Categories
NASIONAL

Abdul Aziz Nafi Ada Hubungan Dengan Pembekal Dakwat Kekal PRU 13

SPR abdul aziz thumbs 01

SHAH ALAM 17 JUL : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa beliau dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar merupakan kenalan rapat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Dalam satu kiriman ‘Sistem Pesanan Ringkas’ (SMS) kepada TVSelangor, Abdul Aziz memberitahu beliau dan Wan Ahmad tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat yang didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat semalam.

“Saya dan timbalan saya dengan tegas menafikan dakwaan MP Pandan itu.

“Hal-hal yang berkaitan dengan operasi pentadbiran perolehan diuruskan oleh Urusetia SPR.

“Panel SPR hanya menentukan keputusan dasar dan hala tuju sahaja,” ujar beliau.

Di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat semalam, Rafizi mendedahkan nama seorang individu, Mohamed Salleh Mohamed Ali daripada Singapura yang didakwa pemilik kepada syarikat pembekal dakwat kekal yang mencetus kontroversi pada PRU13 lalu.

Syarikat Mohamed Salleh, Integrated Challenger (M) Sdn Bhd, didakwa mendapat kontrak membekal dakwat tersebut melalui proses rundingan terus.

Parti Pakatan Rakyat dan beberapa NGO telah memfailkan laporan polis terhadap SPR dengan mendakwa dakwat tersebut boleh dihilangkan dengan membasuh tangan dengan sabun selepas dicalit.

Rafizi mendakwa Mohamed Salleh adalah seorang pakar rundingan terus yang juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara termasuk Pengerusi SPR dan Timbalannya.

Kata Rafizi lagi, selain membekalkan dakwat tersebut, syarikat itu mendapat kontrak pembekalan peralatan lain pada PRU13 termasuk topi dan t-shirt, selain pernah mendapat kontrak secara rundingan terus dariapda Kementerian Pertahanan.

Pendedahan Pakar Strategik PKR itu dibuat susulan tindakan SPR yang sering berdolak dalih dan tidak mendedahkan nama pembekal dakwat berkenaan biarpun berkali-kali didesak berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kos pembelian dakwat kekal yang tidak kekal itu meningkat tiga kali ganda daripada RM 2.4 juta kepada RM 7.1 juta pada PRU13 lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Komuter Wilayah Iskandar, Syarikat Berkaitan Umno Didakwa Dapat Konsesi 31 Tahun – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 15072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mendesak kerajaan menjelaskan mengapa projek landasan keretapi untuk Wilayah Iskandar dianugerahkan kepada syarikat berkepentingan Umno secara runding terus.

2. Suruhanjaya Siasatan Diraja keatas pendatang haram Sabah diberitahu ahli-ahli politik melindungi dan menaungi sekolah-sekolah haram yang diuruskan oleh pendatang.

3. Pakatan Rakyat hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Saman 7 Jawatankuasa SPR

sivarasa pc izzah 01

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, saman tersebut akan turut memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan PRU13 sebagai tidah sah.

“Saman difailkan PR ini kepada tujuh anggota SPR termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi adalah secara individu kerana mereka kegagalan melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan adil dalam pilihan raya.

“Adalah jelas dakwat kekal digunakan tidak kekal tidak sepertimana diumumkan akan bertahan sehingga tujuh hari,” dakwanya ketika sidang media di parlimen hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka maka mahkamah perlu mengarahkan pembentukan anggota jawatankuasa SPR yang baru.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa, tindakan SPR keseluruhannya dilihat berat sebelah dan memihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka sedaya upaya mungkin mempertahankan kenyataan Perdana Menteri termasuk dalam urusan mengenai rasuah membeli undi serta menyerang Ketua Pembangkang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

SPRM Digesa Siasat Pemberian Wang Baucer PRU13

sim-tze-tzim

KUALA LUMPUR 10 JULAI : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan semula terhadap dakwaan isu pemberian wang melalui baucer cabutan bertuah oleh pihak berkepentingan dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu yang berlaku di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pihak berkuasa tersebut tidak seharusnya menghentikan siasatan kerana insiden dinyatakan itu memang berlaku dan bukti serta laporan mengenainya dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Kenyataan Pengarah SPRM Pulau Pinang, M Samaraju  yang menyatakan siasatan terhadap kes itu dihentikan dan tiada unsur-unsur jenayah tidak boleh diterima.

