Categories
AGENDA NASIONAL

Hail Amir dikurnia darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah, bawa gelaran Datuk

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Penyanyi dan pelakon popular 70-an Hail Amir menyifatkan pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) kepadanya yang membawa gelaran Datuk, merupakan satu pengiktirafan terindah sepanjang lebih 50 tahun menghambakan diri dalam dunia seni tanah air.

Beliau yang popular dengan lagu “Wajah Kesayangan Hamba” itu berkata kurniaan tersebut adalah satu penghargaan dan ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat setianya selama ini.

“Saya rasa amat terharu dengan penganugerahan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih mengingati dan meminati insan bernama Hail Amir ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Karier seni Hail bermula sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an.

Beliau kemudian ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya “Jiwa Remaja” di samping Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam. Antara filem lain yang dilakonkannya ialah “Menanti Hari Esok”, “Ribut Barat” dan “Anita Dunia Ajaib”.

Bakat beliau dalam bidang seni suara pula dikesan oleh komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular “Wajah Kesayangan Hamba”.

Bapa kepada empat cahaya mata berasal dari Pulau Pinang itu kini masih aktif memenuhi undangan nyanyian.

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Hail telah menghasilkan 12 album selain turut terkenal dengan nyanyian bersama rakan duetnya, Uji Rashid.

Antara lagu popular pasangan duet itu ialah “Menunggu Nasi Minyak”, “Antara Matamu dan Mataku”, “Asmara Bergelora” dan “Seloka Hari Raya”.

Pada istiadat di Istana Negara pagi tadi, Hail bersama 58 individu lain menerima darjah kebesaran PMW yang membawa gelaran “Datuk” sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly dan bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

SUKMA: Selangor nilai semula sasaran 45 pingat emas

SHAH ALAM, 5 OKT: Selangor menilai semula sasaran 45 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang dijangka tahun depan selepas tertangguh dua kali akibat Covid-19.

Ia susulan perkembangan membabitkan kontinjen antaranya kemungkinan atlet menarik diri kerana melanjutkan pelajaran, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata penilaian dibuat berdasarkan perbincangan dengan setiap pasukan yang memulakan latihan selepas kerajaan memberi kelonggaran bagi aktiviti sukan.

“Atlet kita sudah lama berlatih bawah program gelembung sukan sebelum kelonggaran fasa tiga Pelan Pemulihan Negara. Kita mahu pastikan atlet berada pada prestasi terbaik walaupun belum ada tarikh jelas penganjuran SUKMA di Johor,” katanya ketika dihubungi.

SUKMA Johor 2020 pada asalnya dijadualkan dari 11 hingga 19 Julai 2020 tetapi ditunda kepada 6 hingga 14 Mac tahun ini kerana ancaman Covid-19. Temasya itu sekali lagi ditangguh berikutan kes masih tinggi.

Selangor sebelum ini menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah pegawai, ahli politik bersalah rasuah akan ditarik pingat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat aktiviti rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.

“Baginda menegaskan bahawa sesiapa pegawai Kerajaan Negeri didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Mana-mana pegawai yang telah dikurniakan darjah dan bintang Kebesaran serta pingat negeri Selangor dan didapati melakukan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik,” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

“Baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

e-Sukan secara rasmi tawar pingat pada Sukan Asia 2022

KUALA LUMPUR, 1 MAC: E-sukan akan membuat penampilan sulungnya sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China tahun hadapan, demikian menurut Majlis Olimpik Asia (OCA) hari ini.

Perkara itu diumumkan semasa majlis menandatangani perkongsian secara maya yang mana OCA dan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) menjadi rakan kongsi tunggal dalam menganjurkan dan menguruskan program e-sukan pada temasya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Sept 2022.

Ini bermakna AESF akan menganjurkan dan menguruskan pertandingan kelayakan serantau dan temasya itu sendiri di Hangzhou 2022, dengan sokongan dan kuasa penuh OCA. Persediaan ini, menurut OCA akan diteruskan pada Sukan Asia di masa hadapan.

Sebanyak enam pingat acara akan dipertandingkan di bawah program e-sukan di Hangzhou 2022 dan AESF akan memilih tajuk permainan dan menyerahkan senarai untuk kelulusan oleh OCA.

Selain itu, OCA dan AESF turut mengumumkan kempen ‘Road to Asian Games’ pada majlis itu antaranya, akan merangkumi aspek pendidikan, projek kelestarian dan legasi, pembangunan akar umbi, laluan kerjaya, sokongan kesihatan dan kesejahteraan serta inisiatif membantu komuniti dikenali sebagai ‘AESF Experience Programme’.

Presiden AESF Kenneth Fok dipetik sebagai berkata Sukan Asia menampilkan platform terbaik untuknya berkongsi nilai Olimpik dengan komuniti e-sukan, dan ia akan berusaha untuk menjadikan komuniti e-sukan berkembang menerusi peluang ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama yang berjaya dengan OCA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk Sukan Asia Hongzhou ke-19 pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah OCA Husain Al-Musallam berkata badan pengelola Sukan Asia akan memberikan sokongan penuh untuk menjayakan acara e-sukan pada temasya itu.

