Categories
NASIONAL

Tun M: Umno-PAS memang adik beradik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 21 JUL: Keputusan PAS tidak meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, umum sedia maklum bahawa parti itu mempunyai hubungan yang baik dengan Umno.

“Dia (PAS dan Umno) memang adik beradik,” sindirnya ringkas.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Penamaan calon PRK Sungai Kandis menyaksikan saingan tiga penjuru antara wakil KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy.

Tiada wakil PAS hadir menyerahkan borang pencalonan walaupun pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu, parti itu meletakkan calonnya sekali gus melengkapkan saingan empat penjuru di kawasan itu.

Sebelum ini wujud pelbagai spekulasi terhadap pertalian baik antara kedua-dua parti itu, selepas keduanya kalah teruk pada PRU 14 lalu.

PRK DUN N.49 Sungai Kandis bakal berlangsung pada 4 Ogos depan.