Categories
AGENDA SUKANKINI

PKNS FC dan PKNP FC sah sebagai ‘Reserve Team’

SHAH ALAM, 13 NOV: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menukar status PKNS FC dan PKNP FC sebagai ‘Reserve Team’.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pihaknya turut menerima permohonan daripada PKNS FC dan PKNP FC untuk menamatkan Perjanjian Rakan Kongsi Liga bersama MFL sebelum ini.

“Kelulusan itu secara bersyarat iaitu kedua-dua persatuan negeri tersebut harus memenuhi keperluan untuk layak sebagai ‘Reserve Team’ termasuk aspek kewangan mesti stabil, transisi kontrak PKNS FC dan PKNP FC perlu mengikut peraturan dan kemudahan tempat latihan sebelum status itu berkuat kuasa tahun depan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan FAS dan PAFA yang menyatakan bahawa pihak mereka memiliki pelan untuk kebaikan bola sepak khususnya bagi pembangunan pemain muda selain perbelanjaan menguruskan dua pasukan akan menjadi lebih berhemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merujuk kepada Perkara 2.1 garis panduan ‘Reserve Team’, pasukan yang ingin menubuhkan pasukan tersebut harus menghantar permohonan bertulis kepada MFL setahun sebelum permulaan musim.

Bagaimanapun, di bawah Perkara 2.2 turut menyatakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mempunyai budi bicara tunggal dalam membuat keputusan untuk membenarkan sesebuah pasukan mewujudkan ‘Reserve Team’ haruslah dimiliki pihak yang sama.

Berdasarkan keputusan itu, Kuala Lumpur FA dan PKNP FC turun ke saingan Liga Premier musim hadapan berdasarkan kedudukan mereka menamatkan saingan di tangga ke-11 dan 12 Liga Super musim lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL juga memutuskan wakil Liga Premier, Sabah FA dan PDRM FA akan dipromosikan ke Liga Super musim 2020.

Manakala kekosongan yang ditinggalkan PKNS FC pula akan diisi pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Premier musim lalu, UiTM FC.

Juara Liga M3, Kelantan United FC pula layak ke Liga Premier musim 2020 secara ‘bye’ selepas pasukan tercorot Liga Premier, Perlis FA tidak layak bermain di pusingan playoff dan turun ke Liga M3 musim 2020 selepas penyertaan mereka dalam Liga Premier dibatalkan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FA-PKNS FC bergabung bawah Red Giant FC

SHAH ALAM, 6 NOV: Pasukan bola sepak Selangor FA dan PKNS FC akan digabungkan di bawah pentadbiran satu bumbung yang dikendalikan syarikat Red Giant FC Sdn Bhd.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, syarikat Red Giant Sdn Bhd itu pula diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Ia bagi memastikan dana yang diperuntuk difokuskan kepada pembangunan sukan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyuntik sumbangan sebanyak RM10 juta sebagai modal permulaan syarikat terbabit.

Categories
SELANGOR

Gabung FAS, PKNS FC untuk transformasi bola sepak Selangor

SHAH ALAM, 8 OKT: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini menjelaskan cadangan penggabungan persatuan itu dengan PKNS FC, adalah suatu usaha untuk mentransformasi industri bola sepak di Selangor, bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Jawatankuasa Eksekutif FAS penggal 2017-2021 dalam satu kenyataan, menepis khabar angin yang mengatakan cadangan penggabungan itu adalah semata-mata untuk mendapatkan dana lebih besar.

“Niat untuk menyatukan kelab bola sepak di Selangor terutamanya FAS dan PKNS FC telah lama wujud, sejak beberapa menteri besar sebelum ini, namun terdapat beberapa kekangan menyebabkan ia gagal direalisasikan sehingga kini.

“Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lepas Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telah berbincang secara mendalam, untuk mencari penyelesaian dalam isu ini malah menteri besar juga pernah menyatakan hasrat jelas kepada media untuk menjadikan PKNS FC sebagai ‘pasukan simpanan’,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu memaklumkan FAS percaya, penggabungan kedua-dua pasukan itu kelak akan memberi peluang kepada persatuan berkenaan untuk terus mencapai kejayaan di peringkat pasukan utama.

Malah, ia juga dilihat dapat membina asas kukuh dalam pembangunan bakat muda sehingga mampu menjadi jaguh dalam arena bola sepak dunia, kata jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu turut menjelaskan bahawa walaupun cadangan menggabungkan kedua-dua pasukan itu memerlukan beberapa ‘pengorbanan’, ia dilihat sebagai langkah terbaik yang memberi manfaat kepada masa depan industri bola sepak Selangor.

Menurut kenyataan itu, antara manfaat penggabungan tersebut pastinya dari segi kewangan, apabila ia dapat menjimatkan kos kerajaan negeri yang tidak perlu memperuntukkan perbelanjaan berasingan, kepada FAS, PKNS FC serta Selangor United.

“Dianggarkan sebanyak RM44 juta dibelanjakan FAS, PKNS FC dan Selangor United untuk musim 2019 dan ia lebih tinggi daripada mana-mana pasukan dalam Liga Super, namun prestasi tidak memberangsangkan.

“Daripada membahagikan dana kepada tiga pasukan, langkah terbaik serta menjimatkan dilihat boleh dilakukan apabila kerajaan Selangor menggabungkannya dan memberikan dana tersebut kepada satu pasukan sahaja.

“Contohnya, jika RM16 juta dibelanjakan namun separuh daripadanya adalah dana kerajaan negeri (selebihnya daripada penajaan korporat), kerajaan Selangor dapat menjimatkan peruntukan sebanyak RM8 juta dan jumlah itu boleh disalurkan untuk pembiayaan pelbagai program lain bagi dinikmati jutaan rakyat negeri ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan FAS perlu berhati-hati dalam menguruskan kewangan bagi memastikan perbelanjaan dibuat mendatangkan hasil terbaik, malah kepedulian presiden FAS dan menteri besar mengenai cadangan itu bakal menghasilkan perubahan besar dalam sejarah bola sepak Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Rajagopal terkejut aksi hambar Semut Merah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal terkejut dengan persembahan yang ditunjukkan skuad The Red Ants sehingga tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, keadaan berjerebu yang melanda Selangor ketika ini bukan alasan bagi pasukannya untuk menunjukkan aksi kurang baik.

“Kita sememangnya tidak layak untuk menang malam ini (tadi) kerana 20 minit pertama perlawanan, lebih banyak peluang yang berjaya dihasilkan berbanding Negeri Sembilan namun kita gagal menterjemahkannya.

“Saya tidak salahkan keadaan yang berjerebu kerana Negeri Sembilan bermain dengan sangat cemerlang sehingga mampu menjaringkan tiga gol, jadi saya boleh cakap pemain tidak menunjukkan semangat yang bagus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Rajagobal menyifatkan kekalahan itu sebagai yang sangat teruk ditunjukkan anak buahnya.

Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad berasa gembira kerana pemainnya berjaya menghasilkan beberapa peluang sehingga berjaya menjaringkan tiga gol.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum sebegini untuk bertemu dengan pasukan Kedah nanti,” katanya.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu menjaringkan gol hasil percubaan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir di minit ke-41 sebelum PKNS FC menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45 menerusi sepakan penalti Kpah Sherman.

Kesilapan pertahanan pemain PKNS FC, Tamirlan Kozubaev yang menolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-56 memberi peluang kepada Negeri Sembilan menambah gol kedua.

