Categories
ADN SELANGOR

DUN Pandamaran agih 2,900 bantuan makanan sejak PKP 3.0

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sebanyak 2,900 bakul makanan diagihkan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyat Tony Leong Tuck Chee berkata bakul makanan itu diberikan kepada penduduk yang diberhentikan kerja ketika pandemik Covid-19 dan mereka yang terjejas pendapatan.

“Selain bakul makanan bernilai RM50, kita turut menyumbang susu bayi dan lampin pakai buang kepada lebih 100 keluarga memerlukan.

“Tumpuan tidak sahaja diberikan kepada penduduk dalam Pandamaran tetapi juga kepada pengundi menetap di luar kawasan yang juga terjejas pendapatan,” katanya selepas meninjaun program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Tambah beliau setakat ini peruntukan diberikan Kerajaan Negeri untuk pengagihan bakul makanan sudah digunakan sepenuhnya.

“Namun, bantuan tetap diteruskan menggunakan sumbangan syarikat dan individu persendirian. Sebagai contoh kelmarin kita menerima baucar Pasaraya 99 Speedmart sumbangan sebuah syarikat bernilai RM20 dengan jumlah RM10,000.

“Baucar ini mula diberikan kepada keluarga terkesan dengan masing-masing menerima RM80 untuk digunakan membeli keperluan harian,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

2,000 keluarga dapat manfaat program bantuan makanan Rawang

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program bantuan makanan dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjaya memanfaatkan 2,000 keluarga terjejas.

Wakil rakyatnya berkata sebanyak RM100,000 dibelanjakan untuk agihan bahan keperluan asas seperti beras, tepung, bihun, minyak masak, kicap dan telur bagi meringankan beban masyarakat.

“Sejak 1 Jun lalu, kami di pusat khidmat masyarakat memang bekerja keras untuk mengesan mana-mana keluarga terkesan Covid-19 termasuk yang mengibarkan bendera putih.

“Saya berterima kasih kepada pihak terlibat dalam kempen bantuan dan usaha akan diteruskan supaya lebih ramai mendapat manfaat,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Kii (dua, kanan) bersama penerima bantuan makanan di Pusat Sokongan Semangat Balakong pada 7 Julai 2021. Foto Facebook Wong Siew Kii

Sementara itu di DUN Balakong, Ahli Dewan Negeri (ADN)nya Wong Siew Kii berkata pihaknya mengagihkan bantuan makanan kepada 550 keluarga sejak kempen Sokongan Semangat Balakong dimulakan pada 7 Julai.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hari sebanyak 914 bekalan makanan panas diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan bagi mengelak kelaparan.

“Kita akan terus menyalurkan bantuan sama kepada mereka terjejas dengan mengutamakan keluarga orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Serahan bantuan makanan kepada keluarga terjejas PKP selesai Ogos

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Serahan bantuan makanan asas kepada keluarga Islam seluruh negeri yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos depan sejak dimulakan minggu lalu.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata lebih 2,000 keluarga mendapat bekalan seperti beras, minyak masak, gula dan mi segera setakat ini, Hulu Langat mencatat penerima paling ramai.

“Insya-Allah dengan peruntukan sedia ada, bantuan akan sampai kepada golongan berkenaan yang kebanyakannya hilang punca pendapatan, dibuang kerja dan dikurangkan gaji akibat pandemik. Kita faham sumbangan sangat diperlukan mereka ketika ini.

“Agihan akan terus dibuat selepas senarai nama penerima diperoleh daripada masjid dan surau daerah terlibat termasuk Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK),” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Beliau berkata demikian pada program agihan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Ahmad Shahir berkata pihaknya akan membantu keluarga yang layak disenarai sebagai asnaf fakir dan miskin dengan memanjangkan perkara terbabit kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tindakan sewajarnya.

“Kita mengesan ada keluarga berpendapatan sederhana (M40) turut yang terjejas akibat kekurangan pendapatan sehingga masuk golongan berpendapatan rendah (B40) semasa mengagihkan bantuan baru-baru ini,” katanya lagi.

Sebanyak RM2 juta diperuntuk Mais untuk membantu 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 dengan menumpukan mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji dan hilang punca pendapatan.

Categories
EXCO SELANGOR

Karnival kerjaya Selangor dijadual Julai ditangguh

SHAH ALAM, 17 JUN: Jelajah Selangor Bekerja yang dijadualkan Julai ini terpaksa ditangguh kepada tarikh baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

EXCO pembangunan generasi muda berkata berdasarkan perancangan, karnival berkenaan akan turun ke setiap daerah bagi menawarkan peluang kerjaya.

