Categories
SELANGOR

Keputusan calon PAKATAN menerusi konsensus

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau tidak bersetuju Mohd Zawawi Ahmad Mughni diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Tegasnya, KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengekalkan prinsip perbicangan dalam semua aspek menerusi konsensus bersama berbanding Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan konsep ‘diktator’.

“Ini strategi Umno untuk pecah belahkan perpaduan PAKATAN kerana perbincangan tidak berlaku dalam Umno dan BN kerana ia ditentukan oleh ketua (pimpinan) di atas.

“Tetapi di dalam KEADILAN dan PAKATAN, kita sering berbincang dan membuat keputusan secara muafakat dan konsensus.

“Keputusan dibuat secara konsensus ini akan menjadi keputusan yang kuat dan memberikan kejayaan kepada PAKATAN ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada proses penamaan calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis di Pusat Penamaan Calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Mohamed Azmin turut gembira apabila PAKATAN masih mengekalkan amalan konsensus demi mencari keputusan terbaik buat semua.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy.

Proses pembuangan undi akan berlangsung pada 4 Ogos depan.

Categories
SELANGOR

SPR benarkan bahan kempen pamer gambar pimpinan parti komponen

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar pemimpin parti dan pemimpin parti komponen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, peraturan itu dibenarkan kali ini walaupun tidak dibenarkan pada PRU-14 lalu.

Menurutnya, satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkempen selaras dengan peruntukkan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Apa-apa bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama, alamat pencetak dan penerbit kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon bertanding.

“PP-KPR boleh menurunkan bahan kempen berunsur negatif atau melanggar peruntukkan undang-undang pilihan raya.

“Bahan kempen mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon selesai.

Katanya, tempoh rasmi berkempen bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam, 3 Ogos 2018 dan setiap ceramah perlu mendapatkan permit polis dan polis berkuasa mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit.

Pada PRK kali ini, SPR melantik 69 pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada SUHAKAM, BERSIH 2.0, ENGAGE, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Pemimir Nasional.

Othman berkata, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK kali ini sekitar 80 peratus dan keputusan dijangka diumumkan pada jam 10.00 malam.

Categories
SELANGOR

Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga pnjuru antara calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad di Pusat Penamaan Calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Sebelum itu, wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Kamarudin turut hadir menghantar borang pencalonan namun beliau menarik diri sebelum tempoh penamaan calon berakhir atas arahan parti.

Mohd Zawawi menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.08 pagi, Lokman Noor 9.09 pagi manakala Murthi pada jam 9.35 pagi.

Mengikut susunan kertas undi, Lokman Noor dari BN pertama, Murthi dari BEBAS kedua dan ketiga Mohd Zawawi dai KEADILAN.

PRK DUN N.49 Sungai Kandis bakal berlangsung pada 4 Ogos depan.

Categories
SELANGOR

Calon KEADILAN dan BN selesai kemukakan borang pencalonan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam masing-masing selesai mengemukakan borang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis kepada Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekitar jam 9.15 pagi.

Kedua-dua calon masuk ke Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam sambil diiringi pencadang dan penyokong sekitar jam 9.00 pagi.

Sebelum itu, calon KEADILAN, Mohd Zawawi tiba sambil diiringi Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) serta penyokong parti.

Calon BN, Lokman Noor Adam diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusin Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta penyokong.

Tempoh sejam diberikan bagi proses penghantaran borang calon yang dibuka pada jam 9.00 pagi selepas diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Categories
SELANGOR

SPR tambah saluran, 6 pemerhati pastikan PRK lancar

SHAH ALAM, 21 JUL: Bagi memudahkan pengundi melunaskan tanggungjawab memilih, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 21 saluran baharu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis, pada 4 Ogos nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood menjelaskan, pendekata menambah 88 saluran sedia ada kepada 109 saluran itu bertujuan mengelakkan kesesakan berlaku dan tidak mahu beratur terlalu panjang selain membuka 19 pusat mengundi.

“SPR juga memanjangkan tempoh masa kepada jam 8 pagi sehingga 5.30 petang berbanding sebelum ini jam 8 pagi sehingga 5 petang. Tambahan masa 30 minit ini juga untuk memudahkan pengundi.

“Enam badan bukan kerajaan (NGO) juga dipanggil sebagai pemerhati dalam urusan PRK kali ini bagi memastikan perjalanan PRK kali ini berjalan lancar dan telus.

“Seramai 69 pemerhati antaranya terdiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Bersih 2.0, Persatuan Orang Kota Bahru Kuala Lumpur dan Selangor dan Kelab Pemikir Politik Nasional,” katanya lapor portal Sinar Harian.