Pada minit ke-89, PKNS FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Muhamad Asraf Roslan dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Negeri Sembilan sebelum pasukan pelawat itu terus meledak gol ketiga hasil rembatan pemain import dari Brazil, Matheus Fernandes Vila Real.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKNS FC masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal percaya skuad Semut Merah mampu mara ke peringkat kumpulan A kempen Piala Malaysia walaupun gagal meraih tiga mata penuh selepas seri 1-1 dengan juara lima kali, Kedah di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan pemainnya akan tetap memberi saingan untuk memburu keputusan positif dalam baki tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Sekiranya kita mendapat tiga mata penuh apabila kita bertandang ke Stadium Darul Aman untuk perlawanan keempat peringkat kumpulan, peluang untuk ke peringkat seterusnya masih cerah.

“Sebagai jurulatih, saya kena percaya pada pemain yang mereka dapat memberi saingan dan berkemungkinan untuk membuat kejutan (mara ke suku akhir),” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau berpuas hati dengan kutipan satu mata memandangkan PKNS FC memberi saingan sengit kepada skuad Lang Merah pada perlawanawanan berkenaan.

“Babak pertama pemain kita gagal untuk membuat beberapa hantaran yang baik, tetapi selepas itu mereka mula bekerjasama dan lebih agresif.

“Kita banyak mencipta peluang, tetapi gagal menambah gol, jadi ini yang harus diterima oleh pemain sebagai satu pasukan untuk tidak menyalahkan satu sama lain,” jelas jurulatih kelahiran Singapura itu.

Pada aksi berkenaan, Kedah bermula garang apabila memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-19, sebelum PKNS FC menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Romel Oswaldo Morales.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang menduduki tangga kedua dan ketiga, masing-masing dengan kutipan empat mata di belakang Terengganu FC.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

PKNS FC akui sukar tundukkan JDT

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 18 APRIL: Pengendali pasukan PKNS FC, K Rajagopal mengakui amat sukar bagi pasukannya menundukkan pencabar Johor Darul Ta’zim (JDT), di tempat lawan.

Beliau berkata, walaupun Harimau Selatan kekurangan seorang pemain, namun asakan demi asakan ditampilkan pasukan itu menyukarkan PKNS mencipta gol.

“Kita mempunyai banyak peluang terhidang di hadapan gawang lawan tetapi kita mensia-siakan peluang itu, sekali gus memberi tekanan dan peluang kepada JDT untuk mendapat keyakinan serta momentum,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang mempamerkan komitmen dan semangat tinggi bagi melayakkan The Red Ants mara ke suku akhir.

PKNS FC mencipta kejutan di di Stadium Tan Sri Dato’ HJ Hassan Yunos, Larkin malam tadi apabila menewaskan JDT dengan kemenangan 1-0.

Gol dicipta Kpah Sherman yang menanduk masuk hantaran R Surendren melayakkan PKNS FC ke peringkat suku akhir Shopee Piala FA 2019.

Categories
SUKANKINI

Selangor, PKNS FC sepakat tukar pemain secara pinjaman

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 FEB: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mencapai persetujuan dengan PKNS FC untuk membuat satu pertukaran pemain secara pinjaman sebelum tarikh perpindahan ditutup semalam.

Mohamad Fandi Othman sah beraksi bersama Selangor musim ini mengisi posisi pertahanan kiri ditinggalkan K Kannan yang akan bersama PKNS FC di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Beliau adalah anak kelahiran Johor yang telah memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan utama Harimau Muda A pada 2009 sebagai pemain pertahanan kiri selain pernah bersama dengan beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Melaka United dan Felcra FC.

Pemain pertahanan ini turut dikenali ramai sebagai seorang pemain yang sangat berdedikasi dan diharap kualiti ini akan dapat membantu pasukan Red Giants memperkuatkan lagi benteng pertahanan Selangor.

K Kannan pula adalah antara pemain muda yang telah diserap masuk ke pasukan utama Selangor pada 2016 dan kekal sehingga kini telah 31 penampilan bersama pasukan utama Merah Kuning.

Petukaran ini bakal memberikan Kannan peluang untuk terus meraih lebih banyak waktu bermain bagi mengasah kemahiran dan kebolehannya di atas padang.

