbeban dengan perlu mengajar tetapi dalam masa yang sama perlu mengawal situasi serta tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bumbung SRA Kampung Assam Jawa Runtuh, Kerajaan Negeri Digesa Segera Beri Perhatian

manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 02

KUALA SELANGOR, 20 JULAI: Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam menggesa Kerajaan Selangor mengambil tindakan segera bagi membaiki bangunan Sekolah Rendah Agama Kampung Assam Jawa yang dikatakan agak daif.

Manikavasagam berkata keadaan sekolah tersebut bertambah buruk selepas dilanda ribut kencang baru-baru ini yang mengakibatkan sebahagian bumbung serta siling di dalam salah satu bilik darjah runtuh lalu menimpa seorang guru yang sedang mengajar.

Menurut Manikavasagam lagi, guru berkenaan, Siti Shajaratuddurah mengalami kecederaan dan terpaksa menerima rawatan lima jahitan di bahagian kepala.

“Sekolah ini serba daif dengan bilangan murid yang ramai iaitu, 320 orang, berbanding sekolah rendah agama yang lain di daerah ini.

?Jadi jadi saya harap Exco Hal Ehwal Islam yang baru, Sallehen Mukhyi dapat berikan perhatian segera untuk membaiki keadaan sekolah ini,? katanya kepada TV Selangor selepas melawat sekolah berkenaan baru-baru ini.
.
“Ini penting dalam memberi pembelajaran didikan agama kepada anak-anak kita di dalam dan luar kawasan Assam Jawa.

“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berulang dan berterima kasih kepada pihak yang berkaitan yang dapat hadir melihat keadaan sekolah seterusnya memberi jaminan untuk membaikinya dengan kadar segera,” ujar beliau.

Turut serta mengiringi beliau dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof dan Ketua Kampung Assam Jawa Ramli Yusof.

Manikavasagam dalam lawatannya juga berkesempatan menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada Siti Shajaratuddurah ketika menziarahi guru terbabit di kediaman beliau.

manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 01

Categories
NASIONAL

‘Puan, Walaupun Kami Wanita Umno Tetapi Kami Nak Undi Puan Kali Ini’

Wanita Umno Sokong PR 01

SERI SERDANG 2 MEI : Beberapa wakil pergerakan wanita Umno Seri Serdang menyatakan sokongan kepaa Calon PAS DUN Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Menurut Nor Hanim, beliau diberitahu sendiri anggota pergerakan itu dalam satu pertemuan ketika menjalankan kempen bagi merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi bekas Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor daripada Umno-BN, Datuk Mohamed Satim Diman.

“Wanita-wanita Umno juga turut membantu sebab saya pernah duduk sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di sini, di mana ibu-ibu daripada Umno ini memohon peruntukkan buku teks.

Wanita Umno Sokong PR 02

“Pada masa itu kita tak dapat bantuan buku teks dan ramai penduduk itu adalah golongan kurang berkemampuan dan sekarang bila mereka tahu saya bertanding mereka cakap pada saya, Puan, walaupun kami Umno tetapi kami nak undi puan kali ini,” kata Noor Hanim.

Selain pernah menjawat jawatan YDP PIBG, sehingga kini Noor Hanim juga merupakan pengerusi di pelbagai biro di tiga sekolah sekitar Puchong dan Subang Jaya serta Pegerusi Pendidikan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 13 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).

Noor Hanim turut memberitahu, kunjungan beliau di bilik gerakan BN juga diterima baik oleh petugas-petugas di situ.

“Sebenarnya ketika menyantuni pengundi, bila kita jumpa bilik gerakan BN kita akan lawat juga dengan memberi manifesto dan penerangan kepada mereka dan mereka menerimanya dengan baik dan memberi ucapan selamat berjaya kepada kita,” kata Noor Hanim lagi.

Noor Hanim berkata lagi, pada masa ini amat jelas mood pengundi di DUN Seri Serdang yang inginkan perubahan.

“Alhamdullilah sokongan kaum Cina ini sangat tinggi, tidak kira dari DAP, MCA, PKR atau tiada berparti mereka rasakan ini kalilah perlu ubah bukan lain kali.

“Sini bukan kubu Umno lagi, kita dapat lihat dalam ceramah saya memang terima sambutan besar hingga penuh padang berbanding ceramah Umno-BN lebih banyak kerusi,” ujar Noor Hanim yang berkelulusan Diploma Pengurusan dan Perniagaan dari Swansee Institute.

Dalam PRU-12 pada 2008 majoriti dimenangi Satim merosot teruk dengan hanya 45 undian berbanding majoriti diterimanya dalam PRU-11 pada 2004 dengan 10,545 undian.

PIBG SRA Kg Delek Terima Sumbangan RM40,000

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KLANG, 28 JAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Kampung Delek gembira apabila menerima sumbangan RM40,000 dari Kerajaan Negeri Selangor.

Sumbangan tersebut disampaikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali di majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434H/2013 Peringkat DUN Selat Klang di perkarangan Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini.

Menurut Yang Dipertua PIBG sekolah terbabit, Abd Rahman Saari sumbangan tersebut amat bermakna kepada guru dan pelajar sekolah berkenaan.

“Dengan adanya sumbangan ini, kita dapat meningkatkan kemudahan sekolah ini dan secara langsung dapat membantu meningkatkan mutu pembelajaran pelajarnya,” kata Abd Rahman.

Sementara itu menurut Pengetua Sekolah Rendah Agama Kampung Delek, Noraini Kasiman, sekolah yang mempunyai lima blok bangunan itu mempunyai seramai 1,350 pelajar.

