Categories
SELANGOR

MB : PKNS Harus Bebas Dan Berdaya Maju

SHAH ALAM 27 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seharusnya bebas daripada prospek sebagai sebuah badan Kerajaan Negeri, ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan penggulungannya.

Beliau berkata, kedudukan PKNS sebagai sebuah badan kerajaan adalah bertentangan dengan konsep komersial yang sering dibangungkan PKNS.

“Sepatutnya kita menggalakkan PKNS untuk menjalankan tatacara perniagaan mengikut acuan yang lebih independent.

“Kita tidak boleh membiarkan PKNS terus berada di dalam tangan Kerajaan Negeri kerana dikhuatiri akan menyekat perkembangan PKNS sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju,” jelas Abdul Khalid.

Menurutnya lagi, dengan kebebasan PKNS, ia pastinya memberi lebih banyak ruang untuk PKNS bersaing dengan syarikat lain di samping menjana keuntungan yang lebih besar.

“Jika kita kaji keuntungan PKNS dengan menyewakan Kompleks PKNS, kita akan dapati ia lebih kepada kerja kebajikan di mana pihak PKNS menyewakan dengan harga rendah dan terpaksa pula menanggung subsidi.

“Ini bukan bisnes dan kita perlu mengambil langkah proaktif sekarang, membetulkan apa yang tidak betul untuk jaminan jangka masa panjang bagi hayat PKNS,” ulas Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.

Beliau turut menerangkan walaupun sudah bebas daripada tangan Kerajaan Negeri, PKNS masih berpeluang untuk mengagihkan keuntungan kepada rakyat melalui program kebajikan.

Categories
SELANGOR

MB: PKNS Perlu Keluar Dari Zon Selesa

SHAH ALAM 27 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyeru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melakukan anjakan paradigma dan keluar daripada zon selesa sebagai pentadbir sahaja selama ini.

“PKNS sudah berusia lebih daripada 40 tahun, hampir 50 tahun lagi. Tetapi sehingga kini mereka hanya bertindak sebagai perancang sedangkan mereka mampu dengan segala keupayaan untuk melakukan segala kerja sendiri seterusnya mencapai keuntungan yang lebih besar.

“PKNS boleh mencontohi syarikat yang sebaya dengannya daripada Singapura iaitu CapitaLand yang lebih kurang sebaya dengan PKNS tetapi sudah mencapai satu tahap yang membanggakan di rantau ini kerana mereka bertindak bukan sekadar perancang tetapi juga penggerak projek-projek mereka sendiri,” jelas Khalid.

Beliau memberi respon berhubung soalan yang diajukan Adun Dusun Tua, Ismail Sani berkenaan Kompleks Sukan PKNS yang dijual untuk laluan projek komersial.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menggariskan polisi baru gerak kerja PKNS untuk bertindak dengan lebih komprehensif dan bercita-cita tinggi mencapai satu tahap yang lebih cemerlang.

“Jadi, untuk projek yang akan datang ini dengan Bayu Melati (Sdn Bhd), saya harap PKNS lakukan semua kerja dan jangan bertindak sebagai perantara sahaja.

“Kali ini saya akan bertegas PKNS perlu mengamalan konsep atau polisi baru dengan melakukan semua kerja, tidak perlu sub-kontraktor dan lupakanlah polisi lama yang mana PKNS hanya menikmati 30 peratus keuntungan sahaja,” sambung beliau lagi.

Sementara itu, untuk projek pembangunan di atas tapak Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Abdul Khalid berkata perancangan PKNS tersebut adalah selaras dengan keperluan semasa badan itu.

“Ini adalah biasa namun ianya perlulah sesuai dengan keadaan dan boleh dibincangkan bersama penduduk kerana perkara ini bukan sahaja membawa kebaikan kepada pihak pemaju tetapi juga rakyat.

“Tetapi syarat utama sesuatu pembangunan itu mestilah dilakukan dengan teliti, terancang dan professional,” kata Abdul Khalid.

Projek pembangunan komersial usahasama antara PKNS dengan Bayu Melati Sdn. Bhd ini dikatakan bernilai RM1.62 billion dan bakal mendirikan sebuah pangsapuri, satu blok pejabat Soho, sebuah kompleks sukan, dua blok menara pejabat, satu pusat membeli-belah, sebuah hotel, sebuah pusat pertunjukan seni dan tempat meletak kereta.