Pada Sukan Asia ke-18 di Indonesia pada 2018, e-sukan dipilih sebagai acara demonstrasi yang menampilkan tajuk e-sukan seperti League of Legends, Arena of Valor, Pro Evolution Soccer 2018, StarCraft II, Hearthstone dan Clash Royale.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor tangguh istiadat Hari Keputeraan ke-75

SHAH ALAM, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tiada sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda ke-75 esok berikutan penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penangguhan Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bergantung kepada situasi semasa pandemik itu.

“Alhamdullilah, beta bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya, beta dapat menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75 pada tahun ini.

“Beta mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat tahun ini, namun akan dilaksana pada tarikh yang bakal ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Facebook Selangor Royal Office.

Dalam kenyataan itu, Sultan Selangor turut menghargai pengorbanan petugas hadapan yang tidak mengenal penat lelah merawat dan mencegah penularan Covid-19.

Baginda turut berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat Negeri Selangor kepada mereka sebagai tanda penghargaan.

“Semoga dengan penganugerahan ini akan dapat menaikkan semangat petugas hadapan untuk meneruskan tugas dengan penuh dedikasi,” titah baginda lagi.

Pada 7 Disember, Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan Sultan Selangor memenuhi kuota darjah dan bintang kebesaran untuk dianugerahkan kepada petugas hadapan.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata Pingat Pekerti Terpilih, Pingat Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Perkhidmatan Selangor akan dikurniakan kepada anggota tentera, polis, bomba serta kakitangan hospital yang bertugas di negeri ini.

Tahun ini, Kerajaan Negeri menerima 3,000 permohonan dengan 1,096 daripadanya adalah pencalonan darjah dan bintang kebesaran manakala 1,904 Pingat-Pingat Negeri Selangor.

Semua penerima melepasi tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Categories
NASIONAL

Agong berkenan kurnia 200 darjah kebesaran Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.

Pada tahun ini, seorang individu dianugerahkan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 27 Individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 36 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 32 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah, 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Jalil Marzuki mendahului senarai penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau, yang telah berkhidmat selama 33 tahun dan bertanggungjawab menyelaras, memantau projek pembangunan mahkamah di seluruh Malaysia serta menyelia Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia, adalah satu-satunya penerima SMW pada tahun ini.

Selain itu, Profesor Ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Harlina Halizah Siraj@Ramli yang juga pendakwah dikurniakan Darjah Kebesaran PMW yang membawa gelaran Datuk.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail pula dikurniakan Bintang JMW.

Empat atlet negara termasuk atlet akuatik terjun negara Nur Dhabitah Sabri, yang juga anak jati Kuala Lumpur, turut diberi pengiktirafan dengan dikurniakan AMW.

Pencapaian terbaik Nur Dhabitah apabila mendapat tempat kelima pada Sukan Olimpik, satu pingat perak dan dua gangsa pada Sukan Asia dan dua gangsa pada Sukan Komanwel serta pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Selain Nur Dhabitah, tiga lagi atlet iaitu Jabriella Teo Samuel, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat dan Nur Ain Nabilah Tarmizi dianugerahkan pingat PPW.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan cemar duli kurnia pingat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli menganugerahkan pingat negeri kepada 194 penerima, sempena Hari Keputeraan ke 70 baginda.

Bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, majlis penganugerahan diadakan penuh istiadat kepada penerima Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T), Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S).

Istiadat pengurniaan pingat didahului Pegawai Waran I, Jamaluddin Che Zam dan Sub Inspektor Mohmad Mahmod Bagong yang menerima Pingat Pekerti Terpilih atas sumbangan dan pekerti terbilang yang ditunjukkan penerima.

Seterusnya, Ketua Inspektor Penjara Ramli Umar dan 23 penerima lainnya turut menerina pingat pengurniaan daripada baginda Sultan.

Sementara itu, Sarjan Mejar Ariffin Omar dan Sarjan Mejar Wong Hua May turut menerima pengurniaan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) atas khidmat cemerlang kedua-duanya berbakti sebagai penjawat awam negeri.

Seramai 31 penerima menerima pingat P.P.C sebagai sumbang saran kepada penerima untuk terus cemerlang menggalas tugas dipertanggungjawabkan.

Dalam pada itu, 123 individu pula menerima pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) atas sumbangan dan jasa bakti mereka yang terus kekal berkhidmat kepada pentadbiran negeri.

14 individu lagi menerima pingat pengurniaan perkhidmatan Selangor (P.PS) atas perkhidmatan cemerlang selama lebih 20 tahun bersama Kerajaan Negeri.

EZY

Categories
SELANGOR

DNS lulus Statut Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sukan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Statut Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sukan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, kelulusan DNS diperlukan kerana ia melibatkan perbelanjaan negeri.

