Categories
NASIONAL

PAKATAN tak usik hak Melayu, malah terus dipertahan – Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa hak dan kepentingan Melayu serta Islam sentiasa mendapat pembelaan.

Beliau berkata, keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu jelas membuktikan indikator penting bahawa PAKATAN tidak pernah mengusik hak Melayu Bumiputera dan Islam, sebaliknya keistimewaan mereka terus dipertahankan.

“Dalam perlembagaan pun sudah dijamin, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala Islam adalah agama Persekutuan. Itu semua termaktub dalam peruntukan perlembagaan yang tiada siapa mahu batalkan.

“Yang menjaga kepentingan Bumiputera, kepentingan kaum Cina, India, Iban dan Kadazan pula, pendekatannya lain sedikit, tetapi perlu diingatkan kedaulatan Raja-raja Melayu tetap dipertahankan kerana negara kita masih berpandukan kepada perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana bersama Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, bagi membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar, di Padang Letak Kereta, Jalan PJU 1A/39, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abd Hamid; Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan beberapa pimpinan politik lain.

Pada masa sama, Anwar menyifatkan isu terbabit menjadi polemik berlarutan sebelum dan selepas PRU14 lalu, walaupun ia sering diperjelaskan sebagai perkara asas mengikut perlembagaan.

Katanya, pihak pembangkang sekadar tahu menggunakan isu itu sebagai alat dan senjata menakutkan orang Melayu, tetapi tidak berhasil memandangkan rakyat sudah bosan dengan taktik berkenaan.

“Hal ini saya jelaskan kerana hak keistimewaan terus dibangkitkan dalam kempen. Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi janganlah anggap rakyat ini bodoh sangat!,”

“Yang rompak-rompak itu tidak nampak ke ? Kalau pilih pemimpin perompak, kita tak akan selamat. Jadi, saya mahu membawa mesej untuk tidak bersama perompak dan memastikan wang serta khazanah negara dipertahankan demi kepentingan rakyat.

“Justeru, mewakili semangat PAKATAN, buatlah keputusan bijak pada 8 September ini dan terus memberi sokongan padu kepada calon kita,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dokumen PRU14 Parlimen Kota Raja dilupus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUL : Dokumen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Kota Raja (P11) kini dilupuskan selepas tiada sebarang petisyen bantahan dibuat oleh parti politik bertanding.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan itu, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu untuk melupuskan dokumen yang diguna pada PRU14 seperti kertas undi.

“Kebenaran melupus diberikan SPR selepas tiada petisyen bantahan dikemukakan oleh calon dan parti politik bertanding selepas 21 hari keputusan pilihan raya bagi kawasan ini diwartakan pada 29 Mei lepas,” katanya laporan Bernama.

Kertas undi dan pelbagai dokumen bagi kawasan Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa dilupuskan pada hari ini di Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 32 dengan cara dibakar sebelum ditanam.

Turut hadir Timbalan Pengarah SPR Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri dan tujuh wakil calon yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Categories
NASIONAL

Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 MEI: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden Pahlawan, Asri Buang berkata, pegawai-pegawai tersebut juga dipercayai menyalahguna kuasa dengan membuat paksaan undian bagi tujuan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Pihak kami sudah mengumpul beberapa bukti untuk diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk jumlah wang rasuah diterima serta senarai penyalahgunaan aset kerajaan sepanjang PRU14 dan juga PRU13.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang berkenaan kerana ia masih di peringkat awal laporan, namun apa yang boleh Pahlawan maklumkan ialah bukti Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) menjadikan bangunan mereka sebagai kem untuk BN ternyata adalah kesalahan paling ketara pada PRU14,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Pahlawan, Husnal Az Hari Sanusi berkata, Pahlawan juga percaya terdapat pegawai kanan ATM yang memberi tekanan kepada anggota tentera untuk memilih hanya satu parti ketika membuat undian awal.

Katanya, ia jelas dilihat melalui keputusan undi awal yang memihak kemenangan kepada BN pada mulanya.

“Namun apabila undi rakyat dikira, kesemua calon BN kalah teruk, jadi kita menggesa supaya SPRM siasat segera kes ini kerana kami tidak mahu kepincangan berlaku di kalangan pegawai atasan ATM.