“Kita kesal dengan perkara ini dan menganggap SPRM telah gagal dalam tugas mereka ini. Dakwaan dibuat ini memang berlaku di mana satu majlis makan malam telah dibuat di kawasan tertentu dan pengundi diberikan baucer untuk ditukar selepas itu apabiola calon Umno-BN yang bertanding memang dalam pilhanraya,” dakwanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Sim menjelaskan seramai tujuh pemimpin PR membuat laporan berhubung perkara kepada itu kepada polis dan SPRM.

Katanya, hanya polis memberikan maklumbalas dengan menyatakan kes itu tiada kaitan dengan pihak berkuasa itu tetapi SPRM.

Tegasnya, pertukaran baucer berlaku selepas pilihan raya iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lalu di kawasan tertentu dengan orang ramai beratur untuk mendapatkannya.

“Perkara ini amat ketara berlaku iaitu cubaan rasuah bagi membeli undi. Saya harap SPRM membuka semula siasatan terhadap kes ini dan kami sedia memberikan kerjasama,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kertas Undi Lebih Daripada Jumlah Sebenar

rafizi PC

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendedahkan penipuan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu dengan dakwaan undi melebihi kertas undi dikeluarkan dalam peti undi sepertimana terjadi di kawasan Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bagi pengundian di saluran 2 di SRJK(C) Yu Chye tercatat perbezaan jumlah kertas undi yang berada di dalam peti undi selepas pengundian dijalankan.

“Borang 13 iaitu Penyata Kertas Undi bagi Parlimen Balik Pulau menunjukkan sebanyak 424 kertas undi dikeluarkan.

“Selepas pengiraan dibuat dan keputusan dipindahkan  ke Borang 14 iaitu penyata pengundian selepas pengiraan undi, keputusan menunjukkan terdapat 562 undi di dalam peti undi iaitu 138 undi melebihi daripada jumlah kertas undi yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jumlah undi di dalam peti undi yang lebih menyeleweng keputusan bagi parlimen dan DUN di antara 138 hingga 318 undi.

Katanya, dengan majoriti yang rendah dan undi rosak yang tinggi, keputusan di saluran 2 itu sahaja sudah cukup untuk mengubah keputusan bagi peringkat Parlimen Balik Pulau dan DUN Telok Bahang.

“Kejadian ini membuktikan bahawa peristiwa undi yang dikira melebihi daripada kertas undi yang mulanya dikeluarkan memang berlaku.

“Ia berlaku di Balik Pulau dan sudah tentu juga berlaku di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, PR juga mendakwa mempunyai bukti berlaku insiden membeli undi sepertimana di Pulau Pinang dalam PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa wang tunai diberikan kepada pengundi selepas keputusan tidak memihak kepada PR dengan penukaran baucer yang diberikan sebelum itu.

“Ia berlaku di DUN Bayan Lepas,  Pulau Betong dan Tanjung Bungah. Mereka memberi wang secara tunai di tiga tempat iaitu selama tiga hari beroperasi iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lepas.

“Kita telah melakukan pemeriksaan ke tempat itu dan laporan polis telah dibuat mengenainya,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : PR Kumpul Laporan Dakwat Tak Kekal

rafizi ramli

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan kempen  mengumpulkan laporan polis dari seluruh negara mengenai dakwat tidak kekal yang didakwa berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu sebagai bahan bukti wujudnya penipuan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjelaskan #siasatpru13 menggesa rakyat turut serta dalam kempen tersebut dengan membuat laporan polis.

Menurutnya, #siasatpru13 mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenai dakwat kekal sebagai bukti kemarahan rakyat terhadap kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan PRU13 dengan telus dan bersih.

“Satu salinan laporan polis itu boleh diemailkan ke [email protected] atau serahkan kepada mana-mana wakil rakyat PR atau di pejabat PKR, PAS serta DAP atau ibu pejabat PKR di A-1-09, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, 47410 Petaling Jaya atau faks : 03 – 7885 0531.