“Kita tawarkan untuk semua peringkat termasuk golongan bawahan serta profesional. Karnival secara maya mungkin dipertimbangkan ketika PKP Pemulihan dan sasar antara 3,000 hingga 5,000 penyertaan,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini berusaha menjalin kerjasama dengan pelbagai sektor bagi memastikan lebih ramai individu mendapat peluang kerja.

“Majikan yang menyertai karnival ini tahun lalu bersetuju untuk meneruskan kerjasama. Jadi kita harap lebih ramai individu terjejas akibat Covid-19 dapat dibantu,” katanya.

Tahun lalu Jelajah Selangor Bekerja diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor, Gombak, Sungai Buloh, Hulu Langat, serta Shah Alam.

Antara peluang kerja ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP dilanjut, LUAS terus pantau lembangan sungai 24 jam

SHAH ALAM, 14 JUN: Pemantauan selama 24 jam di lembangan sungai utama negeri ini diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan sehingga 28 Jun depan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata operasi oleh Skuad Pantas bagi memastikan insiden pencemaran dan henti tugas loji rawatan air tidak berlaku sepanjang tempoh sekatan tersebut.

“Sebarang urusan mahupun pertanyaan boleh menghubungi LUAS di aplikasi whatsapp di talian 019-2647904 dan emel [email protected].

“Segala kesulitan amat dikesali. Perhatian dan kerjasama semua pihak berkenaan perkara ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Agensi juga memaklumkan ibu pejabatnya serta pejabat cawangan di Seksyen 15, Shah Alam dan Bangi ditutup mulai esok sehingga 28 Jun.

PKP 3.0 yang sepatutnya berakhir 14 Jun lalu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar dan tipu operasi, dua kilang diarah tutup

SHAH ALAM, 11 JUN: Dua kilang diarahkan tutup serta-merta susulan beroperasi tanpa kebenaran dan memalsukan surat permohonan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pihaknya turut mengenakan lima kompaun sebanyak RM10,000 kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), lapor Berita Harian.

“Lima kilang dikompaun yang mana dua daripadanya diarahkan tutup serta merta. Sebuah kilang didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebuah lagi kilang yang diarahkan tutup didapati menipu dalam permohonan surat MITI yang mendakwa kilang mereka memproses bahan makanan, sebaliknya mereka memproses cecair bagi rokok elektronik,” katanya.

Menurutnya, polis telah memeriksa 48 kilang pelbagai sektor di Shah Alam sejak 1 Jun sehingga semalam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP 3.0 sambung dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 Jun

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dijadualkan sehingga Isnin ini, disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini setelah menerima cadangan dan pembentangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan senarai tatacara operasi piawai (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini yang boleh dirujuk dari laman sesawang kementerian berkaitan.

Katanya maklumat lanjut SOP pula boleh diperoleh menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Ismail Sabri berkata memandangkan semua senarai SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka beliau berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP di lapangan yang akan mengakibatkan rakyat terkesan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 turun lebih 1,000 kes dalam dua minggu

SHAH ALAM, 8 JUN: Jumlah jangkitan Covid-19 di Malaysia menurun sebanyak 1,379 kes iaitu 2.6 peratus dalam tempoh dua minggu dari 23 Mei hingga 5 Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selama dua minggu bermula 12 Mei lalu.

“Namun, dalam tempoh yang sama jumlah kes aktif didapati terus meningkat susulan kenaikan kes mendadak pada minggu epidemik (ME) ke-20 dan ME ke-21.

“Sebanyak 57,022 kes aktif dikesan pada 23 Mei (ME ke-21) dan pada ME ke-22 meningkat kepada 78,017 kes iaitu peningkatan sebanyak 37 peratus,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, jumlah kes aktif dicatatkan di seluruh negara hari ini adalah sebanyak 82,797 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya surat tujuh kementerian, tiga agensi diterima di sekatan jalan

SHAH ALAM, 6 JUN: Polis hanya menerima pakai surat dari tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan di sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mulai 8 Jun surat kebenaran daripada kementerian dan agensi disenaraikan sahaja membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja bagi sektor dibenarkan.