“Pahlawan melihat trend menekan anggota bawahan memilih parti tertentu bermula sejak PRU13, berbanding tahun 90an perkara sebegini tidak berlaku, sepatutnya anggota tentera mahupun penjawat awam berhak memilih parti yang mereka suka bukannya dipaksa,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Anwar: Kuasa rakyat, tegak keadilan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 MEI: Kuasa rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menjadi saksi kepada kejatuhan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang tidak adil dan menekan rakyat sejak sekian lama.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebangkitan rakyat membuktikan perubahan boleh dilakukan di negara ini dengan tertegaknya kebenaran sekali gus membawa kepada pembebasannya.

“Saya amat terharu, tiga tahun saya ambil cuti tanpa elaun (dipenjarakan).

“Saya bersyukur kepada Allah kerana jasa saudara semua, saya bebas berdiri di sini. Kalau (Datuk Seri) Najib (Razak) menang, saya balik ke Sungai Buloh,” katanya dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur Amcorp Mall, malam tadi.

Beliau berkata, pengampunan penuh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, menjadi saksi segala pertuduhan ke atasnya adalah rekaan semata-mata.

“Dari penjara ke istana, pengampunan penuh.

“Pegawai penjara kata tak perlu tandatangan apa-apa kerana saya dibersihkan terhadap sebarang rekod kesalahan,” katanya merujuk pertemuan bagi menjunjung kasih kepada Yang Dipetuan Agong yang disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Sero Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kejatuhan BN diketuai Najib dalam PRU lalu, membuka era baharu dalam pentadbiran negara dengan PAKATAN diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu menegakkan keadilan demi kepentingan rakyat.

Anwar mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong, semalam, berikutan kemenangan PAKATAN mengambilalih Putrajaya daripada BN.

 

Categories
NASIONAL

MB hargai Najib, BN akur pilihan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, melahirkan penghargaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang dapat menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan baik.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah petanda positif bagi pembangunan negara seterusnya ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat menghargai Najib dan pimpinan Umno juga BN yang menerima keputusan dibuat rakyat.

“Maka selepas ini kita akan bergerak bersama membangunkan Malaysia dengan lebih baik dan itu adalah janji PAKATAN,” katanya kepada media selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Dato’ Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, PAKATAN juga berharap kerjasama akan terjalin antara Kerajaan Negeri dan pembangkang membabitkan BN.

“Walaupun jumlahnya agak kecil (wakil rakyat pembangkang) tetapi ia tetap berperanan dalam sistem demokrasi.

“Saya berharap kerjasama ini terus dijalin demi kebaikan bersama untuk kemajuan negeri,” katanya.

Mohamed Azmin turut melahirkan simpati terhadap Umno yang gagal mempertahankan Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri ketika sambutan hari kelahiran parti itu yang ke 72, semalam.

Categories
NASIONAL

MB: Anwar gembira PAKATAN tadbir Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 12 MEI: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan rasa gembira dengan kejayaan parti itu membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan terhadap pemerintahan negara nyata amat menggembirakan mantan Timbalan Perdana Menteri itu dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anwar gembira dengan perkembangan berlaku dan pelantikan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau percaya dengan ketokohan Dr Mahathir disokong rakyat bagi pembangunan Malaysia yang baharu.

“Beliau menjelaskan sokongan rakyat harus diurus dengan baik dan disegerakan pembentukan menteri kabinet supaya dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis Istiadat Angkat Sumpah dan Pelantikan Dato’ Menteri Besar di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, Anwar gembira dengan mandat diberi rakyat dan ia sesuatu penuh bermakna bagi mantannya yang sekian lama berada di dalam penjara.

“Beliau juga gembira kerana proses pelantikan Perdana Menteri berjalan baik dan lancar serta dapat diselesaikan dengan semangat muafakat,” katanya yang bertemu dengan Anwar selepas PRU, baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Jokowi: Tahniah Tun Mahathir, moga hubungan Malaysia-Indonesia bertambah baik

SHAH ALAM, 11 MEI: Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Ucapan itu disampaikan presiden yang mesra dengan panggilan Jokowi menerusi panggilan telefon dari Istana Presiden di Bogor.