“Dakwat kekal yang tidak kekal bakal menjadi petanda bahawa PRU13 dikendalikan SPR adalah tidak telus dan dipenuhi penipuan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hakikatnya SPR tidak dapat menunaikan janjinya bahawa dakwat tersebut akan kekal sekurang-kurangnya lima hari dari tempoh pengundian melunturkan keyakinan rakyat terhadap SPR di bawah pimpinan sedia ada berwibawa untuk mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Kegagalan pelaksanaan dakwat kekal adalah satu simbolisme kegagalan SPR yang perlu ada pertanggungjawaban,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Memorandum Minta Singapura Beri Peluang Kedua Kepada 21 Rakyat Malaysia

DSC_0383

KUALA LUMPUR 23 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menyerahkan memorandum kepada kerajaan Singapura berhubung kes penahanan 21 rakyat Malaysia atas kesalahan mengadakan tunjuk perasaan menetntang penipuan terhadap Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Rakyat(PR) berharap kerajaan Singapura memberikan kerjasama dalam perkara itu dengan memikirkan nasib dan masa depan mereka.

“Mereka hanya mengharapkan pilihan raya yang adil di negara ini. Kita harap kerajaan Singapura mengambil kira peluang mereka untuk bekerja di negara itu.

“Tanpa permit untuk masuk ke Singapura, bagaimana mereka boleh meneruskan kerja?,” soalnya.

Nurul Izzah berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas penyerahan memorandum itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong menerusi wakilnya, Haris Rusdi Chai dan M Ramanathan.

Nurul Izzah disertai Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Idris Jauzi; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Dilaporkan, 21 rakyat Malaysia ditahan polis Singapura berikutan dakwaan melanggar undang-undang perhimpunan awam yang diadakan di Merlion Park, Singapura pada 11 Mei lalu berkaitan bantahan terhadap PRU13 Malaysia yang didakwa berlaku penipuan.

Berikutan itu, difahamkan seorang daripada mereka dibatalkan pas kerja manakala dua lagi dibatalkan pas lawatan selain pas kerja 18 orang yang lain akan dikaji selepas siasatan selesai.

Dalam memorandum tersebut antara lain menyatakan harapan supaya kerajaan Singapura memberi peluang kedua kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Selepas PRU13 yang dipenuhi penipuan, berpuluh ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia mengadakan bantahan dalam siri perhimpunan aman Black 505 seperti London dan Melbourne baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

PKR Tidak Gentar Tindakan KDN Rampas Suara Keadilan

saifuddin nasution

SHAH ALAM 23 MEI : PKR menegaskan pihaknya tidak gentar dengan tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan.

Sebaliknya dalam satu kenyataan akhbar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan KDN dan menyifatkan ia sebagai bermotif politik.

Suara Keadilan dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.

“Merampas akhbar Suara Keadilan di beberapa negeri adalah cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) yang lalu.

“Ia satu lagi bukti kerajaan Umno-BN berterus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif  tentang politik negara yang boleh dinilai oleh rakyat,”katanya.

Tambahnya, belum pun baru menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali bertindak keras dan tidak demokratik.

“Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, pegawai-pegawai KDN  bertindak merampas dan mengancam menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara Keadilan di beberapa tempat,” katanya.

Saifuddin menjelaskan di Ipoh malam tadi, tujuh orang pegawai KDN  menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar tersebut di mana semua pegawai tersebut enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.

Sementara di Melaka, katanya, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara Keadilan dirampas dari seorang pengedar yang menyatakan pegawai KDN memberi alasan bahawa ia menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Kejadian yang sama juga berlaku hari ini di Johor Bahru, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan.

“PKR menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar serta 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada Adam Adli,” katanya.

Saifuddin berkata, PKR merasa kesal kerana kerajaan UMNO-BN masih dengan kesombongan mereka kerana gagal untuk mengubah sikap terhadap berita dan pandangan alternatif walaupun mereka telah menguasai sepenuhnya media di negara ini.

Categories
NASIONAL

Hanipa : PR Dijangka Buat Kejutan Di Sepang

hanipa maidin

SEPANG 4 MEI : Pakatan Rakyat (PR) yakin membuat kejutan di Parlimen Sepang dengan merampas kawasan itu daripada BN selain tiga DUN, Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjung Sepat dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) Ahad ini.