Kredit Foto: Facebook FAS

Categories
SUKANKINI

Rajagobal harap pemain kekal prestasi konsisten

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM , 18 FEB: PKNS FC gembira mencatatkan kemenangan pertama musim ini selepas membelasah Selangor 0-4, dalam aksi penuh disiplin di Stadium Shah Alam.

Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal berkata, beliau tidak menyangka pasukannya mampu menang dengan jaringan besar tetapi tidak mustahil berdasarkan prestasi latihan dipamerkan sebelum ini.

“Saya tidak jangka (menang) jaringan dengan empat gol tetapi saya ada keyakinan selepas bekerja keras dalam latihan.

“Bukan senang nak menang dengan jumlah jaringan besar. Pemain ikut arahan dan selepas membuat satu dua perubahan posisi, saya beri pujian kepada mereka kerana memberikan kesungguhan,” katanya dalam sidang media selepas aksi penuh bertenaga menewaskan Selangor 0-4 di Stadium Shah Alam.

Beliau berkata, pemainnya memberikan tekanan yang cepat terhadap Selangor terutama di babak kedua dengan jaringan awal.

Katanya, walaupun melakar kemenangan dengan keputusan baik, namun beliau menyifatkan saingan masih awal dan semua pasukan adalah kuat musim ini, di samping mengharapkan pemainnya mengekalkan prestasi konsisten selepas ini.

Categories
SUKANKINI

Saya bertanggungjawab kekalahan Selangor – Sathiananthan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM , 18 FEB: Jurulatih Selangor, B Sathiananthan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan 0-4 pasukannya kepada PKNS FC yang mempamerkan aksi longlai selain gagal menyudahkan peluang terhidang.

Beliau berkata, keputusan itu nyata mengecewakannya yang tidak menyangka Selangor gagal menterjemahkan peluang di hadapan gol selain memberikan ruang mudah buat pasukan pelawat.

“Kalau dah kena 0-4 memang (kecewa) dan saya bertanggungjawab.

“Daripada pertahanan kita yang longlai, dengan penyerang yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol, maka saya bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas tewas 0-4 di Stadium Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, PKNS FC berjaya memanfaatkan peluang berbanding pasukannya walaupun lebih banyak melakukan percubaan disifatkannya mudah diselamatkan penjaga gol lawan.

“Sebagai jurulatih, saya akan memberikan motivasi kepada pemain untuk kembali bangkit bertemu Pahang.

“Pada saya, perlawanan ini adalah berkenaan menjaringkan gol. Kalau kita gagal ambil peluang, mereka (PKNS FC) mengambilnya,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MSL: PKNS FC tewaskan Selangor 0-4

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: PKNS FC melakar kemenangan pertama dalam saingan Unifi Liga Super bagi musim 2019 dengan menewaskan Selangor 0-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Turun sebagai pasukan pelawat, PKNS FC terlebih dahulu menguji gawang Selangor menerusi percubaan Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-10 tetapi Mohd Khairulazhan Mohd Khalid lebih bersedia menepis bola keluar.

Mohd Syazwan Zainon turut menguji gawang pelawat menerusi satu rembatan kencang bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Pemain import PKNS FC, Vathanaka Chan turut menguji gawang Selangor pada minit ke-18, namun berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-27 apabila Nicholas Ryan Swirad berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Vathanaka bagi kedudukan 0-1.

Red Ants berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan percuma Ganriel Miguel Guerra pada minit ke-38 tetapi gagal menepati sasaran.

Menuju minit akhir babak pertama, Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan buat Selangor tetapi percubaanya gagal menerjah jaring walaupun terkena pertahanan PKNS FC.

PKNS FC terus garang pada babak kedua dengan jaringan kedua pada minit ke-49 apabila Kpah Sean Sherman berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol Selangor dengan lambungan tinggi yang terus menerjah gawang tuan rumah bagi kedudukan 0-2.

Mohd Syazwan hampir merapatkan jurang buat Selangor pada minit ke-55 tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol.