“Kelas ada 37 kelas, jadi kita buat dua sesi pagi dan petang dengan jumlah kakitangan seramai 41 orang.

“Untuk menampung pelajar seramai itu, perbelanjaan agak besar untuk pelbagai keperluan sekolah, jadi, terima kasih banyaklah kepada Kerajaan Negeri,” ujar beliau.

 

Categories
SELANGOR

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti : Ibu Bapa Tuntut Penyelesaian Kementerian Pelajaran

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti 01

PETALING JAYA, 15 JAN: Ibu bapa dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menuntut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyelesaikan isu harga jualan makanan dan minuman di kantin sekolah yang disifatkan mahal dakwa, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri.

Selain itu, mutu kualiti makanan yang rendah turut menjadi rungutan ibu bapa.

Yahya berkata, harga makanan dan minuman di semua kantin sekolah perlu diselaraskan dengan kualiti yang standard.

Keadaan ini sekaligus dapat memastikan keselesaan pelajar dan meredakan tekanan yang dihadapi ibu bapa.

“Sebagai contoh, beberapa sekolah menjual seketul nugget goreng dengan harga RM0.50 sedangkan di pasar malam boleh didapati pada harga RM1.00 untuk empat atau tiga ketul.

“Segelas air pelbagai perisa yang dibancuh pula dijual dengan harga RM1.00.

“Bila ibu bapa ajukan soalan kepada peniaga kantin mereka menyatakan apa nak buat semua harga barang dah naik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tegas Yahya, perkara ini dapat diselesaikan sekiranya pihak kementerian yang terlibat serta pihak sekolah berbincang secara baik memandangkan perkara ini melibatkan perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan sesi persekolahan anak-anak.

“Bagi mengurangkan kos peniaga, kos sewa kantin boleh dibayar dengan harga cukup minima, kos bil elektrik dan air boleh ditanggung oleh Kemeterian Pelajaran,” ujarnya lagi.

Turut dibangkitkan bersama adalah isu pembelian buku latihan persekolahan bersaiz besar A4 yang wajib dibeli pelajar sedangkan buku tulis rampaian digunakan bagi menyalin nota dan latihan.

Beberapa wakil PIBG menyatakan bahawa pembelian wajib empat buah buku berkenaan dengan harga RM2.40 setiap satu semata-mata demi mencari keuntungan kerana pembekal, Edaran Pro Dinasti didakwa mempunyai hubungan baik kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).

Penjualan buku ini juga turut mendapat keizinan dan lampu hijau daripada JPN dan KPM.

“Mengikut maklumat yang kami terima, penjualan buku ini melibatkan semua sekolah menengah di seluruh Malaysia dan sebagaian sekolah rendah.

“Mereka memberi anggaran kiraan setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah lebih 2.3 juta, maka anggaran jualan buku yang diterima adalah berjumlah RM19.2 juta dengan anggaran kiraan 2 juta pelajar x RM9.60 (4xRM2.40),” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PIBG SAR Mohon Dibina Lebih Banyak Sekolah Agama

SHAH ALAM, 30 NOV : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Rakyat (SAR) memohon Kerajaan Negeri supaya membina lebih banyak sekolah berteraskan pendidikan Islam untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

Wakilnya, Rizuan Rahmat berkata, selain memfokuskan kepada pembangunan negeri, pihaknya juga mahukan sistem pendidikan diutamakan demi masa depan pelajar Melayu di negeri ini.

“Kami mahu Kerajaan Negeri untuk proaktif mengarus perdanakan sistem pendidikan Islam bagi anak Melayu dengan mewujudkan sebuah yayasan yang memfokuskan pembangunan pendidikan Islam terancang,” katanya semasa menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri di Dewan Annex, hari ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik usul berkenaan dan berusaha untuk memenuhi keperluan tersebut.

Bagaimanapun, ia akan mengambil sedikit masa ekoran Kerajaan Negeri tidak mempunyai belanjawan besar seperti Kerajaan Pusat.

“Kita wujudkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor tahun lalu yang berdafrtar di bawah Kementerian Kewangan. Kita memerlukan dana yang secukupnya untuk membina sekolah berasaskan agama. Saya akan bawa usul ini kepada Kerajaan Negeri atas desakan dan permintaan oleh semua ibu bapa yang mahu lebih banyak sekolah dibina,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Perlu Tunggu Pilihan Raya Untuk Bantu Rakyat

KLANG, 12 NOV : Peningkatan taraf hidup rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa meminggirkan atau menidakkan hak golongan atau kaum-kaum tertentu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, hanya dengan pembangunan berimbang, keharmonian serta budaya pelbagai kaum dapat diwujudkan dan dinikmati bersama.

“Rakyat Selangor sudah merasa pembangunan ekonomi yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR). Rakyat Selangor sudah merasa pengagihan peruntukan yang diberikan secara konsisten sejak 2008 kepada setiap kaum.

“Kita tidak perlu tunggu pilihan raya untuk beri peruntukan, tetapi diberikan setiap tahun kerana ia merupakan hak rakyat,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini petang semalam.

Majlis itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama syarikat Telekomunikasi Digi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen dan Adun Selangor serta Yang Dipertua Majlis Perbadaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri dan Ahli Majlis MPK.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM1.2 juta kepada beberapa buah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Klang.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah merangka strategi tertentu untuk melaksanakan program bagi kemajuan sekolah-sekolah Tamil di Selangor.

“Diharapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola sekolah-sekolah Tamil menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu inisiatif kerajaan ini bagi faedah anak-anak yang yang belajar di sekolah Tamil,” katanya lagi.