Calon PR Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, keyakinan itu berikutan sokongan rakyat yang dilihat meningkat dengan ketara dari masa ke semasa sehingga kini.

“Saya yakin rakyat ingin memberi peluang kepada PR untuk menjadi kerajaan baru di Putrajaya. Mereka bersedia untuk menjadikan saya sebagai Ahli Parlimen di sini. InsyaAllah.

“Saya percaya peluang untuk kita membuat kejutan di Sepang dan semua DUN yang kita bertanding ini,” katanya.

Katanya, PR hanya tewas tipis di Sepang pada 2008 dengan 4,800 undi berbanding lebih 20,000 undi (2004).

“4,000 lebih bukanlah begitu besar dalam konteks politik sekarang kecuali ada penipuan yang saya harap tidak akan berlaku.

“Tambahan pula kita tahu terdapat dua tokoh Umno yang berpengaruh bertanding bersaing dengan calon BN yang sedikit sebanyak akan memecahkan undi yang membantu kita,” ujarnya.

Masalah dihadapi Umno-BN di Sepang ketara apabila beberapa cawangannya terbubar dengan kemasukan ahlinya ke dalam PKR dengan jumlah besar di samping ahli dan penyokong sedia ada yang menyatakan sokongan terhadap PR.

Ini berikutan kejayaan PR mentadbir Selangor dengan cemerlang menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang banyak membawa faedah kepada masyarakat.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah menyatakan ini adalah peluang keemasan untuk PR mencipta kejayaan.

“Pertandingan lebih daripada dua calon di semua kawasan adalah petanda Umno-BN menghadapi masalah. Ini peluang terbaik untuk PR menawan semua tiga DUN dan Sepang daripada BN.

“Perlu diingatkan DUN Tanjung Sepat pernah dipegang wakil rakyat bukan BN selama tiga penggal sebelum ini maka ia tidak mustahil akan berulang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lebih 36,000 Pengundi Ragu Bakal Membanjiri Selangor

SPR pengundi hantu selangor 01
SHAH ALAM 29 APR : Pakatan Rakyat (PR) mendakwa satu langkah agresif sedang diambil untuk membanjiri Selangor dengan lebih 36,000 pengundi ragu dalam beberapa hari lagi bagi merampas Selangor daripada gagasan itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Shamsuddin mendakwa mereka akan dibawa masuk secara berperingkat melalui ?charter flights? (penerbangan tempahan khas) daripada Kota Kinabalu bermula 2 Mei sehingga 4 Mei ini.

Langkah itu mampu menguatkan kemampuan Umno-BN untuk merampas kira-kira 11 kerusi DUN yang dimenangi PR Selangor. Ini kerana kerusi tersebut dimenangi dengan majoriti kurang daripada 3,000 undi.

Sekiranya di agihkan antara 11 kerusi DUN itu, ia mampu memberi pertambahan lebih 3,200 ?pengundi percuma? kepada Umno-BN.

Jika Umno-BN mampu mempertahankan 20 kerusi DUN yang sekarang miliknya, kemenangan dalam 11 kerusi DUN milik PR Selangor akan membolehkannya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri.

Umno-BN memenangi 20 daripada 56 kerusi DUN pada pilihanraya 2008. PR Selangor memenangi 36 kerusi, tetapi hilang dua kerusi selepas dua ADUN PR Selangor, Badrul Hisham Abdullah dan Datuk Dr Hassan Ali, keluar dari gagasan itu.

Pengundi ragu yang akan dibawa masuk itu termasuk mereka yang yang lahir dan bermastautin di luar Selangor tetapi berdaftar sebagai pengundi di Selangor dan pengundi bukan warganegara Malaysia.

“Kita percaya terdapat pihak tertentu yang mengawasi dan mengubah beberapa penerbangan khas itu daripada terus dikesan pihak kita,? kata Jaafar pada satu sidang media.

“Sebagai contoh, pada 28 April, kita telah memantau di KLIA setelah menerima maklumat penerbangan tempahan khas MH 8601 akan mendarat pada pukul 6 pagi namun penantian sehingga jam 11.30 pagi tidak mendapati sebarang pendaratan.

“Pemberi maklumat dalaman kemudian memberitahu bahawa jadual penerbangan itu telah ditunda kepada tarikh lain iaitu pada 1 Mei nanti,” jelas Jaafar.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan risikan PR akan terus memantau lapangan terbang di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Sepang, Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi serta Lapangan Terbang Subang di Subang.

