Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKP Diperketatkan di kawasan Pasar Jalan Othman PJ sehingga 23 Mei

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perintah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei, melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata langkah PKPD itu susulan terdapat 26 kes positif Covid-19 di kawasan itu yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

PKPD itu akan dilaksanakan di kawasan berikut:

Zon A​:

Jalan Penchala, Petaling Jaya

Jalan 4/33, Petaling Jaya

Jalan 4/37, Petaling Jaya

Jalan 4/39, Petaling Jaya

Jalan 4/41, Petaling Jaya

Jalan 4/44, Petaling Jaya

Jalan Terus 4/42, Petaling Jaya

Jalan 4/43, Petaling Jaya

Jalan 4/46, Petaling Jaya

Jalan Othman 4/4D, Petaling Jaya

Zon B​:

Jalan 2/29, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/29A, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/27, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/32, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/25, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/26, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/34, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/34A, Petaling Jaya

​​ Jalan 2/23, Petaling Jaya

​​ Jalan Dispensary 2/38, Petaling Jaya

​​ Jalan Pasar 1/21, Petaling Jaya

Zon C​:

Jalan Selangor, Petaling Jaya

​​ Lorong 3/57D, Petaling Jaya

​​ Lorong 3/57C, Petaling Jaya

​​ Jalan RIDA 3/56, Petaling Jaya

​​ Jalan Sentosa 3/57, Petaling Jaya

Selain itu Ismail Sabri berkata pelaksanaan perintah itu semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut.

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD manakala semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Tambah beliau bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kawasan di Selayang, Chow Kit belum diisytihar PKP Diperketatkan

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan belum mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Selayang dan Chow Kit, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ketiga-tiga kawasan itu hanya diketatkan dari segi pentadbiran bagi mengawal aktiviti serta pergerakan penduduk dan orang ramai.

“Selagi saya belum umum, (maka) tak ada PKPD, ada sesetengah kawasan itu kita perketatkan secara pentadbiran, mungkin kita letak kawat berduri, tetapi belum isytihar (PKPD) dan buat saringan (Covid-19) kepada penduduk,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas laporan awal hari ini yang menyebut Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta kawasan sekitar Jalan Raja Bot di Chow Kit telah dikenakan PKPD.

Sejak awal pagi tadi, tular di media sosial apabila warga maya memuat naik gambar anggota tentera melaksanakan kawalan di sekitar Chow Kit, selain memasang kawat berduri di Taman Wilayah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Diperketatkan diisytihar di Pusat Bandar Utara, sekitar Pasar Borong KL

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur kini diisytihar kawasan keenam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 Mei selepas mendapat nasihat daripada menteri kesihatan.

“PKPD keenam ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata arahan PKPD itu membabitkan lapan parcel iaitu:

– Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur

– Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

– Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur

– Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur

– Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi bilik gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222.

Atau hubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212.

Mengulas sama ada arahan PKPD itu akan menyebabkan bekalan barang basah terjejas, beliau berkata Pasar Borong Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa kerana yang ditutup adalah kawasan perumahan yang dihuni ramai penduduk warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu di kawasan PKP Diperketatkan naik

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Kes positif Covid-19 di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatat peningkatan sebanyak sembilan kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan itu menjadikan jumlah kumulatif di kawasan PKPD itu meningkat kepada 210 kes.

“Pertambahan sembilan kes baharu itu melibatkan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, manakala lain-lain lokaliti kekal sama,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19, di sini, hari ini.

Hulu Langat pula mencatatkan pertambahan enam kes baharu menjadikan jumlah kes positif meningkat kepada 437.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, sebanyak 24,805 sampel ujian Covid-19 telah diambil daripada kluster kumpulan perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu 1,924 positif manakala 20,494 adalah negatif.

Terdapat pertambahan empat kes baharu melibatkan kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali, empat kes baharu bagi kluster flat di Kampung Baru dan dua kes bagi kluster madrasah di Jerantut, Pahang.

-BERNAMA