“Saya mengucapkan selamat atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelmarin,” katanya melalui kenyataan dari Istana Presiden di Bogor.

Jokowi turut mengucapkan syukur ekoran proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Malaysia berjalan lancar, pada 9 Mei lalu.

“Saya senang mendengar proses demokrasi berjalan lancar dan aman,” katanya.

Jokowi turut meyakini hubungan kedua-dua negara akan bertambah baik.

“Sebagai negara serumpun saya percaya di bawah kepemimpinan Bapak Mahathir, hubungan antara kedua bangsa kita akan terus meningkat.

“Dan saya mendoakan Bapak Mahathir terus diberikan kesihatan untuk menjalankan amanah rakyat Malaysia ini,” katanya dipetik portal Malaysia Kini.

Mahathir secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, semalam.

Sejarah baru tercipta, apabila Tun Mahathir menggalas jawatan sama buat kali kedua setelah pertama kalinya selama 22 tahun iaitu pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara, selepas 61 tahun parti itu mentadbir.

PAKATAN menang majoriti mudah 113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Antara negeri ditawan PAKATAN adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah selain berjaya mengekalkan kemenangan, di Selangor juga Pulau Pinang.

Categories
NASIONAL

PRU14: Kemenangan rakyat, ayuh bersama bina semula negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MEI: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah kemenangan rakyat, demikian tegas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, rakyat Malaysia telah lama mengimpikan negara ditadbir dengan amanah dan telus, malah perjuangan reformasi yang telah mencecah lebih 20 tahun telah sampai pada kemuncaknya.

“Aspirasi rakyat perlu diambil peduli dan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu pastikan bahawa setiap tindakan wajib berteraskan kehendak rakyat.

“PAKATAN perlu mengambil iktibar kisah Barisan Nasional (BN) telah memperdagangkan mandat diberi rakyat.

“Dalam keterujaan kita menyambut kemenangan ini, adalah penting untuk kita saling mengingat antara satu sama lain bahawa tanggungjawab yang besar sedang menanti, katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Ketua Wanita Pakatan Harapan itu menyeru rakyat bersama-sama membantu kerajaan yang baru dalam memastikan segala misi, pelan dan agenda dirancang dapat dilaksanakan dengan efektif.

Katanya, usaha memartabatkan wanita juga akan terus diperhebat setelah ia tidak dibela lebih 60 tahun dibawah pemerintahan BN.

“Marilah kita membina Malaysia yang lebih baik, demi masa hadapan generasi akan datang, PAKATAN akan pastikan tiada rakyat Malaysia terpinggir dalam pembangunan yang dilaksanakan.

“Perjalanan yang harus kita tempuhi masih jauh, apa yang diharapkan kini adalah penyatupaduan kesemua rakyat negara ini agar martabat dan maruah Malaysia dapat dikembalikan semula,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

ABIM: Tahniah Tun Mahathir, PM ke-7

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamed yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7 secara rasmi.

Sesungguhnya jawatan disandang merupakan amanah berat dari rakyat yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

Justeru segala janji disajikan kepada rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu perlu dilaksanakan sehabis baik termasuk dengan segera mengusahakan pembebasan tahanan politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah pertama agenda reformasi institusi ke arah yang lebih telus, adil dan saksama.

Reformasi institusi penting seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi kes-kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin negara pada masa akan datang.

Selain itu, isu kesempitan ekonomi rakyat rentetan dari kos sara hidup rakyat yang meningkat perlu diberikan perhatian serius dengan melaksanakan agenda-agenda ekonomi yang telah ditawarkan kepada rakyat menerusi manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN).

Tahniah buat seluruh rakyat yang telah berpartisipasi dalam PRU14 dengan membuang undi sebagai saluran aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

ABIM amat berharap agar kepimpinan Perdana Menteri dan barisan kabinetnya yang bakal diumumkan kelak bakal membawa sinar harapan baru kepada masa hadapan negara ini.