Katanya, pewartaan dan tarikh penguatkuasaan statut berkenaan ditentukan DYMM Sultan Selangor selepas dipersetujui DNS.

DNS 2016“Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri yang menasihati usul dibawa di DNS bagi mendapatkan persetujuan mengenai kewujudan statut.

“Kerajaan Negeri juga berpendapat statut ini memberi penghormatan tinggi kepada mereka yang diperkenankan DYMM Sultan Selangor untuk menerimanya,” katanya ketika membentangkan usul di DNS hari ini.

Tanpa dibahas, usul berkenaan diluluskan Speaker, Hannah Yeoh bagi mewujudkan dan mengasaskan Statut Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sukan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara darjah kebesaran adalah Bintang Kecemerlangan Sultan Selangor (BKS) dan Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor (PKS) kepada calon layak dan memenuhi kriteria tertentu.

EZY

Categories
SELANGOR

SUKSES: Petaling atasi Sepang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEP: Saingan dalam Sukan Selangor (Sukses) 2015 semakin menarik dan sengit dengan pelbagai acara berlangsung hari ini terutama olahraga.

Kedudukan pingat juga berubah apabila Petaling mengambilalih takhta mengatasi Sepang selain Gombak dan Hulu Langat naik ke tangga ketiga serta keempat.

Kejaguhan juara Sukses 2013, Petaling mengumpul 21 emas, 15 perak dan 21 gangsa terserlah semalam apabila menang sembilan emas dengan penguasaan dalam lumba basikal (empat) serta tenpin bowling (dua) selain memanah (dua) dan sepak takraw (satu).

SUKSESGombak (13 emas, 6 perak, 19 gangsa) serta Hulu Langat (11 emas, 12 perak, 18 gangsa) sebelum ini pada kedudukan kelima dan keenam mula bangkit mencabar dengan cemerlang di gelanggang memanah apabila menang lima serta empat emas.

Sepang yang jatuh ke tangga kedua kekal dengan 13 emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Daerah lain iaitu Kuala Selangor, Klang, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Langat menghuni tempat kelima hingga sembilan tentunya bangkit mencabar selepas ini.

Atlet mewakili daerah masing-masing meneruskan saingan hari ini bagi memenangi pingat dengan tumpuan pastinya di gelanggang olahraga selain memanah, lumba basikal dan sepak takraw.

Olahraga berlangsung di Stadium Jugra menyediakan 37 pingat dan mempertandingkan beberapa acara dengan perhatian ramai pada acara pecut 100 meter lelaki juga wanita.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kejayaan luar biasa di Nanjing cermin kejayaan Olimpik 2016

NANJING, 29 OGOS: Kejayaan luar biasa kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua adalah cermin kejayaan yang bakal diraih atlet pada cabaran sebenar temasya Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016 dan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020.

Kontinjen negara YOG 2014 bukan hanya berjaya mengatasi pencapaian pada edisi pertama sebelum ini, iaitu dua pingat perak yang disumbangkan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng di Singapura, empat tahun lalu, tetapi turut membuktikan Malaysia setanding dengan kuasa sukan besar dunia.

najing1Empat pingat negara pada YOG 2014 disumbangkan pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei yang meraih pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa, selain penerjun negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu (pingat perak) dan 3m papan anjal individu wanita (pingat gangsa) serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, (pingat perak) acara recurve campuran antarabangsa.

Memetik laporan BERNAMA, kejayaan itu dianggap luar biasa apabila sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat sebelum 20 atlet remaja negara berlepas ke Nanjing.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, berharap pendedahan berguna itu akan dijadikan pendorong kepada atlet remaja negara untuk menyusun langkah bagi mengejar kejayaan pada masa hadapan tidak kira apa juga kejohanan.

“Mereka adalah pelapis yang akan menggantikan atlet elit pada masa hadapan dan kita di MSN berharap hasil daripada usaha itu dapat dicapai pada Olimpik Rio 2016 atau Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

2014YouthOlympicsZolkples berkata, beliau dapat melihat peluang cerah menanti atlet remaja negara jika mereka terus berusaha gigih dan mengekalkan persembahan secara konsisten berdasarkan pencapaian di YOG 2014.

“Kejayaan ini adalah hasil program empat tahun yang dianjurkan MSN bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai kemampuan dan berkebolehan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa sejajar dengan misi negara untuk meraih pingat emas pertama negara di peringkat Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan pencapaian keseluruhan atlet negara di YOG 2014, Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin, berkata semua atlet remaja berjaya memberi saingan hebat di Nanjing walaupun mereka terpaksa berdepan atlet handalan dunia dalam misi memburu pingat di Nanjing.

“Jika mereka diasuh dengan baik, negara pasti akan mendapat hasil dalam jangka masa empat atau lima tahun lagi dan saya jangka satu atau dua orang atlet YOG 2014 mungkin terpilih untuk menggalas cabaran negara di Olimpik Rio 2016,” katanya.