Selangor terus mengasak mencari gol pertama menerusi rembatan Rufino Segovia pada minit ke-61 tetapi berjaya ditangkap kemas Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Rufino sekali lagi hampa pada minit ke-67 apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gol selepas menyambut sepakan percuma, Endrick Dos Santos.

 

Disaat Selangor terus mengasak, PKNS FC menambah jaringan ketiga pada minit ke-79 menerusi Vathanaka yang berjaya menolak masuk lorongan rakan sepasukan bagi kedudukan semasa 0-3.

Ketika menuju babak akhir permainan, Romel Morales memastikan derita buat Selangor dengan gol keempat pada minit ke-90 selepas berjaya melepaskan rembatan kencang di tepi gawang tuan rumah bagi tiga mata penuh pertama buat PKNS FC musim ini.

 

Categories
SUKANKINI

Gol Safiq hampakan Red Ants

SHAH ALAM, 10 FEB: PKNS FC mengalami kekalahan pertama dalam Liga Super musim ini apabila tunduk 0-1 kepada Melaka United, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam di sini, The Red Ants dikecewakan dengan gol tunggal bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 melepasi Zarif Irfan.

Ia diperoleh Melaka United selepas Patrick Reichelt dikasari pertahanan tuan rumah, Rodney Celvin Akwensivie dalam kawasan penalti.

Gol terhasil itu mengubah rentak permainan menjadi lebih rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dengan lebih kerap ke kubu lawan.

Melaka United nyaris menambah jaringan pada minit ke-30 tetapi gerakan diatur R Gopinathan itu gagal disudahkan dengan sempurna oleh barisan serangannya.

Pada separuh masa kedua, skuad bimbingan Datuk K Rajagopal cuba bangkit daripada ketinggalan dengan serangan dilakukan Gabriel Guerra namun beberapa percubaannya dipatahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Melaka United mencatat kemenangan kedua di mana sebelumnya menewaskan Petaling Jaya City FC 2-1 manakala PKNS FC seri dengan Terengganu 1-1 pada perlawanan pertama.

FOTO: PKNS FC

 

 

Categories
SUKANKINI

PKNS FC raih satu mata berharga di Terengganu

SHAH ALAM, 2 FEB: Datuk K Rajagopal memuji persembahan PKNS FC ketika berdepan Terengganu yang berakhir seri 1 – 1 dalam aksi pembukaan Liga Super musim ini.

Baginya Ketua Jurulatih The Red Ants itu, kejayaan mengutip satu mata di gelangang lawan amat berharga kerana pasukannya menghadapi cabaran sengit pasukan tuan rumah.

“Saya sebenarnya risau dengan barisan serangan pasukan yang kehilangan pemain berpengalaman akibat penggantungan seperti Kpah Sherman serta Jafri Chew serta kecederaan Shafiq Shaharudin tetapi penyerang muda yang kita gunakan iaitu Faizat Ghazli berjaya menunjukkan permainan yang baik.

“Kita tahu Terengganu adalah sebuah pasukan yang kuat dan bermain di tempat mereka, jadi satu mata yang dikutip adalah sangat berharga,” kata Rajagopal,” kata Rajagopal dipetik http://www.thepknsfc.com

Dalam perlawanan malam tadi, PKNS FC diasak serangan demi serangan dari Terengganu pada babak pertama dengan menunggu untuk serangan balas namun tidak efektif.

Bermula babak kedua, PKNS FC sudah mula mendapat tempo serta keyakinan, hasilnya pasukan itu berjaya mendapat gol pertama melalui tandukan pemain pertahanan, Nicholas Swirad hasil sepakan sudut Chan Vatanaka pada minit ke-65.

Walaupun PKNS FC mengekalkan disiplin permainan, hasil serangan balas Terengganu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui Abdul Malik Mat Arif seminit sebelum permainan berakhir.

Selepas ini, PKNS FC akan menanti kunjungan Melaka United di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.