Categories
SELANGOR

Azmin Saran Lebih Kelonggaran Kepada Pemilik Mampu Milik

SHAH ALAM 23 MAC : Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali hari ini mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula harga rumah mampu milik serta melonggarkan syarat pembinaan rumah tersebut bagi  mengurangkan beban yang ditanggung pemaju Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurutnya, PKNS bertanggungjawab membangunkan rumah mampu milik bagi rakyat negeri ini yang berpendapatan tidak melebihi RM 5,000.

“PKNS mensasarkan 11,000 unit dibina bagi rumah mampu milik namun PKNS merasakan syarat yang dikenakan Kerajaan Negeri sangat ketat.

“Ini kerana Kerajaan Negeri mensyaratkan dua tempat letak kereta bagi setiap unit yang menjadikan kos pembinaan meningkat,” ujar Azmin dalam Sidang DUN petang ini.

Azmin berkata setiap unit tempat letak kereta menelan kos sebanyak RM 30,000, menjadikan kos pembinaan tempat letak kereta bagi setiap rumah sahaja bernilai RM60,000.

“Keseluruhan kos pembinaan seunit rumah menelan RM 180,000 dan rumah pula dijual pada harga sekitar RM 85,000.

“Ini bermakna PKNS perlu menanggung subsidi lebih kurang RM 100,000 bagi setiap unit rumah,” beritahu Azmin sambil menambah keseluruhan kos subsidi yang ditanggung PKNS bagi kesemua 11,000 unit rumah bakal mencecah RM 1.1 billion.

Sehubungan itu, Azmin memohon Kerajaan Negeri untuk mencari mekanisme berkesan menangani dilema PKNS selain turut menjalankan usahasama dengan pemaju lain bagi membangunkan lebih banyak rumah mampu milik.

Categories
SELANGOR

Masalah Kesihatan, Banjir dan Kaum India perlukan Perhatian

SHAH ALAM 21 MAC : Susulan kesesakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang yang merupakan hospital ketiga tersibuk di Malaysia perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam hari ini mengemukakan cadangan agar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar untuk mengadakan lawatan bagi memastikan segala masalah yang dihadapi dapat di beri perhatian.

“Saya sudah tiga kali melawat dan melihat keadaan di hospital tersebut dan diharap exco kesihatan juga perlu melakukan lawatan bagi melihat apa-apa penambah baik sekiranya perlu, jelas beliau.

Di samping itu, Manoharan turut menyeru agar satu langkah jangka masa panjang dapat diwujudkan bagi melahirkan generasi rakyat Selangor yang sihat dan sejahtera.

“Jika diteliti segala masalah ini semua berpunca daripada gaya hidup rakyat itu sendiri.

“Jadi, saya mohon agar pusat kesihatan dapat diwujudkan supaya dapat dikunjungi rakyat bagi memastikan mereka menjalani gaya hidup sihat,” ujar Manoharan.

Selain itu, Manoharan turut menyeru Kerajaan Negeri untuk segera menangani masalah banjir yang didakwa sering berlaku di setengah kawasan sekitar Klang.

“Saya minta pihak kerajaan memikirkan solusi terbaik bagi menangani masalah ini bagi memberi kehidupan yang selesa kepada rakyat,” kata Manoharan.

Beliau turut memberi cadangan agar Kerajaan Negeri dapat menawarkan tujuh peratus diskaun kepada rakyat miskin negeri ini dalam urusan pembelian harta atau rumah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya juga ingin mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan RM100 juta khusus untuk membantu golongan miskin bagi menjalankan perniagaan sendiri seterusnya membolehkan mereka bergerak maju seiring dengan kemajuan yang dicapai negeri ini,” ulas Manoharan sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaan barisan Exco Negeri yang berjaya membangunkan Negeri Selangor ke tahap membanggakan.

Categories
SELANGOR

Akhirnya Penduduk Banjaria Court Boleh Gembira

BATU CAVES, 10 MAC : Selepas hampir dua tahun menunggu, pembeli Pangsapuri Banjaria Court, Taman Samudera di sini menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah mereka daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam sebuah majlis di sini, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri bagi mewakili 704 pembeli yang sudah pun menerima kunci lebih awal. Projek itu sepatutnya siap pada Disember 2010 tetapi ditangguhkan.

Pembeli, Azni Izzah Abd Aziz, 36, melahirkan rasa kesukuran dengan penyerahan kunci oleh PKNS baru-baru ini.

“Banyak tindakan yang diambil oleh jawatankuasa penduduk termasuk menghantar surat sebanyak empat kali kepada PKNS melalui pos, serahan tangan, fax dan email bagi tuntutan tindakan segera PKNS.