Katanya, kementerian dan agensi berkaitan ialah

– Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MiTi): Pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan
– Kementerian Pengangkutan: Pengangkutan awam dan barang keperluan
– Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi): Pertanian / Perikanan / Pertanian / Perladangan / Komoditi.
– Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi termasuk buah sawit, getah dan lain-lain
– Bank Negara Malaysia: Institusi perbankan, insurans
– Suruhanjaya Sekuriti: Sektor perdagangan saham
– Kerajaan Tempatan: Peniaga kecil / penjaja / pengusaha trak makanan
– Kementerian Komunikasi dan Multimedia: Telekomunikasi / media / pos / kurier / penyiaran
– Kementerian Dalam Negeri: Semua surat yang dikeluarkan oleh agensi di bawah kementerian diterima untuk pergerakan kakitangan
– Polis: Surat kebenaran daripada polis akan dikeluarkan untuk mereka yang bekerja sendiri dan juga kebenaran melintasi sempadan untuk urusan kecemasan dan pengebumian

Beliau berkata semua surat mesti bertarikh dari 1 Jun dan individu tanpa dokumen atau izin yang telah tamat sekiranya ditahan di sekatan jalan akan diperintahkan untuk berpatah balik.

“Bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan, penjaja tepi jalan yang tiada majikan pula, permohonan kebenaran bergerak perlu diperolehi daripada polis secara ‘one off’ (1 hingga 14 Jun),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA kompaun sembilan individu berjoging di taman awam

SHAH ALAM, 6 JUN: Sembilan individu dikenakan kompaun oMajlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) berikutan mereka berjoging di taman awam pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata lima kompaun dibuat di Taman Tasik Seksyen 7 manakala empat lagi di Taman Seksyen 14 di sini.

“Masyarakat umum terutama di Shah Alam adalah dimaklumkan aktiviti joging secara individu hanya dibenarkan di taman kejiranan yang mana 10 kilometer (km) radius dari alamat rumah masing masing.

“Tindakan merentasi had tersebut bagi tujuan itu adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi tempoh 1 hingga 14 Jun,” katanya menerusi kenyataan.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan beriadah di kawasan awam dalam tempoh PKP menyeluruh.

Pemantauan dijalankan bersama antara polis dan penguat kuasa MBSA antara jam 7.30 hingga 10 pagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

11 ditahan, 781 kompaun dikeluar pada hari pertama PKP penuh

BALAKONG, 2 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 781 kompaun dan menahan 11 individu atas pelbagai kesalahan pada hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata lebih 13,000 pemeriksaan dilaksanakan PDRM semalam bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan sekatan tersebut termasuk oleh pemain industri.

“Jumlah kompaun yang agak tinggi ini menunjukkan masih ramai yang tidak mematuhi SOP ditetapkan. Kita mahu semua pihak main peranan untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di tiga kilang di sini hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Abdul Aziz.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 pada Jumaat lepas memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula semalam.

Hamzah berkata Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP akan melaksanakan lebih banyak pemeriksaan mengejut di lokasi di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

“Pemeriksaan mengejut akan dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan sekiranya masih ramai yang ingkar, bilangan anggota Pasukan Pemantaun Pematuhan SOP akan ditambah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kompaun jika lebih had dua jam di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pelanggan yang berada di premis perniagaan melebihi had masa dua jam akan dikompaun sekiranya diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak penguat kuasa akan membuat pemantauan di premis-premis perniagaan di seluruh negara selaras pelaksanaan Ops Had 2J yang dilancarkan Rabu lepas.

“Kita periksa (aplikasi) MySejahtera mereka dan berharap dengan cara itu sekurang-kurangnya dengan omnipresence (kehadiran) pegawai penguat kuasa KPDNHEP memberi kesedaran kepada pengguna mematuhi SOP (tatacara operasi piawai).

“Pegawai penguat kuasa kita akan membuat pemantauan secara rawak sama ada dengan memakai uniform dan tidak beruniform (pakaian biasa) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ‘walkabout’ pemantauan Ops Had 2J di sebuah pusat beli-belah di ibu kota hari ini.

Alexander berkata setakat ini, tiada kompaun dikeluarkan terhadap orang ramai atas kesalahan berada di premis perniagaan melebihi had masa ditetapkan.

Beliau berkata pihak pengurusan premis atau kompleks beli-belah dan pelanggan perlu memberikan kerjasama dalam memastikan SOP dipatuhi setiap masa dan seterusnya menyumbang kepada usaha membendung penyebaran Covid-19.

Turut hadir Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City Sdn Bhd Antony Patrick Barragry.

Sebelum ini, Alexander telah mengumumkan tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam. Ia antara SOP yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat.

Sebanyak 144 kompleks perniagaan di seluruh negara diperiksa pegawai penguat kuasa KPDNHEP setakat semalam. Pemeriksaan pada 26 dan 27 Mei itu tertumpu kepada kompleks perniagaan yang besar dan berpotensi menjadi tempat tumpuan orang ramai serta pelanggan berpotensi melebihi had masa itu.

Beliau berkata penguatkuasaan Ops ini akan diteruskan termasuk ke premis-premis lain seperti pasar, premis runcit dan kedai serbaneka untuk memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKP 3.0.

-BERNAMA