Categories
AGENDA SUKANKINI

Tindakan gantung, batal lebih 8,000 persatuan sukan tidak aktif

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Persatuan sukan yang tidak aktif berdepan tindakan seperti diberi surat tunjuk sebab, penggantungan dan pembatalan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata pihaknya memandang serius perkara itu, memandangkan 70 peratus (lebih 8,000) daripada 11,469 persatuan yang didaftarkan di pelbagai peringkat didapati tidak aktif.

Beliau berkata daripada 11,469 persatuan yang didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) sejak 1998 hingga 31 Dis lepas, sebanyak 217 (1.9 peratus) adalah di peringkat kebangsaan, 1,432 (12.5 peratus) peringkat negeri, 1,636 (14.3 peratus) peringkat daerah dan 8,184 (71.3 peratus) peringkat kelab.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) melalui PJS sedang melakukan Penarafan Bintang Badan Sukan ke atas semua badan sukan yang berdaftar. Persatuan perlu memberikan laporan kepada PJS setiap tahun selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), untuk kita tafsir tadbir urus dan setakat mana mereka aktif.

“Apabila mereka tidak memberikan laporan, ia memberi gambaran bahawa sebanyak 70 peratus tidak mengadakan AGM atau aktif seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program temu bual Ruang Bicara Bernama TV di Wisma Bernama.

Ti berkata pihaknya perlu mengambil tindakan tegas seperti pembatalan dan penggantungan persatuan yang tidak mematuhi akta dan perlembagaan, bagi mengelakkan mereka terus menerima bantuan kewangan atau dana berkaitan sukan.

Selain itu, Ti berkata pihaknya juga mendapati ada juga pertubuhan sukan yang tidak berdaftar di bawah PJS, sebaliknya berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau Pendaftar Syarikat (ROC).

“Jangan mereka leka dan anggap masih terus boleh ambil peluang tanpa menjalankan aktiviti persatuan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ti berharap Tahun Baharu Cina kali ini, yang melambangkan zodiak harimau, memberikan lebih banyak kekuatan dan keberanian kepada semua rakyat Malaysia dalam mengatasi segala cabaran yang mendatang.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bas Komuniti Di Bandaraya, Pekan Besar Selangor

bas rapid kl stock gambar

SHAH ALAM : Penduduk di lapan kawasan Selangor termasuk bandar seperti Shah Alam dan Klang dan pinggiran bandar seperti Selayang dan Sepang bakal menikmati perkhidmatan bas komuniti tidak lama lagi.

Perkhidmatan bas komuniti itu bakal disediakan secara percuma atau dengan tambang minima di kawasan padat penduduk seperti yang berlaku di Petaling Jaya.

Usaha tersebut sedang dirancang secara terperinci oleh lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi mengalakkan penduduk mengguna pengangkutan awam.

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim berkata Kerajaan Negeri sedang menunggu kertas cadangan daripada PBT bagi melaksanakan perancangan itu dalam masa terdekat.

“Semua ini akan dirancang dengan rapi sebelum kerajaan negeri membuat keputusan untuk melaksanakannya di majlis perbandaran dan bandaraya yang mempunyai kedudukan kewangan yang selesa.

“Majlis Perbandaran Petaling Jaya sudah memulakan namun perlu diberi publisiti yang lebih meluas dan juga penambahbaikan.

“Sementara pihak Majlis Bandaraya Shah Alam sudah mendapatkan penajaan daripada pihak swasta tetapi butir-butir keseluruhannya masih belum diperolehi,” kata beliau ketika ditemui selepas sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad, perkhidmatan di Shah Alam dijangkakan bermula tahun ini setelah mendapat sumbangan daripada badan korporat.

?Cadangan laluan bas komuniti ini akan melalui kawasan yang padat penduduk dan khususnya para pelajar, pekerja kilang seperti di seksyen 2, 18, 17, 19, 24.?

Manakala Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya Zainun Zakaria berkata perkhidmatan bas komuniti Petaling Jaya yang dilancarkan pada Ogos 2008 masih berjalan seperti biasa tiga kali sehari.

“Ianya masih beroperasi seperti biasa iaitu melakukan perjalanan tiga kali di kawasan Petaling Jaya Utara (PJU) dan Petaling Jaya Selatan (PJS).?

Perjalanan bermula seawal jam 9 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, kecuali pada cuti umum.

Di PJU, bas itu melalui kompleks MBPJ, pasaraya Tesco, The Curve, Ikano, balai polis seksyen 6, balai polis Dataran Sunway dan Jabatan Pendaftaran di seksyen 8.

Di PJS, antara kawasan yang menjadi laluan bas itu ialah Jalan Sultan, Jalan Selangor, Flat Petaling Utama, Taman Medan, Desa Mentari, Flat Kampung Lindungan, Flat Taman Desa Ria, Jalan Othman dan Amcorp Mall.