OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 3 OGOS: Persekitaran politik di Terengganu kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pentadbiran baru mengikut proses demokrasi, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali.
Bagaimanapun katanya, proses tersebut bergantung kepada pendirian yang bakal diambil bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said samada terus kekal dengan pendiriannya bersama Umno atau sebaliknya.
“Apabila sesebuah kerajaan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat, ia mesti diadakan semula pilihanraya supaya adanya mandat baru dan keadaan di Terengganu itu adatu keadaan yang amat kritikal.
“Apa jua keadaan yang diambil oleh Ahmad Said itu akan menentukan langkah seterusnya, jadi Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan memberi pilihan mandat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri bersama penjawat awam, di sini.
Sebelum ini, Ahmad menyuarakan bahawa beliau tidak kisah dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik pentadbiran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Kerajaan Negeri itu.
Beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk memutuskan kedudukan dalam parti ketuan melayu itu selepas wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat.
Pada masa ini, BN menguasai 17 kerusi dalam dewan undangan negeri (DUN) Terengganu manakala PAS mempunyai 14 kerusi tersebut dan PKR pula hanya diwakili seorang ADUN.
Jika Ahmad dipecat dari Umno dan beliau mengadakan sekutu dengan pembangkang, DUN Terengganu bakal menyaksikan bilangan kerusi setara (16-16) antara kerajaan dan pembangkang yang boleh menjurus kepada pilihan raya mengejut.
Sekirannya pilihan raya mengejut itu berlaku, Mohamed Azmin mengingatkan pemimpin Pakatan mengambil pengajaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.
“Kita wajar mendengar kemahuan rakyat.
“Jika kita mengenepikan semua sentimen yang berlaku sebelum ini, saya percaya kita boleh terus maju dengan misi kita,” kata Menteri Besar Selangor itu.
-nR-