Mereka kini juga sedang dalam pemerhatian untuk mengenal pasti tempat kediaman penumpang-penumpang penerbangan ini.

 

Categories
NASIONAL

Pemuda Sering ‘Kacau’ Bilik Gerakan Pelabuhan Klang

azmizam luar pc 01

PELABUHAN KLANG 27 APRIL : Bilik Gerakan Utama DUN Pelabuhan Klang sering diganggu oleh beberapa pemuda pada setiap awal pagi.

Ketuanya, Saiful Iman Sabuddin, berkata gangguan terbabit mula berlaku pada Ahad lalu.

Katanya, berikutan kejadian itu pihaknya mula berwaspada dan lebih berhati-hati.

“Sekarang ini mereka mula berani datang hampir dengan bilik gerakan, kami tidak tahu apa muslihatnya.

“Tiga hari lepas, pada jam 2.30 pagi, mereka datang di hadapan pintu bilik gerakan, masa itu mereka tidak sedar saya berada di sebalik pokok hadapan bilik gerakan.

“Disebabkan risau mereka membuat sesuatu perkara yang tidak diingini, saya menegur mereka dan mereka terus berlalu dengan motosikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah selepas kejadian itu beliau turut terserempak dengan empat lelaki yang bertindak menurunkan bendera di hadapan bilik gerakan.

Sementara itu, Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan keluarga dan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13).

Menurutnya, dalam tempoh lima hari berkempen ini banyak berlaku kejadian yang tidak diingini di seluruh negara.

“Kita harap polis dapat mengawal dan meningkat tahap keselamatan.

“Kita juga meminta seluruh jentera parti dan AMK turut berkawal menjaga calon-calon,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan DUN Sri Andalas.

 

Categories
NASIONAL

Pengundi Dinasihat Undi Awal Bagi Elak Penipuan

xavier 2

KLANG 27APRIL : Penyandang DUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menasihati pengundi supaya turun mengundi lebih awal pada 5 Mei ini bagi mengatasi masalah penipuan yang didakwa berlaku setiap kali pilihan raya.

Beliau mendakwa, kes penipuan seperti peningkatan jumlah pengundi hantu di sesebuah kawasan tidak mustahil berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

?Mereka akan cuba tipu pada 5 Mei ini, anda kena keluar undi lebih awal. Saya hendak bagi contoh, dulu orang keluar mengundi hanya 75 peratus saja sekarang sudah tentu meningkat lebih 80 peratus.

?Saya harap kali ini jumlah yang keluar mengundi boleh meningkat untuk mengatasi masalah penipuan ini kerana saya percaya kes ini akan naik jika tidak ditangani,? katanya di hadapan lebih 3,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam Ceramah Umum Jelajah Trailer Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Taman Sri Muda, di sini.

Selain itu, Xavier turut mengingatkan supaya menghargai satu ?peluang emas? yang diberikan kepada mereka untuk menukar kerajaan pada PRU13, selepas 56 tahun di bawah kerajaan sama.

?Sekarang kita ada satu peluang emas di tangan kita. Ini satu-satunya yang kita boleh buat (untuk tukar kerajaan).

?Kita tunggu 56 tahun untuk suasana ini di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri pertama PR pada 6 Mei ini di Putrajaya. Pastikan PR kekal di Selangor untuk masa depan anak dan cucu kita, ini kalilah..kita tukar,? katanya.

Sementara itu, penyandang Dun Sri Muda yang juga calon PKR kerusi itu, Shuhaimi Shafiei yakin bahawa pengundi di kawasan tersebut akan mengundi PR walaupun berdepan dengan cabaran gangguan menjelang hari undi.

?Penduduk Taman Sri muda ada hampir 12,000 pengundi iaitu satu per tiga daripada 49,000 pengundi di DUN ini.

?Kita yakin dengan kehadiran lebih 3,000 orang ini kali dengan empat atau lima yang berada di rumah, kawasan ini akan dapat kita pertahankan, termasuk Selangor dan Insya-Allah akan ke Putrajaya. Yang membuktikan sejarah 5 Mei ini ialah undi rakyat,? katanya