* Mohamad Raimi Ab Rahim adalah Presiden ABIM

Categories
SELANGOR

Azmizam lakar sejarah, rampas Pelabuhan Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 10 MEI: Azmizam Zaman Huri melakar sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini apabila berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Kemenangan bergaya itu sekali gus mengembalikan semula kerusi Pelabuhan Klang kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau memenangi undian sebanyak 15,837 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Seikh Rajesh Seikh Ahmad 9,415 undi.

Manakala, Azmizam turut menewaskan calon lain iaitu Khalid Nayan (PAS) 2,925 undi dan Shan@Kanmugam Parti Sosialis Malaysia (PSM) 128 undi.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dato’ Mohamed Yasid Bidin pada jam 4.50 pagi bertempat di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, hari ini.

PRU14 itu menyaksikan 128,536 jumlah kertas undi dikeluarkan dan 127,074 jumlah undi diterima calon Parlimen berkenaan.

Sementara itu, 393 undi ditolak dan 54 undi tidak kembali dengan peratus pengundian sejumlah 85%.

Terdahulu, DUN Pelabuhan Klang itu dipegang oleh Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Bebas.

Namun, ia terhenti apabila Azmizam selaku Pegawai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang tercalon pada PRU14 dan merampas kerusi berkenaan daripada Khalid Ibrahim.

Categories
SELANGOR

KEADILAN sapu bersih Sungai Buloh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 MEI: KEADILAN menyapu bersih kerusi Parlimen Sungai Buloh dan dua DUN di bawahnya.

Bagi kerusi Sungai Buloh, R. Sivarasa menang dengan majoriti 26,634 undi menewaskan pencabar daripada BN A. Prakash Rao, Nuridah Mohd Salleh daripada PAS dan Zainurizzaman Moharam daripada PSM.

Sivarasa memperolehi 43,631 undi berbanding, Prakash 16,681 undi, Nuridah 16,997 undi dan Zainurizzaman 642 undi (hilang deposit).

Sementara itu, bagi kerusi DUN Kota Damansara, muka baru daripada KEADILAN, Shatiri Mansor menang dengan majoriti 15,703 undi menewaskan penyandang kerusi daripada BN Halimaton Saadiah Bohan, Siti Rohaya Ahad daripada PAS dan A. Sivarajan daripada PSM.

Shatiri memperolehi 26,440 undi, Halimaton Saadiah 10,737 undi, Siti Rohaya 5,633 dan A. Sivarajan 435 undi.

Di Paya Jaras, calon KEADILAN, Mohd Khairuddin Othman menang dengan majoriti 12,072 undi menewaskan Datuk Zein Isma Ismail (BN) dan Hanafi Zulkapli (PAS).

Mohd Khairuddin memperolehi 20,376 undi berbanding Zein Isma 8,304 undi dan Hanafi 6,042 undi.

Keputusan diumumkan Pengurus Pilihan Raya Sungai Buloh, Roslinah Mat Jani sebaik penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Seksyen 8 Kota Damansara, di sini selesai.

Categories
SELANGOR

PAKATAN bolot kerusi di Shah Alam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 10 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) secara rasmi mengumumkan kemenangan ke atas kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Shah Alam bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kerusi bagi Parlimen Shah Alam dimenangi Khalid Abdul Samad dengan jumlah undi 55,949 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azhari Shaari (22,100) dan calon PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuli (15,194).

Jumlah itu menyaksikan beliau memenangi kerusi itu pada majoriti 33,849 undi iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 10,939 pada PRU13 lalu.

Manakala di DUN Kota Anggerik ditawan calon anak muda, Najwan Halimi dengan majoriti 17,004.

Beliau memenangi dengan jumlah 26,947 berbanding calon BN, Jumaeah Masdi (8,924) dan PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani sebanyak 9,943 undi.

Sementara itu, bagi kerusi DUN Batu Tiga dipegang pemangkunya terdahulu iaitu Rodziah Ismail dengan jumlah 27,638 undi dengan manjoriti 15,616.

Keputusan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad sekitar jam 12.30 tengah malam tadi di pusat pengumpulan rasmi undi PRU14 P108 Shah Alam di Dewan Besar Tanjung MBSA.