“Bagaimanapun kami (pembeli) merasa lega apabila semuanya sudah selesai dan kami juga memahami pihak PKNS dalam menghadapi kekangan tertentu untuk melengkapkan proses pembinaan rumah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis penyerahan kunci rumah itu dirasmikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad. Turut hadir Timbalan Pengurus Besar bahagian Pentadbiran dan Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Timbalan Pengurus Besar bahagian Teknikal, Abdul Ghani Hashim.

Dalam majlis itu, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri sebagai simbolik mewakili 704 pembeli yang lain.

Projek perumahan yang merangkumi blok A, B1, B2, dan B3, masing-masing mempunyai keluasan 891 hingga 1,224.95 kaki persegi dan bernilai RM192,500 hingga RM326,700 setiap unit.

Sebelum ini, penduduk mendakwa, akibat kelewatan itu, pembeli terpaksa membayar faedah dan keuntungan pembiayaan kepada pihak bank.

Penduduk juga mengambil inisiatif mewujudkan sekretariat bertindak bagi mewakili suara penduduk dalam masalah itu.

Seorang pembeli lain, Ahmad Akil Ariffin, 30, meluahkan rasa gembiranya apabila kerajaan negeri berjaya menyelesaikan projek perumahan itu.

“Saya berasa gembira dan senang hati apabila menerima kunci ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana akhirnya berjaya juga menyiapkan projek perumahan ini setelah dua tahun menunggu,? katanya.

Projek itu mula dilaksanakan pada 2007 dan mula dijual pada 2009 dan memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) pada 4 Januari 2012 dan proses penyerahan kunci secara berperingkat sudah bermula pada 23 Januari 2012.

Projek perumahan itu menelan belanja lebih RM100 juta dan pangsapuri itu dilengkapi kemudahan termasuk rumah kelab, ruang gym, dua gelanggang badminton, lot tadika, pejabat, BBQ Bit, taman permainan dan tempat letak kereta berbumbung.

Categories
SELANGOR

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

SABAK BERNAM, 26 FEB : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

“Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) – Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

“Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid,” katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

 Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

“Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

“Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Faekah : Tangisan Najib Umpama Airmata Buaya

SHAH ALAM, 16 JAN : Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat bandaraya Shah Alam baharu-baharu ini tidak ubah seperti hero filem Tamil tahun 60an masuk kampung menyelamatkan gadis dalam kesusahan.

Faekah berkata, gelagat lucu dipamerkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu apabila bertemu penyewa-penyewa tapak perniagaan di Kompleks PKNS, Shah Alam yang keresahan susulan keputusan tindakan PKNS menaikkan kadar sewa.

Jumaat lalu, Najib semasa program bertemu peniaga dan penyewa Kompleks PKNS mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mengambil alih kompleks itu bagi mengelakkan kenaikan kadar sewa antara 70 hingga 100 peratus.

Laporan media sebelum ini mengatakan Najib berkata beliau mahu menitis air mata mendengar keluhan peniaga-peniaga di kompleks itu.

“Tidakkah Najib tahu bahawa 70 peratus penyewa terbabit setuju dengan kenaikan ini? Tidakkah beliau tahu bahawa penyewa-penyewa ini telah menikmati kadar sewa 70 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa di Shah Alam?,” kata Faekah dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

“Saya tidak fikir hanya saya yang beranggapan tindakan lagak hero Najib ini sebagai pelik. Tambah pula, lakonan beliau sehingga kononnya akan mengeluarkan airmata telah memualkan banyak pihak.

“Kerajaan BN telah merompak kekayaan Selangor sejak 50 tahun dan perbuataan ini terhenti apabila hero sebenar iaitu Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor,” kata Faekah.

Mengulas lanjut, Faekah mempersoalkan kewajaran tindakan Najib “menitiskan air mata” yang sepatutnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Umno Selangor sebelum ini yang mengkhianati janji dan kebajikan kaum Melayu.

Tangisan itu juga kata Faekah, seharusnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Pakatan Selangor hari ini memberi baucer RM100 kepada warga emas Umno menerusi program “Jom Shopping”.

“Sebaliknya, Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila bekas Menteri Besar, Dr Mohamaed Khir Toyo menggunakan hampir RM2 juta duit rakyat untuk lawatan ke Disneyland.

“Najib juga sepatutnya menangis apabila seorang wakil rakyat Melayu menjual tanah rezab Melayu kepada tauke Cina dan tanah yang diwartakan untuk pembinaan surau dijual bagi memberi laluan kepada projek pembangunan,”katanya.